Saturday, July 26, 2008

Emo Hero Bab 8

Emo Hero Bab 8

Keesokan hari… di kafeteria sebelum kuliah bermula.

“Hui! Boleh pulak kau isap rokok separuh dan lepas tu padamkan?” Pertanyaan Onjay segera mengembalikan diriku ke dunia realiti. Aku melontarkan pandanganku ke arah seorang lagi rakanku yang kami gelar sebagai Kudom yang sedang dengan berhati-hati menggetel-getel rokoknya ke lantai untuk menghapuskan saki-baki bara api. Hii… kotor hitam la lantai tu. Cuba kalau aku gentel bara rokok tu kat ubun-ubun kepala kau… baru tau!

“Nak jimat, bro. Rokok sekarang main batang-batang pun dah mahal.” keluh Kudom. Kemudian beliau memasukkan rokok tersebut ke dalam poket kemejanya. Ni kalau ada bara lagi ni, mau melecup puting tetek kau ni, Kudom.

“Habis tu tak usahlah merokok lagi. Berhenti je la.” saran Hafizi. Kami memanggilnya sebagai Bunut. Bukan buntut, tau? Dia berasal dari Bunut Susu, Kelantan. Bunut kemudian tertawa kecil. Nampak sangat la dia memberikan saranan tak ikhlas. Saja nak mengusik la tu. Kudom hanya menyeringai sebagai balasan. Dia pun menyedari akan niat Bunut dan malas nak melayan. Aku juga separuh hati sahaja melayani perbualan kosong tersebut. Pandanganku lebih terjurus ke arah sekumpulan penuntut junior spesis gadis yang sedang galak ketawa. Hii… boleh tahan gedik santai diorang. Agaknya zaman sekarang kebanyakan pompuan macam ni dah perangainya. Yang jenis lemah-lembut, cakap pun suara cuma enam poin lima decibel dan wajah pasrah ayu-ayu gitu cuma dalam drama sinetron aje la nampaknya. Hah! Haa… nasib baik tak tersembam ke longkang. Itulah… gelak sampai tak ingat diri.

“Kau pulak mengapa panjang sangat menung tu, Jam?” tanya Onjay. Nizam yang sedang menikmati sedutan rokoknya spontan memandang ke arah Onjay. Kemudian tersenyum tawar.

“Tak ada apa-apa. Aku letih.” Ringkas saja jawapannya. Aku memfokuskan pandanganku kepada Nizam pula. Ternyata beliau sedang termenung tadi. Namun aku sebagai sahabat sesumpah kung-funya telahpun mengetahui apa yang berlaku. Beginilah perangai Nizam setiap kali beliau memutuskan hubungan cinta dengan gadis-gadis yang telah ‘ditaklukinya’. Masa silamnya membuatkan beliau cukup membenci kaum hawa. Tetapi dalam masa yang sama beliau pasti akan dirundung perasaan bersalah setiap kali menganiayai mereka. Aii… kenapalah orang-orang yang aku kenali kebanyakannya otak senget? Nizam membenci perempuan dan suka mempermainkan cinta mereka. Shaleen pulak jadi lesbian sebab pernah dirogol. Adrina pulak cukup seronok bila dapat menganiayai lelaki yang suci mulus macam aku ni. Atoi… Atoi tu tak dapek nak aku menolong. Aku ingat 3 tahun lagi sahih dia akan makan tidur dalam penjara. Hmm… baru aku terfikir…. Wadi ni dah pergi ke mana ni?

************************************************

Semasa kuliah...

Aduuii… assignment lagi. Kenapa semua lecturer sekarang ni rajin bagi assignment banyak-banyak? Aku ingat kat sekolah aje yang ada benda-benda gini. Dalam cerita filem Melayu dan Bollywood, semua pelajar kolej bergembira, nyanyi-nyanyi, menari ramai-ramai untuk mengorat gadis. Kadang-kadang dekan yang bernama Mr. Malhotra pun turut menari-nari dengan ketua jabatan, seorang anak dara tua yang dulu belajar di US. Cinta pun terbibit masa menari-nari dan menyanyi tu. Bila dah graduate, tau-tau dah berkahwin dengan gadis yang dicintai dan ada rumah agam sebijik. Bahagianya kalau ada kolej macam itu.

Dalam keadaan tersengih-sengih melayani anganku, entah kenapa kedua bijik mataku begitu gatal memandang ke arah kumpulan penuntut perempuan yang duduk di sebelah kanan kami. Dan seperti yang kau orang agak, akhirnya pandanganku bertembung dengan pandangan insan yang paling tak ingin kupandang. Namun mataku tetap terkunci pada pandangannya. Dan beliau juga pasti sedang merenungku seolah-olah seperti tau aku akan memandang ke arahnya. Atau mungkin dia memang asyik memandang ke arahku dari tadi? Boleh jadi juga… Apapun, pandanganku dan Adrina terkunci sesama sendiri buat beberapa ketika.

Tiba-tiba Adrina menghadiahkan senyuman. Senyuman menyindir. Sebenarnya mungkin dia tersenyum ikhlas tapi biasa la kalau dah jadi musuh tu, korek hidung pun dah akan disalah anggap sebagai mengajak bertumbuk. Aku segera mengerutkan kening tanda bengang. Kalau Ziana Zain tengok pun mau bulu romanya meremang. Dan spontan aku mengacukan penumbukku ke arahnya.

“Saudara Arif! Kenapa acu penumbuk tu? Saudara nak bergaduh dengan siapa?” tegur Prof. Maulud, pensyarahku yang mana segera mematikan pancaran semangat membunuhku (lebih-lebih la pulaaak). Alamak! Tindakan semboronoku kini telah menyulitkan diriku sendiri! Aku cuma mampu memandang ke arah pensyarahku itu seraya menggeleng-gelengkan kepala.

“Saudara… keganasan takkan dapat menyelesaikan apa-apa. Ia akan lebih mencetuskan dendam demi dendam yang tak berkesudahan…” Cecehan pensyarahku berterusan menyesakkan koklea. Aku tetap menggelengkan kepala. Rakan-rakanku jangan cakaplah. Semuanya ketawa. Nizam dan Wadi makin lebih-lebih lagi la sebab diorang tau apa dah jadi. Celaka godemit budak berdua tu! Siap la nanti aku palit taik idung dalam mee Cintan korang! Aku sempat pula menoleh kembali ke arah Adrina. Curious nak tau akan reaksinya. Adrina yang sedang memandangku tersenyum seraya membuat isyarat tubuh “Saya tak tau. Jangan salahkan saya. Arif yang cari susah sendiri. Saya cuma tengah mempertimbangkan sama ada nak terima tawaran filem lucah atau tak.”

Err… Ayat yang akhir tu aku saja buat untuk menambah perisa…

***********************************************

Lepas kuliah… di bilik hostel.

“Kau nak ke mana?” tanya Nizam sambil meniup-niup mee segera tatkala melihat aku mencapai topi keledar. Aiseh! Aku lupa nak palit taik idung…

“Aku nak pergi Kedai Serbaneka. Roti benggali dan Vico dah habis.” ujarku.

“Belikan aku rokok, boleh?” tanya Nizam. Aku mengangguk. Nizam segera menghulurkan not sepuluh-sepuluh kepadaku.

“Kau ni nak beli rokok ke atau cerut Montecristo ni?” perliku.

“Yang lebih tu kau beli mee segera la. Ganti la balik sebab aku dan Wadi je yang asyik makan.” ujar Nizam. Aku tersengih.

“Tau tak apa, kata Farah Fauzana.” ujarku seraya tertawa. Nizam turut tertawa.

“Eh? Wadi kat mana hah?” tanyaku tiba-tiba. Baharu aku perasan sahabat Jawaku tu daripada tadi tak ada kat bilik. Kalau tidak bukan main riuh lagi. Ada aje isu Janji Diananya. Kain pelikat tak berlipat lepas pinjamlah… CD Hetty Koes Endang hilanglah…

“Aku pun tak tau. Dia sekarang selalu tak lekat di biliklah…” jawab Nizam sambil merungut.

********************************************

Di Kedai Serbaneka.

Tatkala aku sedang membayar harga rokok dan sedozen mee segera di kaunter, tiba-tiba bahuku dicuit. Aku segera berpaling.

Alamak… dia lagi…

“Banyaknya Maggi. Tak elok untuk kesihatan, tau?” ujar Adrina dengan senyuman mesra alam flora. Ei, suka hati akulah. Kalau aku nak dapat nasihat pasal kesihatan, aku boleh tengok Medik TV la… Tak payah nak dengar nasihat ala juri AF daripada engkau, tau?

“Hm.” jawabku. Sebenarnya tak tergamak aku nak berkata begitu kepadanya. Kata-kata Adrina bahawa dia lebih rela dimarahi dari tidak dipedulikan masih terngiang-ngiang dalam cepu memoriku.

“Uii… rokok? Arif merokok? Sejak bila merokok?” tanya Adrina lagi. Banyak tanya macam Nas Ahmad rambut ketak-ketak pulaaak. Aku terjah muka kamu dengan selipar Asadi aku ni kang baru tau…

“Nizam punya.” jawabku dengan acuh tak acuh. Sebaik saja menerima pembayaran dari Kak Balqis, juruwang kedai Serbaneka tersebut, aku segera melangkah untuk pergi. Aku seboleh-bolehnya tak mahu berada di tempat yang sama dengan Adrina.

“Nice chatting with you!” teriak Adrina setelah beberapa langkah aku meninggalkannya. That’s it! Aku dah tahan dengan minah ni… Aku segera berpatah balik dan hanya menghentikan derap langkahku apabila berada betul-betul di hadapannya.

“Adrina… Tolonglah… Janganlah kacau aku lagi. Aku sedaya-upaya cuba tak memaki engkau ni, tau?” ujarku dengan nada selunak mungkin. Adrina nampak terkejut. Namun beliau masih mampu tersenyum.

“I really meant what I said just now. Hari ni, inilah detiknya Rina bersembang dengan seseorang. Sebelum ni langsung tak ada sesiapa nak bercakap dengan Rina.” ujarnya dengan lembut. Namun calitan rasa sedihnya jelas terpapar pada bait-bait katanya tadi. Aku sekali lagi bungkam. Sama seperti insiden semalam. Namun kali ini Adrina tidak berganjak ke mana-mana. Matanya masih terpaku pada renunganku. Aku akhirnya memecahkan suasana dengan keluhan berat.

“Baju kamu ni cantik.” Tiba-tiba aku bersuara. Aku ni memang teruk… bukan saja aku tak bergembira dengan nasib buruk yang menimpa musuhku, malah sedaya-upaya cuba menggembirakan hatinya. Memang betullah kata-kata Nizam… Adrina tergamam. Bibirnya bergerak-gerak seolah-olah cuba mengatakan sesuatu. Namun tiada sebarang kata-kata yang mampu diluahkan.

“Itulah baru ‘nice chat’ namanya, tau? Samdol…” ujarku sebelum kembali melangkah meninggalkannya.

“Arif! Thanks!” teriak Adrina lagi. Namun aku enggan berhenti mahupun berpaling. Dari tonasi suara Adrina, aku tau yang air matanya sedang beruraian keluar. Aku tak mahu melihatnya. Aku tak sanggup…

Aii… Aku ni memang… tak tau nak kata apa…

- Bersambung -

1 comment:

Anonymous said...

aii.. aku ni memang hensem...