Sunday, October 30, 2011

Nota Kepala 30/10/2011


Akhirnya tamatlah Episod 2 cerita MetroPolis…

Aku memohon maaf kerana lewat menyiapkan bab 32 ini. Terlalu banyak hal dan komitmen pada bulan Oktober ini. Pun begitu aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada kalian yang masih setia dengan MetroPolis ini.

MetroPolis Episod 3 akan mengakhiri trilogi cerita pelikku ini. Namun sebelum itu, aku akan merehatkan dahulu episod itu. Aku nak buat cerita lain dulu sebagai ’filler’ sebab nak merangsangkan mindaku. Cerita ringan aje. Tapi harapnya korang boleh layan.

Bersama anda semua kuharapkan kesejahteraan :)

MetroPolis Episod 2 - Bab 32 (Akhir)

MetroPolis Episod 2

Bab 32

Maharaja Pemancung Angin

(Episod Akhir)


Seminggu kemudian di Balai Metropolis...


“Saya tak sangka awak mengenali Emissary Mayhem, Enbi.” Kata-kata daripada Ren Fairuz membuatkan Enbi tersenyum lebar. Perasaan bangga sedikit menyelinap ke dalam hatinya.


“Memang benar, Ren! Abang ngah mengenali Emissary Mayhem semasa insiden pertarungan Kak Catherine dengan penjahat-penjahat kumpulan Don. Abang ngah beritahu Emissary Mayhem yang merawat kecederaan parah Kak Catherine. Kedua-dua tangannya bercahaya dan mengeluarkan arus elektrik. Nyawa Kak Catherine berjaya diselamatkan oleh pendekar terhebat Organisasi itu.” maklum Nazrul yang nampaknya turut berasa teruja dan bangga. Teruja dan bangga kerana dapat bertemu dengan orang yang amat penting dan terkenal di dunia.


“Agaknya arus elektrik yang dialirkannya mampu merangsang serta mendesak sel-sel dalam tubuh Cik Catherine untuk penyembuhan yang amat pantas. Tubuh kita mempunyai arus elektron tersendiri yang mana dijanakan oleh otak kita untuk pelbagai fungsi. Boleh jadi Maharaja Mayhem membantu untuk mereplika elektron-elektron tersebut dalam perkadaran berjuta kali ganda. Tapi itu cuma suatu teori sahaja. Tak tahulah sama ada benar atau tidak kerana tubuh badan manusia sememangnya suatu misteri yang amat menakjubkan.” taakul Red Wigwam yang sememangnya seorang pemegang PhD dalam bidang kimia. Yang lain-lain kelihatan mengangguk-angguk tanda faham. Bagaimanapun jelas di wajah mereka seribu kekeliruan bersarang di minda.


“Kalau begitu, sememangnya Emissary Mayhem layak menjadi pendekar nombor satu dalam Organisasi tersebut. Namun beliau juga adalah manusia seperti kita, Nazrul. Akhirnya Allah jualah yang menyelamatkan nyawa Catherine dan menyembuhnnya.” tegur Ren Fairuz dengan sopan. Nazrul menganggukkan kepala kali ini. Nampaknya beliau enggan merosakkan suasana yang mengujakan ini dengan pertengkaran yang sia-sia. Malah Ren Fairuz juga menegurnya dengan baik dan serius.


“Cuma aku berasa peliklah. Kenapa Maharaja Mayhem menolong kita sekali lagi di Putrajaya? Nampak seperti suatu kebetulan tetapi aku berasa ragu-ragu.” maklum Nicol Hanany pula.


“Menolong kalian di Putrajaya?” tanya Ghanshamdass. Nicol mengangguk.


“Selepas Maharaja Mayhem beredar, kami menyerbu masuk untuk melihat keadaan Perdana Menteri. Beliau selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun beliau lebih menyibuk tentang hal kami memohon permit senjata api daripada insiden kemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai di kediamannya. Malah dua hari selepas insiden itu, wakil Kemneterian Dalam Negeri datang menghantar sendiri permit-permit senjata api kepada kami di balai MetroPolis. Nampaknya Maharaja Mayhem sememangnya datang ke sana bukan semata-mata untuk urusan rasmi Organisasi sahaja. Beliau juga datang untuk membantu kita.” perjelas Nicol.


“Bukan! Bukan untuk membantu kita. Tuan Mayhem datang untuk membantu Enbi.” tingkah Remy dengan serius. Wajahnya yang agak keruh dan muram itu dihalakan tepat ke arah majikannya. Ternyata begitu banyak kebimbangan yang bertampuk di sanubari beliau.


“Apa pula! Aku tak kenal langsung dengan Maharaja Mayhem. Itulah kali kedua aku bertemu dengannya bila kita tiba di Kediaman Rasmi Perdana Menteri. Pada kali pertama ketika beliau menyelamatkan Cat, aku langsung tak tahu dia itu siapa. ” maklum Enbi dengan agak tegas kerana semua mata mengarah kepadanya kini.


“Penglibatan Organisasi dalam MetroPolis benar-benar membimbangkanku. Kita mungkin akan mendapat lebih ramai musuh yang hebat dan dahsyat selepas ini.” maklum Remy.


“Haha! Tak adalah! Ini mungkin berlaku sekali sahaja. Tak mungkin Organisasi berminat dengan watak kecil seperti kita.” tingkah Enbi.


“Kalau adapun, cuma kau sahajalah sebagai bekas anggota Organisasi.” sokong Nazrul pula.


“Yakah begitu?” tanya Remy dengan nada masih ragu-ragu. Matanya tepat terarah kepada Enbi yang kelihatan agak gelisah. Kemudian beliau memandang pula ke arah Ren Fairuz yang ralik menyedut air kotak di sebelah Enbi.


“Tak kisahlah! Yang pentingnya kita semua mendapat permit senjata api tersebut. Termasuk kau sekali, Enbi!” ujar Nicol.


“Ha-ah! Bodoh betul mereka ini. Aku tak mengisi pun borang permohonan. Mereka bagi juga!” omel Enbi.


“Rezeki kaulah itu, Enbi!” balas Nicol pula.


“Aku tak akan menggunakan dan membawa senjata api walau apapun.” maklum Enbi akan pendiriannya.


“Terawez pun dapat permit juga. Dia itu pakar dalam seni mempertahankan diri termasuk bermain senjata. Dia tak perlu pun menggunakan senjata api.” maklum Ghanshamdass.


“Namun encik Terawez nampak gementar sahaja semenjak balik daripada Putrajaya.” komen Red Wigwam. Hari ini adalah giliran Terawez menjaga Catherine di hospital. Jadi beliau tiada di dalam perbincangan tersebut.


“Orang seperti aku dan Terawez mampu mengesan kekuatan seseorang pendekar melalui aura yang terpancar di tubuhnya. Letusan aura daripada Emissary Mayhem sememangnya amat dahsyat dan menakutkan. Tak hairanlah kalau beliau masih berasa gementar sehingga sekarang.” maklum Remy.


“Hah! Cat pun sama macam kamu berdua. Dulu beliau pernah dapat mengesan aura bunuh yang amat hebat sehingga dia jatuh sakit. Namun kami tak berjaya bertemu dengan pemilik aura tersebut. Yang ada cuma ustaz Ren sahaja bersama kami.” Enbi menceritakan pengalamannya bersama Catherine tidak lama dahulu.


“Wah! Hari ini kalian semua agak santai sahaja.” tegur Donald yang baharu sahaja muncul di hadapan balai. Bersama beliau adalah Daryll yang seperti biasa mempamerkan wajah dinginnya. Mereka semua bersalam-salaman.


“Donald! Terima kasih kerana beberapa kali datang melawat Cat.” ucap Nazrul.


“Ah! Itu hal kecil sahaja. Kita semua kan berkawan baik?” balas Donald berbasa-basi.


“Kau nak buat laporankah, Donald?” tanya Enbi. Donald menggelengkan kepala.


“Aku telah mengarahkan anak-anak buahku untuk mengesan penjahat-penjahat yang telah mencederakan cik Catherine. Ini sahajalah yang termampu kami buat untuk membantu kalian.” maklum Donald.


“Terima kasih, Donald. Kamu ini telah banyak membantu kami untuk mencegah jenayah di Ipoh. Kamu memang seorang sahabat baik dan boleh diharapkan.” ucap Enbi. Donald tersenyum. Namun senyumannya dinodai dengan kepahitan dan perasaan bersalah. Ren Fairuz merenung lama reaksi Donald seolah-olah mengetahui apa yang bermain di sanubarinya.


“Sudah lama aku tidak menjengah cik Catherine. Beliau masih berada di hospital lagikan?” tanya Donald untuk cepat-cepat menyembunyikan perasaan sebenar beliau. Enbi menganggukkan kepala.


“Beliau masih belum sedar dari komanya, Donald.” jawab Enbi dengan nada suram.


“Jangan bimbang, Enbi. Cik Catherine pasti akan sedar tak lama lagi. Aku akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya.” maklum Donald seraya menepuk-nepuk bahu kanan Enbi.


“Terima kasih Donald. Kami pun mendoakan begitu juga untuknya.” maklum Enbi.


******************************


Beberapa jam kemudian...


“Jangan datang lagi, tak guna!” teriak Nazrul. Beliau cukup geram kerana Ren Fairuz mengambil kesempatan di atas kebaikan Enbi untuk menghabiskan tujuh kotak air minuman di dalam peti sejuk.


“Kedekut!” kutuk Ren Fairuz yang perlahan-lahan menuruni tangga balai. Beliau begitu puas kerana Enbi membenarkannya minum air kotak sebanyak mana yang termampu. Sungguhpun Nazrul memprotes, adik Enbi itu tidak mampu berbuat apa-apa selain tidak habis-habis mengomel. Donald dan Daryll telah lama pulang ke pusat komuniti. Ternyata hari ini hari untuk melepak dan bersantai bagi anggota MetroPolis.


“Hoi ustaz penjarah! Awan dah semakin mendung dan menebal di langit. Tak lama lagi akan hujan. Wajarkah kamu nak pulang sekarang?” tanya Nazrul pula. Ternyata beliau masih bimbangkan akan rakan sepergaduhannya itu. Ren Fairuz tertawa.


“Tak apalah, Nazrul. Nanti makin banyak pula air kotak yang saya habiskan.” balas imam muda tersebut.


“Apa kata kalau aku menghantarmu pulang dengan kereta?” pelawa Nazrul. Ren Fairuz tersenyum seraya menggelengkan kepala.


“Saya dah banyak menyusahkan kalian. Tak mengapa, saya akan balik dengan berjalan kaki sahaja. Bukannya jauhpun.” balas Ren Fairuz.


“Lepaklah sekejap lagi, ustaz. Minumlah lagi air kotak yang berlambak di dalam peti sejuk. Ada hal pentingkah di masjid tu?” pelawa Enbi pula yang baharu sahaja muncul dari dapur.


“Ya, saya perlu bertemu dengan seseorang. Nanti dia marah pula kalau saya memungkiri janji.” Ren Fairuz menolak pelawaan Enbi dengan sopan.


“Ini memang perkara yang ajaib lagi mengejutkan! Ustaz penjarah air kotak menolak tawaran minum air kotak tanpa batasan! Alhamdulillah! Kau berjaya melawan nafsumu, Ren!” perli Nazrul seraya ketawa berdekah-dekah. Enbi dan Ghanshamdass yang berada di situ turut ketawa. Remy yang sedang membaca buku elektronik pula hanya tersenyum kecil. Matanya kemudian menjeling seketika ke arah Ren Fairuz. Imam muda itu pula mencebik lantas mengacukan kipas lipatnya ke arah Nazrul.


“Sekurang-kurangnya pakailah payung ini.” saran Enbi yang kini mendekati imam muda tersebut tersebut. Payung di tangan terus dihulurkan. Ren Fairuz menerimanya dengan senang hati. Sempat pula beliau membelek-belek payung tersebut.


“Ada gambar burung.” komennya. Enbi mengangguk.


“Cat yang menghadiahkan kepadaku. Dia kata itu adalah burung lagenda bergelar Garuda. Kononnya sekali sahaja Garuda mengibaskan sayapnya, habis satu kota musnah dilanda angin taufan hasil dari kibasan sayap tersebut.” maklum Enbi.


“Hebatnya!” puji Ren Fairuz.


“Maharaja Pemancung Angin lagi hebat.” tingkah Remy pula. Kesemua yang berada di situ termasuk Ren Fairuz mengalihkan pandangan kepadanya. Remy buat-buat tidak tahu sahaja dengan matanya yang masih tertancap pada buku elektronik tadi.


“Terima kasih, Enbi.” ucap Ren Fairuz dengan nada riang.


********************************


Beberapa minit kemudian...


“Menyesal aku tak terima pelawaan Enbi dan Nazrul.” fikir Ren Fairuz dalam hatinya. Perjalanannya kini dihurungi oleh jutaan titisan hujan yang renyai lagi berkabus.


“Tak mengapalah. Alhamdulillah juga kerana dua-tiga hari ini asyik panas merembang.” fikirnya pula. Lagipun payung yang diberikan oleh Enbi mampu mengelakkan Ren daripada basah kuyup. Masjid tempatnya menginap kini hanya beberapa belas meter sahaja di hadapan. Mata Ren Fairuz tiba-tiba terfokus pada sesosok tubuh yang sedang berdiri berdekatan tangga masjid. Orang tersebut yang juga berpayung sedang membelakanginya.


“Agaknya dia.” fikir Ren seraya mempercepatkan langkah untuk sampai ke destinasi.


“Assalamu’alaikum warahmatullah.” sapa Ren dengan agak kuat untuk melawan bunyi desiran hujan sebaik sahaja berada beberapa meter dari jarak orang tersebut. Orang tersebut segera berpaling ke belakang. Bibirnya mengukir senyuman gembira lagi teruja. Namun tidak bagi Ren Fairuz. Wajah ceria dan pandirnya langsung hilang dan berganti dengan wajah yang agak serius.


“Wa’alaikumussalam warahmatullah.” balas orang tersebut. Agak lama juga mereka berdiri mengadap antara satu sama lain di dalam gerimis hujan tersebut.


“Mayhem...” Akhirnya Ren Fairuz bersuara. Bibirnya masih enggan melakar walau sedikitpun senyuman. Sebaliknya senyuman yang terlakar di bibir lawan sembangnya itu semakin melebar. Orang yang menunggu Ren Fairuz tidak lain tidak bukan adalah Zoei Bukhory atau Emissary Mayhem.


“Windblade..” balas Zoei Bukhory pula akhirnya.


- Tamat Episod 2 -