Saturday, July 26, 2008

Emo Hero Bab 14

Emo Hero Bab 14

Lebih kurang dua puluh minit kemudian kami akhirnya sampai ke destinasi yang ditujui. Sepanjang perjalanan kami asyik bergurau dan kutuk-mengutuk di antara satu sama lain. Aku membuat keputusan bahawa ada baiknya aku menganggap Adrina ini seperti kawan-kawan lelakiku yang lain.

“Jusco? Nak ke mana kita ni?” tanyaku sebaik sahaja Adrina selesai memarkirkan SUVnya.

“Rina nak ajak tengok wayang. Cerita Hancock.” maklum Adrina.

“Wuih! Syok cerita tu!” komenku.

“Arip dah tengok?” tanyanya pula. Aku menggeleng. Ih-ih… dia panggil aku sebagai ‘Arip’ pulak. Selalunya ‘Arif’… yang mana jenuh beliau menyebutnya sampai terpelanting keluar taik gigi.

“Tengok preview dia aje.” jawabku seraya tertawa. Adrina spontan mencubit lenganku.

“Oih! Oih! Sakit la, siut!” ujarku sambil menyeringai. Minah ni tok moyangnya dulu keturunan ketam ke? Nasib baik dia ni pompuan. Kalau si Wadi yang buat begini, mau aku rodok lubang hidungnya dengan pen Faber Castell. Adrina tertawa seraya melepaskan cubitannya.

“Aku tak kira. Aku nak adu kat Persatuan Ibu-ibu Tunggal akan perbuatan kamu ni!” bentakku dengan nada bergurau. Adrina tertawa lagi. Akhirnya langkah kami terhenti di panggung TGV yang berada di dalam pasaraya Jusco.

Alaaa…. ramainya oraaanng…” rengek Adrina. Memang betul kata-katanya itu. Aku ingat mau dekat 300 orang sedang berbaris untuk membeli tiket. Kalau macam ni aku pun nak merengek manja… Ah! Aku ada idea!

“Rina…”

“Yes, boss!”

“Jom kita buat aktiviti lepak kita ni sangat bermakna sampai dikenang dek anak cucu, nak?” saranku. Adrina membuat muka kehairanan.

******************************************

Lebih kurang 5 minit kemudian…

“Okey sekarang kita dah beli pretzels. Kenapa kita tak makan kat restorannya tadi?” tanya Adrina. Hii… banyak bet-bet la minah ni… Aku segera menunjukkan sebuah bangku taman yang disediakan untuk orang ramai.

“Makan kat situ?” tanya Adrina yang lebih menjurus kepada mempertikaikan sarananku.

Alaa… jomlah…” desakku. Adrina akhirnya akur. Namun wajahnya masih mempamerkan emosi yang negatif terhadap permintaanku ini. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di bangku tersebut, baharulah terlopong mulutnya dan disertai dengan air muka teruja.

“Waauu…” komennya. Aku tersenyum bangga. Di hadapan kami terdapat sebuah kedai video yang menjual CD, VCD dan DVD. Kedai tersebut meletakkan sebuah televisyen LCD berukuran 52 inci di cermin peragaan. Sebagai salah cara promosi, kedai tersebut saban waktu akan menayangkan pelbagai jenis filem yang dijual dalam premisesnya. Malah sebuah pembesar bunyi jenis Altec Lansing juga disambung pada televisen tersebut untuk meningkatkan bunyi efek filem-filem yang dimainkan.

Alaaa… dia mainkan cerita Korea la… Subtitle dalam Bahasa Cina pulak tu…” keluh Adrina lagi.

“Lagi bagus kalau macam tu! Kita buat cerita sendiri!” ujarku. Adrina tertawa.

“Apalah… Malu la… Tak pernah dibuat orang!” komennya.

“Just follow my lead…” saranku seraya merenung ke arah televisyen. Ketika ini seorang pak cik tua sedang bersembang dengan perempuan muda. Aku agak mungkin si bapa sedang berbual dengan anaknya.

“Tuminah… Kau selalu datang ke rumah pak cik untuk guna jamban tapi tak pernaaah kau nak flush. Apa dosa pak cik pada kamu, nak oiii?” ujarku membuat dialog sendiri. Adrina tertawa.

“Cepatlah! Pompuan tengah bercakap tu!” desakku.

“Tak boleh la… Rina tak pandai…” balas Adrina.

Alaa… kata nak have fun! Tak payahlah nak control ayu kali nii.. cepat la…” desakku lagi. Adrina masih tertawa.

“Okey… okey… kita buat semula…” ujar Adrina. Aku menunggu giliran watak pak cik tersebut untuk bersembang. Eii… bila pompuan heroin Korea ni nak habis cakap? Lama sangat membebelnya! Ah! Okey! Okey!

“Kau tak pergi menoreh ke hari ni? Kalau tak ada duit macam mana kau nak beli reket macam Sharapova Tuminah oiii?” Aku sekali lagi membuat dialog sendiri. Adrina kelihatan jenuh menahan tawanya.

“Pak cik ni salah infolah! Saya kerja kat Trump Plaza jadi secretary Donald Trump.” ujarnya pula membuat dialog sendiri.

“Apa? Donald Duck? Jangan dibuat memain Tuminah oiii… Donald Duck tu gila sek (seks). Itu sebab dia selalu pakai baju tak makai seluar. ” balasku pula. Adrina tertawa.

“Pak cik la yang gila seks, kan? Haritu pak cik mengintai saya tengah ‘melabur’, kan?” Sebaik sahaja Adrina menghabiskan dialognya tiba-tiba muncul seorang wanita yang sama usia dengan watak pak cik di dalam filem tersebut.

“Aaa mak cik! Suami mak cik memang gatal sungguh! Dari tadi asyik nak tengok panties saya…” ujarnya pula seolah-olah watak heroin sedang mengadu domba kepada wanita tua tersebut.

“Aaah… pak cik kamu memang dari dulu macam tu. Baru aje tadi dia menghidu panties sorang budak pompuan bernama Adrina. Alaa.. kamu bagi ajelah dia cium. Bukannya luak pun!” aku membuat dialog pula tatkala watak mak cik dalam filem tersebut berkata-kata. Tiba-tiba lenganku sekali lagi terasa pijar. Memang sahih… Adrina mencubitku sekali lagi.

“Bukannya pak cik tu yang gatal. Arip yang gatal!” ujar Adrina seraya menguatkan lagi piatan cubitnya. Aku mengaduh sambil tertawa. Beberapa orang yang lalu-lalang sempat menjeling ke arah kami. Akhirnya Adrina melepaskan cubitannya kerana berasa segan.

“Tak mau buat dah… Malu betul…” rungutnya. Beliau enggan meneruskan permainan dialog yang menyeronokkan tadi. Leceh betul… tak fun la minah ni…

“Habis kalau boleh, Rina nak tengok cerita apa?” tanyaku.

“Rina nak tengok Hancock.”

“Mana ada cerita Hancock dalam DVD lagi? Okey, Rina nak tengok cerita jenis apa?” tanyaku pula. Adrina mengangkat kedua belah bahunya tanda tidak tahu.

“Nak cerita komedi romantik tak?” tanyaku.

“Okey!” jawabnya.

“Tunggu sekejap.” ujarku lantas bangun dan menderapkan langkahku ke arah pintu masuk kedai video tersebut.

“Eh! Arip! Are you crazy?” Itulah yang dapatku dengar daripada mulut Adrina. Namun tidak kupedulikan.

************************************************

Beberapa minit kemudian…

“Okey… jom tengok cerita syok.” maklumku. Seketika kemudian kaca televisyen 52 inci tersebut mula menayangkan cerita ‘Fool’s Gold’.

“Waa… mesti best cerita ni! Macam mana Arip suruh dia pasang?” tanya Adrina dengan nada kekaguman.

“Saya beli DVD cerita tu dan mintak dia tayangkan dari mula sampai habis.” jawabku.

“Eh! Ni lagi mahal dari tengok wayang!” komen Adrina.

Kan kita nak buat perkara yang tak akan dilupakan sampai bila-bila?” tanyaku pula sebagai menjawab komennya itu. Adrina terdiam. Namun senyuman manis terlakar pada wajahnya bersama air mukanya yang cukup ceria.

“You know what? Arip ni sebenarnya memang seorang yang romantiklah!” pujinya tiba-tiba. Aku hampir terkedu.

“Apa pulak romantik?” pertikaiku.

“Apa yang Arip buat ni memang benda yang romantik. Mana-mana perempuan pun akan setuju dengan kata-kata Rina ni.” balas Adrina. Aku terdiam. Rasa-rasanya kedua belah pipiku sekarang sedang merah menahan malu.

“I’ll never forget this for the rest of my life!” ujarnya lagi seraya menggigit pretzel. Aku tersengih.

“Aku ni romantik? Kalau betul… tentu ramai pompuan akan terpaut hati kat aku. Ni habuk pun tarak! Zero. I’m a zero hero.” balasku pula. Adrina tersenyum.

“Keep doing that thing you did to me just now and even I might fall for you.” ujarnya pula sambil mengunyah pretzelnya. Aku memandang tajam ke arah Adrina. Beliau membalasnya dengan renungan yang redup bersama senyuman yang penuh dengan teka-teki.

Aku kini berasa seronok dan risau dalam masa yang sama. Seronok bila dipuji sedemikian rupa oleh gadis tercantik di UNISAS. Namun risau dalam masa yang sama kerana ada kemungkinan Adrina mahu meneruskan rancangannya yang tergendala dahulu.

Terus-terang aku katakan… Aku masih belum boleh mempercayai gadis di hadapanku ini seratus peratus!

- Bersambung -

No comments: