Emo Hero Bab 1
Sudah sebulan semenjak insiden tersebut berlaku. Insiden Adrina cuba mempermainkan aku tu la… Kehidupan aku masih macam biasa. Malah teknik mengorek hidung pun masih macam dulu-dulu juga. Cuma emosi aku aje yang masih dalam keadaan celaru. Tapi bak kata omputeh la… Time heals everything. Even your broken heart. Memang betul pun. Aku taklah rasa teruk sangat macam mula-mula dulu. Aku pun kira dah agak pulih la sikit. Tengok cerita biru pun dah kembali bersemangat (insaflah hai nak muda!).
Adrina? Adrina masih ada. Masih hidup lagi… (malangnya). Cuma sekarang dia juga turut menerima natijah daripada perbuatannya itu. Boleh dikatakan hampir satu fakulti memboikotnya. Aku tak tahulah punca cerita tersebut tersebar daripada mulut siapa. Tapi aku agak kebarangkalian cerita tersebut datangnya daripada kawan-kawanku yang hadir ke majlisnya pada haritu. Kemungkinan besar cerita yang lebih terpeinci tersebar daripada mulut Nizam dan Wadi… sahabat baikku berdua itu. Sungguh menonjol kebencian yang mereka tunjukkan terhadap Adrina. Kalau saiz bra tu kira Cup F la menonjolnya… Bilamana terserempak saja dengan Adrina, pasti mereka berdua kelam-kabut mencari longkang untuk meludah. Seolah-olah terjumpa satu benda yang sial. Aku beberapa kali nak tegur perbuatan mereka tersebut. Tapi bila memikirkan apa yang Adrina telah buat terhadapku, aku pun turut teringin nak makan sirih auntie Isvari dan kemudian ludah pelepap ke muka perempuan jahanam tu.
Malah geng-geng batch aku yang begitu kamceng dengan Adrina seperti Nisa’ dan Rozie turut menjauhkan diri. Jadi sekarang Adrina kerap menyendiri. Pergi kuliah bersendirian. Mentelaah di laib (perpustakaan) bersendirian. Makan bersendirian. Berak pun bersendirian. Eh… Mana ada orang berak secara berkumpulan, ya dak?
Sekali-sekala bila Raihana, Amilia dan Hanani datang melawatnya di kampus, barulah Adrina nampak benar-benar ceria. Namun kali ini Shaleen tak lagi bersama mereka. Aku agak sama ada amoi itu cuba mengelak untuk bertembung denganku atau mungkin dia dah putus sahabat dengan mereka semua.
Shaleen. Mengingatkan wajahnya sahaja dah cukup membuatkan hatiku terasa pedih. Sekarang ni tengah pedih la ni. (Mungkin jugak sebab sambal nasik lemak mak cik brutal tadi pedas sangat kot?) Setiap bait-bait alasannya itu memanglah logik dan dapat kuterima. Namun ianya tetap menyakitkan hatiku. Aku benar-benar berharap agar dapat segera melupakan Shaleen. Namun aku juga berharap agar dapat bertemu lagi dengannya. Dalam masa yang sama aku juga berharap agar Nizam membelanja aku makan di Burger King lagi malam ni.
“Rip! Apa menung lagi tu? Jomlah kita balik.” Teriakan ala-ala buluh perindu si Wadi menyedarkanku dari lamunan. Bersama-sama si badigol itu ialah rakan sekutuku merangkap buaya Malaysia Timur iaitu Nazirun Nizam. Kami sebenarnya baru saja habis kuliah terakhir untuk minggu ini. Sekarang ni aku kerap menumpang naik kereta Nizam untuk ke kuliah. Itupun atas insiden aku nyaris tak ‘melawat’ ke parit kampus dek kerana kerap mengelamun. Apa nak buat… biasalah orang yang tengah frust dan asyik melayan blues macam aku ni… Tengah kencing pun tak sedar air mata sedang berlinangan.
“Aku laparlah, beb. Jom kita makan alas perut sebelum lunch?” pintaku. Wadi dan Nizam saling berpandangan. Eleh, tentu diorang setuju punya. Kebelakangan ni diorang berdua beria-ria nak jaga hati aku. Macam menatang minyak yang penuh. V-Power punya, tau?
“Okey.” jawab Nizam. Nampak sangat bunyi keberatan dalam nadanya. Tapi aku pedulik hapa. Aku tengah dambaan pilu ni, tau?
*******************************************
Di kafe mak cik brutal.
“Aku rasa Helwany memang lawa. Paling lawa dalam batch dia!” Nizam mencebikkan bibir sebagai reaksi terhadap pendapat Wadi.
“Helwany? Biar betul… Aku tengok dia tidak la lawa sangat. Rupa tu adalah. Tapi tak la cun maut membunuh jutaan kaum Yahudi punya kategori.” tingkahku. Nizam menganggukkan kepala tanda menyetujui pendapatku.
“Helwany tu sebenarnya cantik. Tapi dia jenis beauty in the eye of the beholder punya. Maknanya hanya sesetengah orang saja yang rasa dia cantik. Orang macam aku dan Arip tengok dia biasa aje. But Adrina on the other hand…” Nizam terkedu. Nyatalah beliau telah membuat kesilapan dengan menyebut nama tersebut di depanku. Aku tahu pasti dia tak berkehabisan menyumpah dirinya sendiri. Namun tidak seperti yang diagak oleh mereka berdua, aku hanya tertawa mendengarnya.
“Memanglah aku alergik mendengarkan namanya tu. Tapi memang tak dapat dinafikan yang Adrina adalah gadis tercantik di dalam Fakulti Undang-Undang. Tak… aku rasa dalam universiti ni.” ujarku untuk menenangkan hati Nizam.
“Sorry. Aku tak sengaja tersebut nama dia.” ujar Nizam dengan nada kesal.
“Tak de hal punyalah! Lagipun kan aku yang menang?” ujarku. Pun begitu sedikit sebanyak ianya berjaya mencuit emosiku. Hingga kini aku pun tidak jelas tentang motif sebenar Adrina. Mengapa beliau sanggup cuba menganiaya orang macam aku ni? Kalau si Nizam tu, aku tak kisah. Memang patut pun dia kena. Entah berapa banyak hati gadis yang telah dirobeknya. Ini aku pulak yang disasarkan oleh Adrina. Aku, Arif Akmal… Orang yang tak kisah walaupun mee segeraku cepat dimasak sedap dimakan oleh pihak ketiga tanpa kebenaran. Apa salahku terhadap Adrina? Puas aku memikirkannya. Dan hasil ujian makmal menunjukkan keputusan yang negatif. Bahawasanya tak pernah pun aku sebelum insiden tersebut melukai hati Adrina.
“Weh! Jom blah.” ajak Wadi. Aku memandang ke sekeliling. Tinggal kami bertiga sahaja. Mak cik brutal pun dah hampir nak siap berkemas untuk balik. Nizam segera bangun dan menuju ke arahnya untuk membuat pembayaran. Sementelah beliau suka membeli makanan yang mahal-mahal, mak cik brutal tersebut memberikan keistimewaan kepadanya iaitu boleh membayar selepas makan. Kira baik jugalah mak cik brutal ni walaupun mukanya semedang macam komando Batak on duty.
“Alamak! Sweater aku tertinggal kat bilik kuliah la!” maklumku. Patutlah aku rasa macam tak cukup syarat aje tadi.
“Korang pergi dulu, ya? Aku pergi ambil sweater aku sat.” ujarku lagi seraya berlari ke arah bilik kuliah. Langkahku begitu pantas ke sana sementelah mendapat tenaga yang dijanakan oleh burger belanja tadi. Ah! Nasib baik bilik kuliah belum dikunci lagi. Aku yang masih mencungap segera menguak daun pintu untuk mencari sweaterku. Namun tubuhku spontan terkaku tatkala menjengah ke dalam.
Adrina… Rupa-rupanya Adrina masih berada di dalam bilik kuliah! Nampaknya beliau sedang mentelaah seorang diri berdasarkan nota-nota d atas mejanya. Beliau yang aku agak juga berasa terkejut sebab pintu dibuka secara tiba-tiba turut juga memandang ke arahku. Agak lama kami saling berpandangan. Akhirnya aku memutuskan suasana tersebut dengan memandang ke arah tempat dudukku semasa kuliah tadi. Ah! Itupun dia. Aku segera mengambil sweater milikku dan bergegas keluar. Namun sempat juga aku mengerling ke arah Adrina sebelum melangkah keluar dari bilik kuliah tersebut. Ish! Rupa-rupa beliau juga sedang mengerling ke arahku. Aku spontan memandang ke arah lain dan keluar dari situ.
********************************************
“Sweater busuk tu jugak yang kau sayang sangat. Belilah yang baru.” komen Wadi. Komen tersebut tidak kubalas. Fikiranku lebih tertumpu pada insiden yang berlaku sekejap tadi. Nizam memandu keretanya dengan agak berhati-hati. Mungkin juga untuk memerhatikan siswi-siswi yang melenggang-lenggok berjalan bagaikan itik pulang ke sarang di waktu petang yang nyamang (dah slanga Ganu pulak daaah…)
“Apasal kau ni? Muka macam ternampak hantu aje…” tanya Nizam pula.
“Hoi! Mulut capoi la kau ni!” bentakku. Nizam dan Wadi tertawa. Saja je suka nak mengusik aku yang takut dengan benda-benda Spooky Kitaro ni. Ge-ge-ge-ge-no-geeee!!!
“Kau ni mesti tengah tension ni! Aku tau apa nak melegakan hati kau!” Nizam menawarkan khidmat kaunselingnya tanpa kupinta. Beliau segera menekan butang pemain cakera padatnya. Seketika kemudian lagu Hujan yang bertajuk Lonely Soldier Boy berkumandang di udara. Aku tertawa.
“Ini macam perli aku nih!” ujarku.
“Okay apa?” balas Nizam. Kami bertiga menyanyi bersama-sama mengikut lirik lagu tersebut.
Bulan di malam hari
Datang dengan anginnya yang dingin
Ku tekadkan teruskan
Apa yang dijuangkan
Untuk mencapai semua impian
Usah kau gentar dengan cabaran
Kerna itulah takdir kita
Do you remember that old lullaby?
Ingatan yang lama kukan lupa
Telah kutinggalkan
Akan kutuliskan memori buatmu
“Semua lelaki… lonely soldier boy! Katakan pada dunia… lonely soldier boy! Cahaya… mentari…kan datang… kembaliiiii!!!” Kami bertiga melalak tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
Ya… Shaleen dan Adrina akan menjadi ingatan lamaku. Ingatan yang aku akan lupakan suatu hari nanti. Yang akan menjadi memori yang hanya tertulis dalam ingatanku. Aku adalah lonely soldier boy. Yang akan berjuang untuk mencapai impianku dan kedua ibu bapaku. Itulah impianku yang sebenar. Itulah takdirku.
Oleh itu aku percaya bahawa apa yang terjadi padaku bukanlah pengakhiran bagi kisah hidupku yang masih panjang. Aku percaya langit tidak selamanya mendung. Aku percaya selepas hujan, pasti cahaya mentari kan datang kembali…
- Bersambung -
2 comments:
bile nak sambung ni?
hey , i st tersentoh la dgn novel u . bile nk sambung ???
plss . xsaba mnunggu .
Post a Comment