Saturday, July 26, 2008

Emo Hero Bab 7

Emo Hero Bab 7

Seminggu kemudian…

“Mak cik brutal dah semakin pandai memasak sekarang. Dah ada rasa dah pada makanannya.” komen Wadi. Kebelakangan ini beliau begitu laju menyuap nasi lemak ke mulutnya. Ni kang mau hilang sudu ditelannya sekali. Lahap macam Abu Lahab mentedarah.

“Itulah korang. Asyik tau mengutuk aje. Buat je macam aku. Terus bagitau kat dia. Barulah dia tau nak masak ikut citarasa kita.” sindir Nizam. Aku tersengih. Mengalahkan Chef Wan pulak cara bercakapnya.

“Kau tu anak kesayangan dia. Selalu order makanan mahal-mahal. Tentulah dia nak jaga hati kau. Lagipun kau hensem. Cakap ala-ala romeo gitu. Mak cik brutal tu pompuan... walaupun ada iras Umaga. Jadi tak mustahil la dia cayer (cair) dengan pujukan kamu.” hujah Wadi pula. Masuk akal juga. Aku tergelak kecil. Namun mood ceriaku terlupus serta-merta tatkala terperasankan kelibat seseorang berdiri di hadapanku. Spontan kepalaku mendongak untuk memandang empunya wajah yang mem-V-kool pandanganku.

“Hai.” Itulah yang diucapkankannya. Sama seperti semalam. Dan dua tiga yang lepas. Kemudian si V-kool tadi terus bergegas pergi meninggalkanku. Namun kali ini beliau tiba-tiba berhenti dan berpaling kembali ke arahku.

”Oh, sorry! Saya kan tak wujud?” ujarnya seraya tersenyum nakal. Beliau kemudian kembali menyambung gegasannya (ada ke ayat macam ni?). Kami bertiga senyap-sunyi seketika. Kalau dalam filem mesti ada bunyi cengkerik.

“Huh! Dramatik sungguh!” komen Nizam. Teriak nada sinis pada tonasinya itu.

“Rip… apa yang dah jadi ni? Apa yang kau tak bagitau kami ni? Mesti ada apa-apa yang berlaku antara kau dan Adrina ni.” persoal Wadi pulak. Nizam menganggukkan kepala. Jahanam kau , Adrina! Ya, para pembaca yang budiman… si V-kool tadi adalah Adrina. Sai… Samdol Adrina.

“Woi!” sergahan Wadi terus mematikan lamunanku. Maksud aku, mematikan perbualan aku dengan para pembaca yang budiman semua. Yalah, takkan aku nak kata aku tengah mengelamun sedangkan aku tengah bersembang dengan korang, ya tak? Nampak sangat pembohongannya.

“Kau ni benci ke atau sukakan Adrina ni?” tanya Wadi dengan nada tidak berpuas hati.

“Aku bencilah kat dia, samdol!” bentakku. Hii... apasal nak berbincang macam gadis-gadis Fair & Lovely nih?

“Habis tu, mengapa dia macam feeling aje dengan engkau?” tanya Nizam. Aku terdiam. Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa. Lagipun aku tengah memasang telinga untuk mengecam bunyi radio jiran sebelah. Macam bunyi lagu ‘Aku dan Kamu’ dendangan Flop Poppy aje.

“Apa yang dah berlaku, Rip?” tanya Nizam lagi.

*************************************************

Seminggu lepas… Di jamban. (bunyi lawak pulak!)

“A… Adrina… A.. aaa….” Hanya itu saja yang mampu dituturkan oleh Rozie. Ternyata beliau benar-benar kaget hinggakan tidak tahu apa yang harus dibuat kali ini. Nisa’ pula langsung tergamam. Mukanya yang pucat lesi kelihatan seolah-olah akan pitam bila-bila masa sahaja. Ya Allah, kalau dia pitam mintak-mintak menghala ke longkang le hendaknya. Aku juga turut bungkam. Pandanganku hanya mampu terpaku ke arah renungan Adrina yang redup yang seolah-olah sedang membelai perasaanku.

”Tak apalah, Arif. Rina... Saya memang... patut pun dihina begini.” ujar Adrina. Keadaan hening seketika. Bibir mungil milik gadis yang kubenci itu mengorak senyuman. Namun ianya tampak begitu pahit dan sedih sekali. Seketika kemudian Adrina mula mengorak langkah dan berlalu melepasi kedua orang ’sahabat’ itu tanpa sedikitpun memandang ke arah mereka berdua. Namun apabila beliau berjalan hampir melepasiku, tiba-tiba langkahnya terhenti. Kini kami berdua berdiri dalam keadaan saing-menyaing. Dengan tak semena-mena lengan kananku disiku dengan lembut oleh lengan kanan Adrina. Aku spontan menoleh ke arahnya.

”Terima kasih.” ucap Adrina. Bibirnya masih mengorak senyuman. Namun kali ini ianya senyuman gembira. Dalam keadaan aku yang masih termangu-mangu Adrina terus berlari meninggalkan kami bertiga.

*********************************************

Masa sekarang.... Di kafeteria, jauh dari jamban.

“Oh… baru aku faham sekarang.” ujar Wadi setelah mendengarkan ceritaku tadi. Buat seketika kami terdiam melayani perasaan masing-masing.

“Betul tak apa yang aku buat tu?” tanyaku untuk memecah suasana.sepi.

“Hm.” jawab Nizam yang memberi makna apa yang kubuat adalah betul.

“Aku benci… cukup benci kat Adrina. Setiap kali aku bertembung dengan dia, ringan aje kaki aku nak menyepak mukanya. Tapi kenapa setiap kali pun aku buat benda yang tak sepatutnya aku buat?” tanyaku dengan emosi yang tertekan. Nizam tersenyum.

“Mudah saja. Sebabnya ialah kau manusia yang genuinely baik. Jenis macam kau dan Wadi ni memang susah nak jumpa. Adrina yang bodoh sebab tak terperasankan sifat sebenar kau. Janganlah tension sangat. Sampai bila-bila pun kau akan buat baik pada Adrina walaupun mulut kau kata kau bencikan dia.” Jawapan panjang lebar daripada Nizam membuatkan aku terkaku. Serta-merta perasaan tak berppuas hatiku pula timbul.

“Cakap kau tu salah. Aku memang genuinely bencikan Adrina. Aku bukan saja-saja cakap, tau? Korang berdua tengoklah nanti. Satu hari mesti dia makan penyepak aku.” ujarku dengan nada bengang.

**************************************************

Keesokan harinya. Di bilik kuliah. Pukul 8.40 pagi.

“Huii… awek tadi lawa betul. Budak fakulti mana gamaknya, ya? Punggung dia power, siuul! Oh yes! Itulah jenis punggung idamanku.” ujarku dengan nada teruja. Dalam perjalanan kami ke kuliah menaiki kereta Nizam tadi, kami terserempak dengan seorang penuntut perempuan yang cantik lagi seksi. Usikan kami bertiga dibalas olehnya dengan senyuman menggoda. Itu yang seronok sangat tu!

“Kau nak bentuk punggung macam tu ke? Jangan, beb! Itu punggung pompuan tu. Kita ni lelaki, tau?” usik Nizam walaupun mengetahui apa maksudku tadi. Beliau, Wadi dan beberapa orang rakanku tertawa besar.

“Kepala hotak kau!” ujarku. Namun aku turut tertawa.

“Aiseh! Lain kali aku nak follow korang la.” ujar Yuhairy pula. Kami memanggilnya sebagai Salai.

“Kau boleh ke follow? Hari-hari bangun awal nak ambik bini kau tu!” usik Wadi. Maksud beliau ialah Salai kini sudahpun mempunyai buah hati yang satu batch dengan kami.

“Tak apa. Kau pergi la ikut diorang. Aku volunteer ambik bini kau tu.” usik Noralee pula. Salai mengacungkan penumbuknya sebagai balasan. Kami semua tertawa. Boleh tahan sikap cemburu budak ni! Tiba-tiba mereka semua terdiam, dan hidungku segera dapat menangkap suatu bauan perfume yang amat kukenali. Aku segera memandang ke belakang. Sahih! Adrina sedang berdiri di belakangku.

“Hai.” tegurnya dengan senyuman ceria. Kemudian terus berpaling dan melangkah pergi. Kami semua terdiam dek tergamam dengan senario tadi.

“Apahal pulak ni? Kau dah couple balik dengan Adrina ke?” tanya Yuhairy. Aku segera menggelengkan kepala.

“Ha… kau kata nak sepak muka dia. Apasal? Kaki sakit hari ni?” sindir Wadi. Aku tergamam. Namun ianya pulih dalam sekelip mata. Berganti pula perasaan bengang kali ini. Celaka! Celaka kau, Adrina!

“Korang tunggu kejap!” ujarku dengan agak garang. Langkahku terus dihala dan dipercepatkan ke arah Adrina yang semakin menjauh.

“Adrina! Adrina! WOII!!!” laungku dengan kasar. Langkah Adrina akhirnya terhenti.

“Aku nak cakap dengan kau sikit.” ujarku dengan nada yang agak kasar. Adrina terpegun mendengarkan kata-kataku itu. Namun segera bibirnya mengorak senyuman.

“Okay. I’m all ears.” jawabnya.

“Bukan kat sini! Aku nak privacy sikit. Kita cakap dalam bilik kuliah kosong di sana.” ujarku lagi. Adrina mengangguk tanda akur. Namun beliau masih tersenyum gembira. Apahal dia ni? Baharu lepas ambil syabu ke? Segenap mata rakan-rakan yang satu batch dengaku semuanya tertumpu ke arah kami. Ah! Lantaklah! Tapi risau jugak kot-kot aku pakai seluar tak kancing zip tadi. Nanti tengok bahagian zip aku sat… Ah! Okey…

**************************************************

Di bilik kuliah yang kosong…

“Adrina! Apahal ni? Kenapa kau buat begini?” tanyaku dengan nada bengang. Adrina kelihatan agak terkejut dengan tonasi suaraku.

“Salah ke kalau saya tegur Arif?” tanyanya.

“Memang la salah! Kan aku kata aku tak mahu tengok muka kau lagi?” jawabku dengan kasar. Adrina tersenyum. Tersenyum nakal?

“Saya tak akan tegur kalau Arif tak tengok muka saya. Bila Arif tengok barulah saya tegur.” ujarnya seraya tertawa kecil. Celaka! Loyar buruk pulaaak.

“Jangan la loyar buruk pulak! Ei, kau tak tau ke yang aku cukup benci pada kau, hah?” tanyaku dengan kasar. Tak pedulilah lepas ni dia nak menangis ke, nak terjun bangunan ke…Adrina hanya tersenyum.

“Tau.” jawabnya ringkas.

“Habis tu kenapa nak tegur-tegur aku lagi?” tanyaku sambil meninggikan suara.

“Sebab Arif baik hati terhadap saya.” jawabnya seraya tersenyum. Tersenyum ceria.

“Kau ni dah gila ke, Adrina?” tanyaku. Beliau menggelengkan kepala bersama senyumannya itu.

“Arif ingat Rina tak tau ke? Arif perasan yang orang lain dah tak pedulikan Rina, kan? Arif perasan yang diorang tak anggap Rina ni wujud, kan?” tanya Rina kembali. Oro? Apa kena-mengena pertanyaannya dengan pertanyaanku tadi.

“Apa kena-mengenanya?” tanyaku.

“Hanya Arif seorang yang masih pedulikan Rina. Hanya Arif seorang yang tak mahu Rina terasa yang Rina ni tak wujud. Jadi Arif sengaja merengus, menggeleng kepala, menjeling tajam atau marahkan Rina hampir setiap hari. Arif tak mau Rina rasa tersisih, kan?” Penerangan Adrina membuatkanku benar-benar tergamam. Kali ini aku tak mampu membalasnya.

“Lebih baik kena marah setiap hari daripada dianggap tak wujud dalam dunia ni.” ujar Adrina lagi. Beliau kemudian tersenyum kepadaku buat kesekian kalinya.

“Arif memang baik. Patutlah Shaleen sanggup belot pada Rina. Kalau Rina tau… Rina pun akan khianati diri Rina sendiri.” ujarnya lagi. Aku tersentak mendengarkan kata-katanya itu. Lama kami saling bertentang mata.

“Terima kasih.” ujarnya lagi seraya membongkokkan tubuh macam gaya orang Jepun. Adrina kemudian terus melangkah keluar meninggalkanku. Meninggalkanku yang masih termangu-mangu. Bagaimana?... Mustahil…

Bagaimana dia tahu akan niatku itu? Mustahil…

- Bersambung -

No comments: