Saturday, July 26, 2008

Emo Hero Bab 9

Emo Hero Bab 9

“Ah moi chantek… Kaulah gadis rupawan… Ah moi chantek… Lain dari yang lain…”

“Tu dah teringat kat si Shaleen la tu.” Usikan Wadi mematikan nyanyianku buat seketika. Aku menjeling ke arahnya yang sedang ‘bersolek’ di hadapan cermin besar yang terlekat pada dinding hostel kami. Hmm… nampaknya Wadi mahu bepergian ke suatu destinasi yang dirahsiakan daripadaku dan Nizam sekali lagi. Bukan main menyalat Rexona no sweat challenge ke ketiaknya. Kalau dia buat kat tanah mau rata macam highway.

“Ah moi chantek… Ku ingat kau selalu… Ah Moi chantek… Ku perlu belaianmu…” aku kembali menyambung lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Hujan. Memang tika dan saat ini aku sedang terkenang akan Shaleenku (Chewah! Dah mat bunga ganja pulak sekaraaang!). Namun pada masa yang sama karektor Adrina sesekali menyelit-nyelit dalam hatiku yang mana cukup mengganggu.

“Lagu untuk Adrina tak ada ke?” tanya Wadi lagi. Eii wak Jawa ni dah lebey-lebey pulaak… Aku tengah ghairah melayan blues tak mengacau dia, dia pulak sibuk menjolok sarang tebuan. Memang dah lama mengidam nak dapat penyiku soldadu Jerman nampaknya. Pun begitu aku tiba-tiba terfikirkan lagu yang cukup sesuai untuk gadis psiko tersebut.

“Jangan ditunggu… Pasti takkan berlaku… Walau kucinta kamu… Biar disimpan… Adakan sempadan… Aku dan jugak dirimuuu….” Bukan main bersungguh lagi aku menyanyikan lagu dari kumpulan Flop Poppy tersebut. Siap sempurna taranumnya bersama pitching ala Kak Jee. Lepas tu aku tergelak sendiri macamlah ianya kelakar sangat.

“Kau masih cintakan Adrina ke?” Tiba-tiba Nizam yang sedang bermain Command and Conquer 3 di notebook-nya bersuara. Aku terkaku. Tak sangka aku terlupa akan rangkap lagu tersebut iaitu si penyanyi masih cintakan si perempuan tersebut.

“Mana ada?” sangkalku. Rasanya aku patut mengungkapkan jawapan yang lebih baik dari itu.

“Itu lagu ajelah!” ujarku lagi. Keadaan hening dari bunyi suara kami buat seketika. Pun begitu aku kini berasa lebih tidak selesa kerana kelibat Adrina semakin menguasai sanubariku berbanding tadi.

*************************************************

Aduii… Lecehnya kena pergi ke laib (library) seorang diri. Macam anak yatim piatu Oliver Twist pulak. Tapi apa nak buat. Sementelah semua kuliah Fakulti Undang-Undang dibatalkan pada hari ini, Wadi keluar berdating (dia tak cakap tapi aku syak begitu) dan Nizam pulak kena pergi ke rumah pakciknya di Pandan Jaya (aku pun syak dia juga pergi berdating). Jadi aku berasakan bahawa inilah peluang terbaik untuk aku ke kutub khanah dan cuba menghabiskan seberapa banyak assignment yang diberikan oleh para pensyarah yang tak berhati perut tersebut.

Huh… sunyinya keadaan fakultiku dengan ketiadaan para pelajar yang aku pasti merewang ke sana ke mari. Langkah longlaiku disambut oleh senyuman mesra Puan Norhayati Kudri tatkala masuk ke dalam perpustakaan.

“Rajin hari ni.” tegurnya. Aku tersengih pada pustakawan yang sudah mencecah usia 50an tersebut. Puan Norhayati ni aku cukup ingat nama penuhnya sebab anak-anak gadisnya semua cun-cun, siaal… Bukan apa, malulah kalau nama penuh bakal mak mertua pun aku tak ingat. Tapi mana satu anak-anak suntinya yang bakal jadi bini aku, ya? Aaah… bila tiba masanya aku baling dadu ajelah! Ni kalau pembaca pompuan ni mesti maki aku sampai habis nahu ni…. Hehehee…

“Sunyinya… mesti semua student ingat hari ni laib pun tutup.” komenku dibalas dengan anggukan oleh Puan Norhayati. Manis betul senyuman bakal mertuaku ini. Bak memandang nur dari syurga. Chewah! Marketing baiiik punyaaa….

“Tapi ada seorang lagi dalam laib ni.” balas puan Norhayati yang melonjakkan kedua keningku bersama reaksi terkejutku.

“Adrina?” Sial! Apasal la tiba-tiba aku nak memanculkan nama tersebut. Spontan sungguh mulut tak berinsuransku ini. Hm… mungkin aku patut tukar ubat gigi lepas ni…

“Eh! Mana you tau? Waah… ada ESP, ya?” usik puan Norhayati. Aku cuma tersengih-sengih cuak. Dalam kepala bana aku ni langsung tak ada ayat yang sesuai untuk membalas usikan tersebut.

“Or she might be your soulmate. Itu sebab you tau dia yang ada di sini” Keras kejung seluruh urat pembuluh darahku sebaik sahaja mendengarkan kata-kata puan Norhayati tersebut. Soulmate? Heh! Soulmate ya… Takkanlah pompuan jahat tu soulmate aku! Soldering besi tu boleh la! Aku hanya menggelengkan kepala sebelum melangkah pergi. Licik betul bakal mak mertua aku ni. Nampaknya dia cuba menguji kesetiaan cintaku terhadap anak-anak gadisnya! Walau badai, ribut dan taufan… lobang hidung anak-anak gadismu TATAP menjadi pojaan hatiku, mak!

Pun begitu aku ini ternyata bak pepatah orang Cina : “Cakap tak serupa bikin”. Kakiku kini begitu ceria melangkah ke sana sini mencari Adrina. Malah hatiku berasa agak teruja serta jantungku berdegup agak kencang pada masa yang sama. Dan entah mengapa aku tiba-tiba teringatkan lagu “Kudaku lari gagah berani”. Ayuh lariii… hai kudaku larii… Aii… aku patut berhenti dengar Sinar FM la. Kakiku kini sedang melangkah masuk ke dalam bilik fotokopi.

“Ops!” Siut! Aku hampir terlanggar… ADRINA! Adrina juga kelihatan terperanjat panda melihatkanku. Yalah, takkan aku nak guna terperanjat beruk, kot? Adrina kan comel… macam panda… Phei! Apa yang sedang kuperkatakan ni! Tapi koala lagi comel dari panda… Phei! Phei!

“Hai…” sapa Adrina yang masih bernada terkejut kepadaku. Aku juga yang masih dalam keadaan tergamam hanya mampu tersenyum nak tak nak kepadanya. Adrina tersenyum.

“Be careful, okay?” ujarnya sebelum melangkah pergi meninggalkanku. Dari gayanya yang memegang serta kertas-kertas yang telah fotokopi, ternyata Adrina telah menyudahkan urusannya dan kini mahu pulang.

Soulmate? Kononnya setiap lelaki yang belum berpunya dalam dunia ni hanya memiliki separuh jiwa sahaja. Kononnya separuh dari jiwa mereka berada dalam diri perempuan yang ditakdirkan untuk mereka. Itu kata omputeh la. Kalau dalam Islam pulak tulang rusuk seseorang lelaki kurang sebatang di sebelah kirinya kalau tak silap aku. Tulang rusuk si lelaki yang kurang sebatang tu sebenarnya ada di tubuh seorang perempuan yang ditakdirkan untuknya. Itulah soulmate…

Aku perasan bahawa aku kerap sangat terserempak dengan Adrina. Tak mungkin asyik secara kebetulan. Contohnya macam sekarang. Aku ni bukanlah rajin nak ke laib. Tambahan pulak bila kelas tak ada pada hari ini. Tapi entah mengapa aku ada ‘sudden urge’ nak ke laib. Mungkin ke sebenarnya aku bukan ke laib tapi mencari Adrina? Mungkin ke jiwa aku sebenarnya dapat mengesani jiwa aku yang separuh lagi… dalam diri Adrina?

“Tak mungkinlah! Heh! Heh! Heh!” ujarku pada diri sendiri sebelum kembali berpaling untuk melangkah masuk ke bilik fotokopi. Eh… aku bukannya nak fotokopi apa-apa pun. Oro? Apa ni? Aku segera mengutip botol plastik berwarna putih yang berada di jenang pintu bilik fotokopi tersebut. Nampaknya Adrina terjatuhkan botol vitaminnya masa hampir berlanggar denganku tadi. Ni entah botox apa la yang-

Eh? Ini bukan botol vitamin! Ini….

“Oh… man…”

**********************************************

Sudah hampir dua jam lamanya aku berada di laib. Masih termenung dan berasa sangat kurang selesa di dalam perutku. Aku sepatutnya pergi berlari mencari Adrina. Namun perasaanku memberitahu adalah lebih baik aku hanya menunggu di sini. Perasaanku memberitahuku bahawa Adrina akan datang kembali ke sini. Ke bilik fotokopi ini. Seketika kemudian aku terdengar bunyi derap kaki yang dalam keadaan tergesa-gesa. Nampaknya intuisiku memang tepat. Aku segera mendongak untuk melihat ke arah pintu kaca yang lutsinar. Tak lama kemudian akhirnya Adrina muncul dalam pandanganku. Beliau kelihatan terkejut. Dan aku juga terperasaankan suatu perasaan yang lain pada wajahnya. Perasaan bahawa beliau kali ini tidak ingin bertemu denganku. Dan aku faham kenapa. Pun begitu aku segera menggamit Adrina dengan isyarat tanganku untuk memanggilnya.

“Hai Arif.” tegurnya dalam keadaan termengah-mengah. Namun tubuhnya hanya terkaku di jenang pintu. Aku terus bangun dan menggerakkan tubuhku ke arahnya. Dan apabila hampir dengan tubuhnya baharulah aku berhenti. Agak lama mata kami bertentang.

“What’s up?” Akhirnya Adrina bersuara. Tonasi gementar jelas terlakar pada kata-kata tersebut. Aku perlahan-lahan menyeluk kocek seluarku dan mengeluarkan botol plastik berwarna putih miliknya. Pada botol tersebut tercacah sekeping label bertulis “anti-depressant” dan nama Adrina. Mata Adrina terbeliak. Malah kulitnya yang putih mulus itu gagal menutup noda kepucatan yang terpalit pada wajahnya.

“A.. Arif… Awak tau ini apa?” tanyanya dalam keadaan takut-takut. Aku menganggukkan kepala. Hanya satu ayat yang terlintas di kepalaku sejak dari tadi dan akhirnya aku berpeluang untuk mengungkapkannya.

“Anti-depressant. Untuk orang yang hadapi tekanan jiwa, kan?”

- bersambung! -

No comments: