Friday, July 25, 2008

Zero Hero Bab 1

Bab 1


"Wadi! Hoi Wadi! Bangun la... Nanti kita lambat ke kelas!"

Malaun betul si Aswadi ni. Tengoklah tu. Makin aku kejutkan makin kemas pulak dia menggulung badan. Dah macam tenggiling seludup rupanya. Lama lagi buat begitu mau gamaknya keluar duri-duri landak dari badan. Entah apa la nasib aku dapat kawan sebilik yang kuat membuta macam dia ni. Tengoklah tu… siap berdengkur balik. Tu dia! Kentut pulak tu!

"Lantak kaulah! Aku nak mandi dulu. Jangan lengah-lengah lagi, tau?" ujarku dengan suara yang lantang. Aku agak, satu blok boleh mendengar lolongan aku. Cuma si malaun ni saja yang kalis bunyi. Buktinya : tidak walau sebatang jarinya pun yang menguit sebagai respons, walaupun jari tengah sahaja. Gasaklah. Yang aku tahu cuma satu : lebih baik dia bangun bila aku dah selesai mandi waj… eh… mandi biasa normal tanpa sebarang niat junub (hehehee…). Tanpa bertangguh, aku terus mencapai tuala yang hampir dua bulan tak berbasuh dan berus gigi yang aku dapat percuma bila membeli Colgate - tujuh bulan nan lalu!

Air shower di hostel sememangnya sejuk. Tapi kotor. Leceh betul. Pertama kali aku disirami air kuning hostel ini setahun nan lalu, habis naik ruam satu badan. Tak pasal-pasal kena sumbat ke wad sebab disyaki kena denggi. Mak aku meraung dek ingatkan nyawa aku dah sampai ke penghujung. Bapak aku pulak beria-ria minta umat sekampung bersolat hajat agar aku selamat. Aib betul… Tapi itulah dia bukti kasih sayang ibu dan ayahku yang tiada batasannya. Sekarang ni badan aku dah mangli dengan air karat ni. Entah gamaknya kalau sepuluh tahun lagi mandi air karat ni mau kalis peluru badan aku!

Sekejap saja aku mandi. Tapi lama la sikit daripada P. Ramlee dalam cerita Seniman Bujang Lapok. Bagi aku, orang lelaki yang sejati dan macho mana boleh mandi lama-lama. Nanti jadi pelik pulak. Sepelik orang perempuan mandi sekejap.

"Laa... tak bangun lagi si Wadi ni," rungutku dengan nada geram. Wadi masih mengekalkan posisi Chanel No. 5 tadi. Mulalah aku meradang. Rasa macam nak masak rendang. Nampaknya terpaksalah aku mempraktikkan hikmat "Raungan Alam Barzakh" seperti selalu. Senyap-senyap aku capai tuala Wadi yang kusam lagi bertahi lalat di atas meja belajarnya. Ih! Hapaknya bau… macam tuala aku juga! Tualanya yang seumur dengan tualaku dalam kategori tak berbasuh kulemparkan kepadanya sambil aku menjerit macam langsuir ternampak kumpulan Seekers. Helahku menjadi. Wadi terus bingkas bangun tatkala tubuhnya terkena tuala yang disertai dengan jeritan death metal aku tadi. Mata buntangnya terbelalak bak pungguk merindukan bulan. Tapi kalau direnung-renungkan kembali, sebenarnya macam pungguk mati tercekik putik kelapa.

"Apalah kau ni… Lain kali kejutkanlah aku elok-elok!" ujar Wadi dengan agak keras. Amboi, tadi aku melaung macam Tarzan pun kau tak peduli. Inikan pulak nak kejut elok-elok? Nak aku hantar tepak sirih junjung dengan kacip pinang gamaknya barulah dia nak bangun. Mungkin ada dua tiga rangkap pantun… eh! Apa kejadah yang aku fikirkan ni?!!

"Cepatlah mandi, Wadi! Nanti kita lambat ke kelas!" desakku. Wadi menoleh ke arah jam mejanya yang entah dipakai dari zaman bapak dia mengaji dulu agaknya. Kemudian beliau merenung kembali ke arahku dengan riak tidak berpuas hati.

"Baru pukul lapan. Apalah kau ni." rungutnya lantas terus mengerekot kembali di atas tilam. Budak ini! Setiap pagi asyik saja nak menaikkan darah aku.

"Kalau kau tak sudah mandi bila aku dah bersiap, kau jalan kaki sajalah ke bilik kuliah!" bentakku keras. Wadi kembali bangun. Kemudian dia terus menuju ke bilik mandi. Sambil tu mulutnya terkumat-kamit tanpa sebarang suara. Menghamun aku la tu. Gasaklah! Kau nak menghamun ke, berjampi serapah mandrem ke... yang penting kau bangun.

********************************************************

"Kan aku dah kata kita awal lagi!" rengus Wadi tatkala kami sampai ke Fakulti Undang-Undang Universiti Sultan Azlan Shah (UNISAS). Aku menjeling ke arah jam tanganku. Baru pukul 8.16 pagi. Kelas kami akan bermula pada jam sembilan.

"Habis, kau tak mahu makan dulu ke? Aku kan ada gastrik!" balasku. Wadi menganggukkan kepala tanda mengalah. Kami berbondong-bondong menuju ke arah kafeteria yang terletak lebih kurang 17 langkah gajah dari bilik kuliah. Tatkala sampai di sana, aku nampak lebih kurang sepuluh orang penuntut yang tengah beratur untuk mengambil makanan. Biasalah, sendiri layan diri sendiri.

"Huh, tak ada menu lain ke? Asyik menu yang samaaaa saja. Menyesal aku muda-muda dulu tak belajar memasak dengan mak aku." rungut Wadi. Mak cik pemilik kafeteria yang berdiri tak jauh dari kami mula menjeling. Tapi bukanlah pandang-pandang jeling-jeling macam Siti Nurhaliza tu. Ini jeling berserta dengan aura bunuh sekali ni!

"Ooo... Sekarang kau dah tua la, ya? Patut la lembap sangat nak bangun pagi," tempelakku. Wadi tergelak. Aku pun begitu juga. Begitulah cara kami bersahabat. Memang mulut jenis tak ada polisi insurans kemalangan diri langsung. Al-maklumlah, bakal nak jadi lawyer!

Setelah memilih makanan (selalunya yang termurah) kami pun sibuk pula mencari meja yang kosong. Mujurlah juga aku memaksa Wadi untuk datang awal pada hari ini. Banyak lagi meja kosong yang tiada bersisa makanan. Betullah bak kata atukku : The early bird gets the worm. Kalau Karam Walia Singh pulak : Bagaikan koko yang terbiar di bulan Ramadhan; apakan daya siapa nak makan. Karam Singh melaporkan dari bilik berita TV3.

Sedang aku begitu asyik menyiat popiah goreng dengan gigi, bahuku terasa dicuit mesra. Chewah! Macam teman tapi mesra pulak! Tapi yang lecehnya bukan si Mulan bermuka Indon kacukan Belanda di sisi aku. Tapi si Wadi yang bemuka Melayu kacukan Jawa la pulak!

"Apahal?" tanyaku. Teman tapi tak mesra. Kasar kertas pasir lagi.

"Tu," jawab Wadi seraya memuncungkan mulutnya ke arah Barat Daya. Longitud 120 darjah dan Latitud 35 darjah. Macam betul! Aku kelentong aje la! Hahaha! Aku pun berpaling ke arah ‘muncungan' Wadi.

"Adrina..." Itu aje la yang aku mampu katakan. Tau-tau saja suara hati aku memainkan lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia nyanyian Jeslina Hashim. Kira setiap kali aku ternampak kelibat dia memang lagu itulah bergema di dalam sanubari. Kira salah satu runut bunyi (soundtrack) dalam cerita ini la...

"Dah mula dah," komen Wadi. Aku buat-buat tak mendengar akan sindirannya. Tumpuan dan perhatianku seratus peratus kepada gadis yang baru sahaja datang ke kafeteria. Saidatul Adrina : Dialah gadis yang tercantik di Fakulti Undang-Undang dan paling popular sekali. Aku kira lelaki di UNISAS (Universiti Sultan Azlan Shah) yang nak mengorat dia jauh lebih ramai dari barisan penuntut yang sedang menunggu untuk mengambil makanan di kafeteria ni. Aku pun salah seorang yang diam-diam menyimpan perasaan terhadapnya. Walaupun kami satu batch, aku tak pernah walau sekali menegur atau bercakap dengannya. Apatah lagi nak mengajaknya berjanji temu. Entah apalah malangnya nasibku yang tak pernah disatukan dengan Adrina di dalam setiap group assignment. Tak apalah, bagiku asalkan Adrina menghadiahkan senyuman walau sekali kepadaku pun sudah memadai. Taklah aku mati celik.

Tiba-tiba Adrina menoleh ke arahku. Buat julung-julung kalinya! Aku yang begitu terkejut dengan perbuatannya itu spontan menundukkan muka. Setelah beberapa ketika aku mendongak ke arahnya balik. Alamak! Dia masih memandang aku! Tunduk balik! Tunduk balik! Alert! Alert! Dive-Dive-Dive! Kenapa pulak la dia masih memandangku? Aku nak pandang muka kau la Adrina... pi la pandang tempat lain! Okey, dua puluh harakat dah berlalu. Sahih dia dah pandang ke tempat lain. Angkat kepala perlahan-lahan. Satu-dua... lapan lagi...

Dia masih pandang ke arah aku! Nanti sekejap. Mustahil dia tengah merenung aku. Tentu ada pemuda kacak ala Dr. Syed Muszaphar harapan bangsa dan negara mana yang si Adrina tengah renungi di belakang aku ini. Aku pun menoleh ke belakang. Tak ada sesiapa di belakang aku. Cuma meja kosong sahaja. Lalat cuma ada tiga ekor. Aku kembali menoleh ke arah Adrina. Kali ni Adrina tersenyum. Matanya masih terkunci ke arahku. Pada masa itu aku berasakan bahawa masa seolah-olah sedang terhenti. Atau mungkin juga aku yang tergamam tak menguit sebab terpana dengan senyuman gadis idamanku.

Kalaulah masa pada saat dan ketika ini boleh dihentikan selama-lamanya…

Aku sedar bahawa masa tak mungkin boleh dihentikan selama-lamanya walaupun aku berharap begitu (lagipun minggu depan ada ujian!). Namur sekurang-kurangnya aku tak akan mati celik nanti pun kira dah cukup baik...

No comments: