Saturday, April 13, 2013

Zero Hero SE (bab 4) - Setia Ke Hujung Nyawa



Zero Hero SE
Bab 4
Setia Ke Hujung Nyawa


Mataku tertancap kemas ke arah skrin LED berukuran 40 inci di hadapan namun fikiranku entah merewang ke mana. Duduk di sampingku di sofa yang amat empuk ini ialah isteri yang amat kusayangi. Aku mengerling ke arahnya dengan berhati-hati, seolah-olah kami ini baharu sahaja dilamun cinta. Adrina isteriku sungguh jelita di mataku pada ketika ini. Setiap rona pada wajahnya kusentuh dengan belaian pandanganku. Maha Suci Allah yang telah menjadikan isteriku sebaik-baik kejadian dan jodoh untukku.

Isteriku yang begitu asyik menonton cerita Sentiasa Putus Nyawa yang kami muat turun melalui internet langsung tidak menyedari tindak-tandukku itu. Biarkanlah begitu. Aku suka melihat riak emosinya tatkala menonton cerita romantik tersebut. Eh, nanti sekejap. Aku sebut ‘Sentiasa Putus Nyawa’ ke tadi? Apa kejadahnya cerita romantik dengan tajuk yang mengerikan? Sahih aku yang tersilap.

“Manja, apa nama tajuk cerita ni?” Pertanyaanku ini pasti membuatkan Adrina sedikit cemus kerana mengganggu tumpuannya. Beliau memandang ke arahku dengan senyuman.

“Setia Hujung Nyawa. Abang asyik saja terlupa, tau?” jawabnya bersama omelan manja. Aku tersengih.

“Dalam fikiran abang tadi, apa tajuk cerita ini?” Pertanyaan Adrina benar-benar membuatkanku tersentak. Kalau cerita drama Indonesia ni dah tentu ada lagu cemas sekarang. Tak sangka pula dia tahu apa yang bermain di fikiranku tadi.

“Sentiasa Putus Nyawa.” jawabku pendek. Itupun agak mengulum bait-bait kataku. Adrina tiba-tiba sahaja ketawa berdekah-dekah. Aku fikir kalau ada langsuir yang menyorok di belakang langsir kami tadi pun tentu dah terbang lintang-pukang ketakutan sekarang.

“Oi, oi! Gelak macam Jin Usin Mon Toncit!” tegurku. Semakin galak gelak Adrina jadinya.

“Apalah punya brutal tajuk yang abang fikirkan! Lebih kelakar dari tajuk Kesetiaan Pada Negara sebelum ni.” usik isteriku. Aku mencubit lengan kiri Adrina dengan perasaan geram. Beliau kembali ketawa.

“Tajuknya susah sangat! Susunan ayat konsonan kata predikat pun tak betul. Sepatutnya buatlah tajuk Setia Ke Hujung Nyawa.” rungutku membela diri.

“Eleh! Kalaupun itu tajuknya, abang fikir abang boleh ingat ke?” perli Adrina. Aku tidak menjawab. Sebaliknya kali ini aku pula yang mengenakan Jurus Maut Ketam Batu ke atas Adrina. Isteriku ketawa terbahak-bahak dan sempat pula menghentam kepalaku dengan bantal sofa. ‘Sayembara’ kami terhenti seketika tatkala sampai di babak muka Ersalina dilumuri dengan kek oleh suaminya. Kemudian kami kembali ke perlakuan riang-ria laki-bini tadi.

******************************

Keesokan harinya...

Aku masih menggosok-gosok bahu kiriku yang kini berasa sengal. Baharu sahaja aku pergi ke klinik untuk dicucuk imunisasi. Ini adalah salah satu syarat wajib sebelum memulakan perniagaan makanan bermasak. Kursus anjuran Majilis Amanah Rakyat tentang pengurusan perniagaan kecil-kecilan juga telah kuhabiskan. Baharulah aku sedar bahawa begitu banyak sekali peluang yang baik di hadapan mata rakyat Malaysia. Cuma kenalah berusaha sedikit untuk mencapai kejayaan. Aku duduk di bangku taman yang disediakan untuk para pengunjung di klinik tersebut. Mungkin dengan berehat seketika sengal di bahu kiriku tadi akan beransur pulih. Sambil itu bolehlah aku mencuci mata melihat pengunjung-pengunjung wanita atau jururawat-jururawat yang lawa lalu-lalang di hadapanku.

Namun aku tidak berseorangan. Ada seorang pak cik berbangsa Cina sedang duduk di sebelah kananku. Beliau sedang bercakap dalam bahasa ibunda dengan telefon tangan. Kuat benar suaranya. Aku fikir mungkin dia sedang marah. Selepas beberapa ketika akhirnya beliau mengakhiri perbualan. Kulihat sekejap-sekejap beliau menggelengkan kepala. Kalau ada kumpulan zikir ajaran sesat di tempat ini, mau diajaknya pak cik Cina itu masuk ke dalam halaqah mereka.

Bawak bertenang, uncle. Nanti boleh jatuh sakit kalau marah-marah.” tegurku dengan nada sopan. Pak cik Cina tersebut berpaling ke arahku. Kemudian dia ketawa. Kemudian menggelengkan kepala lagi.

Uncle memang mau relaks. Mau cool. Tapi ada orang suka buat kacau; itu pasal uncle banyak marah.” ujarnya.

“Ceritalah pada saya apa problem uncle. Kalau saya tak boleh tolong pun, uncle rasa lega sikit.” pujukku. Pak cik Cina tersebut menganggukkan kepala tanda bersetuju denganku.

Uncle ada buka kedai makan. Uncle ada ambil satu tukang masak. Dia masak banyak syok tapi hati banyak jahat. Dia unggut (ugut) mau berhenti kerja kalau uncle tak kasi dia jadi partner. Mana boleh kasi! Hati banyak jahat! Tapi kalau uncle tak mau setuju, dia mau berhenti ini jam juga. Habislah wa kalau ini macam.” omelnya dengan nada kecewa. Aku yang mendiamkan diri hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak ada tukang masak lain ke?” tanyaku. Pak cik Cina tersebut menggelengkan kepala.

Uncle punya kedai makan kecik saja. Mana ada duit mau ambil tukang masak banyak-banyak! Gaji tukang masak banyak mahal, you tau ka? Kalau itu cilaka berhenti ini hari, bukan senang mau cari tukang masak baru. Kurang-kurang ah, mau satu dua bulan ini macam baru ada tukang masak baru. Habis, wa punya bisnes apa macam?” maklumnya. Aku ketawa mendengarkan kata-katanya itu. Pak cik Cina itu pun turut ketawa. Nampaknya perasaan tertekan beliau mulai mengendur.

“Senang saja, uncle mau dengar tak saya punya opinion?” tanyaku.

“Okey, okey. You kasi cerita sama uncle.” jawabnya dengan agak bersemangat.

Uncle bagitau tukang masak itu yang uncle setuju jadikan dia partner. Tapi uncle bagi dua syarat. Syarat pertama, dia mesti bagi surat berhenti kerja kepada uncle. Syarat kedua, uncle akan bagi surat lantik dia jadi partner. Tapi suruh dia pilih sama ada dia bayar separuh dari nilai bisnes uncle dan terus jadi partner ataupun dia jadi partner dalam tempoh percubaan selama tiga bulan. Katakanlah bisnes uncle nilainya satu ratus ribu. Dia kenalah bayar lima puluh ribu. Tapi saya confirm dia mesti tak sanggup mau bayar, kan? Jadi mesti dia setuju untuk jadi partner untuk tempoh percubaan tiga bulan.” perjelasku.

“Habis, kalau sudah tiga bulan nanti apa jadi?” tanya pak cik Cina tersebut. Aku tersenyum.

“Kalau dia sudah setuju macam tadi, dalam masa tiga bulan uncle carilah tukang masak baru. Tentu tak susah, bukan? Bila sudah dapat, uncle buang sajalah saja itu cilaka!” jawabku yang mengajuk cara bercakap pak cik Cina tersebut.

“Tapi kalau dia komplen sama pejabat buruh, apa macam?” tanya pak cik Cina itu pula.

“Kan tadi dia sudah kasi dia punya surat berhenti kerja?” jawabku dengan pertanyaan juga. Mata pak cik Cina tersebut terbelalak. Mungkin dia sudah dapat menangkap strategi licikku.

Haiya! You banyak semat (pandai) la! Banyak semat la you!” pujinya sambil menepuk-nepuk bahu kananku. Kemudian beliau ketawa terbahak-bahak. Aku mulai terfikir bahawa besar kemungkinan pak cik ini orang yang jahat dan tukang masak tersebut sebenarnya tidak bersalah.

“Mari! Uncle belanja you makan Mak Dono. You order apa saja. Uncle belanja.” pelawanya. Aku menggelangkan kepala. Tiba-tiba sahaja otakku memberikan idea yang tidak patut dipersiakan.

“Di kedai makan uncle ada tak orang jual burger?” tanyaku. Pak cik Cina itu menggelengkan kepala.

Tada. Tada.” jawabnya.

“Boleh tak saya buka stall burger dan jual burger di kedai makan uncle?” tanyaku yang akhirnya mendedahkan niatku yang sebenar. Pak cik Cina tersebut agak tergamam mendengarkan permintaanku. Namun kemudian dia kembali ketawa terbahak-bahak sambi menepuk-nepuk lagi bahuku.

You memang banyak semat! Haiyaa... cilaka! Okey! Okey! You boleh jual burger depan kedai makan uncle. Memang ramai customer Cina pun suka makan burger sekarang. Sewa nanti kita bincang, ah? Tapi uncle mau belanja juga you makan Mak Dono. Let’s go. No-no excuse, ah? Come! Come!” ajaknya sambil menarik tangan kananku. Aku bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal akur sahaja akan pelawaannya itu.

******************************

Malam itu seperti biasa selepas makan, aku dan Adrina bersama-sama membersihkan pinggan mangkuk dan mengemaskan dapur. Selepas itu kami duduk berhimpit-himpit di atas sofa sambil menonton cerita Sentiasa Di Hujung Nyawa.

“Tak ada cerita lain ke? Tengok cerita ini lagi...” rungutku.

“Alaa, ada beberapa episod saja lagi. Lepas habis cerita ini nanti kita tengoklah cerita lain, okey?” pujuk isteriku. Aku memuncungkan mulut. Adrina membuat isyarat seolah-olah mencium bibirku itu dari jarak jauh.

“Syukur kepada Allah abang cepat saja dapat tapak berniaga burger.” ujar isteriku tiba-tiba.

“Hm.” balasku mengiyakan kata-katanya tadi. Semasa makan malam tadi telah kuceritakan kesemua peristiwa yang berlaku ke atasku siang tadi. Adrina begitu gembira sekali mendengarnya. Beliau bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran kecil di pejabatnya. Kami berdua pasti mister Marlboro Man akan menceceh lagi.

“Mata abang nanti pandang daging burger saja, tau? Jangan pandang daging peha amoi-amoi di kedai makan tu, tau?” pesan isteriku dengan nada cemburu. Aku ketawa dan tawa Adrina menyusul selepas itu. Seketika kemudian kami masing-masing mendiamkan diri dan menancapkan mata ke arah skrin LED.

“Abang tak fahamlah! Kenapa isteri dia masih nak pada suaminya yang kejam itu? Macam-macam yang dia buat pada isteri dia. Belah sajalah cari lelaki lain!” omelku.

“Dia terlalu cintakan suaminya, bang. Orang perempuan macam itulah. Bila seluruh jiwa raganya diberikan kepada orang yang dia cintai, dia sanggup buat apa saja untuk mempertahankan cintanya itu. Walaupun suaminya berbuat zalim padanya, dia tetap akan bertahan dan setia.” balas Adrina. Aku menjeling ke arah isteriku dengan perasaan kurang berpuas hati. Hujah yang tak masuk dek akal. Orang perempuan sememangnya kadang-kala tak masuk akal perbuatan mereka.

“Bodohnya orang perempuan yang berpendirian macam itu.” komenku.

“Rina berpendirian macam itu. Jadi abang fikir Rina ni bodohkah?” tanya Adrina kembali. Bungkam aku mendengarkan pernyataannya itu.

“Rina sanggup setia pada abang sungguhpun abang buat macam-macam perkara yang teruk pada Rina?” tanyaku dengan nada menduga. Adrina mengangguk.

“Cinta dan hati Rina semuanya dah Rina serahkan pada abang. Rina tak pernah terfikir akan mencintai sesiapapun selain dari abang.” balasnya pula. Aku terpegun. Tak tersangka akan keluar kata-kata tersebut daripada mulut seorang gadis yang digilai oleh hampir semua warga universiti suatu ketika dahulu. Adrina telah memilihku pada asalnya hanya sebagai bahan permainan dengan rakan-rakannya. Namun akhirnya beliau benar-benar telah memilihku sebagai teman hidupnya. Pun begitu sekali-sekala aku masih berasa sangsi dengan cintanya terhadapku. Kini kesangsian tersebut melebur dengan kata-katanya tadi. Aku mengangguk kecil.

“Abang sebelum ini tak pernah menyakiti Rina. Dan abang tak akan menyakiti Rina. Hati Rina yang ada pada abang akan abang jaga baik-baik. Dan abang berdoa kepada Allah agar abang setia pada Rina selama-lamanya di dunia ini hingga ke syurga nanti.” ungkapku. Adrina tersenyum. Merah benar pipinya mendengarkan kata-kataku tadi.

“Nampaknya Rina jauh lebih bertuah daripada Ersalina.” balasnya sebelum memelukku dengan erat.


- Bersambung pulok doooh.... -

No comments: