Bab 7
"Wadi! Bangun la! Kelas hari ni pukul lapan la..."
Benci betul rasanya bila setiap pagi kena kejutkan budak ni. Ikut hati memang aku blah aje buat tak tau. Tapi haritu bila lepas tu tengok muka dia macam biskut cap ping pong terpaksa menapak dari hostel ke bilik kuliah, memang aku rasa kesian campur rasa bersalah habis. Bukan dekat, tau? Dah la jalannya asyik naik bukit aje. Memang tonggek punggung punyalah! Kalau penyanyi dangdut nak buat gelek gerudi ala-ala si Inul tu dengan lebih asyiiiik, maka amalkan la selalu. InsyaAllah, jalan bertar pun boleh pecah dengan gelek gerudi yang di-upgrade.
Lagipun aku cukup bersegamat hari ni. Eh! Segamat pulak dah... Aku cukup bersemangat hari ni sebab nak jumpa dan bertegur sapa dengan gadis idamanku, Adrina. Ish, menyebut namanya pun dah buat aku tersipu-sipu gaya Datuk M. Daud Kilau. Malam tadi aku dah senaraikan semua topik yang nak dipersembangkan. Eh, wujud ke nahu ‘dipersembangkan' ni? Ah... gasaklah! Aku ni budak law. Kalau dapat te-law (telur) dalam Bahasa Melayu pun tak apa.
Aku siap tanya Nizam apa lagi topik-topik yang menarik untuk kami bersembang nanti. Si buaya tu bantai gelak terbahak-bahak. Teringat pulak aku tentang satu lagu disko yang berbunyi "That's the way ahak-ahak, I like it ahak-ahak". Nizam kata tak perlu buat skrip. Impromptu (spontan) lagi baik. Ahhh... dia dah biasa mengayat pompuan boleh la impromptu prom-three. Kalau aku ikut stail dia nanti tercerita benda lucah pulak. Baru la besar kemaluanku nanti. Eh, tadi aku buat lawak lucah ye? Sorry...
Sementara menunggu si badigol tu bersiap, aku tengok sekali lagi senarai topik-topik yang akan diperbincangkan dengan Adrina nanti yang dicatat pada kertas kecil. Kena hafal betul-betul! Huu... mengalahkan exam la pulak! Aku tau la korang pun tengah gelakkan aku sebab sampai buat skrip la pulak. Tapi bukan selalu aku dapat peluang macam ni. Mungkin bila dah biasa bersembang nanti tak payah la pakai skrip. Eh, kalau dah biasa tu kira macam mana, ye? Dah jadi couple ke atau dah kahwin? Ahahahahh! Perasannya aku... Tapi agak tersipu-sipulah aku sekarang!
"Ni apahal tersengih sorang-sorang dengan jovial ni?" Isk, cepat pulak mamat ni mandi. Tak sempat aku layan angan-angan manis ni. Buat pengetahuan pembaca budiman, untuk memajukan diri dalam bahasa Inggeris, setiap hari Wadi akan mempelajari satu perkataan English yang baru dan cuba gunakannya dalam ayat. Jovial tu lebih kurang maknanya perasaan gumbira la... Tapi dengan cara menggunakan ayat tu, aku ingat 5 tahun lagi pun Wadi masih benak juga nak lancar bercakap English.
"Jomlah cepat! Aku dah lapar nak makan ni," rungutku dengan nada yang agak kaku. Yalah... aku ni bukannya pelakon. Aku agak pastiWadi ni akan dapat mengesan motifku yang sebenar.
"Iye ke nak soru? Entah-entah tak sabar nak berjumpa dengan buah hati kau, ye tak?" Sialan! Aku dah agak mamat ni dapat mengesan mens rea (niat) aku yang sebenar. Walaupun Wadi ni kaki membuta dan nampak bodoh-bodoh alang; daya pemerhatian dan tanggapannya memang first class honours! Aku agak itulah sebabnya dia cepat menguasai sebarang jenis permainan hatta batu seremban sekalipun. Atoi suka memanggil si Wadi dengan gelaran Yu-Gi-Oh. Jangan tanya. Aku pun sampai sekarang tak tau kenapa.
Pun begitu atas kesedaran bahawa dia tu dasar menumpang, Wadi terpaksalah bepergian awal denganku. Tak sangka betul motor kapcai tujuh kupang klasikku berupaya untuk menundukkan orang agar menuruti kemahuanku. Nasib baiklah Wadi ni jantan. Kalau awek... huu... gunalah imaginasi kotor korang tu! Dalam beberapa minit kemudian, kami akhirnya tiba.
"Pernah tak kau terfikir dengan otak jiwang kau tu bahawasanya oleh kerana kelas kita hanya akan bermula pada pukul sebelas nanti maka si Adrina itu akan datang pada pukul sepuluh empat puluh dan bukannya lapan pagi?" Panjangnya harakat pertanyaan si Wadi. Macam politikus pulak. Aku hanya mengangkat bahu. Tak kuasa nak menjawab bila aku tahu bahawasanya aku akan kalah dalam perdebatan ini nanti. Dengan respons aku tersebut, Wadi hanya mampu melepaskan suatu keluhan protes.
Sebenarnya aku pun beranggapan seperti sahabatku itu juga. Tapi entah kenapa aku terasa seperti kena datang awal untuk suatu temujanji pulak. Walaupun tak berjanji dengan Adrina. Haii... memang teruk betul jadinya bila dah angau ni. Dulu aku gelakkan kawan-kawanku yang jadi begitu. Sekarang giliran akulah pulak terkena penyakit emosi ni.
Penantian memang suatu penyeksaan. Tiga jam menunggu memang cukup lama. Tapi menunggu seseorang yang sangat-sangat kita hendak jumpa semenjak semalam selama tiga jam adalah bagaikan tiada berkesudahan lamanya. Chewah! Aku ni budak law. Bila pulak jadi sasterawan ni? Wadi dah lama berdengkur di bangku empuk yang disediakan di luar library undang-undang. Universiti tempat aku belajar ni memang kaya sangat. Sampaikan longgok kerusi jenama Diethelm kat luar. Itulah sebabnya member Jawa aku ni begitu sedap membuat taik mata. Tambahan pulak lepas makan nasi lemak tadi.
Akhirnya! Adrina muncul juga setelah jam tangan pasar malamku menunjukkan pukul sepuluh lima puluh enam minit pagi. Segala keperitan menunggu tadi hilang dalam sekelip mata. Adrina kelihatan begitu anggun berlenggang-lenggok bersama dua orang lagi rakan karibnya, Nisa' dan Rozie. Pakaiannya juga cantik. Entah apa nama fesyennya, aku tak tahulah. Selalunya orang pompuan yang pandai-pandai bagi nama pakaian diorang ni. Tube la, micro la, lace la... Orang lelaki sejati hanya tau 3 jenis aksesori, iaitu: Baju, seluar dan spenda.
Dengan perasaan berdebar-debar, aku terus bangun dan mendekati Adrina. Aku pasti semenjak hal semalam, Adrina pasti juga berharap untuk bertemu denganku. Aku pasti. Aku begitu pasti. Harapnya janganlah lupa semua topik yang aku dah hafal semalam.
"Hai Adrina! Malam ni lepak di kafe lagi ke?" tanyaku dengan nada kasual. Yelah, kalau tunjuk nervous, tak macho la aku di depan gadis idaman. Oh ya! Lepas ni apa pulak aku nak cakap? Ah! Ingat! Ingat dah!
"Hei..." Itu saja yang keluar dari mulut comel Adrina. Tawar... Tak mesra... Dingin... Tanpa senyuman... Eh? Apa dah jadi? Gadis di depanku ini Adrina ke? Atau entah-entah gadis semalam tu bukan Adrina gamaknya! Aku tenung Adrina dengan ekspresi terkejutku. Beliau hanya tersenyum tawar biskut askar lantas menyambung kembali gosipnya dengan Nisa' dan Rozie. Aku yang terpacak berdiri di hadapan mereka kini bagaikan tak wujud.
Serta-merta pipiku terasa kecut. Dadaku rasa sejuk. Perutku berasa senak tapi tak nak berak. Aku jarang berasa begini. Tapi aku boleh agak apakah yang terjadi kepadaku sekarang.
Aku sekarang sedang mengalami perasaan aib yang teramat sangat...
- Bersambung! Wuuu... Wuuuu.... -
No comments:
Post a Comment