Bab 30
Seperti yang dijanjikan, Wadi kembali ke bilik selepas lebih kurang 3 jam keluar minum bersama Nizam. Dia ajak aku ikut sama, tapi aku masih segan lagi. Lagipun Nizam tak tau yang aku dah berasa kesal serta insaf. Ikut hati nak je nyanyikan lagu nasyid sebagai pengukuhan rasa insafku. Tapi lagu yang ingat cuma Panggilan Haji aje… tak relevanlah! Jadi aku cuma memerap di bilik selama tempoh tersebut. Terbungkang aje di atas katil tanpa menguit sikit pun. Kalau terasa nak kentut aku cuma injak bontot sikit aje agar angin man-man lepas. Aku cuba nak memproses taik mata dan sekaligus memenuhi ruang bilik dengan gema dengkuran, tapi tak berjaya. Hatiku masih berasa runsing sampaikan langsung tak dapat tidur. Punyalah lama aku memerap di atas katil tanpa bergerak. Memang patutnya aku memohon jawatan sebagai penembak hendap (sniper). Tak pun jaga kedai emas.
“Huih! Dari tadi melekat di katil? Kau dah hilang tulang ke?” sindir Wadi sebaik saja dia ternampak aku. Ewah… baru mintak mahap dah mula nak cari gaduh balik ke? Aku cincang buat rencah Mi Jawa kang baru tau! Aku cuma membalas sindirannya dengan seringai gorilla Optimus Primal. Ganas… tapi berbudi pekerti.
“Aku bertembung dengan Sherina tadi. Dia membebel kat aku pasal kau. Pasal CD lagu MyChemicalRomance.” maklum Wadi.
“Apahal pulak! Aku dah pulangkan elok aje… nak komplen apa lagi?” tingkahku. Sherina adalah rakan satu batch dengan kami. Dia ni gadis kacukan Melayu dengan Pakistan. Cukup suka paksa orang belanja dia makan walaupun duit dalam purse berkepuk-kepuk. Tapi kadang kala dia selalu jugak belanja aku dan Wadi makan ais krim.
“Elok hapa? Dia kata casing dengan kulit CD tu memanglah MyChemicalRomance. Tapi CD kat dalam tu kau bubuh Hetty Koes Endang pulak!” ujar Wadi. Aik? Apasal dia bengang pulak ni? Sherina dah rasuah dia roti nan ke?
“Aik? Kalau Sherina yang amuk Tok Nading kat aku tu aku boleh faham la… Yang kau ni apasal bunyi macam King Cobra naik angin ni? Kau jadi wakil yang diberikuasa ke?” sindirku.
“CD Hetty Koes Endang tu aku punya, tau tak? Badigol!” jawab Wadi dengan keras. Tapi tidak la serius emosi bengangnya. Laa… betul jugak! Mana pulak aku boleh dapat CD Hetty Koes Endang kalau tak kerana si Wadi. Aku terbahak-bahak ketawa. Wadi cuma merengus. Lepas itu dia pun turut tertawa.
*******************************************
Tidak seperti selalu, keesokan harinya aku pergi ke fakulti bersama Wadi pada jam lebih kurang 9.50 pagi. Kuliah Undang-Undang Tort kami dijadualkan pada pukul 10.30 nanti. Sengaja aku datang lewat pada hari ini. Seperti biasa, kami terus menuju ke arah kafeteria.
“Yaaa Qadial Hajaat… Ramainya umat! Menyesal pulak pergi lewat hari ni.” omel Wadi. Aku memandang sekeliling, kalau-kalau ada kawan-kawan kami yang tengah makan. Boleh la tumpang makan di meja diorang.
“Alamak…” Itu saja yang mampu aku ucapkan. Kelihatan Adrina sedang memandang ke arahku. Beliau datang awal rupanya! Dapat meja pulak tu… Adrina segera melemparkan pandangannya kembali kepada rakan-rakannya. Isk.. Aku dah agak dah… Dia pasti masih marah lagi padaku. Oro? Mana pulak si Wadi ni. Tadi elok-elok ada kat sebelahku tiba-tiba ‘David Blaine’ pulak.
“Rip!” Teriakan tersebut mengejutkanku. Laa… Tu dia tengah memeras dua orang junior rupanya. Aku segera pergi ke arah meja yang dikongsi secara paksa itu. Muka kedua-dua junior aku tu kesat kulit cempedak aje… Tak puas hatilah tu…
Setelah beberapa minit kemudian kedua-dua junior yang cuma minum air sahaja itu meminta diri untuk berambus dari meja kami. Aku dan Wadi tergelak. Yalah, dah tau cuma minum aje, janganlah lepak lama-lama sedangkan ramai orang yang nak makan tak dapat tempat duduk. Aku cukup pantang dengan spesis manusia macam ni. Jenis pikir diri sendiri aje dan tak pedulikan perasaan orang lain. Banyak kategori manusia jenis ini. Antaranya ialah kategori yang tak menutup telefon bimbit atau menggunakannya masa filem tengah berlangsung dalam panggung. Aku rasa itulah antara punca ramai orang lebih senang membeli DVD cetak rompak dari pergi menonton di panggung. Mereka tak mahukan gangguan semacam itu dan cuma nak tonton sekali dua aje. Sekonyong-konyong Nizam pun muncul. Beliau menuju ke arah meja kami setelah digamit dek Wadi. Alamak… apa pulak nak cakap atau buat ni? Canggung betul rasanya hari ni.
“Hei Wadi. Hei Arip.” tegur Nizam dengan selamba. Bagaikan tak ada apa-apa yang berlaku di antara kami bertiga.
“Yo.” balas Wadi.
“Hei.” balasku. Aku memandang ke arah Wadi. Wadi membalas pandanganku sambil tersengih. Sahih dia dah bagitau Nizam tentang hal aku berbaik dengannya semalam.
“Aku nak beli burger. Kau orang nak? Aku belanja.” pelawa Nizam.
“Aku okey aje. Eminently reasonable la kau ni Nizam!” balas Wadi. Mak oi… dah baham bihun goreng sepinggan nak lahap burger lagi?
“Rip? Aku beli untuk kau juga, okey?” pelawa Nizam sekali lagi. Aku mengangguk. Nampaknya itu tanda Nizam menerima kemaafan yang tak pernah kuucapkan. Itulah… memang orang lelaki ni pelik caranya bila meminta maaf dan berbaik semula.
***************************************
Kuliah Tort berlangsung seperti biasa. Pelajarannya memang menarik tapi aku rasa pendekatannya cukup membosankan. Baru-baru ni semua institusi pengajian tinggi di Malaysia dah hilang kelayakan dalam ranking universiti terbaik di dunia. Sungguhpun macam-macam pekeliling dan pendapat yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memujuk hati sendiri, namun aku nampak memang salah satu punca terbesar perkara tersebut berlaku ialah kerana para pensyarah yang tak mengemaskini pengetahuan mereka. Aku rasa punca terbesar ialah para pensyarah ni kebanyakannya tak pernah merasa untuk mempraktikalkan sendiri apa yang mereka pelajari.
Semasa aku menguap buat kesekian kalinya tiba-tiba lengan kananku dicuit. Aku berpaling untuk melihat siapakah yang teringin sangat menemui malaaaikatul mauuut dengan menggangguku yang sedang dihimpit kebosanan ini. Ooo… Lini rupanya. Gadis yang dipanggil Mbah oleh kami menghulurkan secebis kertas kecil yang dilipat dua kepadaku.
“Cih! Bagi kertas cabik buat apa… Kalau bagi duit kan bagus.” rungutku dalam hati. Namun sebaik sahaja aku membaca isi kandungnya, hampir gugur kandunganku dibuatnya (taik la, apa lagi). Ianya tertulis ‘Hmph!’ sahaja, namun cukup untuk menyejat darah di tubuhku. Bukan kerana apa yang ditulis tetapi pemilik tulisan tersebut. Aku segera berpaling ke arah pemilik tulisan tersebut. Ke arah Adrina.
Sahih! Memang dia yang tulis. Adrina memang menunggu aku memandang ke arahnya. Beliau sekilas melontarkan senyuman kepadaku dan kemudian mencukakan wajahnya. Beliau selepas itu segera menundukkan wajahnya.
Adrina masih marah lagi kepadaku. Namun dia tidak membenciku. Itu petanda yang baik. Nampaknya masalahku akan selesai satu persatu. Mula-mula antara aku dan Wadi. Kemudian antara aku dan Nizam. Sekarang antara aku dan Adrina pulak.
Shaleen…
Masalah aku dengan Shaleen masih belum selesai. Malah mengingatkan namanya sahaja dah membuatkanku berasa tak keruan. Perutku berasa senak. Perasaan yang serupa aku rasakan terhadap Adrina dulu. Sekarang perasaan tersebut berpindah terhadap Shaleen pulak.
Heh…
Betul kata-katanya. Aku sudah tidak lagi memanggilnya sebagai ‘amoi’. Aku memanggilnya dengan nama Shaleen. Jantungku berdegup pantas setiap kali teringatkannya. Aku menoleh ke arah Adrina. Beliau sedang sibuk mencatat nota. Aku cuba sedaya upayaku untuk membangkitkan perasaan yang serupa.
Aku… aku tak rasa apa-apa…
*************************************
Kuliah yang membosankan akhirnya selesai sudah. Aku dengan langkah yang longlai melangkah keluar dari bilik kuliah menuju ke tandas.
“Rip! Nak ke mana tu?” laung Nizam. Kami dah berbaik semula selepas aku dibelanja sebiji burger daging spesel olehnya (‘Spesel’ tu mak cik brutal yang tulis, aaa!). Wadi turut berada bersamanya.
“Jamban!” laungku balik.
“Kafe! Kafe!” laung Nizam seraya menunding ke arah kafeteria. Oh, nak mengajak aku melepak di kafeteria rupanya. Aku memerhatikan sahaja langkah kedua sahabatku ke arah kafeteria. Sebaik sahaja aku nak menyambung destinasi cuti-cuti Malaysiaku ke jamban, sekali lagi aku dihalang. Kali ini secara fizikal. Aku tergamam merenung gadis yang menyekat laluanku.
“Hai Rina.” tegurku dengan nada serba-salah.
“Sombong! Uh!” komen Adrina dengan nada merajuk. Renungannya masih terpaku padaku. Aku berasa serba-salah. Entah sama ada sebab aku berlaku biadap padanya semalam atau mungkin perasaanku yang mulai pudar terhadapnya. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Adrina… saya minta maaf kerana hal semalam. Memang saya yang bersalah. Maafkan saya, ya?” pujukku dengan lunak.
“Uh!” balas Adrina. Masih merajuk. Matanya mulai berkaca-kaca. Alamaaak… dah seorang lagi nak menangis dah…
“Adrina… Saya tak mungkin boleh kembali semula ke masa itu untuk perbetulkan kesilapan saya. Tapi saya sanggup buat apa saja asalkan Rina maafkan saya dan kembali baik dengan saya.” ujarku dengan nada kesal. Adrina masih menatap tepat ke mataku.
“Apa saja?” tanyanya dengan nada yang agak keras. Aku mengangguk.
“Ya, apa saja pun saya sanggup buat asalkan saya mampu.” jawabku.
“Rina nak debik awak seratus kali sekuat-kuat hati. Sanggup?” tanyanya dengan nada serius. Aku tergamam seketika.
“Saya sanggup.” jawabku setelah merasionalkan emosiku.
“Baik… pusing ke belakang. Rina nak debik kat belakang.” arah Adrina. Lecehnya… dahlah aku nak terkencing ni! Buatnya betul-betul kuat dan menyakitkan… haa… langsung terkencing di sini! Aku memalingkan tubuhku untuk memberikan bahagian belakangku kepada Adrina. Ketika ini tiada sesiapapun di kawasan ini kecuali kami berdua.
“Adrina… saya dah sedia.” maklumku.
“Okey…” ujar Adrina. Beberapa saat telah berlalu. Namun masih tiada apa-apa yang berlaku. Aku mulai berasa hairan. Dia nak lekat perkataan “Kick Me” kat belakang aku ke?
“Adri-“ Belumpun sempat aku menghabiskan perkataanku, tiba-tiba tubuhku dipaut dengan kemas dan erat. Aku dapat merasakan tubuh Adrina melekap kemas di belakangku. Cukup hangat dan mesra perasaan yang kurasakan sekarang dari dakapannya itu.
“Adrina…” ujarku dengan perlahan. Serentak itu Adrina melepaskan dakapannya dan aku dapat mendengar bunyi tapak kasut yang dengan pantas menjauhi diriku. Aku segera berpaling kembali ke arah Adrina. Ternyata Adrina telahpun berlari meninggalkanku. Meninggalkanku dalam keadaan serba-salah dan keliru.
“Aiii….” keluhku. Nampaknya masalahku dengan Adrina masih belum selesai.
No comments:
Post a Comment