Saturday, July 26, 2008

Zero Hero Bab 29

Bab 29

“Apa ni Shaleen? Apa yang kau cakapkan ni?” Aku benar-benar tidak percaya dengan kata-kata yang singgah di telingaku. Baharu aje semalam aku mengoreknya dengan putik kapas Pureen. Mustahil aku tersalah dengar.

“Please stay away from her. From Adrina.” ulang Shaleen lagi. Nadanya kali ini cukup jelas dan tegas.

“Hei… dia tu kan kawan kau? Mengapa kau kata begitu?” pertikaiku dengan rasa tidak puas hati. Apa zaman ini persahabatan dah tak ada nilai lagi ke?

“Please… you must listen to me.” ujaran Shaleen lebih cenderung kepada mendesak dan merayu sekarang. Sungguhpun dah tertarik hati padanya, namun sekarang aku dah panas hati pula terhadapnya.

“Why? Pasal apa kau pandai-pandai halang relationship aku dengan Adrina pulak? Gimme a good reason.” persoalku dengan nada keras. Shaleen tak menjawab. Sebaliknya pandangan beliau diarahkan ke tempat lain. Seolah-olah sengaja mengelakkan diri untuk bertentang mata denganku. Pasti ada sesuatu perkara yang disembunyikan olehnya.

“Don’t tell me… You sebenarnya sukakan Adrina jugak, ya?” telahku.

“No… No way… Yes! Yes I like her. So… will you back-off?” tanya Shaleen dalam nada teragak-agak. Kuang hajau punya amoi! Cakap kasar dia kali ni dah melampau dan benar-benar menyakitkan hati.

“Pergi mampuslah kau! Punya banyak betina kaum sejenis kau, Adrina jugak yang kau nak pilih? Hei… dia bukan macam kau, tau? Rosak akhlak! Songsang! Pompuan jalang!” Sebaik sahaja aku selesai meluahkan perasaan bengangku, tiba-tiba pipiku terasa pijar dihentak oleh sesuatu. Aku dah agak dah… mesti kena penampar dari Shaleen.

“How dare you! How dare you!!! Are you that stupid? Are you that blind? Do you have any idea what are you getting yourself into? How dare you!!!” pekik Shaleen dengan marah. Air matanya mulai bergenang. Leceh betui… Ompompuan ni kalau nak menang mula la gunakan ayer mata. Aku yang sakit kebas kat pipi ni la yang sepatutnya menangis. Tapi pikir-pikir balik, hilang le kelelakian aku kalau buat gitu. Malu, siuuut!

“Sudah la… malas aku nak layan orang gila macam kau. Anggap saja aku tak dengar apa yang kau katakan tentang Adrina. Tapi kalau kau berani cakap begitu sekali lagi, I’ll tell her.” ujarku memberikan amaran bersulamkan ugutan. Namun tonasi suaraku sudah mulai mengendur. Tak kuasa untukku meneruskan sayembara yang sia-sia ini. Aku segera meninggalkan Shaleen yang sedang tersengguk-sengguk menahan tangisnya. Halaku kembali ditujukan ke arah pintu utama Bistro. Memang malam ni malam yang teruk bagiku. Aku baharu sahaja mengetahui bahawa gadis idamanku sebenarnya tidaklah sesempurna mana. Kemudian aku juga baharu menyedari yang aku mulai tertarik dengan Shaleen. Dan yang paling ultimate sekali ialah aku baharu sahaja bergaduh dengannya. Semuanya sangat menyakitkan hatiku…

**************************************************

“Hai Arif!” Sapaan lembut amat kukenali akan pemiliknya. Aku berpaling ke arah si empunya suara yang tersenyum padanya. Nampaknya beliau juga tiba awal untuk kuliah Prosedur Sivil syarahan Dr. Syeikh Salim.

“Hai Adrina!” sapaku kembali. Namun entah mengapa hatiku tidak ceria seperti selalu apabila mendengar suaranya pada kali ini. Adrina segera menarik tanganku untuk duduk di suatu sudut yang agak terasing daripada rakan-rakan sekuliahku. Pun begitu aku sempat terperasankan yang Nizam dan Wadi secara sekilas mengerling ke arah kami berdua.

“Arif, apa yang dah jadi semalam?” Pertanyaan Adrina membuatkan hatiku kembali tidak keruan.

“Apa yang dah jadi?” tanyaku balik untuk menutup debaranku.

“Raihana, Hanani dan Amilia bagitau kat saya yang Shaleen monyok je pagi tadi. Bila diorang tanya kenapa, dia terus menangis.” maklum Adrina. Aku berasa benar-benar terkejut. Apakah teruk sangat kata-kataku itu hinggakan amoi tersebut menjadi begitu ‘rapuh’ sekali? Aku spontan teringat perkara semalam. Bila tiba waktu untuk balik, kami ke kampus Adrina terlebih dulu. Shaleen sendiri yang memapah gadis impianku yang mabuk habis ke biliknya. Kemudian amoi tersebut memaklumkan kepadaku bahawa dia akan menumpangkan Raihana, Hanani dan Amilia tidur di kondonya. Memang la dia nampak moody aje. Namun aku tak sangka pulak berlarutan sampai keesokannya.

Aku mulai terfikir bahawa kalaulah betui Shaleen menganggap aku ini saingannya dalam merebut cinta Adrina; dengan personalitinya itu pastilah dia akan marah dan melawan balik. Tapi mengapa pula mudah benar dia mengalah dan bersedih hati di kala ini? Betul ke dia sukakan Adrina?

“Rina kenal Shaleen tu semenjak 3 tahun lepas. Inilah kali pertama Rina tengok dia menangis. Tambahan pulak dia pernah bersumpah takkan menangis kerana seorang lelaki. Kalaulah Shaleen menangis sebab Arif, memang terer la awak! Tapi Arif tetap akan kena marah dengan Rina!”ujar Adrina dengan nada yang pura-pura dibuat garang. Aku menjadi serba-salah sama ada nak atau tidak memberitahunya bahawa memang akulah puncanya.

“So? Macam mana? Arif punya pasal ke?” tanya Adrina dalam nada sedikit mendesak. Aku menggelengkan kepala sambil tersenyum.

“Tempat semalam best, kan? Sabtu ni kita pergi lagi nak tak?” ajak Adrina mengubah topiknya. Dengan pantas aku menggelengkan kepala.

“Saya tak mahu pergi.” jawabku. Inilah kali pertama aku menolak ajakan gadis idamanku. Adrina kelihatan agak terperanjat. Mungkin beliau tidak menyangka reaksiku yang sebegitu rupa.

“Okey… kalau gitu bila kita nak pergi lagi? You fix the date.” ujar Adrina pula. Kali ini dibancuh ayatnya itu dengan nada manja yang pekat lagi manis berkrim.

“Saya… saya tak mahu lagi pergi ke tempat sebegitu. Sampai bila-bila pun.” Spontan sahaja jawapan tersebut meluncur dari mulutku. Buat pertama kali ianya terus datang dari hati sanubariku tanpa bertapis-tapis seperti selalu. Kali ini entah mengapa aku tidak langsung mempedulikan hati dan perasaan Adrina lagi. Gadis idamanku itu tergamam. Wajahnya yang ceria tadi kini jelas menampakkan aura suramnya.

“Okay… Well… I’ll see you… later.” ujarnya dengan nada perlahan besulamkan kekecewaan. Adrina segera meninggalkanku yang hanya selamba sahaja memandangnya. Entah mengapa aku berasa biasa sahaja sekarang. Fikiranku kini lebih berserabut memikirkan reaksi Shaleen natijah dari insiden semalam. Pandanganku spontan kemudiannya terhala ke arah kedudukan Nizam dan Wadi tadi. Rupa-rupanya mereka masih berada di situ dan kini juga sedang memandang ke arahku. Aku tersenyum. Mereka berdua turut tersenyum padaku.

***********************************************

Sudah hampir 2 jam aku memerap di bilikku. Selalunya di kala ini pasti aku mempunyai aktiviti luar bersama Adrina. Selalunya gadis jelita tu yang mengajak. Dan aku pula pasti takkan menolak. Namun pada hari ini Adrina terus sahaja balik bersama geng-gengnya. Pasti beliau dah merajuk denganku.

Tiba-tiba pintu bilikku berkeriut terbuka. Aku yang sedang terbungkang di atas katil terus bangun dan duduk. Terpacullah wajah Wadi di jenang pintu. Beliau terkejut melihatku. Aku agak pasti dia ingat bahawa di kala ini aku sedang berdating dengan Adrina. Hmh! Rupa-rupanya ini le masanya dia balik untuk mengambil pakaian baharunya. Sehingga sekarang Wadi masih lagi ‘sting-garden’ di bilik Nizam.

“Assalamualaikum.” tegurnya. Terpaksa le tu. Senyum pun macam biskut askar aje.

“Wa’alaikumussalam.” balasku. Terimalah balasan senyuman biskut askarku pulak!

Selepas menegurku, Wadi terus menyibukkan diri untuk mengemas bajunya. Aku hanya memerhatikan sahaja gelagatnya. Sekejap-sekejap wak Jawa tersebut memandang ke arahku. Bila dia tengok yang aku juga sedang memerhatikannya maka secepat kilat Wadi memandang ke arah lain. Nak kata secepat kilat tu tak la juga. Kalau selaju cahaya dia meneleng, pasti tercabut kepalanya!

“Kau tak lenguh ke angguk-angguk geleng-geleng macam tu?” sindirku. Wadi tersengih. Tapi wajahnya masih tidak memandangku. Aku tertawa. Akhirnya Wadi turut sama ketawa.

“Maggi aku banyak yang hilang…” komenku.

“Sorry… aku yang ambik. nanti aku bayar balik.” maklum Wadi dengan muka termonyeh-monyeh. Aku tergelak.

“Samdol! Kalau kau nak bayar balik, belanja aku makan spaghetti kat Pizza Hut!” ujarku. Wadi pula tergelak.

“Kalau gitu, kena la tunggu semester depan bila dapat loan.” ujarnya.

“Seribu tahun pun akan kutunggu dan kutuntut janjimu itu!” balasku. Kami berdua tertawa. Seketika kemudian keadaan menjadi hening seketika.

“Arip…”

“Apa?” tanyaku.

“Aku mintak maaf sebab tumbuk muka kau aritu.” ujar Wadi dengan perlahan. Aku spontan tersenyum.

“Ah! Itu hal kecik aje. Lagipun kau tumbuk macam pompuan. Rasa macam kena gigit semut aje.” sindirku. Gini le gayanya orang lelaki bila mintak mahap. Wadi tertawa.

“Kalau gitu meh aku tumbuk kau sekali lagi. Tapi kali ni betui-betui kaw punya!” saran Wadi dalam nada bergurau.

“Banyak cantik! Kali ni aku akan balas dengan ‘Tinju Paus Menelan Dunia’ pulak!” balasku. Kami tertawa berderai. Tu kira dah mintak mahap le tu. Dah settle kosong-kosong le tu!

“Wadi… nanti kau bagitau kat Nizam yang aku kesal dengan apa yang aku telah cakapkan kepadanya aritu. Aku juga mintak ampun dan maaf daripada dia. Kata kat dia, kalau dia nak tumbuk aku pun aku takkan balas.” pesanku sebelum Wadi keluar dari bilik dengan beg bundutnya. Wadi terkaku sejenak di jenang pintu tersebut. Tiba-tiba beliau mencampakkan kembali beg bundutnya itu ke sudut meja komputer.

“Aku nak keluar minum dengan Nizam kejap. Kang aku balik.” maklum Wadi sebelum beliau keluar.

Aku tersenyum. Terasa seolah-olah satu beban yang kugalas selama ini hilang sama-sekali.

- Bersambung -

No comments: