Islam adalah agama yang sangat indah dan sempurna.
Allah memerintahkan kita agar berbuat baik dan menyayangi kedua ibu bapa kita. Malah jika seseorang Muslim itu mempunyai ibubapa yang non-Muslim, dia wajib berbuat baik dan mentaati ibubapanya selagi ia bukan perkara yang ditegah oleh agama. Menderhakai ibubapa sungguhpun mereka itu non-Muslim adalah amat dimurkai oleh Allah dan termasuk dalam dosa besar. Apatah lagi jika ibubapa kita berlainan fahaman parti politik. Janganlah kerana politik, kita sewenang-wenangnya bersikap kasar dan menderhakai mereka.
Firman Allah dalam al-Quran surah Luqman ayat ke 14, yang bermaksud :
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada ibubapanya. Ibunya mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibubapamu. Kepadaku tempat kembali.
Firman Allah dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat ke 23 hingga 24, yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ (biadap) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah : “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka sebagaimana mereka telah mendidik aku waktu kecil.”
Sabda Rasulullah SAW dalam Sahih Bukhari (no. 6675), yang bermaksud :
“Dosa besar itu adalah syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibubapa, membunuh jiwa (tanpa kebenaran) dan sumpah palsu.”
Malangnya ada di antara orang Islam di zaman ini yang menghambakan kedua ibubapanya, memukul mereka, mendera mereka secara fizikal dan mental, menipu harta-benda mereka sehingga mereka menjadi miskin, meninggalkan mereka di tepi jalan dan paling dahsyat membunuh mereka. Kita berdoa agar Allah melindungi kita daripada manusia-manusia keji ini.
No comments:
Post a Comment