Emo Hero Bab 10
Entah berapa lama masa berlalu semenjak aku memberitahu Adrina bahawa aku tahu apakah makna ‘antidepressant’ yang tertera pada botol ubat miliknya. Kami berdua hanya duduk membatu di bilik fotokopi tanpa sepatah bicara. Sesekali aku menjeling ke arah Adrina yang hanya tunduk memandang permaidani tebal di bilik fotokopi tersebut.
“Itu memang saya punya.” Akhirnya suara gadis di hadapanku mulai memecah suasana yang cukup meresahkan ini.
“Sejak bila kamu… sejak bila Rina ambik ubat tu? Semenjak hal ini ke?” tanyaku dengan lembut. Kali ini aku tidak lagi mengungkapkan ayat-ayat yang kasar lagi menyakitkan hati. Gila kau! Kang dia tension dan ambik kapak bomba kat tepi dinding tu kang… Mampus aku!
Adrina menggelengkan kepala. Namun kepalanya masih belum mahu dipanggung untuk menatap pandanganku. Tingkahlakunya itu tak ubah macam budak kecil yang sedang merajuk.
“Masa umur Rina 10 tahun, ayah dan ibu Rina selalu bertengkar. Tiba-tiba lepas tu diorang berbaik dan tak bergaduh lagi. Rina happy betul masa tu sebab diorang dah tak bergaduh lagi. Tapi masa umur Rina 16 tahun, barulah Rina dapat tau rupa-rupanya ayah dan ibu dah lama bercerai.” ujarnya lagi. Kata-katanya itu berjaya menaikkan kedua keningku. Namun aku masih mendiamkan diri untuk mendengar patah kata yang selanjutnya.
“Ibu bagitau, ayah hanya berada di rumah sampai Rina tidur. Bila Rina tidur, barulah ayah balik ke rumah sebenarnya. Begitulah setiap hari dari berpisah sampailah mereka bercerai. Tapi bila ayah nak berkahwin dengan bakal isteri barunya, dia tentu tak boleh buat begitu lagi. Jadi akhirnya dia terpaksa beritahu Rina.” ujarnya lagi menyambung cerita.
“Rina menangis dan mengamuk. Hati Rina betul-betul terluka. Rina sendiri menghalau dia dan Rina beritahu ayah yang Rina tak mahu berjumpa dengan dia lagi sampai bila-bila pun. Semenjak itu ayah tak datang dah. Dia juga tak menelefon Rina lagi sampai sekarang. Rina… Rina rasa sangat menyesal. Tapi hati Rina sangat sakit. Fikiran Rina juga sangat terganggu sampaikan ibu terpaksa membawa Rina berjumpa dengan pakar psikologi. Dari situlah Rina mula mengambil antidepressant.” Rina berhenti bercerita untuk berdehem. Kemudian perlahan-lahan beliau mengangkat kepala dan memakukan pandangannya ke arahku.
“Semakin Rina dewasa, Rina mula sedar bahawa hati Rina bukan sahaja untuk menyayangi ayah dan ibu tapi boleh juga kepada orang lain, khususnya lelaki. Tapi Rina takut. Rina takut bila Rina sayangi diorang, diorang akhirnya akan menjauhkan diri. Rina pasti akan terluka sekali lagi. Jadi Rina tolak semua lelaki ini mentah-mentah. Tapi ada yang tak mahu mengalah. Jadi Rina mula berbuat kejam dan menganiayai diorang. Cara tu rupa-rupanya berkesan.” Aku terdiam mendengarkan kata-kata Adrina. Masuk akal juga caranya. Memang ada sesetengah lelaki tu tak reti bahasa. Entah-entah aku pun gitu juga, tak?
“Shaleen, Raihana, Hanani dan Amelia pun ada bad history dengan bekas-bekas boyfriend diorang. Jadi Rina cadangkan agar mereka semua membalas dendam kepada semua lelaki sampai diorang puas hati. Akhirnya kami menjadi ketagih. Dan kami berlumba-lumba untuk menganiayai kaum lelaki dengan cara yang paling kejam. Ada yang sampai jadi gila kami buat. Rina tak tau orang lain, tapi Rina tak peduli. Rina tetap takut hati Rina akan terluka nanti. Jadi lebih baik diorang kena dulu” Kata-kata Adrina membuatkanku terdiam. Memang cukup menakutkan apabila sekumpulan gadis berpakat untuk merobek dan melukakan hati lelaki dengan sengaja. Diorang tak sedar ke betapa bahayanya orang lelaki yang terluka hatinya dianiayai sebegitu rupa?
“Sejak itu sesiapa saja yang Rina sayang, Rina akan lukakan hatinya sampai dia membenci Rina. Lebih baik dia menjauhkan diri dari Rina. Rina tak sanggup dilukakan lagi. Rina tak mampu menanggungnya lagi. Tapi Rina tau apa yang Rina buat tu salah. Lambat-laun pasti Rina akan mendapat balasannya. Sekarang… Rina dah pun dapat balasannya. Tapi Rina tak sangka ianya seteruk begini. Jadi Rina terpaksa makan ubat ni sekali lagi.” Botol plastik berwarna putih tersebut ditayangkan kepadaku sebaik sahaja Adrina menghabiskan bait-bait ayatnya. Keadaan kembali menjadi hening. Namun ianya tidak kekal. Tawa kecilku akhirnya memecahkan suasana tersebut.
“Arif rasa cerita Rina ni kelakar ke?” tanya Adrina. Cukup jelas perasaan bengangnya tersulam bersama pertanyaannya itu. Aku tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Saya bukan ketawa sebab cerita sedih Rina. Saya ketawa sebab Rina yang tak faham cerita hidup Rina.” maklumku. Air muka Rina berubah. Dari bengang menjadi keliru. Nasib baik tak jadi Hulk. Grrr… Hulk SMASH! Hulk hungry! Give Hulk food!
“Ayah Rina amat sayangkan Rina sampaikan dia sanggup tunggu di rumah tu dan menghabiskan masa dengan Rina hingga larut malam. Jadi kenapa Rina mesti marah pulak? Rina tau tak berapa ramai anak yang tak dipedulikan oleh ibu bapa diorang selepas bercerai? Rina juga ada perkara-perkara yang orang lain hanya sampai mati pun tak akan dapat. Rina hidup dalam keluarga yang kaya-raya. Tak pernah susah. Tak pernah tak cukup makan. Tak pernah tak dapat apa saja barang yang Rina idamkan. Fizikal Rina juga sempurna. Tiada cacat-cela sikit pun. Rina dapat melihat keindahan dunia ni. Dapat mendengar alunan muzik yang merdu. Dapat menghidu bau-bauan yang harum. Dapat menzahirkan perasaan suka duka Rina dengan hanya menuturkannya. Dan dapat menyanyi bila-bila masa saja yang Rina suka. Tapi saya tak galakkan la…” Sempat pulak aku membuat lawak. Mujurlah Adrina tertawa.
“Ooo… mengutuk suara Rina menyanyi, ya?” balasnya. Kami sama-sama tertawa.
“Rina… Rina juga seorang yang cantik. Bukan… Rina seorang yang sangat cantik. Saya percaya hampir 90 peratus gadis di dalam universiti ini berharap agar diorang memiliki kecantikan seperti Rina. Dan jutaan lagi gadis di dunia ini yang berperasaan serupa.” Aku meneguk air liurku seketika. Alamak! Macam dah tercakap benda yang tak sepatutnya diperkatakan. Adrina tersenyum malu. Pipinya yang putih mulus itu jelas menampakkan rona kemerah-merahan.
“Rina, biasalah kalau sekali-sekala kita ditimpa musibah. Biasalah kalau sekali-sekala kita mendapat kesusahan. Takkan atas sebab itu kita nak marah dan berkira dengan Allah? Pernahkan Allah berkira dengan kita bila dia berikan segala nikmat kepada kita selama ini? Apalah sangat musibah yang kita terima berbanding dengan orang-orang lain yang mungkin seratus kali ganda lagi teruknya!” Adrina bungkam dengan kata-kataku itu. Sebenarnya aku juga terpegun. Seolah-olah kata-kata tersebut bukan datangnya daripadaku. Seolah-olah Allah memberikan aku ilham untuk mengungkapkannya. Kata-kata tersebut jelas bukan ditujukan untuk Adrina sahaja. Malah untuk diriku juga.
“Saya teringat satu pepatah yang berbunyi lebih kurang begini : Aku berasa sangat malu memakai sepasang kasut yang buruk sehinggalah aku terlihat seorang lelaki yang kudung kedua-dua kakinya.” Aku rasa inilah penutup yang cukup baik untuk hujahanku tadi. Kalau cakap lagi tentu tak ada impak maksima dah. Buat seketika keadaan bilik fotokopi menjadi senyap-sunyi. Nampaknya Adrina mengambil masa yang agak lama untuk mencernakan kata-kataku tadi. Aku berharap agar beliau faham.
“Arif… Arif rasa Rina sangat cantik?” Tiba-tiba suara Adrina kembali memecah kesunyian. Kata-katanya itu disulamkan dengan senyuman. Namun pandangannya kembali menatap ke permaidani bilik. Alamak! Aku dah agak daaah… Sepatutnya aku tak ungkapkan kata-kata tu tadi.
“Eh… Ada ke saya kata macam tu tadi?” ujarku untuk mengelak. Adrina tersenyum semakin lebar. Namun ianya luput serta-merta dan berganti dengan kesedihan.
“For what it’s worth… Rina betul-betul menyesal atas apa yang Rina buat pada Arif. Rina tau Arif takkan maafkan Rina semudah itu. Tapi Rina betul-betul menyesal. Maafkan Rina, Arif. Kalau Arif tak mahu maafkan Rina sekarang pun tak apa. Rina akan tunggu sampai Arif maafkan Rina.” ujar Adrina tiba-tiba. Jelas nada sebaknya terpalu di gegendang telingaku. Aiii…. Ini yang leceh ni. Aku ni tak boleh tengok pompuan menangis. Cayir dah ni… cayiiirrr….
“Rina… janganlah begini. Okay! Okay! Memang saya ada kata yang Rina sangat cantik tadi. Sumpah! Wallah!” pujukku. Sempat buat lawak P. Ramlee lagi. Rina yang masih tunduk memandang permaidani kini tertawa pula. Namun sisa sebaknya masih jelas kedengaran.
“Saya tak mau Rina makan ubat tu lagi. Jadi mulai hari ini, kalau Rina terasa nak bercakap atau meluahkan perasaan, saya sedia mendengar. Bila-bila masa saja. Janji. Sumpah! Wallah!” maklumku. Buat lawak P. Ramlee lagiii… Kali ini Adrina mengangkat wajahnya memandangku. Kedua pipinya telahpun dibasahi dengan air mata. Namun bibirnya mengorak senyuman yang amat manis sekali.
“Thanks, Arif. You’re so kind to me even though-“
“Dah. Dah. Itu cerita lama. Tutup buku. Jangan kenangkan lagi., okay?” ujarku memintas kata-kata Adrina. Beliau menganggukkan kepala. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Dari tadi aku mahu mengatakannya. Tapi aku tak pasti sama ada aku patut atau tidak. Kini aku pasti aku patut mengatakannya.
“Saya maafkan awak Adrina. Saya maafkan semua kesalahan awak. Saya juga minta maaf sebab berkasar dengan awak sebelum ini. Maafkan saya, okey?” ucapku. Aku cuba merenung ke wajah Adrina untuk melihat ekspresinya. Namun aku tidak berjaya kerana tubuhku telahpun dirangkul olehnya. Mukanya pula disembamkan ke bahu kiriku.
“Okey…” balas Adrina dalam esaknya. Kemudian beliau menangis semahu-mahunya sambil memeluk tubuhku dengan erat. Aku benar-benar tergamam. Tidak kutahu apa patut dilakukan. Akhirnya perlahan-lahan tangan kiriku diletakkan di belakang tubuh Adrina sementara tangan kananku mengusap-usap lembut rambutnya. Emosiku berkecamuk. Gembira ada. Bimbang pun ada. Kata-kata Adrina masih terngiang-ngiang di cepu memoriku.
“Sejak itu sesiapa saja yang Rina sayang, Rina akan lukakan hatinya sampai dia membenci Rina…”
- Bersambung! -
No comments:
Post a Comment