Bab 6
"Tu dia... Senyum sampai nak cecah lubang telinga!"
Sindiran berslanga Jawa Wadi itu tadi segera mengembalikan aku ke alam nyata. Laa... kaki aku dah jejak ke bilik rupanya. Aku spontan memfokuskan pandangan. Hmm... mamat bermulut celupar ni masih belum tidur nampaknya. Tengah main Doom 3D pulak tu. Kalau ada notebook yang cantik lagi mahal tu maknanya Nizam pun ada bertandang ke bilikku. Tapi di manakah Nizam?
"Mana Nizam?" tanyaku. Mataku masih meliar memandang sekeliling. Macam Inspektor Sahab nak cari penjahat pulak.
"I'm here honey!" tiba-tiba satu suara separuh memekik berkumandang di belakangku. Aku ingat mau jantungku terhenti 2-3 saat dibuatnya. Spontan aku berpaling ke belakang. Memang sah si Nizam. Selamba aje dia memakai seluar pendek tanpa berbaju. Di tangan kanannya tergenggam erat koleh besi yang berasap. Hidungku segera menangkap bau Maggi perisa kari.
"Apasal kau ambik Maggi aku tanpa kebenaran? Badigol!" ujarku dengan agak kasar. Saja la buat garang sikit. Bebudak lelaki di dorm aku ni macam Yakjuj Makjuj. Main sebat aje apa yang ada di depan mata diorang. Kalau tak buat muka bengis macam tuan director Ahmad Nisfu, alamat kena pijak-pijak la kepala berfitrah korang.
"Ala... aku lamaaaa tunggu kau tadi. Perut aku lapar la," jawab Nizam dengan gaya merengek dibuat-buat. Matanya pun buat macam mata anak anjing mintak makan. Piiirah mabuk! Dengan perempuan boleh la cair. Tapi aku memang bercadang nak pinjam notebook dia nanti. Nak main Doom 3D la, apalagi?
"Okeylah! Kau punya pasal," ujarku tanda mengalah. Nizam terlonjak-lonjak kecil tanda gembira. Aku memerhatikan saja sahsiahnya dengan gelengan kepala. Entah apa la yang membuatkan beliau digilai oleh perempuan, aku pun tak tau. Perangai langsung tak matang. Kalau aku ni perempuan, jangan kata nak layan dia... kentut pun aku tak bagi cium.
"Aku terbau makanan FREE!" Tiba-tiba saja seorang lagi badigol muncul di jenang pintu bilikku. Nama mamat tersebut ialah Ahmad Syahimi. Kami panggil dia Atoi aje. Budak ni memang gila komik Manga dan Anime. Sanggup subscribe Streamyx untuk download cerita kartun Jepun guna perisian Torrent 24 jam non-stop. Sekarang dah jadi tokeh VCD dan DVD haram la pulak. Dia buat bisnes jual kartun-kartun Jepun tu secara kecil-kecilan. Aku dan Wadi suka beli cerita Hentai (versi ‘biru' kartun Jepun) daripadanya. Loaded budak ni. Handphone tak main la... Dia pakai PDA yang punya la canggih sampaikan boleh buat lecturer pun tersipu-sipu malu. Tu semua hasil bisnes haram dia la. Patutlah industri perisian cetak rompak ni tak mau mampus. Memang lubuk emas tempat tu.
"Boleh blah! Pergi kedai beli sendiri dan masak sendiri," ujar Nizam dengan nada keras. Walaupun si Bujang Senang orang luar tetapi oleh sebab dia selalu setinggan di bilikku, dia pun dah tau undang-undang rimba di dorm aku ni. Atoi cuma mampu menggaru-garu belakang kepalanya sambil tersengih.
"Ada cerita baru tak?" tanya Wadi yang matanya masih tertancap di monitor LCD notebook. Uih! Dah sampai ke stage situ rupanya mamat ni. Walaupun agak buta IT, tapi bab game ni, memang Wadi cukup berbakat. Apa jenis game pun dengan sekejap cuma dia akan dapat menguasainya. Dialah orang pertama yang berjaya menghabiskan Need For Speed 4 walaupun dah berbulan aku dan Nizam main sebelum memperkenalkan game tu kepadanya. Berlinangan air mata kami berdua tanda tak puas hati!
"Yelek!" ujar Atoi sebelum menghilangkan diri. Itu sahih pergi mencari mangsa lain. Memang macam dubuk Afrika betui. Nizam yang bagaikan singa yang enggan berkongsi buruannya terhanguk-hangguk menyedut mi Maggi ke mulutnya dengan ekspresi puas hati. Heran betul aku. Duit berkepuk-kepuk di dalam poket tapi masih nak mentedarah Maggi aku. Aku anak orang miskin ni selalu berangan-angan nak makan lamb chop setiap malam kalau jadi kaya. Tapi si Bujang Senang ni sibuk nak mencekik makanan orang miskin setiap malam.
"Kau ke mana tadi sebenarnya, Rip?" tanya Nizam sambil mengunyah. Wadi yang membelakangi kami berpaling sedikit tanda memasang telinga juga.
"Aku ke kafeteria la. Kamu semua ke mana? Tak nampak pun..." ujarku dengan nada kurang berpuas hati. Yelah, tinggalkan aku begitu je. Mulalah nak merajuk tu!
"Kami ke kafe B. Jenuh kami kejut. Tapi kau tidur mati. Rugi tau? Banyak aweeeek..." cerita Nizam dengan nada teruja. Hostel B memang 80 peratus warganya siswazah perempuan. Jadi biasalah kalau kafeterianya juga penuh sesak sebab student daripada hostel lain pun sibuk nak melantak di situ. Nak melantak sambil cuci matalah dikatakan...
"Si Bujang Senang ni tak pasal-pasal dapat 3 nombor telefon dari 3 orang perempuan. Aku yang duduk di sebelah ni macam tak wujud aje," Wadi tiba-tiba bersuara. Aku dan Nizam ketawa terbahak-bahak. Tapi itulah hakikatnya. Kalau Nizam ada kat sebelah, memang kami ni macam watak picisan aje. Dulu kecik hati juga. Tapi sekarang dah imun dah. Malah kadang-kala kami yang menyamar jadi Nizam untuk mengayat awek-awek yang tak tau malu tu. Syok woo... dapat mempermainkan perasaan perempuan cantik.
"Eleh, awek golongan marhain aje. Bolayan la..." ujar Nizam. Aku tau dia cuma nak menyedapkan perasaan aku dan Wadi aje. Mesti tiga orang awek yang cantik. Kalau setakat perempuan muka macam batu nisan lama tu, diorang pun tak berani la nak rapat dengan diva seperti Nizam ni. Samalah macam kes aku dengan Adrina. Selama setahun aku hanya mampu memerhatikannya daripada jauh, sedangkan punya ramai mamat yang hensem saban waktu cuba memikatnya. Sampai sekarang aku tak pernah tengok spesis mediocre macam aku ni berani nak merapati bidadari macam Adrina.
"Ooo... Eksyen ya makan dengan awek. Aku pun makan dengan awek jugak. Adrina lagi tu... dengan kawan-kawan dia lagi tu..." ujar aku dengan nada bangga bercampur teruja. Yalah, aku bukannya macam Nizam yang begitu senang dapat dating dengan perempuan cantik. Entah inilah kali pertama dan terakhir Allah bagi aku peluang sebegitu rupa. Lepas ni silap gaya asyik makan dengan jantan sampai mati.
"Dengan Adrina? Cilakak kau! Betul ke ni?" tanya Nizam bertalu-talu. Punya la dia terkejut dan teruja sehinggakan terbangun duduknya di katil busuk Wadi dan terus bertinggung di hadapanku. Wadi segera menghentikan permainannya dan berpusing menghadap aku. Aku tersenyum gembira sambil menganggukkan kepala.
"Waah! Sial kau! Tahniah Rip! Ceritalah kat kami," desak Nizam. Wadi pun juga mendesakku bertalu-talu. Sebenarnya aku sebagai lelaki bukan suka bercerita secara terpeinci macam orang perempuan. Aku rasa Wadi dan Nizam juga begitu. Tapi oleh kerana isunya membabitkan Adrina, maka aku pun begitu seronok bercerita kepada mereka dengan sungguh terpeinci. Macam perawi hadis pulak.
Sambil aku bercerita, aku sempat melihat riak wajah sahabatku yang berdua itu. Kegembiran yang terpapar di wajah mereka adalah sangat ikhlas. Ketika itu juga aku mengetahui bahawa pilihan aku untuk menjadikan mereka sebagai sahabatku adalah tepat. Seronoknya hidupku di saat ini!
No comments:
Post a Comment