MetroPolis
Episod 3
Bab
17
Ahli
Baharu (Bah. Akhir)
Dua hari
kemudian. Di California, Amerika Sakit...
Superior
Grandmaster Raines tersengih dengan gaya angkuh melihatkan dua orang wakil
Organisasi yang datang ke kubu Doomrock dengan sebuah pesawat apung yang kecil.
Seorang dari mereka turun dari kenderaan tersebut dan maju ke arah Raines yang bersama
dengan anak-anak buahnya. Wajah wakil Organisasi tersebut adalah bersih dan
sedap dipandang mata. Manakala rakannya pula yang memakai kerudung seperti seorang
ahli sihir, mengekori secara santai dari belakang.
“Salam
sejahtera kepada yang mahu menerima petunjuk. Nama saya Amru. Di belakang saya
adalah tuan saya.” ucap lelaki berwajah manis tersebut. Raines tidak menjawab.
Beliau sebaliknya merenung Amru ke atas ke bawah beberapa kali. Nyatalah beliau
berniat mahu memperkecilkan lelaki muslim tersebut.
“Adakah kamu
ini seorang pendekar Emissary?” tanya Raines.
“Oh, tidak.
Saya bukan seorang Emissary. Malah saya bukanlah seorang tentera. Saya adalah
penterjemah kepada tuan saya. Ha, dia pula sememangnya seorang Emissary.”
maklum Amru dengan ramah-tamah. Raines dan konco-konconya ketawa
terbahak-bahak.
“Tahukah
kamu bahawa aku adalah seorang pendekar berpangkat Superior Grandmaster?
Tarafku ini adalah sama atau melebihi kekuatan dan kehebatan seorang pendekar
Emissary?” tanya Raines dengan angkuhnya.
“Ya, tuan
saya tahu tentang kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Kononnya taraf ini
baharu sahaja diwujudkan setelah Maharaja Adaj mencipta mantera Kabbalah yang
amat hebat. Kini mungkin Organisasi mampu diancam dengan serius oleh pihak
Masonik.” jawab Amru dengan sopan. Sedikitpun beliau tidak beremosi dengan
tindak-tanduk Raines tadi.
“Jadi
tentunya kamu sedar bahawa kalian berdua tak mungkin akan dapat keluar dari
sini hidup-hidup.” ancam Raines. Tiba-tiba tuan Amru yang berpangkat Emissary
tersebut bersuara. Amru mengangguk.
“Tuan saya
kata beliau ingin melihat sendiri kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Jadi
itulah sebab beliau datang ke mari.” maklum Amru. Raines dan konco-konconya
sekali lagi ketawa.
“Tuan kamu
seorang yang amat bodoh. Di sini sahaja terdapat seramai tiga puluh orang
pendekar bertaraf Superior Grandmaster dan enam puluh orang Grandmaster.
Malangnya nasibmu mendapat tuan sebodoh ini!” maklum Raines. Amru
menterjemahkan kata-kata Raines tadi kepada tuannya. Tuannya itu akhirnya
menyelak kerudung beliau. Terserlah wajahnya seorang anak muda dalam lingkungan
umur dua puluhan. Wajahnya juga amat bersih, namun sinar matanya bagaikan seekor
haiwan pemangsa. Beliau tersenyum gembira. Bibirnya kemudian mengorakkan
sesuatu kepada Amru.
“Tuan saya
memberitahu tadi bahawa dia sememangnya mengetahui akan jumlah pendekar
Superior Grandmaster di kubu Doomrock ini. Itulah sebabnya beliau bertandang ke
sini. Beliau mahu menguji kuasa Karamahnya ke tahap maksimum.” terjemah Amru.
Terangkat kening kanan Raines.
“Bodoh.
Memang bodoh. Baiklah, beritahu nama tuanmu sebelum aku bunuh, Amru. Agar dapat
kami memaklumkan kepada dunia akan kebodohan pihak Organisasi.” pinta Raines.
Amru tidak menjawab. Sebaliknya beliau melonjak ke belakang. Sungguhpun bukan
seorang tentera Organisasi, namun ternyata beliau bukanlah sembarangan orang.
“Oh, kau
juga mempunyai kuasa Karamah.” taakul Raines.
“Tuan
pendekar, nama tuan saya ialah Muhammad Zikrullah. Beliau amat dikenali dengan
nama Maharaja Debu Berlian. Kadang-kala orang memanggilnya dengan gelaran
Pendekar Abadi!” maklum Amru dengan nada teruja.
*************************************
Pada masa
yang sama di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak...
Para
pemberita terus menyerbu ke arah Erika, Monsson dan ratusan ahli kumpulan
mereka sebaik sahaja keluar dari bilik mahkamah. Ternyata pembubaran dan
penyerahan diri secara beramai-ramai dua kumpulan samseng yang tersohor di
Perak ini menjadi perbualan hangat semenjak peperangan triad. Namun sebenarnya
tumpuan para pemberita tersebut bukanlah pada geng Terendak Biru dan Neon
Melambai. Sebaliknya mereka ingin mendapatkan ulasan serta komen daripada
timbalan pemimpin MetroPolis sendiri iaitu Nazrul.
“Tuan
Nazrul, benarkah penyerahan serta pembubaran kumpulan Terendak Biru dan Neon
Melambai adalah bersyarat?” tanya salah seorang wartawan dalam hingar-bingar
soalan yang singgah di telinga Nazrul. Nazrul yang kurang biasa berinteraksi
dengan orang ramai mengetuk-ngetuk mikrofon terlebih dahulu.
“Aaa...
salam sejahtera. Untuk jawapan encik tadi... Jawapannya ialah ya. Kedua-dua
kumpulan ini bersetuju untuk membubarkan serta menyerah diri dengan syarat
hukuman ke atas mereka diringankan oleh pihak mahkamah. Saya telah mengemukakan
tawaran mereka kepada Peguam Negara dan Peguam Negara telah bersetuju dengan
tawaran tersebut oleh kerana jenayah yang mereka lakukan adalah kecil-kecilan.
Tiada rekod jenayah berat yang direkodkan oleh pihak kami mahupun
syarikat-syarikat polis yang lain setakat hari ini. Sekian, terima kasih.”
perjelas Nazrul dengan panjang lebar. Ternyata beliau dapat mengendalikan
soalan tersebut dengan baik sekali sungguhpun nampak kekok dan gelabah.
“Apa komen
tuan tentang cadangan Peguam Negara dan arahan pihak mahkamah agar kesemua ahli
kumpulan Terendak Biru dan Neon Melambai ini diserapkan dalam MetroPolis?”
tanya seorang wartawan yang lain.
“Aaa...
terima kasih kerana bertanya. Peguam Negara dan pihak kami telahpun berbincang
panjang mengenai hal ini dan kami bersetuju untuk arahan tersebut kerana ianya
adalah sebahagian daripada hukuman iaitu kerja-kerja komuniti terhadap
masyarakat. Peguam Negara berpandangan bahawa MetroPolis adalah syarikat polis
terbaik untuk mengawal selia bekas ahli-ahli kumpulan ini atas rekod baik dan
cemerlang kami. Sekian, terima kasih.” jawab Nazrul. Temuramah ini disiarkan
secara langsung dan terpapar di skrin-skrin teleholo seluruh negara.
Di suatu
sudut yang agak suram, seorang lelaki dalam pertengahan umur merintih dan
mengerang kesakitan di sofa malasnya. Tubuhnya becak bermandikan peluh. Namun
beliau yang juga sedang menonton siaran langsung temuramah wartawan dengan
Nazrul tersebut kelihatan tersenyum. Kemudian ketawa.
“MetroPolis
bodoh! Nanti kau tahulah nasibmu! Kalian belum sedar bahawa kalian sedang masuk
ke dalam perangkap kami. Haha!” komen lelaki tersebut dengan begitu payah dan
jerih sekali. Setelah diamat-amati, ternyata beliau adalah Dato’ Seri Khamal
yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada masa kini. Namun beliau yang kini
jarang menampilkan diri semenjak insiden kunjungan Emissary Mayhem kelihatan
amat sakit dan menderita sekali. Tubuhnya kelihatan diselaputi dengan asap
nipis. Dahinya pula kini bercacah dengan tatu bercorak bulatan dengan
simbol-simbol kuno yang pelik.
“Kuasa...
aku dapat merasakan kuasa di segenap tubuhku...” ujar Dato’ Seri Khamal. Beliau
bercakap seorang diri di dalam kamarnya yang gelap dan berselerak tersebut.
“Ya... kuasa
ini akan menjadi milikmu! Kau akan mempunyai kuasa yang hebat dan luarbiasa.
Kau mampu mengalahkan pendekar Emissary selepas ini, Khamal...” ujar Dato’ Seri
Khamal pula. Namun suara yang terpacul dari mulutnya adalah amat berbeza lagi
menakutkan.
“Aku tak
mahukan pendekar Emissary! Aku... aku mahukan Mayhem!” bentaknya pula yang mana
kali ini adalah suaranya yang sebenar.
“Ya... kalau
itu yang kau mahukan...” ujar Dato’ Seri Khamal pula dengan suara garau tadi.
Seolah-olah beliau kini dirasuk oleh sesuatu. Perdana menteri ini kemudiannya
ketawa terbahak-bahak. Semakin lama semakin keras dan lantang. Malah terdapat
gabungan suara tawanya bersama suara-suara lain yang juga muncul dari mulutnya.
“Hidup
Maharaja Adaj! Hidup Maharaja Adaj! Tuhan yang paling berkuasa!” pekik Dato’
Seri Khamal sekuat-kuat hatinya. Keadaan beliau sememangnya mengerikan dan
meremangkan bulu roma.
*************************************
Kubu
Doomrock, beberapa jam kemudian...
Raines hanya
mampu melutut ke tanah. Seluruh tubuhnya menjadi kaku dan mengeras. Baharulah
beliau mengetahui mengapa orang menggelarkan lawannya ini Debu Berlian.
Baharulah juga Raines menyedari mengapa ada pula menggelarkan lawannya ini
sebagai Pendekar Abadi.
“Nampaknya teknik
menyebatikan tubuh manusia dengan molekul kristal pasirku masih belum dapat
diatasi. Apa gunanya ilmu sehebat langit dan bumi sekalipun kalau kau tak dapat
mencegah molekul kristal yang kau tidak nampak?” tempelak Maharaja Debu
Berlian. Tubuh pendekar Organisasi tersebut mengalami kecederaan yang amat
parah. Namun cepat sahaja ianya beransur pulih dan daging pada tubuhnya yang
bercerai-berai beransur-ansur tumbuh daging yang baharu.
“Sudah
hampir lima ratus tahun aku melihatkan perkembangan manusia yang seiring dengan
perubahan dunia ini. Engkau tentu terfikir bahawa adalah bosan bila hidup
selama itu. Namun sebenarnya aku berasa amat seronok dan teruja. Hidup ini
sesungguhnya amat bererti sungguhpun aku akan hidup untuk seribu tahun lagi. Contohnya
pada hari ini. Hari ini sememangnya hari yang amat menggembirakan hati.” ceceh
Debu Berlian. Raines yang dikakukan dengan kuasa Karamah lawannya hanya mampu
ternganga tanpa dapat menguit walau seinci sekalipun. Sebelum ini beliau
menjerit dengan penuh sengsara apabila berbillion butir-butir molekul kristal
pasir masuk ke dalam tubuhnya melalui liang-liang roma dan mula menyebatikan
diri dengan tulang, darah serta dagingnya. Kini beliau tidak mampu bersuara
kerana peti suaranya sudah mulai mengeras seperti batu. Nyawa beliau ternyata
kini dihujung tanduk. Nasib yang sama turut dialami oleh rakan-rakan
seperjuangannya yang kini bagaikan patung-patung hiasan taman.
“Bagus juga
kau merakamkan pertarungan kita untuk disiarkan ke seluruh dunia. Nanti seluruh
dunia akan dapat melihat bagaimana orang-orang yang angkuh sepertimu dan
rakan-rakanmu dihapuskan. Pun begitu, ternyata kekuatan pendekar Superior
Grandmaster adalah amat menakutkan. Aku akur pada kehebatan dan ancaman
kalian.” ujar Debu Berlian lagi. Di hadapan mereka kelihatan kubu Doomrock yang
keseluruhannya terapung di udara bersama jutaan kubik padu meter tanah yang
menjadi tapak pada kubu tersebut.
“Apa
sangatlah kehebatan kubumu ini jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah
kepadaku!” sindir Debu Berlian sebelum mengais-ngais jari-jemari kanannya ke udara.
Kubu Doomrock tersebut seolah-olah diterbalikkan dengan tangan ghaib dan
kemudian terhempas ke bumi bersama ribuan manusia di dalamnya. Bunyi dentuman
dan gegaran yang amat menakutkan bergema di segenap ruang sehingga mencapai
sejauh lima kilometer radius. Tubuh Raines yang semakin mengeras retak seribu
akibat dihentam dengan kuasa gegaran tadi. Nyawanya melayang serta-merta.
Beberapa minit kemudian debu-debu yang melitupi Maharaja Debu Berlian dan arwah
Raines mula surut.
“Sudah
mati.” omel Debu Berlian. Beliau memandang ke arah kamera perakam robotik yang
turut rosak akibat gegaran tadi.
“Sayangnya
kalian tak dapat melihat Karamahku ini pula.” ujar Debu Berlian seraya
menghalakan telapak kanannya ke arah mayat Raines. Sebaik sahaja beliau
menggenggam tangan tersebut, suatu sfera lutsinar muncul di sekeliling mayat
lawannya.
“Sembilan
skala Richter.” ucap Debu Berlian sebelum membuka kembali genggamannya.
Serta-merta tubuh Raines meledak bersama-sama tanah di dalam lingkungan sfera
tersebut menjadi debu-debu yang halus.
-
Bersambung -
No comments:
Post a Comment