Saturday, July 26, 2008

Zero Hero Bab 34

Bab 34

Lebih kurang 9.13 malam. Di bilik hostel.

“APA DIA?!!!”

“Sakit la telinga aku, bodoh!” omelku. Punyalah lantang suara Wadi memekik tadi. Aku ingat gajah baka hibrid yang tengah naik minyak pun mau lari terpontang-panting mendengarnya. Bilik kami ni tak pernah aman dari pekik-jerit. Kesian hantu-hantu yang menumpang; nak tidur pun tak dapat.

“Rip! Betui ke ni? Betui apa yang kau cakap ni?” tanya Nizam yang lebih menjurus kepada mendesak. Sungguhpun aku dah bercerita habis tentang rancangan jahat Adrina kepada kedua badigol tersebut, ternyata mereka masih tidak berpuas hati mendengarnya.

“Betul la apa yang aku cakap ni. Ingat aku nak main-main ke tentang hal-hal macam ini? Nanti Karam Singh Walia boleh merajuk, tau?” balasku.

“Hah! Tu! Tu! Dah buat lawak. Kau cakap auta tadi, kan?” tanya Wadi. Cih! Silapku juga sebab boleh pulak buat lawaking masa serius macam ini.

“Memang aku tak bohong. Tadi aku buat lawak sebab nak kurangkan sikit rasa bengang aku.” Penjelasanku itu mengundang renungan tajam dari kedua sahabatku. Lama kami saling memandang tanpa bersuara macam berlawan ilmu ninja doujutsu (ilmu ninja mata) pulak. Akhirnya Nizam yang terlebih dahulu kembali menyandarkan tubuhnya di katilku dengan keluhan panjang. Aku turut ikut bersandar kembali di kerusi belajar yang ‘dipinjam’ oleh Wadi dari bilik sebelah. Namun Wadi masih enggan mengendurkan tubuhnya. Malah kedua tangannya mengeletar dalam kekemasan kepalan buku lima.

“Dahlah tu Wadi.” pujukku.

“Betina sial… anak setan… kalau dia tu lelaki dah lama aku lumatkan mukanya.” ujar Wadi dengan nada tersekat-sekat. Memang sahih dia tengah marah tahap optimum. Walaupun rasa terharu dengan sikap setiakawannya, tapi aku rasa seriau jugak melihat api kemarahan si Wadi sekarang ini. Harapnya jangan la dia teringat yang aku ada menyimpan gambar Adrina saiz paspot dalam dompetku. Kang tak pasal-pasal jadi lempeng kulit kang…

“Rip… kau percaya ke dengan cerita Shaleen tu?” tanya Nizam secara tiba-tiba. Aku bungkam. Namun seketika kemudian aku menganggukkan kepala untuk menjawab.

“Kau pecayakan Shaleen sebab kau sukakan dia?” tanya Nizam lagi. Renungannya tidak sedikitpun teralih dariku. Kali ini aku menggelengkan kepala.

“Bukan sebab aku sukakan dia. Sebab aku percayakan kau.” jawabku.

“Aku?” tanya Nizam. Aku mengangguk.

“Kau pernah kata, hampir mustahil orang macam aku disukai oleh orang macam Adrina. Bila aku fikir-fikir balik kata-kata dan tindak-tanduk Adrina yang agak pelik sebelum ini, ianya memang masuk akal.” perjelasku. Nizam menggelengkan kepala.

“Aku tarik balik kata-kata tu. Aku tak bermaksud nak menghina kamu, Rip.” perjelas Nizam pula dengan nada kesal. Aku tersengih.

“Tapi itulah hakikatnya, kan? Adrina sepatutnya cukup secocok dengan kamu. Tapi mengapa dia tak memilih kamu? Aku berteori yang dia takutkan kamu, Nizam. Kamu cukup masak dengan perangai dan bahasa tubuh orang perempuan. Sekilas pandang saja kamu akan tahu perangai sebenar Adrina. Aku pulak… dah la tak pernah bercinta, tergila-gilakan dia pulak tu. Jadi aku lebih senang jadi mangsanya.” ujarku dengan panjang lebar.

“Jangan cakap begitu, Rip. Jangan memperkecilkan diri sendiri. Aku suka bersahabat dengan kamu dan Wadi sebab korang berdua macam batu permata di antara kaca. Yang lain-lain aku panggil kawan tu sebenarnya semua tak berguna. Dengan personaliti korang berdua, mudah saja korang dapatkan mana-mana pompuan yang korang nak.” pujuk Nizam.

“Dalam dunia yang ideal, mungkin begitu. Tapi kau yang sendiri kata bahawa perempuan sekarang lebih memilih lelaki yang ada paras rupa atau harta. Kamu berdua habuk pun tarak.” balasku. Wadi tergelak. Nampaknya kemarahannya dah mereda. Syukur… selamat dompet aku…

“Kebanyakan diorang tu bodoh! Itu sebabnya orang macam aku senang dapat mangsa.” ujar Nizam. Aku berasa bahawa tidak wajar dia berkata begitu. Tapi memang banyak kali aku pernah tengok sahabatku itu memasang kekasih lebih dari seorang. Yang seronoknya mereka tahu tetapi mereka sanggup bergaduh sesama sendiri; bukannya membalun Nizam! Paling teruk ialah jenis perempuan yang sanggup menerima kembali cinta Nizam sungguhpun beberapa kali mereka ditinggalkan oleh sahabatku itu.

“Terpulang… Tapi aku nak tanya satu perkara. Nizam, kenapa kamu tak pernah mahu mengurat Adrina? Banyak kali kamu kata kamu nak mengurat dia tapi kamu tak pernah buat. Kenapa?” Pertanyaanku membuatkan Nizam terkedu. Beliau memandang ke kiri kanan seolah-olah mencari jawapan yang dia sendiri tahu tak akan ada di situ.

“Kamu memang tahu Adrina bukan jenis yang baik, kan? Naluri kamu tahu yang dia seorang yang bahaya, betul tak?” tanyaku lagi. Nizam masih terkedu, namun ekspresi wajahnya jelas mengesahkan apa yang kuperkatakan tadi.

************************************************

Lebih kurang 10.00 malam. Di bilik hostel.

“Jadi kau tetap nak pergi?” tanya Nizam. Aku mengangguk.

“Aku rasa elok kau ikut nasihat Shaleen tu. Jangan pergi.” nasihat Wadi pula. Aku menggelengkan kepala.

“Aku tetap akan pergi. Aku nak tengok dengan mata kepala sendiri perangai sebenar Adrina.” balasku.

“Lagipun strategi Adrina aku dahpun tahu. Jadi aku dah bersedia. Malah aku ada senjata yang dia tak tau.” ujarku lagi.

“Senjata? Kamu jangan Arip… nanti polis tangkap… Lagipun senjata kamu tu bukannya hebat sangat. Adalah panjangnya dalam empat inci aje.” usik Wadi. Beliau dan Nizam ketawa terbahak-bahak.

“Pundek lu, mamat! Aku tengah serius ni, kamu cakap lucah pulak, ya?” bentakku.

“Sorry.. sorry… Alaa… aku melawak je. Hah, apa senjata rahsia kau tu? Cakaplah.” pujuk Wadi sambil menepuk-nepuk bahuku.

“Mampuslah! Malas nak bercakap dengan korang lagi.” rengusku seraya melompat naik ke katil. Aku segera berbaring membelakangi mereka.

“Kau punya pasal la ni.” Leteran Nizam terhadap Wadi singgah ke telingaku.

“Apa pulak? Kau pun gelak buka main lagi tadi.” tingkah Wadi pula. Tersengguk-sengguk bahuku menahan tawa.

“Tu menangis ke ketawa?” usik Nizam. Mereka berdua kembali menderaikan tawa. Cilakak! Bukannya nak pujuk aku yang tengah tension ni. Lagi mengutuk pulak! Aku bingkas bangun.

“Aku ketawa la, bodoh!” bentakku. Tau-tau kami bertiga ketawa terbahak-bahak. Nasib baik baharu pukul sepuluh malam. Kalau tak mau bertumbuk dengan geng Kelantan kat sebelah.

***********************************************

Lebih kurang 10.20 malam. Di bilik hostel.

“Aku rasa elok kita buat beberapa perancangan terlebih dulu dalam beberapa hari ni.” saran Nizam.

“Perancangan? Macam nak berperang la pulak!” sindir Wadi.

“Memang Arip akan berperang dengan Adrina! Tambahan pulak dia akan berperang di kawasan Adrina. Senjata rahsia kau tu belum cukup. Kau mesti cukup bersedia untuk masuk ke zon perang milik Adrina.” Uih! Serius bebeno bunyi Nizam ni. Dia nak belikan aku mesingan Al Capone ke?

“Okey… bab ni aku rasa kau memang pakar. Jadi aku ikut aje apa kata kau.” ujarku.

“Bagus! Kalau begitu mari kita bersiap.” ajak Nizam.

“Bersiap? Bersiap apa?” tanyaku.

“Bersiaplah. Pakai cantik-cantik. Kau pun sama Wadi. Tapi elok juga kau pergi cuci badan dulu.” maklum Nizam yang nampaknya sempat mengusik wak Jawa itu. Ah, sudah! Nak ke mana pulak ni?

********************************************

Lebih kurang 12.24 malam. Di “Rapid Fire”.

“Apa pasal kau bawak kami ke clubbing ni?” tanyaku dengan nada kurang senang.

“Party Adrina tentu hip and happening. Kau kata kau tak selesa dengan keadaan itu. Wadi pulak tak pernah pergi. Kawan-kawan Adrina yang bukan dari kalangan batch kita pasti sosial macam dia juga. Adrina tentu nak pertontonkan kamu di depan kawan-kawan sosialnya itu. Kalau kau berperangai kekok dan tidak selesa, tentu dia seronok. Dia anggap kau ni bahan hiburan untuk kawan-kawannya. Jadi kau mesti hip and happening juga. Kau mesti tak kekok dan nampak cool di majlis Adrina. Don’t give them such pleasure!” terang Nizam dengan panjang lebar. Tak terfikir pulak aku akan hal tersebut. Tapi memang masuk akal Adrina akan berbuat begitu.

“Okey!” ujarku. Wadi turut mengangguk.

“Bagus! Kita ada beberapa hari sebelum birthday party dia. Jadi setiap malam kita mesti biasakan diri di tempat sosial macam ni.” maklum Nizam lagi.

“Kau dah biasa. Kami berdua la yang macam kera sumbang!” omelku. Kami bertiga tertawa. Tak tahulah sama ada nak berterima kasih kepada sahabatku ini sebab bersusah-payah untukku atau nak melepuk kepalanya sebab mengheret kami ke tempat maksiat ini.

“Nah sorang satu.” Terbeliak mataku melihatkan 2 keping kad kredit berwarna emas di tangan Nizam. Aku rasa Wadi pun begitu. Ni sahih supplementary card daripada mak bapak dia..

“Pelajaran pertama. Perempuan lebih suka melihat kad ini daripada muka korang.” ujar Nizam. Aku mengerutkan dahi.

“Aku tak sukalah cara kau mendefinisikan pompuan macam tu.” protesku. Yalah, mak aku dan kakak aku tu pompuan. Rasa macam Nizam turut menghina mereka. Nizam tertawa.

“Maksud aku, perempuan di tempat-tempat sebeginilah! Jangan marah, ah? Nanti kena juaaal…” usiknya. Aku menerima kad tersebut dengan berat hati.

“Korang tahu macam mana rupa tandatangan aku, kan? Baiklah. Tugasan pertama malam ini ialah… Aku nak korang menyesuaikan diri dengan keadaan sebegini dan kalau boleh cuba bersosial dengan perempuan-perempuan dalam disko ini. Kalau boleh, sesekali cuba tayang kad ini. Dari sini kita berpecah. Have fun!” Itulah kata-kata terakhir jurulatih maksiat kami sebelum beliau bergegas masuk ke dalam. Aku dan Wadi saling berpandangan. Memang kami sedia maklum akan perangai sosial Nizam yang setanding dengan Adrina. Pun begitu, beliau tak pernah membawa kami ke mari sebab hormatkan pendirian kami.

“Uih! HSBC.” komen Wadi. Aku segera merenung ke arah kad di tanganku pula.

“Aku, Citibank.” maklumku. Terjungkit kedua kening Wadi mendengarnya.

“Serius… Satu hari kita mesti culik Nizam dan mintak bapaknya wang tebusan.” gurau Wadi. Kami berdua tertawa terbahak-bahak. Seketika kemudian masing-masing terdiam sambil memandang sesama sendiri. Aku mengangkat tangan kananku dengan gaya buku lima dan diarahkan kepada Wadi.

“Let’s kick ass!” ujarku. Wadi tersenyum. Beliau mengangkat tangan kanannya dan menemukan buku limanya pada buku limaku.

“You go, girl!”

No comments: