Thursday, May 2, 2013

Hukum Hudud Berkenaan Zina dan Liwat

Antara isu kegemaran ramai dalam PRU13 ini adalah isu seks yang membabitkan perlakuan berzina dan liwat. Mari kita tengok pandangan undang-undang Islam dalam perkara ini. Agak panjang tapi saya fikir ianya suatu ilmu yang baik dan bermanafaat.

Zina adalah salah satu daripada tujuh kesalahan yang boleh dihukum di bawah hukum hudud. Dan kesalahan zina ini istimewanya ia dirangkaikan bersama dengan satu lagi kesalahan dalam hukum hudud iaitu Qazaf Zina (menuduh orang baik melakukan zina).

Hukuman zina bagi lelaki dan perempuan yang belum pernah berkahwin ialah dirotan sebanyak 100 kali. Mungkin pada mata kasar ia nampak zalim, namun hukuman rotan dalam Islam tak sama seperti hukuman sebat di Malaysia. Orang yang dihukum tidak ditanggalkan baju mereka. Mereka juga tidak diikat atau disekat pergerakan. Jadi mereka boleh melarikan diri pada bila-bila masa dan jika mereka lari, mereka dibiarkan begitu sahaja dan tidak ditangkap. Mereka dirotan dalam cuaca yang tidak panas atau sejuk. Rotan juga jenis licin (tidak berduri) dan tidak terlalu tebal atau nipis. Malah terdapat riwayat yang merekodkan penggunaan pelepah kurma, ranting kayu kecil, kain serban dan selipar untuk menggantikan rotan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat radhiAllahu ‘anhum.

Bila merotan, tidak boleh diangkat tangan hingga ternampak bahagian ketiak. Malah tidak boleh merotan dengan niat untuk mencederakan atau menyakitkan si penzina. Hukuman dibuat di khalayak ramai agar membuat si penzina berasa malu untuk melakukan kesalahan itu lagi dan agar orang ramai mendapat peringatan untuk tidak berzina. Setelah hukuman selesai dijalankan, orang ramai dilarang untuk mencerca atau menghina si penzina. Ini adalah kerana dosanya telahpun diampunkan oleh Allah melalui hukuman tadi dan jika Allah telah membersihkannya, apa hak kita untuk mencacinya?

Bagi yang pernah berkahwin, banyak hadis-hadis yang sahih dari riwayat Bukahri dan Muslim yang menyatakan bahawa mereka dihukum rejam dengan batu sehingga mati. Mereka juga tidak diikat atau disekat dan jika mereka mahu lari kerana tidak tahan sakit atau takut mati, maka mereka dibiarkan pergi sama seperti hal di atas. Namun dosa serta taubat mereka yang sempurna dilaksanakan hukuman hudud adalah diampunkan dan insyaaAllah mereka akan mendapat syurga Allah selagi tidak mensyirikkanNya.

Pun begitu, kesemua hukuman hudud ke atas penzina pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA adalah berdasarkan pengakuan ikhlas mereka semata-mata. Ini bermakna tiada siapa yang pernah dituduh berzina melainkan mereka semua mengakuinya. Inilah sebabnya mengapa mereka diberi peluang untuk melarikan diri sebagai isyarat mereka menarik kembali pengakuan mereka. Motif hukuman hudud adalah untuk mencegah (hudud dari perkataan had bermaksud sempadan/sekatan) dan bukannya untuk menghukum.

Jika seseorang ingin mendakwa orang Muslim lain berzina, maka dia wajib memenuhi beberapa syarat yang amat ketat. Paling utama ialah wajib ada empat orang saksi lelaki yang adil yang melihat dengan jelas perbuatan zina tersebut dan dapat mengenalpasti dengan sah orang-orang yang terlibat. Saksi yang adil ialah yang bukan fasiq iaitu tidak cuai dalam solatnya dan tidak pernah menipu. Mereka juga seratus-peratus patuh pada amal makruf dan nahi mungkar seperti yang diperintahkan dalam al-Quran dan hadis. Jika tidak cukup syarat-syarat di atas, maka si penuduh tadi pula yang akan dikenakan hukuman hudud atas kesalahan Qazaf Zina. Beliau akan dirotan dengan prosedur yang sama sebanyak 80 kali dan tidak akan diterima sebagai saksi untuk selama-lamanya.

Tentu ada yang berkata, kalau begitu adalah hampir mustahil untuk mensabitkan seseorang Muslim melalui pertuduhan zina. Ya, Allah dan RasulNya memang berkehendakkan sedemikian. Terdapat banyak peringatan Rasulullah SAW agar seseorang Muslim tidak mencari-cari kesalahan atau tidak menyakiti seorang Muslim lain dengan sengaja dan tanpa hak. Malah pada zaman Umar Ibnu Khattab memerintah, beliau pernah menghukum seorang sahabat RA dengan hukuman Qazaf Zina hanya semata-mata kerana tidak cukup empat orang saksi sungguhpun sahabat tersebut adalah sangat adil dan sangat dipercayai.

Jadi, adakah pembuktian secara video seperti zaman sekarang adalah satu pertuduhan yang memenuhi syarat? Sepakat ulama ahlus sunnah wal jamaah mengatakan bahawa video adalah tidak diterima sebagai pembuktian kerana wujudnya lakuna untuk penyelewengan. Dr. Yusuf al-Qorodhowi telah mengesahkan hal ini dalam fatwanya. Di Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Asri (bekas mufti Perlis) dan Ustaz Fathul Bari (dari Ilmuan Muda UMNO) juga mengeluarkan pendapat yang sama.

Kalau begitu, memang payah benarlah nak melaksanakan hukuman hudud zina walaupun dikuatkuasakan di Malaysia? Jawapannya : Ya, memang benar kerana tujuan hukum hudud adalah untuk mencegah Muslim dari melakukan dosa maksiat kepada Allah dan bukannya untuk mencari Muslim untuk dihukum. Namun hukuman Qazaf Zina pula adalah berbeza. Pembuktiannya sudah cukup jika pihak yang menuduh zina gagal memenuhi syarat-syarat di atas. Islam amat mementingkan persaudaraan seagama dan tidak membenarkan ikatan persaudaraan tersebut musnah dan berpecah-belah. Orang yang menuduh saudaranya sendiri dianggap berpotensi memecah-belahkan ikatan ini. Itu sebabnya beliau dihukum.

Habis itu, akan terlepaslah para penzina di Malaysia kalau begini? Dosa zina adalah dosa maksiat peribadi di antara si pelaku dosa dengan Allah. Jika dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan mengampunkan semua dosa zinanya, maka itu adalah urusan Allah dan kita tak boleh mempertikaikannya. Malah para ulama mujtahid mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat dengan sengaja adalah jauh lebih besar dari dosa berzina.

Bagi kesalahan liwat pula, mengikut pendapat mazhab Imam Syafie ianya sama dengan zina dan termasuk dalam kategori kesalahan hudud. Jadi hukumannya adalah sama dan beban pembuktiannya juga adalah sama. Manakala Imam Abu Hanifah berkhilaf pendapat bahawa ianya tidak sama dengan zina dan bukan di bawah kesalahan hudud tetapi ta’azir. Dalam hal ini saya tak menjumpai penerangan cara pembuktiannya tetapi berpendapat bahawa beban pembuktiannya adalah sama ketat seperti syarat pertuduhan zina.

Wallahu a’lam. Begitulah keadilan sejati dalam hukum hudud yang sering dipermainkan oleh orang-orang yang tidak memahaminya. Rujukan saya adalah dari kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Bulughul Maram dan kuliah-kuliah ilmu. Semoga kita sebagai orang Islam lebih menghargai kehebatan undang-undang Islam dan non-Muslim dapat melihat keindahan dan keadilan undang-undang Islam tersebut.

Mohon fakta saya diperbetulkan jika terdapat kesilapan. Saya ini budak baru belajar; kalau salah tolong tunjukkan. Tq.



No comments: