Friday, July 5, 2019


Pazuzu (Syaitan Purba) - Versi Promosi

Bab 1

“Tahniah, Jeri.”
Itulah antara ucapan serta pujian yang singgah di telinga pemuda yang kini memasuki semester kedua bagi tahun pertama Fakulti Undang-undang, Universiti Darul Ridzuan. Lebih bermakna lagi kerana IPTA tempat dia belajar itu adalah antara universiti terbaik di ASEAN.
Mata Jeri tertumpu ke arah Solehin, rakan sekuliahnya. Dengan senyuman kambing, beliau menggegaskan diri untuk mendekati pemuda tersebut. Sebaik sahaja terperasankan kelibat Jeri, Solehin mempamerkan senyuman tawar tanda lupusnya angin baik beliau tadi.
“Assalamua’laikum, Jeri.”
Jeri tidak menjawab. Sebaliknya, mengangkat kedua-dua belah keningnya seolah-olah menyakat rakannya itu. “Berapa CGPA kau?” 
Pertanyaan Jeri ternyata mengundang perasaan kurang selesa Solehin yang tadi sedang berbual-bual dengan beberapa orang rakan.
“Biasa-biasa saja, Jeri.”
“Berapa? Berapa yang biasa-biasa tu? Dua poin berapa?” Air muka Solehin berubah.
 “Tiga poin tujuh lima.”
“Bagus. Bagus. Boleh tahan. Tak sia-sia kau bangun setiap malam untuk sembahyang dan berdoa. Kalau aku buat macam kau, barangkali aku boleh dapat four flat dan bukannya tiga poin sembilan lapan.”
Kata-kata Jeri berupa sindiran. Buat seketika, mereka berbalas pandangan tajam.
“Hei, Jeri! Wah, tiga poin sembilan lapan. Awesome!”
Kempunan Solehin mahu membalas sindiran Jeri tatkala mereka dihampiri Selena, rakan sekuliah mereka juga. Selena sempat menembi bahu Jeri beberapa kali.
“Sakitlah, Selena! Tentu kau dapat teruk,” usik Jeri yang kembali mengundang penembi yang berikutnya.
“Aku dapat tiga poin dua saja.” Selena mencebik. Kemudian, pandangannya terarah pada Solehin pula. “Assalamua’laikum, Solehin. Awak dapat berapa?”
Solehin terbungkam seketika mendengar pertanyaan lunak itu. Dia menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. “Err, tiga poin tujuh lima saja.”
“Wah, hebat betul awak ni!”
Tersipu-sipu Solehin dibuatnya.
Eleh, I’m better than him.” Ada nada tidak puas hati dalam suara Jeri. 
“Itu bukan jaminan kejayaan sebenar,” tingkah Selena, seolah-olah membela Solehin.
Oi, Selena. Janganlah nak bela dia sangat. Dia bukan hargai pun. Orang seksi macam kau ni pada pandangan Solehin dan kawan-kawannya ialah ahli neraka, tau!” bidas Jeri.
“Betulkah macam tu, Solehin?” Nada suara Selena separuh curiga, separuh kecewa. Pandangannya terarah tepat kepada rakannya itu untuk mencari kepastian.
“Mana ada! Tak pernah saya cakap atau anggap macam tu! Demi Allah!”
“Huh! Kau memanglah tak cakap. Tapi daripada pandangan kau tu pun dah cukup untuk kami baca isi hati kau. Kau memang pandang Selena dengan pandangan jelek, bukan?” Jeri yang enggan mengalah terus membuat provokasi.
“Mana ada! Saya hanya pandang Selena dengan pandangan suka. Bukan jelek!”
Baru Solehin menyedari ketelanjuran kata-katanya. Air mukanya berubah. Pemuda itu segera mengalihkan wajah ke tempat lain. Selena turut bungkam buat seketika.
“Saya lega dan gembira sebab awak pandang saya macam tu, Solehin.”
Wajah Selena merah padma. Jeri yang baru menyedari perkara tersirat yang sedang berlaku di antara kedua-dua rakan sekuliahnya itu meriakkan air muka terkejut.
“Biar betul!”
Ulasan Jeri mati di situ kerana lengan kirinya telah pun dipaut dan digegaskan oleh Selena untuk meninggalkan tempat tersebut.
***

“Solehin, saya minta maaf.”
Pandangan Dr. Nazihah masih tertancap ke arah Solehin yang sedang tunduk. Tidak pasti sama ada penuntutnya itu berasa teramat kecewa atau malu.
“Mengapa sampai nak dibubarkan, doktor?”
“Persatuan Tabligh yang awak tubuhkan dua semester lepas sebenarnya memang baik. Pihak universiti sebelum ini menyokong penuh sebab kami nampak nilai-nilai positif yang akan dibawa oleh persatuan sebegini kelak.
“Tapi yang tak bagusnya ialah ahli-ahli persatuan. Melainkan awak, ahli yang lain semuanya merosot dengan teruk dalam pencapaian akademik. Mereka melebihkan urusan persatuan daripada tujuan sebenar iaitu menimba ilmu dan menjadi penuntut yang cemerlang. Pihak universiti sebelum ini dah berikan peringatan dan amaran kepada mereka. Tapi awak pun tahu kesudahannya, bukan?”
Solehin mengangguk lemah. Hujah-hujah yang dikemukakan oleh ketua bahagian hal-ehwal pelajar sememangnya tidak dapat disangkal langsung.
“Saya akan maklumkan kepada semua ahli tentang cadangan pembubaran persatuan kami. Terima kasih, doktor, sebab jaga air muka persatuan dengan bagi peluang untuk kami sendiri yang bubarkan persatuan.”
Dr. Nazihah mengangguk.
“Kalaulah semua ahli lain cemerlang dalam akademik macam awak, bukan saja nama persatuan jadi harum tetapi imej agama kita juga menjadi hebat. Tapi sekarang agama Islam yang jadi busuk kerana kecuaian kalian.”
Bait-bait hujah Dr. Nazihah bagaikan sembilu yang menusuk ke hati Solehin. Namun itulah hakikatnya pada situasi sekarang walaupun tersangat pahit.
***

 “Solehin! Solehin!”
“Nak apa?” Solehin bernada tidak mesra sambil memandang Jeri.
“Betul ke Persatuan Tabligh dah ta-bleh wujud lagi?”
“Kenapa kau benci sangat dengan Islam, Jeri?” Agak tinggi nada suara Solehin.
Jeri tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia merenung wajah rakan sekuliahnya itu lama-lama. Seolah-olah untuk mengecapi nikmat kerana berjaya membuatkan Solehin marah. Sekonyong-konyong, Selena muncul.
“Hai, Jeri! Assalamua’laikum, Solehin.”
Bicara Selena mati tatkala perasan akan perseteruan yang mula berbahang antara mereka berdua. Dia mengambil keputusan untuk diam dan hanya terpacak di situ. Moga-moga konfrontasi tersebut segera berlalu.
“Aku tak bencikan Islam. Aku bencikan mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan diri. Kecuali kau, kawan-kawan dalam persatuan kau tu, semuanya pemalas dan bodoh. Jadi untuk tutup kelemahan-kelemahan itu, mereka gunakan agama. Maka orang lain tak berani nak kritik mereka. Kononnya seolah-olah mengutuk agama sebab mereka buat kerja-kerja untuk Tuhan.”
Solehin bungkam.
“Samalah juga dengan kebanyakan agamawan sekarang. Mereka gunakan agama untuk jadikan pengikut mereka bodoh dan taksub. Tak fikir perkara lain seperti mencari ilmu dan kecemerlangan untuk mengatasi penganut agama lain. Kalian bukannya buat kerja Tuhan. Kalian buat untuk kepentingan diri. Dasar penunggang agama!”
Selena ke hadapan, menolak perlahan tubuh Jeri untuk menjarakkannya daripada Solehin. Bimbang kalau-kalau berlakunya pergaduhan.
“Jeri, please. Stop it. You’ve crossed the line, man.” Selena bertegas sungguhpun nada suaranya masih lembut.
“Sedarlah, Solehin. Agama itu candu. Hanya [LA2] loser yang nak tutup kelemahan diri perlukan dadah untuk berasa hebat. Itulah agama.” tempelak Jeri.
“Habis, orang macam aku kau nak kira macam mana?”
Jeri tergamam. Solehin adalah seorang yang cemerlang dalam agama, akademik dan akhlak. Pertanyaan itu ternyata menikam nurani Jeri. Kali ini, dia hanya mampu melakarkan senyuman sebelum melangkah pergi.
Phew. That’s a good one, Solehin. Saya ingatkan awak betul-betul nak bagi peninju ke muka Jeri tadi.” puji Selena.
Solehin senyum. Namun, kepahitan jelas tersulam pada senyumannya itu. “Memang nasib baik. Terima kasih sebab selamatkan keadaan, Selena.”
Kedua-dua kening Selena terangkat tatkala mendengarkan bait-bait kata tersebut.
“Oh, jadi awak memang nak tumbuk dialah, ya?”
Solehin ketawa kecil. “Memang tadi saya rasa nak buat begitu.”
“Awak boleh kena gantung satu semester, tau!”
Di Universiti Darul Ridzuan, sememangnya undang-undangnya adalah sebegitu tegas demi menjaga keharmonian dan reputasi institusi berprestij tersebut.
“Itu sebabnya saya ucapkan terima kasih.”
Hmm! Terima kasih mana cukup! Bukan boleh dibuat makan. Awak kena belanja saya makan petang ini. Boleh?” desak Selena dengan nada usikan. Namun jelas dengan niat yang penuh pengharapan pada persetujuan.
“Ma ... makan petang?” Solehin tergagap-gagap.
Hmm, yalah. Kenapa? Awak takut orang tengok awak makan dengan perempuan freehair dan seksi macam saya ke?”
Eh, taklah! Saya bukan orang macam itu, Selena.”
“Habis, kenapa Solehin keberatan?”
“Bukan keberatan. Saya … saya sebenarnya segan.” Perlahan sahaja jawapan Solehin.
Selena tersentak. Kalau difikirkan, pemuda warak ini memang sangat jarang berbual dengan perempuan walaupun rakan sekuliah.
“Okey, alasan yang munasabah. Tapi awak kena belanja saya makan petang ini juga. Saya tak kira!” ujar Selena dengan nada tegas yang dibuat-buat. Senyuman terlakar manis pada bibir.
“Okey, okey. Saya belanja. Tapi sekejap lagi nak masuk waktu Asar. Bagi saya solat di surau sekejap, ya?”
Selena diam seketika. Kemudian, dia senyum dan mengangguk sopan. Matanya mengekori sosok Solehin yang tergocoh-gocoh sedangkan senyuman masih menguntum. Malah semakin melebar.

 [