Zero Hero SE
Bab 5
Ada Apa Dengan Shahiezy Sam?
Beberapa
hari kemudian...
“Shahiezy Sam menang anugerah bintang popular.
Haii.. memang boleh jadi legend dia ini.” Mulutku terkumat-kamit
memberikan komentar sementara kedua tanganku menyelak-nyelak helaian akhbar.
Sementelahan Adrina bersama bapanya pergi ke Italy selama seminggu, aku
mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung. Aku tiba malam tadi. Kini aku
sedang melepak-lepak di dapur bersama ibuku. Aku begitu enak sekali membaca
akhbar sedangkan ibuku ke sana-sini sibuk menyediakan sarapan pagi. Sungguhpun
nampak tidak patut, namun ibuku yang mementingkan kesempurnaan tidak mahu
sesiapa menolongnya.
“Kamu balik seorang macam bergaduh dengan Sirina
aje.” omel ibuku. Aku tersenyum. Biasalah orang Perak menggunakan perkataan
‘si’ atau ‘se’ bagi panggilan orang-orang yang rapat dengan mereka.
“Taklah, mak. Kami mana ada gaduh-gaduh? Rina ikut
bapaknya ke Italy untuk urusan kerja. Saya buat apa nak ikut? Kot la pergi ke
Jeddah ke, bolehlah ikut sekali untuk buat umrah. Ooh... lawanya Fazura. Saya
dan Shahiezy hanya kawan biasa sahaja. Betul! Betul! Fazura hak aku.” Aku
sempat merapu selepas membalas kata-kata ibuku. Inilah bahananya kalau
penumpuan separuh di akhbar dan separuh lagi terhadap ibuku.
“Kamu ni betul ke tak nak kerja elok-elok? Nak pergi
berniaga burger pula?” Akhirnya ibuku meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Semalam bila aku memaklumkan akan niatku untuk berniaga kecil-kecilan, ibuku
tergamam. Tak banyak yang beliau komen. Aku pasti semangatnya yang dah terbang
semalam kembali masuk ke dalam tubuh pada pagi yang nyaman ini.
“Berniaga burger tu kerja yang eloklah! Rezeki yang
halal.” tingkahku.
“Memanglah, mak tau. Tapi dulu kau bergaji dua puluh
ribu lebih. Kalau berniaga burger cuma dapat dalam dua ribu saja kot? Nanti apa
pula kata Sirina? Gaji dia sepuluh ribu lebih. Jaga-jaga, Rip. Orang perempuan
ni kalau kedudukannya lebih tinggi daripada suami, dia akan hilang hormat pada
suaminya. Mak kamu ni dah lama hidup di dunia. Mak dah banyak tengok perkara
semacam itu.” ujar ibuku memberikan peringatan. Aku terdiam.
“Kalau Adrina ranggi sangat nanti, saya nikah saja
dengan perempuan lain.” balasku dengan nada melawak.
“Nikah lain? Hah, elok juga tu! Mak ada ramai anak
dara nak disuakan pada kamu. Kamu nak?” pelawa ibuku dengan nada teruja. Aku
mengeluh panjang.
“Mak, sudahlah tu. Saya bahagia dengan Rina. Kenapa
pula saya nakkan perempuan lain?” tikaiku.
“Yalah, mak tahu kamu memang bahagia. Tapi apa
gunanya kalau tak ada anak? Zuriat itu bukan setakat kesinambungan pada
keturunan kita, Rip. Ia juga jadi penyeri dalam hidup kamu berdua. Itu sebabnya
orang panggil sebagai cahayamata.” Mulalah ibuku mengemukakan hujah-hujahnya.
Ibuku ini memang petah dan bernas dalam berkata-kata walaupun selepas MCE
beliau terus berhenti sekolah dan menjadi surirumah sepenuh masa hingga
sekarang. Aku fikir Professor Dr. Muhaya pun pasti berasa teruja kalau nak
berdebat dengan ibuku.
“Boleh ke rumahtangga kami berseri kalau saya
meretakkan hati isteri saya?” balasku kembali. Aku berpandangan bahawa
memulangkan paku buah keras sebegini memang tidak wajar. Boleh terjerumus ke
lembah kederhakaan. Kalau ada Sultan Melaka lagi di zaman ini, mau disuruhnya
Hang Tuah pergi membunuhku. Namun aku berasakan bahawa aku perlu mempertahankan
juga cinta Adrina terhadapku. Tambah-tambah lagi setelah apa yang kujanjikan
kepadanya tempohari. Janji mesti ditepati. Kecuali bab untuk tidak selalu
menyepahkan rumah. Aku memang selalu tergoda oleh hasutan syaitan yang direjam.
Aku pasrah...
“Emh! Kamu memang pandai bila menjawab. Mak cakap
apapun ada sajalah jawapan yang kamu bagi. Lantaklah. Kamu pun dah besar
panjang. Belajar lagi tinggi daripada mak. Memanglah hujah kamu lebih baik.”
omel ibuku dengan nada rajuknya. Aku tersenyum kelat. Ibuku cukup sensitif
semenjak kematian abang sulungku. Jadi seboleh-bolehnya kami adik-beradik cuba
mengelakkan untuk berselisih faham dengan beliau. Aku membiarkan ibuku
memuncungkan bibirnya buat seketika. Sekejap lagi aku akan cuba mententeramkan
perasaannya.
**************************
Dua hari kemudian, aku sudahpun berada di Kuala
Lumpur. Setelah mendapatkan permit untuk berniaga, aku mengupah tukang untuk
membuat gerai burger yang sesuai untuk kutolak masuk ke dalam kedai makan Pak
Cik Tow setelah habis berniaga. Beliaulah yang telah kubantu sewaktu
berehat-rehat di luar klinik tempohari. Waktu perniagaanku adalah dari jam enam
petang hingga ke sepuluh malam. Pak Cik Tow menutup perniagaannya awal kerana
bimbang disamun. Pun begitu, tidak sepertiku, kedai makan beliau mula dibuka
seawal jam tujuh pagi lagi. Atas persetujuan kami berdua, aku akan membayar
sepuluh peratus dari keuntungan bersihku padanya setiap hari. Pandai orang tua
ini berniaga. Mujurlah dia bukan berbangsa Yahudi.
Pak Cik Tow meneriak kepada para pelanggannya dalam
bahasa Cina sambil menunding-nunding ke arahku. Aku fikir mungkin beliau sedang
mempromosikan perniagaanku kepada mereka. Aku tersenyum sambil melambai-lambai
ke arah mereka. Perasaan gemuruhku jangan cakaplah. Mereka yang kebanyakannya
warga emas membalas dengan senyuman dan anggukan. Salah seorang daripada mereka
berkata-kata dalam bahasa Cina juga. Amboi, bukan main gah lagi tatu di
tangannya. Sahih gengster ni.
“Alif,
satu burger ayam. Itu taiko mau.”
Tiba-tiba Pak Cik Tow bersuara. Wah! Cepat sahaja rezeki Allah datang kepadaku.
Aku tersenyum dan terus menguruskan pesanan tersebut. Oleh kerana sudah
terbiasa memasak, aku tidak begitu berasa kekok. Beberapa minit kemudian,
burgerku telah siap. Aku mengarahkan langkah ke arah pelanggan pertamaku dan
terus menghulurkan bungkusan burger tadi.
“Dah siap, bang.” maklumku berbasa-basi.
“Saya mau makan sini.” maklum taiko itu pula.
Berubah air mukaku. Rasa nak pecah air ketuban. Nampak benar aku ini amatur.
“Sorry, sorry bang.” pohonku sebelum
tergesa-gesa meninggalkan taiko
tersebut. Aku meminta pinggan daripada Pak Cik Tow. Beliau menghulurkannya
dengan tawa gelihati. Makin merah padam mukaku. Aku mesti melakukan sesuatu
agar dapat menaikkan reputasiku di mata mereka. Setelah mengalihkan burger tadi
ke pinggan melamine dengan cermat, aku menggesakan diri kepada taiko tadi.
“Siap! Sorry
pasal tadi, bang.” pohonku lagi. Taiko
tersebut tersenyum dan menyeluk ke dalam dompetnya. Berkeping-keping not lima puluh
di dalam dompet tersebut. Duit upah pukul orang gamaknya.
“Berapah?”
tanyanya dengan lembut. Mungkin beliau mengetahui perasaan malu dan gementarku
sekarang.
“Err, tak
payah. Hari ini hari opening saya
bisnes. Jadi saya belanja. Semua orang yang nak makan burger, order saja. Saya belanja! Tapi seorang
satu sahaja.” ujarku yang menguatkan suara di akhir bait-bait kata. Terbeliak
mata taiko tersebut. Beliau kemudiannya
tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Dan seperti kuduga, hampir kesemua
pelanggan yang berada di kedai makan tersebut mulai memesan burger daripadaku.
**************************
“You gila la Alif.
You kasi semua orang burger free.” komen Pak Cik Tow. Aku yang
sedang mengemaskan gerai burgerku tersenyum.
“Macam mana burger saya, uncle? Okey tak?” tanyaku. Pak Cik Tow juga turut kujamu dengan
burger percuma. Orang tua tersebut mengangguk. Sekoyong-koyongnya seorang
pelanggan lelaki berbangsa Cina beliau mendekati kami.
“Ada lagi burger free
tak?” tanyanya. Daripada cara beliau berpakaian, aku dapat mengagak bahawa
beliau ialah seorang penuntut institusi pengajian tinggi. Aku tersenyum seraya
menggelengkan kepala.
“Sorry,
dah habis. Esok insyaaAllah ada. Tapi
bukan free lagi.” jawabku dengan
sulaman gurauan. Pemuda tersebut tersenyum kelat dan terus berlalu pergi. Pak
Cik Tow menggelengkan kepala.
“Orang Cina muda sekarang tak tau mau hormat sama
orang tua lagi.” komennya dengan nada kesal. Aku tersenyum mendengarkan
kata-katanya itu. Aku fikir begitu jugalah dengan sesetengah muda-mudi
berbangsa Melayu.
“Okey, uncle
Tow. Saya hari ini bayar upah dengan burger saja. Saya nak balik sekarang. Terima
kasih sebab bagi saya peluang berniaga di sini.” ucapku dengan sopan. Pak Cik
Tow ketawa. Mungkin masih berasa gelihati dengan caraku yang sungguh amatur
tadi. Belum sempat aku melangkah, tiba-tiba sekelibat tubuh lalu di hadapanku
dengan pantas. Hampir sahaja kami berlaga.
“Hah, itulah. Itulah tukang masak cilaka tu.” maklum Pak Cik Tow sambil
memuncungkan bibirnya ke arah lelaki yang hampir melanggariku tadi. Lelaki
tersebut tergopoh-gapah pergi meninggalkan kedai tanpa meminta izin Pak Cik
Tow. Aku cuma memandang beliau dengan gelengan kepala.
“Dia setujukah dengan tawaran uncle?” tanyaku dengan perasaan ingin tahu.
“Hm, ya!
Dia jadi uncle punya partner untuk tiga bulan. Sikit bulan
lagi dia tau la dia punya nasib!”
jawab Pak Cik Tow. Aku mengangguk. Sudah jadi rakan kongsi rupa-rupanya.
Patutlah ranggi sangat.
**************************
Malam itu aku berhubung dengan Adrina melalui webcam. Isteriku tadi sedang dalam
perbincangan dengan para pembekal. Namun sempat juga beliau mencuri masa untuk
berbual denganku.
“Sayang nampak cantik sekali.” pujiku. Adrina
tersenyum dan ketawa.
“Kalau abang suka, Rina akan selalu pakai macam ini
bila di rumah untuk abang saja.” balas Adrina.
“Kalau di rumah, tak payah pakai apa-apa lagilah best!” ujarku berlawak. Isteriku ketawa
besar dan kemudian mengacungkan buku limanya ke arahku.
“Macam mana dengan hari pertama berniaga?” tanya
Adrina.
“Kelam-kabut dan tunggang-langgang. Tapi nampaknya
ramai yang suka dengan masakan abang. Tak ada pun yang terluak dan dibuang.”
maklumku.
“Ha! Kan Rina dah kata yang masakan abang sedap?”
puji isteriku. Aku senyum dan mengangguk.
“Maaf, ya bang? Rina tak dapat datang ke gerai
burger abang pada hari pertama pembukaan.” pohon Adrina.
“Tak mengapa. Bukan ada apa-apa yang hebat pun. Ah, lupa nak beritahu! Sebelum itu abang
pergi ke rumah mak di Ipoh.” maklumku. Serta-merta jelas padaku perubahan wajah
di muka isteriku.
“Mak tanya perkara yang sama ke?” tanyanya. Aku
mengangguk. Adrina juga turut mengangguk dengan senyuman tawar.
“Oh, ya! Ada seperkara lagi. Mak risau sebab
kedudukan dan gaji Rina sekarang lebih tinggi daripada abang.” maklumku.
“Kenapa pula?” tanya Adrina dengan nada kehairanan.
“Dia kata nanti Rina akan hilang rasa hormat pada
abang.” jawabku. Wajah isteriku berkerut dan kemudian menggeleng-gelengkan
kepala.
“Dulu mama pun pernah cakap begitu. Dia risau
kalau-kalau bila dah berkahwin nanti, Rina akan menghina abang dengan
mengungkit-ungkit tentang status famili Rina dan famili abang. Tapi Rina tak
pernah buat begitu. Malah Rina pergi memperdalamkan pengetahuan agama supaya
Rina tahu cara yang betul bagaimana nak menghormati dan melayani abang. Walau
apapun keadaan atau kedudukan abang sekarang dan akan datang, abang tetap suami
Rina dan Rina tetap selama-lamanya di bawah abang.” Perbualan kami terganggu
bila terdengar suara bapa mertuaku memanggil Adrina. Mungkin kerana beliau
terlalu lama mencuri masa.
“Maaf, bang. I’ve
got to go. I love you. Always and forever. Muah!” ucapnya. Aku juga
membalas dengan ciuman jarak jauh. Seketika kemudian skrin di komputer ribaku
menjadi kelam. Namun aku masih termenung di antara perasaan lega dan bimbang.
Ternyata kata-kata ibuku masih memberi kesan yang ketara pada jiwaku.
- Bersambung lagiiii.... -
No comments:
Post a Comment