Sunday, April 17, 2011

MetroPolis 2 - Bab 22

MetroPolis Episod 2

Bab 22

Permulaan Huru-Hara

Emiriyah Arab Bersatu, 360 kilometer dari Dubai. Tiga hari kemudian...

Ruang udara di kawasan tersebut kini telahpun dipenuhi oleh pesawat udara perang pelbagai kelas milik pertubuhan Masonik. Dua belas daripadanya adalah pesawat udara perang kelas pengangkut. Panjangnya hampir mencecah satu kilometer manakala lebarnya pula adalah hampir seluas dua buah padang bolasepak. Pesawat tersebut dilengkapi dengan sistem persenjataan berat dan mampu mempertahankan diri sendiri tanpa sebarang bantuan. Ianya juga mampu membawa lapan puluh buah pesawat udara kelas pejuang dan bantuan serta menampung tiga ratus empat puluh tujuh orang krew yang amat terlatih. Pesawat ini juga boleh digunakan sebagai sokongan bahanapi bagi pesawat udara atau jet pejuang yang lain.

Bersama-sama dua belas buah pesawat tersebut adalah tujuh belas buah pesawat udara kelas penyerang. Ianya hanya satu perempat besar dari pesawat udara kelas pengangkut, namun pesawat ini pula dilengkapi sistem persenjataan yang lebih berat dan canggih. Ianya mampu membawa lapan puluh krew terlatih serta tiga belas pesawat udara pejuang dan bantuan. Sasaran pesawat-pesawat perang Masonik ini adalah kubu pertahanan yang sedang dibina oleh Organisasi. Namun kali ini mereka ditentang dengan begitu hebat sekali oleh ratusan pesawat perang kelas sederhana milik musuh. Pesawat udara perang kelas sederhana milik Organisasi adalah lebih kecil dari pesawat udara perang kelas yang serupa milik tentera Masonik. Akan tetapi jumlahnya yang begitu banyak telah menyukarkan kelancaran strategi serangan pihak Masonik. Rupa-rupanya pihak Organisasi telah sengaja mengundurkan pesawat-pesawat perangnya dari Amerika Sakit ke kubu Emiriyah Arab Bersatu. Mereka dapat mengagak bahawa kubu yang sedang dibina itu akan menjadi sasaran seterusnya. Dengan itu kekuatan tentera Organisasi telah meningkat secara mendadak dan berjaya menyekat serangan lawannya.

Ratusan pesawat pejuang dan bantuan yang lebih kecil milik kedua belah pihak juga bersimpang-siur di udara mewarnai suasana pertempuran. Pertempuran sengit telah masuk hari ke dua puluh tujuh namun tiada tanda-tanda kekuatan Organisasi akan menyurut. Malah tiga orang pendekar Emissary telah tiba untuk menyertai peperangan semakin menyulitkan misi serangan tersebut. Sebanyak tiga puluh sembilan orang Grandmaster yang merupakan pendekar elit pertubuhan Masonik dikerah untuk membereskan ketiga-tiga Emissary tersebut. Namun mereka telah menemui kegagalan. Tidak seperti di Amerika Sakit, ketiga-tiga pendekar Emissary tersebut memiliki kuasa elemen bumi. Ia adalah suatu kelebihan yang sangat besar di kawasan tandus dan berpadang pasir ini. Malah ketiga-tiga Emissary tersebut telah menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan. Ianya amat berkesan untuk menghadapi pendekar Grandmaster yang menyerang secara beramai-ramai. Seorang Grandmaster hanya mempunyai kemampuan setakat enam puluh peratus dari kekuatan seorang pendekar Emissary. Jadi di Amerika Sakit mereka telah berjaya membunuh pendekar Emissary dengan cara beramai-ramai menyerangnya.

Akan tetapi apabila ketiga-tiga pendekar Emissary ini membentuk satu pasukan, taktik serangan pendekar Grandmaster tidak lagi menjadi berkesan. Malah serangan serta pertahanan pasukan pendekar Emissary adalah amat sempurna serta tiada mempunyai sebarang kelemahan. Ramai pendekar Grandmaster dan bala tentera ‘tidak mati’ milik Masonik telah berjaya dihapuskan sebaik sahaja ketiga-tiganya menyertai peperangan.

“Jeneral! Kami baru sahaja mendapat laporan bahawa Grandmaster Weishaupt dan Grandmaster Disney telah dibunuh oleh pendekar-pendekar Emissary keparat tersebut. Grandmaster Theodor pula mengalami kecederaan yang amat parah dan kini dalam unit rawatan rapi.” lapor anak buah Jeneral Dalone yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin pasukan serangan tersebut. Jeneral Dalone yang ditempatkan dalam pesawat udara kelas pengangkut Rothschild mengeluh berat. Beliau yang juga merupakan seorang pendekar Grandmaster mula berasa gentar dengan penentangan yang ditunjukkan oleh bala tentera Organisasi. Kini tujuh belas orang pendekar Grandmaster telah berjaya dibunuh oleh ketiga-tiga orang Emissary tersebut. Beliau gagal mengenalpasti identiti para pendekar Emissary tersebut tetapi mereka telah membuatkan hatinya diselubungi kebimbangan.

“Jeneral! Ada berlaku sedikit perkara yang pelik di luar sana.” maklum seorang lagi pegawainya. Jeneral Dalone memberikan isyarat untuk anak buahnya itu meneruskan laporan.

“Suhu di luar telah menurun dengan begitu mendadak sekali. Kalau mengikut bacaan termometer, ianya kini bersuhu 16 Darjah selsius.” sambung pegawai tersebut.

“Enam belas Darjah selsius?” ujar Jeneral Dalone kepada dirinya sendiri. Beliau menjengah ke tingkap kokpit bilik kawalan. Keadaan di luar adalah begitu terik sekali dengan pancaran matahari yang terang-benderang.

“Berundur! Arahkan semua unit termasuk para pendekar Grandmaster berundur sekarang! Kita mesti mengumpulkan kekuatan semula dan merangka strategi yang baru. Kita akan menunggu kumpulan kedua tiba dalam beberapa hari lagi sebelum menyerang kembali.” Begitulah arahan yang paling sesuai buat masa ini diberikan oleh pemimpin yang amat berpengalaman tersebut. Jeneral Dalone tidak mahu mempertaruhkan nyawa pasukan tenteranya sebelum dapat menaksir kekuatan sebenar bala tentera Organisasi dan menyelaesaikan misteri yang berlaku. Beberapa minit kemudian, pesawat-pesawat pejuang milik Masonik mulai berpatah balik ke induk mereka. Seperti yang diduga, kesemua pesawat pejuang milik Oragnisasi juga berbuat perkara yang sama. Antara perkara yang dikagumi oleh Jeneral Dalone ialah tentera-tentera Organisasi tidak akan terus menyerang jika mereka mendapati musuh-musuh mereka enggan meneruskan pertempuran. Ianya semacam suatu kod etika dan maruah orang-orang Islam.

“Je.. Jeneral! Lihat itu!” Pekikan salah seorang juruterbang di bahagian kawalan segera mematikan lamunan Jereal Dalone. Beliau mengangkat muka untuk melihat skrin besar di hadapan. Seorang tentera Organisasi sedang tegak berdiri di atas Rothschild. Kehadirannya di situ langsung gagal disedari oleh sesiapa sehinggalah sekarang. Lelaki itu mempunyai ketinggian hampir tujuh kaki dan berpakaian serba hijau gelap. Mukanya amat bersih dan tampan tetapi nampak terlalu muram. Pandangan matanya juga amat tajam dan bersinar-sinar seolah-olah diselubungi dengan api kemarahan. Buat beberapa minit seterusnya lelaki itu hanya tegak berdiri tanpa berbuat sesuatu.

“Jeneral, pengesan kita mendapati lelaki itu bukannya salah seorang pendekar-pendekar Emissary keparat tersebut. Namun saya mengesyaki beliau adalah pendekar Emissary juga. Saya telahpun menghalakan meriam-meriam penangkis ke arahnya. Kita akan mula menembak setelah laras meriam-meriam tersebut menjadi sejuk. Lima orang pendekar Grandmaster juga kini sedang bergerak menuju ke arahnya.” lapor salah seorang pegawai di bahagian kawalan pesawat Rothschild tersebut.

“Dia memang nak mampus agaknya!” tempelak salah seorang pegawai yang lain. Pesawat kelas pengangkut tersebut berupaya untuk menahan serangan terkuat pendekar Emissary. Jadi adalah tidak wajar untuk lelaki ini datang menyerang berseorangan. Jeneral Dalone tiba-tiba terperasankan lencana di kolar baju lelaki tersebut. Ianya berbentuk logo seekor burung berwarna emas kemerah-merahan.

“Itu lambang burung legenda Phoenix! Leftenan Herzl, cepat bedil lelaki tersebut. Beliau ialah Emissary Drakulon atau Maharaja Ular Bara Merah!” pekik Jeneral Dalone memberikan arahan.

“Mustahil! Bacaan menunjukkan laras dan enjin kesemua meriam menjadi semakin panas. Sistem enggan menerima arahan untuk menembak, tuan!” maklum Leftenan Herzl.

“Arahkan para Grandmaster untuk menyerangnya sekarang juga!” arah Jenaral Dalone pula.

“Tuan Jeneral! Bacaan di bahagian enjin menunjukkan peningkatan suhu yang luar biasa. Sistem penyejukan sedang di tahap maksimum sekarang!” pekik seorang pegawai lain memberi makluman. Jeneral Dalone yang kini berwajah panik sempat melihat kembali lelaki yang dikenali sebagai Emissary Drakulon; salah seorang pendekar Emissary bertaraf Maharaja.

Di luar kelima-lima orang pendekar Grandmaster mula menyerbu ke arah Emissary Drakulon dengan keazaman yang kuat untuk menghapuskannya. Sungguhpun berada pada paras ketinggian hampir lima ribu kaki, mereka semua tiada masalah untuk bertempur habis-habisan dengan musuh mereka.

“Qul lillazhi nakafaruu satagh labuuna. Wa thuh syaruuna ilaa Jahannam. Wabik salmihaad*” ucap Emissary Drakulon. Matanya tertancap tajam ke arah kelima-lima lawannya. Tiba-tiba tubuh kelima-lima pendekar Grandmaster tersebut terbakar dengan amat marak dan meletup. Mereka mati serta-merta sebelum sempat mendekati Maharaja Ular Bara Merah tersebut. Jeneral Dalone yang sedang memerhatikan peristiwa tersebut di kaca skrin gergasi terlopong besar mulutnya. Baharulah beliau menyedari jurang perbezaan di antara kekuatan mereka dengan salah seorang pendekar terkuat di Organisasi.

“Tuan Jeneral! Kepanasan enjin Rothschild meningkat empat kali ganda dari tahap selamat. Ia akan...” Belum sempat pegawainya menghabiskan bait kata, seluruh bilik kawalan bergegar dan bergoncang dengan kuat hingga habis jatuh terpontang-panting orang-orang yang berada di dalamnya. Bilik kawalan tiba-tiba dilimpahi dengan cahaya merah dan bunyi siren amaran.

“Tuan Jeneral! Kita akan terhempas! Apa yang patut kita buat? Tuan! Tuan Jeneral!” pekikan Leftenan Herzl tidak lagi diendahkan oleh Jeneral Dalone. Tubuhku kaku dan fikirannya buntu.

Sementara itu pesawat Rothschild mula menyenget dan perlahan-lahan menjunam ke bumi. Begitu jugalah perihalnya dengan pesawat-pesawat udara pelbagai kelas yang lain. Ledakan-ledakan di bahagian enjin pesawat-pesawat tersebut bergerutupan bagaikan pesta mercun besar-besaran. Namun Emissary Drakulon masih tidak berganjak dari tempat beliau berdiri tadi. Kini tubuhnya terapung-apung pula di udara sebagai bukti keupayaan serta kekuatannya. Sinar matanya masih setajam tadi. Di hadapan Maharaja Ular Bara Merah itu kesemua pesawat udara pelbagai kelas milik Masonik mula menjunam ke bumi seperti daun-daun kering yang berguguran.

* Katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman itu : kamu akan kalah dan akan dikumpulkan dalam neraka Jahannam. Dan itulah tempat yang seburuk-buruknya (Ali-Imran ayat 12)

**********************************

Sementara itu di Ipoh, Perak. Pada waktu yang sama...

“Filem tadi memang seronok!” Enbi hanya mencebik melihatkan sikap teruja Catherine. Sahabatnya itu beria-iya mengajaknya untuk menonton filem bertemakan komedi romantik. Malangnya ia gagal mencakup minat serta selera Enbi.

“Enbi tak sukalah tu!” komen Catherine setelah dilihatnya air muka sahabatnya itu.

“Agaknya aku ini semakin meningkat umur. Itulah sebabnya cerita seperti itu gagal menarik minatku.” ujar Enbi untuk mengambil hati Catherine.

“Enbi bukannya tua lagi. Malah kahwin pun belum.” tingkah Catherine. Enbi tertawa. Disusuli pula oleh tawa gadis manis tersebut.

“Entahlah, Cat. Aku seperti tiada masa untuk itu.” ujar Enbi. Buat seketika mereka masing-masing mendiamkan diri. Langkah Enbi dan Catherine beriringan menghala ke tempat parkir.

“Bagaimana dengan bercinta? Takkanlah tak pernah jatuh cinta?” tanya Catherine pula. Enbi menelengkan kepala untuk memandang sahabatnya itu seketika.

“Aku pernah jatuh cinta.” ujar Enbi. Langkah Catherine mati serta-merta. Enbi turut berhenti. Catherine meneliti air muka Enbi untuk melihat kalau-kalau beliau hanya bergurau.

“Enbi pernah jatuh cinta? Ini perkara yang sangat besar. Perlu masuk dalam berita nasional.” gurau Catherine. Enbi tertawa seraya mengacukan penumbuknya ke arah Catherine. Gadis manis tersebut turut ketawa. Namun emosinya kini bergolak dengan perasaan cemburu.

“Siapakah perempuan yang malang itu?” usik Catherine. Tawa Enbi semakin menggalak. Buat seketika mereka terkekeh-kekeh ketawa tanpa mempedulikan orang sekeliling. Sekali-sekala Enbi menolak Catherine hingga terhoyong-hayang gadis tersebut jadinya. Catherine pula membalas dengan beberapa sepakan ke kaki Enbi. Keadaan kedua sahabat itu amat akrab dan mesra sekali.

*********************************

Pada masa yang sama, di Lapangan Terbang Antarabangsa Tok Kenali di Rawang...

“Selamat datang ke Malaysia, Encik Bukhory” sapa pemuda yang ditugaskan menjaga kaunter paspot pada malam ini. Lelaki yang ditegurnya itu tersenyum. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Zoei Bukhory atau lebih dikenali sebagai Emissary Mayhem. Beliau kemudian memandang ke sekeliling. Suasana di bahagian balai berlepas agak hiruk-pikuk sekarang. Pasukan SPMB yang lengkap bersenjata begitu ramai sekali menunggu dan mundar-mandir di sana-sini.

“Kenapa agak kecoh sekali di sini? Ada orang membuat panggilan bomkah?” tanya Zoei. Pemuda yang menjaga kaunter tersebut tertawa kecil seraya menggelengkan kepala.

“Bukan, tuan. Pihak Syarikat Polis Malaysia Berhad memberitahu kami kononnya wakil Organisasi yang bergelar Emissary Mayhem telah memohon paspot dan sepatutnya tiba di Malaysia pada malam ini. Tetapi sampai sekarang mereka gagal menjumpainya.” maklum pemuda tersebut.

“Oh, patutlah gambar Emissary Mayhem disiarkan oleh skrin hologram di merata-rata tempat.” ujar Zoei. Pemuda tersebut mengangguk. Namun entah mengapa beliau gagal mengecam lelaki di hadapannya itu sebagai Emissary Mayhem sungguhpun Zoei tidak langsung menyamar. Begitu juga orang-orang yang sedang mencarinya. Wajah pada skrin hologram itu adalah sama dengan raut wajahnya itu sekarang. Namun mereka seolah-olah tidak langsung mengenali Zoei.

“Baiklah. Terima kasih encik... Arqam?” ujar Zoei sambil meneliti tag nama pemuda tersebut. Pemuda tersebut tersenyum.

“Ya, bapa saya yang memberikan nama ini. Menurutnya ini adalah nama salah seorang sahabat nabi Muhammad. Dia mengambil risiko dengan membenarkan nabi dan para sahabat lain menggunakan rumahnya untuk tujuan mengembangkan agama Islam.” maklum Arqam.

“Alhamdulillah. Itu adalah nama yang sangat baik. Semoga awak juga menjadi semulia Arqam sahabat nabi Muhammad.” ujar Zoei dengan iringan kata-kata doa. Arqam tersenyum dan mengangguk laju tanda gembira. Zoei terus meninggal kaunter tersebut dan menuju ke arah salah seorang anggota SPMB yang kelihatan sedang marah-marah. Beliau dengan lunak menepuk bahu kanan lelaki tersebut.

“Bagaimana? Sudahkan awak menjumpai Mayhem?” tanyanya dengan ramah. Polis tersebut kelihatan agak gugup seraya memberikan tabik hormat.

“Maaf, tuan. Kami masih belum menjumpainya.” jawabnya dengan suara bergetar. Zoei tersenyum seraya menepuk-nepuk bahunya lagi.

“Tak mengapa. Teruskan usaha awak dengan ikhlas dan santun.” nasihat Zoei. Beliau terus meninggalkan polis tersebut yang kelihatan agak lega. Namun seperti tadi, mereka semua gagal mengecamnya.

*******************************

Pada masa yang sama di perkarangan panggung wayang…

“Aduh! Aduh! Apa ni, Cat?” omel Enbi yang kini dicubit oleh Catherine. Lengan kanannya terasa ngilu sekali.

“Baik Enbi beritahu siapakah perempuan itu.” Ancam Catherine dengan nada bergurau. Namun cengkaman cubitnya masih utuh di lengan sahabatnya itu.

“Ahah! Kau cemburu, ya Cat?” tanya Enbi dengan nada menduga. Kemudian beliau mengaduh lagi apabila Catherine makin menguatkan cubitannya.

“Saya mahu memberikan amaran kepada perempuan itu tentang perangai kedekut dan berkira Enbi. Jangan dia nanti menyesal di kemudian hari.” pertikai Catherine seraya ketawa. Enbi turut ketawa.

“Dia dah tahulah, Cat. Tapi dia tak kisah.” maklum Enbi. Catherine mengendurkan cengkamannya.

“Hm! Nampaknya dia dibutakan oleh cinta.” komen gadis manis tersebut. Cubitannya dileraikan. Enbi mengangguk.

“Itu sebabnya aku enggan memberitahunya tentang perasaanku kepadanya.” maklum Enbi pula.

“Dia tak tahu Enbi menyimpan perasaan terhadapnya?” tanya Catherine dengan nada yang agak gembira. Namun emosi cemburu mula menguasai dirinya kemudian. Enbi mengangguk.

“Kenapa Enbi enggan memberitahunya?” tanya Catherine pula. Nada desakan jelas dizahirkan pada tonasi suaranya.

“Aku bersahabat dengannya semenjak kecil lagi. Kalau kami bercinta dan kemudian putus di tengah jalan, aku akan kehilangan sahabat baikku.” jawab Enbi sambil merenung tepat ke mata Catherine. Berubah air muka gadis manis tersebut tatkala mendengarkan kata-kata Enbi. Spontan beliau berundur menjauhkan diri, Namun Enbi segera menangkap kedua lengan sahabatnya itu. Dengan lembut beliau menarik kembali Catherine kepadanya. Gadis manis tersebut tidak membantah. Kini jarak tubuh di antara Enbi dan Catherine hanya beberapa sentimeter sahaja. Kedua mata sahabat tersebut tertancap di antara satu sama lain.

“Enbi…” Akhirnya Catherine mengalihkan pandangan ke tempat lain. Mukanya semakin kemerahan. Jantungnya berdegup keras sehinggakan spontan beliau menekap tapak tangan kanan ke dada kirinya. Kedua tangan Enbi semakin kemas memegang kedua bahu Catherine. Hela nafas gementarnya juga dapat dirasai oleh gadis tersebut.

“Dum!” Tiba-tiba sahaja persekitaran di sekeliling mereka menjadi terang-benderang selepas telinga mereka mencakup bunyi dentuman tersebut. Fokus Enbi dan Catherine kini beralih pula ke arah puncanya. Orang ramai di sekeliling mereka menjadi panik dan mula bertempiaran lari seperti ayam ternampakkan musang. Dua tiga orang wanita pula menjerit-jerit ketakutan.

“Adegan tadi benar-benar memanaskan hati dinginku! Kini emosiku semakin membara, wahai MetroPolis!” Enbi dan Catherine merenung tajam ke arah empunya angkara yang membuat orang ramai menjadi panik. Berdiri di hadapan mereka kini adalah tiga orang lelaki dengan sut yang ganjil bentuknya. Tangan salah seorang daripada mereka tidak henti-henti memancarkan semburan api yang besar dan marak. Ya, mereka adalah Tiga Elemen, salah satu unit Algojo milik Kumpulan Don. Pembunuh elit yang amat hebat lagi menakutkan.

- Bersambung -