Showing posts with label Emo Hero. Show all posts
Showing posts with label Emo Hero. Show all posts

Saturday, July 26, 2008

Emo Hero Bab 6

Emo Hero Bab 6

“Hii… Kamu ni bro!” Sungutan Nizam menyentakkan diriku. Malah membuatku berasa tidak selesa. Rasa macam nak pakai tudung Wardina China dan lari gaya malu-malu ke dapur.

“Aku lapar sangat la… Lagipun aku rasa bersalah teramat sangat ni! Kalau kamu pun tentu kamu makan jugak.” tingkahku membela diri. Tapi aku berasakan seolah-olah aku sendiri pun tak yakin dengan hujahku sendiri. Nizam merengus.

“Jangan haraplah! Aku tak lembut hati macam kamu.” balasnya. Kata-katanya itu semakin membuatkanku berasa tidak selesa.

“Kau kata aku ni lemah ke?” tanyaku.

“Taklah. Aku kata kamu ni baik hati. Itu kebaikan yang ada pada kamu. Tapi itu juga boleh jadi kelemahan kamu.” jawab Nizam.

“Betui le kamu kata aku ni lemah!” bentakku. Mulalah rasa tak puas hati. Aku baling dengan tandan pisang kang…

“Kelemahan tak bermakna kau lemah.” balas Nizam seraya tertawa kecil. Hmm… masuk akal juga. Chewah! Sejak bila si buaya ni pandai berfalsafah pulak ni? Aku pun terasa macam berfalsafah juga! Dua tiga buaya di hutan… anak kera juga yang disusukan!

“Dua tiga buaya di hutan… anak kera juga yang disusukan!” Keadaan menjadi sunyi seketika sebaik sahaja kata-kata tersebut terpacul dari mulutku.

“Kejadah apa yang kau cakapkan tadi?” tanya Nizam. Alamak! Apa yang otak merapu aku tengah fikirkan turut kuzahirkan dalam perkataan. Heh! Heh! Thinking out loud lagi!

“Tak de apa-apa. Jomlah kita jemput si Wadi kat foyer Kelab Kerjaya.” ajakku. Nizam menggelengkan kepala sambil tersenyum sinis.

“Eh! Ada tak kau check kot-kot ada kahak Adrina dalam burger tu?” tanya Nizam tatkala kami melangkah keluar dari bilik.

“Siut! Kau pun pikir benda yang sama! Aku pun fikir jugak tadi. Jadi aku check la burger tu!” maklumku. Kami sama-sama tertawa.

*************************************************

Tatkala kami sampai ke foyer tersebut, perjumpaan group assignment Wadi telahpun selesai. Mamat Jawa tersebut kini sedang ralik bersembang dengan Nisah dan Wawa; yang juga ahli group assignment tersebut. Hii…dia ni semenjak terdedah dengan dunia clubbing dah begitu confident sekali dengan kaum hawa. Dulu cukup pemalu. Entah berapa puluh ribu kali berdehem setiap kali bersembang dengan perempuan. Sekarang perempuan pulak sampai tersedak keluar taik gigi mendengarkan lawaknya. Hah! tengok! Wawa dah terbahak-bahak ketawa. Siap mencubit bahu Wadi lagi tu! Ni kalau dibiarkan lama lagi nanti mau jadi mukaddimah zina ni…

“Eh! Kau perasan tak bro… Wadi selalu sangat bersembang dengan si Wawa sekarang ni. Entah-entah ada skandal tak?” taakulku. Nizam mengangguk.

“Aku pun rasa begitu jugak. Tapi kita biar dulu. Nanti kalau kita usik kang dia tak jadi pulak nak rapat dengan si Wawa.” saran Nizam. Aku pula mengangguk tanda bersetuju.

“Tak lama lagi kena balun kompang le kita. Ni nak kena praktis dari sekarang ni!” ujarku. Kami berdua ketawa terbahak-bahak.

“Amboi! Gelak sakan nampak? Mengata aku la tu!” Tiba-tiba si Wadi telahpun terpacul di depan kami. Sejak bila dia tiba-tiba ada di depan kami ni? Belajar ilmu hitam gamaknya budak ni. Luke, I’m your father!

“Mana ada! Kami tergelak sebab si Arip ni makan burger yang Adrina bagi.” Ah! Sudah… Apa kejadahnya Nizam buat alasan barua macam tu? Apa yang lawaknya pasal aku melahap burger orang yang aku benci?

“Apa?” ujar Wadi dengan terkejutnya. Ah… pandai-pandai kau la Nizam…

*****************************************************

Keesokan harinya… Di bangunan pentadbiran Fakulti Undang-Undang

Aii… ramainya mata yang memandang ke arahku pada pagi nan nyaman ini. Tentu berita aku duduk semeja dengan Adrina semalam kini dah jadi hebahan gossip terpanas masa kini. Ni belum lagi aku duduk semeja dengan pemimpin zionis ni…

“Aku nak ke toilet. Nak basuh muka. Nak terbakar bijik mata aku ni kena tenung dek ramai orang hari ni.” maklumku kepada Nizam dan Wadi. Tergelak mereka berdua mendengarkan kata-kataku itu. Kakiku segera dihalakan ke arah tandas yang berada kira-kira 20 meter dari tempat kami bertiga berdiri. Nizam dan Wadi pula mengorakkan langkah mereka ke arah kafeteria.

Tiada siapa di dalam tandas. Bagus juga. Tak perlulah aku menjawab soalan-soalan yang aku benci nak jawab. Aku segera membuka paip di sinki dan mula membasahkan mukaku. Beberapa kali aku mengulanginya. Kemudian aku menghentikan aliran air paip dan mula membelek-belek wajahku di cermin muka. Hm… hensem jugak aku ni! Namun kemudiannya aku melepaskan keluhan berat pula.

Aiii… Memang aku mencari pasal. Elok-elok orang bersimpati dengan aku, silap gaya sekarang mula dah meluat denganku. Yalah, jenis manusia bodoh apa yang sanggup duduk semeja dengan orang yang cuba menganiayainya? Akulah manusia yang bodoh itu.

“Arip tu entah apa-apa! Betina macam Adrina pun dia sanggup bagi muka lagi? Kalau aku, sorry la beb!” Tiba-tiba telingaku dapat menangkap suara perempuan di luar tandas. Ah! Dah agak dah… Mesti cerita aku dan Adrina keluar juga!

“Ala… Adrina tu kan cantiiik. Manalah lelaki boleh marah lama-lama dengan dia! Itu sebab dia angkuh sangat tu. She thought that she can do anything and got away with it.” Suara seorang gadis lain pula menerobos ke gegendang telingaku. Eh! Kalau tak salah aku, ini suara Nisa’ dan Rozie. Mereka ni kan kawan baik dia?

“Aku memang dari dulu menyampah dengan betina tu. Memanjang aje control cantik. Getik aku menengoknya. Apa guna muka lawa tapi perangai kelas longkang punya, kan?” ujar suara yang kuagak milik Rozie. Kedua gadis tersebut tertawa mengekek.

“Eleh… kau tu kata je macam-macam. Tapi dulu kau yang cukup kamceng dengan betina tu, kan? Eleeeh… cakap tak serupa bikin la beb!” tempelak suara yang kuagak milik Nisa’. Kemudian beliau tertawa mengekek lagi. Macam ayam pencen tercekik kondom pulak bunyinya.

“Ala… kau tu pun apa kurangnya? Tak habis-habis memuji betina tu. Ish.. You cantik la betul la hari ni Rin. Waau… best betul bau perfume you ni, Rin. Taik you menarik betul la, Rin!” ujar Rozie pula dengan gaya mengajuk lawan sembangnya. Sempat buat lawak taik pulak tu. Aku ingat kaum Adam aje yang suka buat lawak macam tu. Mereka berdua sekali lagi ketawa mengekek. Sohih bila mati nanti akan jadi langsuir!

Tatkala mereka masih mencerca nama musuhku itu, aku tiba-tiba menyedari sesuatu. Adrina nampaknya kena lebih teruk dariku. Aku tahu akan kebarangkalian tersebut. Namun aku tak menyangka seteruk ini. Entah-entah lebih teruk lagi. Ejekan serta cercaan kedua orang gadis tersebut semakin menyakitkan hatiku. Entahlah… kalau orang lain yang mengungkapkannya mungkin aku tak marah sangat. Tapi Rozie dan Nisa’ adalah sahabat Adrina di universiti. Macam aku dengan Wadi dan Nizam. Masa kami bergaduh dulu aku tak pernah mencerca mereka. Begitu juga kedua ekor pemakan mee segeraku itu. Tak pernah ada sesiapa memberitahuku yang namaku dicerca oleh mereka berdua. Bagaimana agaknya perasaanku kalau mereka mencercaku dulu? Bagaimana dengan perasaan Adrina sekarang?

“Hii… padan muka dengan si betina tu sekarang. Dia ingat dia tu siapa?” cerca Rozie buat kesekian kalinya.

“Korang pulak ingat korang ni siapa?” Kata-kataku yang keras benar-benar mengejutkan mereka berdua. Memang sah Nisa’ dan Rozie. Punyalah maksyuk mencerca sahabat baik sendiri… sampaikan tak sedar aku dah keluar dari tandas dan mendekati mereka. Nisa’ berteriak kecil kerana terlalu terperanjat.

“Eh! Arip! Tak de… Kami-“

“Kamu berdua ni best friend Adrina. Kenapa kamu sampai hati menghina dia teruk-teruk? Apa nilai persahabatan korang dengan dia selama ini?” persoalku dengan nada yang ketara marahnya. Rozie yang kupangkas kata-katanya tadi langsung tergamam.

“Arip, Adrina dah buat awak macam-macam. Takkan-”

“Itu antara aku dengan dia. Dia memang cuba nak menganiayai aku. Tapi apa yang Adrina buat dengan korang berdua pulak? Selama ni aku tengok dia melayan korang berdua dengan baik. Tapi bila dah jadi macam ni, sepatutnya korang bertiga jadi makin rapat. Tapi korang berdua bukan setakat menyisihkan dia; malah mencerca dia pulak tu!” Kali ini kata-kata Nisa’ pula kupangkas. Suaraku semakin keras dan meninggi.

“Arip… both of us are supporting you…” ujar Rozie. Jelas perasaan takut tercetus dari tonasi suaranya yang lirih tersebut.

“Aku ada Nizam dan Wadi. So I don’t need your support. But Adrina does!” Kata-kataku menyentakkan emosi Rozie an Nisa’. Ia begitu terzahir pada air muka mereka berdua.

“Korang berdua ni memang jenis sahabat yang suka tengok sahabatnya jatuh. Sahabat apa macam ini? Tak ikhlas langsung. Bagus pun Adrina dapat tengok perangai korang berdua yang sebenar. Tak rugi pun dia!” Kuhamburkan kemarahanku dalam bait-bait ayat tersebut. Bungkam Nisa’ dan Rozie jadinya. Jelas mereka tidak lagi berupaya membalas kata-kataku. Lagipun aku betul-betul tengah naik angin sekarang. Kalau menjawab lagi, tak pasal-pasal makan tapak kasut pulak nanti.

“Tak apalah, Arif.” Kemarahanku serta-merta terhapus tatkala mendengarkan kata-kata tersebut. Air mukaku spontan berubah. Begitu juga dengan Nisa’ dan Rozie. Kami sama-sama menghalakan pandangan ke arah yang sama. Ke arah Adrina. Rupa-rupanya Adrina juga berada di dalam tandas. Sial! Sohih dia dah terdengar semuanya macam aku juga. Adrina tidak membalas renungan kedua orang sahabatnya. Sebaliknya pandangannya yang redup itu ditancapkan kepadaku. Keadaan menjadi hening seketika.

Sial… otakku seolah-olah kosong!

- Bersambung! Nyeh! Nyeh! Myeh! -

Emo Hero Bab 5

Emo Hero Bab 5

“Jalan-jalan cari makan nampak? Siap bawak burger lagi tu. Bukannya nak beli kat kami berdua sekali…” Begitulah nada rajuk Nizam yang bergema di gegendang telingaku tatkala aku sampai di bilik hostel. Aku cuma mampu tersenyum kelat.

“Entahnya! Dah la Nizam bagi kau pinjam kereta. Kurang-kurang balas la budi sikit… walaupun dia tak sebut.” tempelak Wadi pula. Sekali lagi aku tersenyum kelat.

“Ini Adrina yang belikan.” ujarku seraya meletakkan bungkusan burger tersebut di atas meja study. Terbeliak mata kedua balau tu mendengarkan kata-kataku.

“Adrina?” tanya Wadi.

“Yalah. Adrina. Samdol Adrina. Siapa lagi? Ada tak nama samdol dalam batch kita yang sama dengan nama Samdol Adrina? Ala… takkan kau orang berdua tak boleh agak aku nak buat apa tadi?” ujarku dengan nada bengang.

“Rough day, huh?” komen Nizam. Aku menggelengkan kepala.

“Memang dasar betina sial la dia tu!” ujar Wadi pula. Aku sekali lagi menggelengkan kepala.

“Aku yang buat perangai sial kali ni…” ujarku seraya melepaskan keluhan kesal. Kedua-dua sahabat karibku itu langsung terdiam.

*******************************************************

Jam ‘purba’ di atas katil Wadi telahpun menunjukkan pukul 8.43 malam. Nizam mungkin telahpun tiba di pusat bandar sekarang. Kununnya ada date dengan seorang model slash pelakon slash penyanyi yang baru nak meningkat naik. Wadi pulak ada group discussion untuk assignment kumpulannya minggu depan. Kami berjanji nak makan malam pukul 10.30 nanti di Burger King. Tapi buat masa ini tinggal la aku seorang diri tak tau nak buat apa. Aii… bosannya…

Aku tiba-tiba mengalihkan pandangan ke arah meja study milikku. Ke arah bungkusan burger pemberian Adrina tadi. Aku melepaskan keluhan. Hati dan perutku masih berasa tidak selesa. Inilah istimewanya manusia. Kita mempunyai satu benda yang tiada pada haiwan iaitu fikrah. Kalau omputeh, diorang kata conscious. Fikrah kita menyebabkan kita dapat bezakan perkara yang baik dan buruk. Jadi orang yang membuat perkara jahat tetap dalam sanubarinya berasa bersalah. Kerana dia tahu apa yang dia buat tu adalah salah.

Aku pun begitu juga. Fikrah aku memang mengetahui bahawa apa yang aku buat tadi adalah tidak patut. Aku bersalah pada Adrina… sungguhpun dia pernah cuba menganiayai aku dulu. Aii… aku cukup menyampah dengan pompuan tu. Tapi kenapa aku kesiankan dia? Kenapa aku risaukan keadaannya tadi? Kenapa aku rasa bersalah sangat ni? Dan kenapa mee goreng dah naik RM4.00 sepinggan sekarang?

Akhirnya aku turun dari katil dan terus menuju ke arah meja study. Kucapai bungkusan burger tadi dan terus… terus menerima pemberian Adrina tersebut. Aku rasa ini sajalah tindakan yang paling wajar untuk meredakan perasaan bersalahku. Tapi benak jahatku terfikir pulak kot-kot minah tu ludah kahak kat burger ni sebelum bagi aku. Manalah tau, kan? Spontan aku menyelak-nyelak burger yang telah kumamah tadi. Lega… tak ada air kahak. Eh? Yang kuning tu apa pulak tu? Ooh… keju dah cair…

Mmh… sedap burger ni…

***********************************************

Jam telahpun menunjukkan pukul 10.07 malam. Aku baru saja keluar dari bilik air. Cuci badan. Kalau mak aku tau sahih kena khutbah Jumaat. Dua ekor balau tu masih belum balik. Ni silap gaya pukul sebelas lebih la baru nak makan malam ni. Nasib baik juga aku tala burger tadi. Tatkala sedang maksyuk mengelap-ngelap ketiakku yang lembap, tiba-tiba telefon bimbitku membunyikan isyarat SMS yang baru masuk. Hah! Sama ada daripada Wadi ataupun Nizam. Aku segera mencapai telefonku.

“Hei you!” Itu sajalah bunyi mesej yang aku terima. Daripada siapa aku tak tau. Nombornya aku langsung tak pernah tengok semenjak dilahirkan ke dunia setakat ini. Aku termangu seketika. Nombor mangkuk ayun mana pulak ni? Eh! Entah-entah Adrina punya tak? Boleh jadi jugak… Mungkin dia pakai nombor lain untuk sembunyikan identitinya. Saja nak perangkap aku sekali lagi, ya tak? Setelah melakukan pemikiran agung selama tiga belas poin tujuh lima saat (macam Gaban pulak!), aku akhirnya mengambil keputusan untuk tidak membalas SMS tersebut.

***************************************************

Setelah jam meja Wadi menunding ke pukul 11 malam, baharulah Nizam muncul. Dengan sengih kerang busuk dia. Aku hanya membalasnya dengan pandangan tajam.

“Aku dah lapar nak mati kat sini!” ujarku dengan nada bengang. Tak pedulilah dia nak belanja ke apa ke. Aku bila lapar ni memang cukup seiras macam ompompuan datang bulan. Angin semedang aje tak baik. Pompuan ni kalau angin satu badan memang menakutkan, tau? Tu sebab bila ribut terbesar di dunia diorang bagi nama Katrina. Taufan Andrew ke, Taufan Haji Bakar Basikal Tiga ke memang la ganas. Tapi siapa boleh lawan Taufan Katrina! Malah omputeh ada perpatah yang menyatakan bahawa “Hell hath no fury over women.” Kira maknanya kalau pompuan ni dah tak betui anginnya, benda-benda yang orang lelaki tak terpikir pun boleh jadi.

“Sorry la bro! Aku ada intimacy moment dengan awek model tu la. Tu yang lama sikit tu.” ujar Nizam. Aduih… member aku sorang ni memang selamba badak aje. Tau tau wahai para pembaca yang budiman apa maknanya yang dia cakapkan tadi? Nizam bukannya setakat berdating dengan model tu, malah dipapahnya hingga ke katil!

“Aku malas nak berleter kat kau. Tapi aku ni sahabat kau. Dan sebagai sahabat sejati, aku kena bagitau kau apa yang kau buat tu adalah salah. Intimacy moment kau tu adalah zina. Zina tu berdosa besar, tau? Aku yang dok bercium dengan Adrina dulu tu pun dah kira dosa besar jugak. Kau…” Itu saja yang mampu aku katakan kepada Nizam. Aku hanya memerhatikan reaksinya. Beliau tersenyum kelat. Namun tiada sebarang emosi kemarahan tercalit ada wajah kacaknya itu. Nizam melompat naik ke atas katil Wadi. Kemudian melepaskan suatu keluhan panjang.

“Rip… kau pun tau kenapa aku jadi begini. Kita sama-sama dah rasa. Aku masa kecik lagi. Kau… sekarang. Tapi sama saja. Kita akhirnya tahu akan realitinya. Dalam dunia ni, pada zaman sekarang ni tak banyak dah orang perempuan. Yang banyak cuma betina saja. Yang bunuh anak, yang buang anak, yang lari ikut lelaki lain, yang sanggup tinggalkan anak dia yang masih baby… macam aku.” Aku terdiam dengan ulasan panjang lebar Nizam untuk membela dirinya. Aku memang dah lama mengetahui akan kisah silam Nizam yang cukup menyedihkan. Tambahan pulak insiden yang baharu saja berlaku ke atas diriku yang berkaitan dengan perempuan. Aku rasa aku mulai benar-benar memahami apa yang sahabatku itu sedang dan masih lalui sekarang.

“Kalau kau dapat carikan aku seorang ’perempuan’, aku akan berhenti melayan betina-betina dalam dunia ni macam sampah. Malah aku akan berhenti berzina. It’s a promise of a lifetime.” ujar Nizam sambil menekankan perkataan ‘berzina’ itu untuk menyedapkan hatiku. Aku tertawa.

“Gampang! Apasal kau gelak ni! Aku serius la, dol!” ujar Nizam. Aku terus tertawa.

“Kau la samdol! Mana la kau nak jumpa ‘perempuan’ ikut kriteria kau kalau asyik pergi clubbing! Pergi la cari kat masjid, majhuuuul!!!” ujarku lantas menyambung tawa. Majhul tu bahasa Arab. Ustazah bahasa Arab kami kata majhul tu maknanya bodoh. Nizam yang bengang dengan ejekanku itu terus menerkam ke arahku lantas mendebik bahuku berkali-kali. Debik main-main la. Aku pulak pura-pura mengaduh sambil melolong mintak tolong. Ni kang mau geng Kelantan kat sebelah datang meleter kat kami ni…

Begitulah realitinya. Kata-kata Nizam mungkin ada juga kebenarannya. Semasa aku mengikutnya untuk ‘latihan tubi’ di disko-disko haritu, memang aku juga menyedarinya. Kaum hawa di sana memang cantik. Memang menarik kau memang da bomb. Tapi kalau difikirkan dengan semasak-masaknya, belum tentu aku akan jadikan sebagai isteri untukku. Orang lain tu aku tak tahulah. Tapi kalau aku… tentu tidak sama sekali.

Mungkin ada di antara mereka sebenarnya yang baik. Malah mungkin lebih baik daripada orang perempuan yang kununnya bertudung menutup aurat tu. Tapi berapa kerat daripada kita nak beli sekeping CD lagu artis yang hodoh tapi bersuara emas?

“Eh? Kau makan burger yang Adrina bagi tadi?” Suara Nizam tiba-tiba memecahkan suasana serta lamunanku.

Alamak! Aku terlupa nak buang bekas plastik burger tadi! Sial-sial-siaaaal!!!

- Bersambung -

Emo Hero Bab 4

Emo Hero Bab 4

“Lebat lagi hujan rupanya.” getusku dalam hati. Adrina tentu masih terperangkap di sana. Aku yang kini sedang memandu kereta Nizam ke arah destinasi yang diniatkan tadi sempat mengerling ke arah pakaianku yang kini agak basah kuyup.Tentu kusyen kereta pun akan basah. Nasib baik la Nizam tak berkira tentang hal macam ni. Kalau tak mau disuruhnya aku jilat kusyen yang basah tu sampai kering.

Semakin aku mendekati perhentian bas tersebut, semakin keras jantungku berdebar. Kalau doktor letak stetoskop kat dada aku sekarang, mau dia jadi pekak nanti. Akhirnya aku tiba di perhentian bas tersebut. Seperti yang kuduga... atau mungkin kuharapkan... Adrina masih berada di situ. Masih tegak berdiri di atas bangku perhentian bas tersebut. Hm... lama jugak dia tahan berdiri macam tu. Bagus kalau dia join Wataniah ni. Inilah barisan kiitaa…

Dalam keadaan hujan mencurah, aku masih dapat melihat ekspresi wajah Adrina. Ekspresi terkejutnya apabila beliau melihatku. Dengan berhati-hati aku membuat pusingan-U sebelum berhenti di hadapan perhentian bas tersebut. Aku meneroboskan pandanganku ke arah gadis yang pernah kugilai sebelum ini. Beliau juga sedang merenungku dengan pandangan pelbagai emosi. Lega pun ada. Bersalah pun ada. Malu pun mungkin ada. Hm… macam menahan terkucil pun ada juga rasanya…

Aku segera mengisyaratkan kepada Adrina agar segera masuk ke dalam kereta. Beliau dalam keadaan keberatan terus turun dari bangku dan berlari ke arah kereta. Hm... basah pulak la kusyen sebelah penumpang nampaknya. Tatkala sampai di sisi kereta, Adrina membuka pintu. Tapi pintu masih belum terbuka. Aku dok menunggu juga. Apahal ni, nak bukak pintu kereta pun tak reti ke? Tiba-tiba Adrina mengetuk cermin tingkap untuk menarik perhatianku yang sedang dengan machonya memandang ke tempat lain. Apabila aku memandang ke arahnya, aku nampak Adrina sedang menunding ke arah sesuatu di pintu kereta tersebut. Ke arah kunci!

Alamak! Aku lupa nak buka kunci kereta! Dalam keadaan tergopoh-gapah aku segera menarik punat kunci central-locking kereta tersebut. Alamak! Sial betul! Hilang serta-merta machoku. Malu, siuuut...

“Thanks.” ujar Adrina sebaik sahaja masuk kedalam kereta. Aku sempat mengerling ke arahnya yang masih tersenyum. Oleh sebab aku lupa membuka kunci tadi, keadaan Adrina kini macam dia lepas jatuh ke dalam longkang besar. Basah lenjun jadinya. Hatiku mulai dirundung perasaan kesian bercampur bersalah. Tapi mulutku rasa begitu berat untuk mengucapkan maaf.

“Saya minta maaf sebab basahkan kusyen ni.” ujarnya lagi. Isk! Dia ni nak tambahkan rasa bersalah aku lagi ke? Aku mengerling sekali lagi ke arahnya. Nampak jelas kulit putih mulus Adrina kini menjadi pucat. Malah tubuhnya juga jelas menggeletar akibat kesejukan. Cis... tentu dia ingat aku sengaja nak mengenakan dia.

“Aku tak sengaja... lupa unlock kereta tadi.” ujarku. Adrina tersenyum. Entah mungkin dia betul-betul ada berfikir begitu tadi. Oh ya! Dia tengah menggeletar sejuk sekarang. Aku segera memperlahankan kelajuan kipas dan menaikkan suhu penghawa dingin.

“T.. Thanks.” ujar Adrina lagi. Aku mengangguk kecil. Namun tak sanggup untuk memandangnya. Aku... aku cukup bencikan perempuan yang kini sedang duduk di sebelahku. Aku sangat bencikan dia. Tapi kenapa aku tak berasa marah langsung kepadanya? Malah kenapa aku menolongnya pula? Kenapa... kenapa aku terlalu berlembut hati dengannya?

“Aaa... Arif... I’m sorry for this, but can we stop at KedaiNeka? Rina… saya nak beli barang. It’s important. Saya… minta maaf sebab menyusahkan Arif lagi.” ujarnya. Banyak pulak permintaan pompuan ni. Dah la aku bagi tumpang. Aku merengus kecil. Namun tentu jelas di telinga gadis tersebut. Kereta yang kupandu kini ‘merewang’ seketika ke arah KedaiNeka (macam 7-11) yang terletak di pusat pentadbiran universiti. Aku mengerling ke arah jam tanganku. Dah dekat pukul 7 malam. Setelah beberapa minit kemudian, akhirnya Adrina kembali masuk ke dalam kereta. Aku menjeling ke arah barang yang dibelinya. Ai… dia beli pad wanita rupanya… Memang betullah barang penting. Sekali lagi aku dihunjam dengan perasaan bersalah sebab merengus tadi.

“Thanks… again.” ujar Adrina. Aku kali ni mengangguk. Namun perasaan bersalahku masih belum reda. Aku kini melepaskan keluhan kecil pula. Tapi kali ni aku harap Adrina tak mendengarinya.

“Hujan masih lebat. Mungkin sampai malam pun takkan teduh. Aku akan hantar kau balik. Pergi mandi dan bersiap. Lepas tu ikut aku pergi beli makanan.” saranku. Hostel Adrina agak jauh dari kafeteria dan terpaksa menempuhi hujan untuk ke sana. Pasti dia terpaksa berpuasa pula nanti. Sekurang-kurangnya inilah yang aku boleh buat untuk meredakan perasaan bersalahku.

“Okey.” Begitulah jawapan ringkas yang terpacul dari mulut Adrina. Aku dapat rasakan perasaan gembira dari luahan kata-katanya itu tadi. Kereta yang kupandu akhirnya tiba ke hostelnya beberapa minit kemudian. Aku memarkirkan kereta di kawasan parkir yang berbumbung.

“Cepat sikit.” ujarku dengan nada dingin tatkala Adrina membuka pintu. Beliau terkaku seketika. Namun bibirnya masih mampu melakar senyuman seraya menganggukkan kepala.

Dalam hatiku, aku tak henti-henti memarahi diriku sendiri. Namun entah mengapa aku berasa sangat lega kerana mengambil mengambil tindakan yang seumpama ini.

*********************************************

Beberapa minit kemudian.

“Sorry. Saya terlambat.” Itulah perkataan yang terpacul dari mulut Adrina bila masuk kembali ke dalam kereta. Aku hanya mengangguk kecil. Lambat hapa? Tak sampai 5 minit dia dah bersiap! Ini rekod bagi Persatuan Gadis-Gadis Dalam Bilik Air Sedunia ni! Aku sempat memandang ke arah gadis yang pernah kugilai dulu. Serius dia masih cantik walaupun hanya berpakaian ringkas. Kalaulah aku masih tergila-gilakannya, pastilah aku manusia yang paling gembira di dalam dunia ini sekarang. Tapi kalau Chan Kok Min kena loteri pada masa ini, tentu dia pun akan kata begitu juga, ya tak?

“Rina nak makan kat mana?” Alamak! Tersilap sebut nama manja dia. Aku sempat mengerutkan muka. Harapnya dia tak nampak la.

“Mana-mana pun tak apa.” balas Adrina kembali. Begitu lembut sekali tuturnya. Kalau la tak kerana sifat sebenarnya telah diketahui, dah lama mak aku berkenan nak buat menantu. Sekarang ni nak bela buat hantu pun aku tak mau!

“Kita ke kafe di sini ajelah.” kataku. Mana boleh bagi muka lebih-lebih! Kereta yang kupandu kuhalakan ke arah kafeteria hostelnya pula. Mujur juga terdapat tempat parkir berdekatan dengan kafe tersebut.

***********************************************

Kafetaria hostel Adrina. Beberapa minit kemudian....

Sepatutnya aku dah agak dah akan jadi perkara sebegini. Tapi emosiku lebih menguasai diri dari fikiran. Kini, natijah dari kesilapanku kami berdua menjadi tumpuan ramai. Tentulah... semua orang aku pasti dah mengetahui perihal di antara aku dengan Adrina. Patutnya kami berhitung nyawa gladiator spartacus atas peristiwa tersebut. Ini, alih-alih boleh duduk makan minum semeja. Aku berasa kurang selesa dengan tenungan-tenungan tersebut. Kurasakan Adrina pun begitu juga.

“Arif nak apa? Rina... Saya belanja. As a gratitude.” Tawaran Adrina tersebut hanya kujawab dengan gelengan kepala. Air mukanya yang agak ceria tadi kini terpapar perasaan kecewa. Namun Adrina masih mampu tersenyum dan segera bangkit untuk memesan makanan. Beberapa minit kemudian beliau kembali ke meja dengan segelas jus epal hijau.

“Bungkus ke atau makan di sini?” tanyaku. Air muka Adrina kembali berubah.

“Oh... saya tak tau. Saya ingat... tak apalah. Biar saya mintak mak cik tu bungkus.” Adrina segera bangun untuk meminda arahan pesanannya. Aku sekali lagi berasa kurang enak di dalam hati. Namun aku berasakan bahawa tindakanku adalah amat wajar sekali. Aku tak mahu meluangkan masa dengan Adrina. Aku tak mau berbual-bual dengannya. Jauh sekali untuk bergelak ketawa dengannya. Aku seboleh-bolehnya mahu segera balik ke hostelku. Beberapa ketika kemudian Adrina kembali duduk di hadapanku. Namun kali ini air mukanya tidak seceria tadi. Malah beliau hanya menundukkan kepala. Baguslah kalau dia tak mahu bercakap denganku. Aku akhirnya telah berjaya menyampaikan keinginanku kepadanya.

*******************************************

Lebih kurang 20 minit kemudian.. Di perkarangan hostel Adrina.

Hujan masih mencurah-curah di luar dengan kedinginan yang mampu menggigit tulang. Namun aku rasa ’kedinginan’ di dalam kereta sekarang adalah lebih dahsyat lagi. Kereta yang kupinjam daripada Nizam kini telahpun diparkirkan kembali di kawasan berbumbung di hostel Adrina. Gadis tersebut masih menundukkan kepala seperti tadi. Di ribanya terdapat bungkusan mee goreng dan burger. Kuat melantak jugak, ya?

“Dah sampai.” ujarku dengan nada mendatar. Adrina yang kulihat di dalam dunianya sendiri tersentak setelah mendengarkan kata-kataku. Beliau seperti termangu-mangu memandang ke arah luar. Kemudian memandang ke arahku pula. Aku spontan mengelakkan renungannya dengan memandang ke hadapan.

“Arif.” Tutur lembut tersebut menyentak hatiku bagaikan dentuman guruh. Aku rasa aku dah tahu apa yang akan diucapkan oleh Adrina.

“Arif... saya tahu saya bersalah pada Arif. Saya-“

“Adrina!” Bait-bait bicara Adrina terhenti dengan perkataanku itu. Agak keras juga nadaku itu tadi.

“Aku menolong kau tadi sebab aku ini manusia yang beragama Islam. Tak lebih daripada itu. Janganlah salah sangka selain dari itu. Kita bukan lagi berkawan dan aku pun tak mahu ada apa-apa pertalian lagi dengan engkau lagi. Aku tak mahu dengar suara kau. Aku tak mahu tengok kau senyum padaku. Malah aku tak mahu terima apa-apa pemberian daripada kau. Kalau boleh aku tak mahu engkau wujud lagi dalam hidup aku.” Adrina tergamam mendengarkan kata-kataku itu. Air mukanya yang menjadi pucat kali ini bukanlah disebabkan oleh kedinginan hujan tetapi angkara kedinginan kata-kataku tadi. Beliau menganggukkan kepala.

“Saya salah faham. I’m sorry...” ujarnya seraya membuka pintu kereta. Namun tiba-tiba beliau mengunjukkan bungkusan burger tadi kepadaku.

“Saya harap awak dapat terima tanda terima kasih saya sebagai manusia yang beragama Islam.” ujarnya. Adus! Dia pulangkan balik kata-kataku kepadanya. Aku segera menggelengkan kepala.

“Kalau aku ambik pun aku akan buang ke tong sampah nanti. Jadi tak payahlah bagi.” ujarku. Serta-merta kedua belah mata Adrina mulai digenangi air mata.

“Kalau begitu buang saja ke tong sampah!” bentaknya seraya mencampakkan bungkusan burger tadi kepadaku. Adrina kemudiannya segera keluar dari kereta dan berlari ke arah biliknya. Jelas pada telingaku esakan tangisnya.

Hatiku kembali berasa sakit. Aku tak tahu sama ada sakit hati dengan perbuatan Adrina tadi yang kurasakan seolah-olah tak mengenang budi ataupun sebab dihukum dengan perasaan bersalah yang teramat sangat sebagai manusia yang beragama Islam.

- Bersambung! Wuu... Saspen! -

Emo Hero Bab 3

Emo Hero Bab 3

“Huu… Arip semakin dahsyat sekarang ni. Steady aje dia mengayat dua orang awek kat padang balapan tadi.” Pujian bercampur usikan Wadi tidak kupedulikan. Aku masih terganggu dengan insiden di padang balapan tadi. Nizam yang sedang ‘mentelaah’ mee segeraku hanya tersenyum sambil mengunyah-ngunyah makanan free tersebut.

“Ni apahal dari tadi aku tengok kau destructed aje ni?” tanya Wadi. Hampir-hampir terbelahak Nizam mendengarkan kata-kata tersebut. Beliau kembali meluahkan makanan di dalam mulutnya ke dalam koleh besi dan kemudian tertawa astro ceria.

“Distracted la. Bukan destructed. Distract tu terganggu. Destruct tu musnah.” maklum Nizam tanpa dilawa. Aku tak ketawa. Sebabnya aku geli betui tengok Nizam luahkan makanannya kembali ke dalam kolehnya tadi.

“Gelilah aku tengok apa yang kau buat tadi!” ujarku. Nizam tertawa.

“Salahkan Wadi. Dia punya pasal la sebab buat lawak.” balas Nizam.

“Apa pulak salah aku?” tingkah Wadi pula. Nizam tidak menjawab. Sebaliknya beliau kembali menyudu mee segeranya dari koleh dan terus menghirup masuk ke dalam mulut. Aku dan Wadi spontan memalingkan wajah kami dengan reaksi meneran baby keluar.

“Yearrkh!! Gelilah, bodoh!” bentakku. Nizam hanya tertawa. Semenjak berkawan dengan Wadi, dah lekat perangai pengotor Wadi kepadanya. Malah lagi teruk pulak!

“Nyam! Nyam! Nak kongsi?” pelawa Nizam seraya tertawa.

**************************************************

“Ooo… Diorang kata diorang kenal kau pasal insiden kat party Adrina itu la, ya?” Pertanyaan Nizam hanya kuanggukkan sahaja.

“Itulah sebab aku ‘destructed’ tu. Nampaknya satu universiti dah tau.” ujarku seraya mengerling ke arah Wadi. Nizam tertawa. Wadi mencebikkan bibir.

“Apa kata diorang tentang hal itu?” tanya Nizam.

“Diorang kesian kat aku. Dan diorang cukup marah dengan Adrina. Diorang kata ramai student daripada fakulti lain pun sekarang ni dah mula memboikot Adrina.” maklumku.

“Okeylah tu! Dah la jadi terkenal, dapat simpati pulak tu! Lagi senang la kau mengayat mana-mana siswi nanti.” ujar Wadi. Aku hanya tersenyum kelat.

“Tapi aku rasa tak syok la.” ujarku.

“Kenapa pulak tak syok?” tanya Nizam.

“Entah la. Aku rasa tak gembira pun.” jawabku.

“Kau risaukan Adrina, ya?” Kata-kata Wadi bagaikan petir yang membelah jantungku. Eh! Nanti kejap. Kalau petir, confirm aku mampus. Pakai karan bateri Energizer pun cukup la…

“Pasal apa pulak kau kata begitu?” tanyaku. Sedikit tersinggung.

“Aku cukup kenal dengan kau ni, Arip. Kau memang begitu.” jawab Wadi.

“Pandailah kau! Aku cukup benci dengan betina tu. Pergi mampus dan jahanam sama dia. Memang patut pun dia dapat balasan. Kalau dia cuba bukak mulut nak mintak maaf dari aku, aku lempang biar patah giginya!” ujarku dengan nada bengang. Wadi mendiamkan diri. Nampaknya beliau tak mahu terjadi insiden masa aku bergaduh dengan Nizam dulu. Hmh! Aku bergaduh dengan Nizam dulu pun pasal si betina sial itulah!

***********************************************

Keesokannya…

“Saman dan pernyataan tuntutan mesti disampaikan kepada Defendan dalam tempoh satu tahun dari tarikh saman yang diberikan oleh mahkamah. Saman dan pernyataan tuntutan boleh di sampaikan dengan beberapa cara. Sila rujuk Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 iaitu Aturan 7 dan bagi….”

Aiii… Mengantuk betul aku hari ni. Tambahan pulak la cuaca dari pagi tadi mendung suram aje. Aku jamin sikit lagi pasti hujan lebat punya. Entah apa la lecturer aku dok bebel kat depan tu. Hmmm… malasnya… Aku terus menekapkan pipi kiriku ke atas meja dan spontan memejamkan mata.

Entah berapa lama aku sebegitu rupa aku pun tak tau. Tau-tau muka dan tengkukku terasa kebas. Dan tatkala aku membuka mata pandangan pertamaku telah disambut dengan renungan orang yang paling aku benci sekali buat masa ini. Adrina. ‘Samdol’ Adrina (panggilan mengejekku bagi Saidatul). Beliau masih merenungku. Bibirnya cuba mengorak senyuman. Namun mukaku yang masam pasti telah menghalangnya untuk berbuat demikian. Aku perlahan-lahan mengangkat mukaku dan memandang ke arah pensyarah. Eh? Kenapa Prof. Aisyah Bidin pulak ni? Laaa!!! Lamanya aku tidur!!!

******************************************************

Selepas kuliah. Di perkarangan bilik kuliah.

“Wuu… Lebatnya! Nampaknya lambat lagi la hujan nak teduh.” rungut Nizam.

“Tak baik cakap macam tu. Macam marahkan Allah aje.” tegur Wadi. Nizam bungkam. Aku memandang ke arah langit. Masih gelap lagi. Nampaknya kena tunggu lama lagilah ni!

“Eh, jom kita lepak kat kafe mak cik brutal, nak? Best jugak hujan-hujan begini minum kopi O panas.” saran Wadi. Aku mengangguk tanda setuju. Memang nikmat kalau minum kopi O dalam kedinginan hujan lebat. Lagi best kalau ada bini. Kopi O pun silap gaya tak berminum! Tiba-tiba pandanganku terarah kepada seorang gadis yang bersendirian meredah hujan lebat. Lama aku memerhatikan kelibat gadis yang amat kukenali itu.

“Itu Adrina, kan?” tanya Nizam, yang sekaligus menyentakkan lamunanku. Aku memandang ke arah sahabatku itu.

“Jom kita pergi sekarang.” desakku.

*************************************************

Selepas lebih kurang sejam kemudian.

“Nampaknya sampai ke malam hujan lebat begini.” komen Wadi.

“Weh! Tak baik cakap begitu. Macam marahkan Allah aje.” sindir Nizam kembali. Aku tertawa.

“Jom kita balik. Redah aje la hujan.” ajak Nizam. Aku dan Wadi mengangguk setuju. Kami segera menghabiskan baki kopi O yang terakhir sebelum bergegas pergi.

***********************************************

Lebih kurang lima minit kemudian.

“Bagus jugak kami berdua menumpang kereta kamu ni, Nizam. Kalau tak sohih basah kuyup di atas motor.” ujarku. Wadi tertawa kecil. Nizam tersenyum sambil menganggukkan kepala. Keretanya kini telahpun keluar dari perkarangan fakulti. Hujan masih mencurah-curah.

“Eh! Itu Adrina, kan?” Tiba-tiba Wadi berbunyi. Aku berasa kurang senang dengan ayat tersebut. Namun pandanganku entah mengapa spontan terhala ke arah tundingan jari gatal Wadi. Sayup-sayup dalam hujan yang mencurah, aku masih boleh nampak kelibat Adrina di perhentian bas. Beliau terpaksa berdiri di atas bangku dek kerana hujan yang terlalu lebat yang disertai dengan angin kencang. Aku pasti bangku perhentian bas tersebut basah. Aku juga pasti Adrina kini turut basah kuyup.

Sungguhpun penglihatanku dikaburkan oleh curahan air hujan, namun aku tetap dapat melihat wajah Adrina yang sedang terseksa dengan kesejukan. Aku juga dapat melihat matanya yang redup dalam keletihan sedang memandang ke arah kami. Dan kemudian pandangan tersebut tertancap ke arahku. Pun begitu kereta Nizam terus berdesup meninggalkan kawasan tersebut.

Entah mengapa kelibat dan pandangan mata Adrina masih tertancap di kotak fikiranku sepanjang perjalanan pulang. Malah ianya masih tidak dapat kuhapuskan tatkala kami telah sampai ke bilik. Hujan masih lebat mencurah di luar sana. Aku semakin berasa tidak selesa. Dan hatiku tiba-tiba dirundung kebimbangan.

“Nizam! Aku tertinggal sesuatulah! Aku mintak jasa baik kau untuk pinjamkan aku kereta kau, boleh tak?” tanyaku dengan suara yang agak bergetar. Nizam yang sedang mengelap rambutnya dengan tuala langsung tergamam. Lama beliau merenungku. Seolah-olah tahu apa sebenarnya yang bermain di dalam hati dan fikiranku sekarang. Aku menundukkan kepalaku sedikit. Tidak sanggup untuk menentang renungannya.

“Nah!” Giliran aku pula tergamam. Aku merenung ke arah tangan Nizam yang sedang mengunjukkan kunci Peugeotnya ke arahku. Pandanganku diarahkan ke mukanya pula. Nizam sedang tersenyum.

“Pergi cepat.” ujar Nizam lagi. Aku menganggukkan kepala. Pandanganku dihalakan ke arah Wadi pula. Beliau mengisyaratkan dengan kepala dan riak mukanya untuk menyuruh aku pergi segera.

“Thanks.” ujarku lantas berlari meluru keluar.

Ke tempat Adrina tadi…

- bersambung -

Emo Hero Bab 2

Emo Hero Bab 2

“Hah! Hah! Hah!” Dekat dah. Dekaaat aje lagi.

“Hah! Hah! Hah!” Tak larat la siuut. Pankreas aku dah kejang ni. Betis pun dah bengkak sepaun dua ni… Rockyyy… Berikan ku kekuataaan….

“Hah! Hah! Haa?” Alamak! Ada dua aweks tengah tengok aku. Macho! Macho! Buat steady macam dah biasa.

Setelah berjoging mengelilingi padang balapan sebanyak empat kali akhirnya aku surrender askar Jerman. Dah tak larat dah. Hausnya aku rasa. Aiiir…. nak aiiirr… Tanak air kosooong… Nak air sirap limauuu…

“Woih! Apa stop look go awal sangat ni? Takkanlah weary (penat) sangat? Jom la lari lagi tiga round.” tegur Wadi yang juga turut berjoging bersamaku. Kalau dipikir-pikirkan secara Aristotle, sebenarnya si malaun tu le yang memaksa aku berjoging. Kunun nak lupakan keresahan hati la… apa la…

“Tamau! Tak larat dah! Rasa nak pitam aku!” bentakku. Aku ni nama aje orang kampung. Tapi bukannya lasak buat aktiviti sebegini. Apatah lagi nak buat kerja-kerja kasar dan berat. Setakat melepak sambil main gitar kat tembok hujung surau tu boleh la…

“Hmh! Lembik betul. Tak apalah! Aku nak habiskan tiga round lagi.” Sebaik saja menghabiskan ayat pedasnya, Wadi terus meninggalkan aku tanpa dapatku membalas. Celaka punya mamat. Kutuk aku depan aweks pulak tu. Aib tujuh petala langit kurasakan di kala ini. Dalam keadaan masih tercungap, aku menoleh ke arah kedua orang gadis tersebut. Mereka tersenyum kepadaku. Malunyeeee….

“Ada air tak? Haus… Nak pitam…” ujarku seraya melabuhkan punggung ke padang yang berumput tersebut. Salah seorang daripada mereka segera mendapatkanku lantas cuba membangunkanku kembali. Apahal pulak ni? Nak ajak aku ke pasar ke?

“Jangan duduk. Nanti lagi senang pitam.” ujarnya. Ooo… Betul jugak. Aku yang masih tercungap-cungap hanya mampu mengangguk. Gadis tersebut memapahku dan membawaku berjalan mudar-mandir. Setelah beberapa ketika barulah aku rasa lega sikit.

“Okay?” tanyanya. Aku tersenyum sambil mengangguk. Gadis di hadapanku turut tersenyum. Hmm… perawakannya okeylah… Kira tak malu la kalau bawak ke party Tupperware. Kawannya tadi kini datang mendapatkanku pula.

“Nah.” ujarnya seraya mengunjukkan setin 100 plus kepadaku. Aku agak tergamam. Aku tadi nak melawak aje. Bukan betul-betul nak pitam pun. Tak sangka diorang bersusah-payah untukku. Jariku segera mengumpil cecincin penutup air tin tersebut.

“Terima kasih. Saya bayar kejap lagi.” ujarku seraya meneguk 100 plus tersebut. Dek kerana terlalu keloloh meneguk, air 100 plus meniris keluar dari mulutku. Kedua-dua orang gadis tersebut tergelak. Lantaklah kalau diorang nak bergolek-golek atas tanah sekalipun… yang penting aku rasa lega dan puas.

“Malu betul saya pancit depan kamu berdua.” ujarku seraya tergelak malu. Kedua-duanya kembali menyambung tawa.

“Biasalah first-timer. Lama-lama nanti okeylah.” pujuk si gadis air tin tadi. Chewah… memujuk aku pulaaak. Ni nak nombor handphone aku la ni! Sayang betul korang berdua tak berapa cantik. Tapi yang cantik-cantik tu la yang meracik-racik hati aku jadi serunding baru-baru ni. Aku menyeluk kocek belakang seluar trekku untuk mengeluarkan dompet. Sempat aku cium dulu pulak! Masam… ALAMAK! Sekali lagi aku membuat suatu perkara yang tak wajar di hadapan gadis-gadis tersebut. Mereka tergelak melihatkan perangaiku.

“Sorry! Tabiat lazim…” ujarku dengan selamba. Aii… asyik buat perkara tak masuk akal aje aku ni. Tapi entah mengapa aku agak rileks pula semenjak dua menjak ni.

“Berapa harga 100 plus tadi, Elyana?” tanyaku sambil merenung gadis air tin tadi. Beliau kelihatan agak tergamam.

“Excuse me? Saya bukan Elyana.” ujarnya. Aik? Nampak tersinggung pulak?

“Sorry sekali lagi. Saya memang suka main panggil nama orang. Tapi bukan ada niat nak menghina.” maklumku. ‘Elyana’ tersenyum kembali.

“Okay then… Elyana it is!” ujarnya seraya tertawa. Eleh, suka pulak aku panggil dia Elyana. Aku cangkui kepala kang baru tau!

“Saya pulak awak nak panggil apa?” tanya kawan ‘Elyana’ pula. Hii… leceh la nak bagi nama kat sorang lagi pulaaak. Aku merenungnya sambil mengulum senyum.

“Sarip Dol boleh tak?” ujarku seraya tertawa terbahak-bahak. ‘Elyana’ turut ketawa mengilai. ‘Sarip Dol’ tidak ketawa tapi menjawab pertanyaanku dengan debikan bertalu-talu di bahu. Sakit la, bodoh!

………. ah….

Tiba-tiba aku teringatkan Shaleen. Teringatkan debikan mesranya. Perut aku tiba-tiba berasa seakan-akan kejang dengan perasaan yang amat tidak selesa.

“Okeylah! Saya panggil awaaaak…..” ujarku seraya tertawa.

“Itu nak mengutuk lagilah tu!” ujar si ‘Sarip Dol’ dengan nada rajuknya yang ketara.

“Jamie… Saya panggil awak Jamie.” ujarku sambil tersenyum.

“Nama orang putih la pulaaak.” ujar ‘Jamie’ seraya tergelak. Eleh, kau pun suka juga, kan? Mahad, ambilkan aku cangkui sekali lagiiii!

“Nama Melayunya ialah Jamilah!” ujarku seraya tertawa. ‘Sarip Dol’ alias ‘Jamie’ alias ‘Jamilah’ cuba mendebikku sekali lagi. Kali ini aku mengelak sambil tertawa. ‘Elyana’ juga kembali tertawa. Bukannya nak membela kawan baikknya itu!

“Eh! Bagus apa nama Jamilah tu.” ujarku. ‘Jamilah’ mencebik bibir.

“Tak best! Itu nama kampung. Nama saya Farhana.” ujarnya separa membentak.

“Jamilah tu dari perkataan Arabic Jamiilatun. Maknanya cantik. Jadi lebih baiklah Jamilah dari Farhana, kan?” ujarku. Farhana (akhirnya nama betul dia!) terdiam seketika.

“Okeylah… Jamilah pun Jamilah la…” ujarnya. Aku tergelak kecil.

“Biar saya panggil nama awak pulak. Awaaak aaaa…..” ujar ‘Elyana’ sambil tergelak-gelak. Galaknya anak dara ni. Nak mas kawin gamaknya ni!

“Nama saya apa?” tanyaku.

“Arif.” jawab ‘Elyana’. Aku tergamam. Mustahil hanya kebetulan… Kalau ikut perkiraan matematik, kebarangkalian untuk ‘Elyana’ meneka namaku dengan tepat adalah satu dalam tiga puluh juta berdasarkan setiap saat yang berlalu kali kuasa dua kosain tenjen… aku mengarut ajelah! Nyiahahahaa! Pun begitu, memang mustahil untuk dia meneka dengan tepat… kecualilah… Masaka! (bahasa Jepun maknanya “jangan-jangan”).

“Mesti korang berdua kenal saya!” ujarku dengan nada curiga bercampur seram. Manalah tau kot-kot aku sebenarnya terserempak dengan hantu padang balapan waktu petang begini.

‘Elyana’ dan Farhana tidak membalas taakulanku tadi. Sebaliknya mereka hanya tertawa dengan gaya yang nakal.

- bersambung -

Emo Hero Bab 1

Emo Hero Bab 1

Sudah sebulan semenjak insiden tersebut berlaku. Insiden Adrina cuba mempermainkan aku tu la… Kehidupan aku masih macam biasa. Malah teknik mengorek hidung pun masih macam dulu-dulu juga. Cuma emosi aku aje yang masih dalam keadaan celaru. Tapi bak kata omputeh la… Time heals everything. Even your broken heart. Memang betul pun. Aku taklah rasa teruk sangat macam mula-mula dulu. Aku pun kira dah agak pulih la sikit. Tengok cerita biru pun dah kembali bersemangat (insaflah hai nak muda!).

Adrina? Adrina masih ada. Masih hidup lagi… (malangnya). Cuma sekarang dia juga turut menerima natijah daripada perbuatannya itu. Boleh dikatakan hampir satu fakulti memboikotnya. Aku tak tahulah punca cerita tersebut tersebar daripada mulut siapa. Tapi aku agak kebarangkalian cerita tersebut datangnya daripada kawan-kawanku yang hadir ke majlisnya pada haritu. Kemungkinan besar cerita yang lebih terpeinci tersebar daripada mulut Nizam dan Wadi… sahabat baikku berdua itu. Sungguh menonjol kebencian yang mereka tunjukkan terhadap Adrina. Kalau saiz bra tu kira Cup F la menonjolnya… Bilamana terserempak saja dengan Adrina, pasti mereka berdua kelam-kabut mencari longkang untuk meludah. Seolah-olah terjumpa satu benda yang sial. Aku beberapa kali nak tegur perbuatan mereka tersebut. Tapi bila memikirkan apa yang Adrina telah buat terhadapku, aku pun turut teringin nak makan sirih auntie Isvari dan kemudian ludah pelepap ke muka perempuan jahanam tu.

Malah geng-geng batch aku yang begitu kamceng dengan Adrina seperti Nisa’ dan Rozie turut menjauhkan diri. Jadi sekarang Adrina kerap menyendiri. Pergi kuliah bersendirian. Mentelaah di laib (perpustakaan) bersendirian. Makan bersendirian. Berak pun bersendirian. Eh… Mana ada orang berak secara berkumpulan, ya dak?

Sekali-sekala bila Raihana, Amilia dan Hanani datang melawatnya di kampus, barulah Adrina nampak benar-benar ceria. Namun kali ini Shaleen tak lagi bersama mereka. Aku agak sama ada amoi itu cuba mengelak untuk bertembung denganku atau mungkin dia dah putus sahabat dengan mereka semua.

Shaleen. Mengingatkan wajahnya sahaja dah cukup membuatkan hatiku terasa pedih. Sekarang ni tengah pedih la ni. (Mungkin jugak sebab sambal nasik lemak mak cik brutal tadi pedas sangat kot?) Setiap bait-bait alasannya itu memanglah logik dan dapat kuterima. Namun ianya tetap menyakitkan hatiku. Aku benar-benar berharap agar dapat segera melupakan Shaleen. Namun aku juga berharap agar dapat bertemu lagi dengannya. Dalam masa yang sama aku juga berharap agar Nizam membelanja aku makan di Burger King lagi malam ni.

“Rip! Apa menung lagi tu? Jomlah kita balik.” Teriakan ala-ala buluh perindu si Wadi menyedarkanku dari lamunan. Bersama-sama si badigol itu ialah rakan sekutuku merangkap buaya Malaysia Timur iaitu Nazirun Nizam. Kami sebenarnya baru saja habis kuliah terakhir untuk minggu ini. Sekarang ni aku kerap menumpang naik kereta Nizam untuk ke kuliah. Itupun atas insiden aku nyaris tak ‘melawat’ ke parit kampus dek kerana kerap mengelamun. Apa nak buat… biasalah orang yang tengah frust dan asyik melayan blues macam aku ni… Tengah kencing pun tak sedar air mata sedang berlinangan.

“Aku laparlah, beb. Jom kita makan alas perut sebelum lunch?” pintaku. Wadi dan Nizam saling berpandangan. Eleh, tentu diorang setuju punya. Kebelakangan ni diorang berdua beria-ria nak jaga hati aku. Macam menatang minyak yang penuh. V-Power punya, tau?

“Okey.” jawab Nizam. Nampak sangat bunyi keberatan dalam nadanya. Tapi aku pedulik hapa. Aku tengah dambaan pilu ni, tau?

*******************************************

Di kafe mak cik brutal.

“Aku rasa Helwany memang lawa. Paling lawa dalam batch dia!” Nizam mencebikkan bibir sebagai reaksi terhadap pendapat Wadi.

“Helwany? Biar betul… Aku tengok dia tidak la lawa sangat. Rupa tu adalah. Tapi tak la cun maut membunuh jutaan kaum Yahudi punya kategori.” tingkahku. Nizam menganggukkan kepala tanda menyetujui pendapatku.

“Helwany tu sebenarnya cantik. Tapi dia jenis beauty in the eye of the beholder punya. Maknanya hanya sesetengah orang saja yang rasa dia cantik. Orang macam aku dan Arip tengok dia biasa aje. But Adrina on the other hand…” Nizam terkedu. Nyatalah beliau telah membuat kesilapan dengan menyebut nama tersebut di depanku. Aku tahu pasti dia tak berkehabisan menyumpah dirinya sendiri. Namun tidak seperti yang diagak oleh mereka berdua, aku hanya tertawa mendengarnya.

“Memanglah aku alergik mendengarkan namanya tu. Tapi memang tak dapat dinafikan yang Adrina adalah gadis tercantik di dalam Fakulti Undang-Undang. Tak… aku rasa dalam universiti ni.” ujarku untuk menenangkan hati Nizam.

“Sorry. Aku tak sengaja tersebut nama dia.” ujar Nizam dengan nada kesal.

“Tak de hal punyalah! Lagipun kan aku yang menang?” ujarku. Pun begitu sedikit sebanyak ianya berjaya mencuit emosiku. Hingga kini aku pun tidak jelas tentang motif sebenar Adrina. Mengapa beliau sanggup cuba menganiaya orang macam aku ni? Kalau si Nizam tu, aku tak kisah. Memang patut pun dia kena. Entah berapa banyak hati gadis yang telah dirobeknya. Ini aku pulak yang disasarkan oleh Adrina. Aku, Arif Akmal… Orang yang tak kisah walaupun mee segeraku cepat dimasak sedap dimakan oleh pihak ketiga tanpa kebenaran. Apa salahku terhadap Adrina? Puas aku memikirkannya. Dan hasil ujian makmal menunjukkan keputusan yang negatif. Bahawasanya tak pernah pun aku sebelum insiden tersebut melukai hati Adrina.

“Weh! Jom blah.” ajak Wadi. Aku memandang ke sekeliling. Tinggal kami bertiga sahaja. Mak cik brutal pun dah hampir nak siap berkemas untuk balik. Nizam segera bangun dan menuju ke arahnya untuk membuat pembayaran. Sementelah beliau suka membeli makanan yang mahal-mahal, mak cik brutal tersebut memberikan keistimewaan kepadanya iaitu boleh membayar selepas makan. Kira baik jugalah mak cik brutal ni walaupun mukanya semedang macam komando Batak on duty.

“Alamak! Sweater aku tertinggal kat bilik kuliah la!” maklumku. Patutlah aku rasa macam tak cukup syarat aje tadi.

“Korang pergi dulu, ya? Aku pergi ambil sweater aku sat.” ujarku lagi seraya berlari ke arah bilik kuliah. Langkahku begitu pantas ke sana sementelah mendapat tenaga yang dijanakan oleh burger belanja tadi. Ah! Nasib baik bilik kuliah belum dikunci lagi. Aku yang masih mencungap segera menguak daun pintu untuk mencari sweaterku. Namun tubuhku spontan terkaku tatkala menjengah ke dalam.

Adrina… Rupa-rupanya Adrina masih berada di dalam bilik kuliah! Nampaknya beliau sedang mentelaah seorang diri berdasarkan nota-nota d atas mejanya. Beliau yang aku agak juga berasa terkejut sebab pintu dibuka secara tiba-tiba turut juga memandang ke arahku. Agak lama kami saling berpandangan. Akhirnya aku memutuskan suasana tersebut dengan memandang ke arah tempat dudukku semasa kuliah tadi. Ah! Itupun dia. Aku segera mengambil sweater milikku dan bergegas keluar. Namun sempat juga aku mengerling ke arah Adrina sebelum melangkah keluar dari bilik kuliah tersebut. Ish! Rupa-rupa beliau juga sedang mengerling ke arahku. Aku spontan memandang ke arah lain dan keluar dari situ.

********************************************

“Sweater busuk tu jugak yang kau sayang sangat. Belilah yang baru.” komen Wadi. Komen tersebut tidak kubalas. Fikiranku lebih tertumpu pada insiden yang berlaku sekejap tadi. Nizam memandu keretanya dengan agak berhati-hati. Mungkin juga untuk memerhatikan siswi-siswi yang melenggang-lenggok berjalan bagaikan itik pulang ke sarang di waktu petang yang nyamang (dah slanga Ganu pulak daaah…)

“Apasal kau ni? Muka macam ternampak hantu aje…” tanya Nizam pula.

“Hoi! Mulut capoi la kau ni!” bentakku. Nizam dan Wadi tertawa. Saja je suka nak mengusik aku yang takut dengan benda-benda Spooky Kitaro ni. Ge-ge-ge-ge-no-geeee!!!

“Kau ni mesti tengah tension ni! Aku tau apa nak melegakan hati kau!” Nizam menawarkan khidmat kaunselingnya tanpa kupinta. Beliau segera menekan butang pemain cakera padatnya. Seketika kemudian lagu Hujan yang bertajuk Lonely Soldier Boy berkumandang di udara. Aku tertawa.

“Ini macam perli aku nih!” ujarku.

“Okay apa?” balas Nizam. Kami bertiga menyanyi bersama-sama mengikut lirik lagu tersebut.

Bulan di malam hari

Datang dengan anginnya yang dingin

Ku tekadkan teruskan

Apa yang dijuangkan

Untuk mencapai semua impian

Usah kau gentar dengan cabaran

Kerna itulah takdir kita

Do you remember that old lullaby?

Ingatan yang lama kukan lupa

Telah kutinggalkan

Akan kutuliskan memori buatmu

“Semua lelaki… lonely soldier boy! Katakan pada dunia… lonely soldier boy! Cahaya… mentari…kan datang… kembaliiiii!!!” Kami bertiga melalak tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Ya… Shaleen dan Adrina akan menjadi ingatan lamaku. Ingatan yang aku akan lupakan suatu hari nanti. Yang akan menjadi memori yang hanya tertulis dalam ingatanku. Aku adalah lonely soldier boy. Yang akan berjuang untuk mencapai impianku dan kedua ibu bapaku. Itulah impianku yang sebenar. Itulah takdirku.

Oleh itu aku percaya bahawa apa yang terjadi padaku bukanlah pengakhiran bagi kisah hidupku yang masih panjang. Aku percaya langit tidak selamanya mendung. Aku percaya selepas hujan, pasti cahaya mentari kan datang kembali…

- Bersambung -