Pada dua puluh tahun akan datang...
Yusoff Tanthowi merenung tidak berkelip ke arah wanita yang berjalan ke arahnya sebaik sahaja kes beliau dipanggil. Noda kehitaman pada bahagian mata kiri wanita tersebut menunjukkan bahawa ianya adalah kesan pecah darah akibat dipukul dengan kuat. Wanita tersebut yang kini duduk di hadapan beliau mengukirkan senyuman semanis mungkin. Namun palit kepahitannya begitu jelas pada mata Qadhi di jabatan Munakahat ini.
"Puan Aqeera, awak dipukul oleh suami awak lagikah?" tanya Yusoff dengan nada mendatar. Beliau seboleh-bolehnya cuba mengawal emosi kemarahan dan cuba bertindak dengan seadil-adilnya. Wanita yang bernama Aqeera tersebut mengangguk kecil.
"Sudah buat laporan polis?" tanya Yusoff. Aqeera menggeleng.
"Sudah pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan?" tanya Yusoff. Aqeera menggeleng lagi.
"Sikit saja, tuan Qadhi. Tak perlulah saya ke hospital." balas Aqeera untuk menjustifikasikan keputusannya itu sungguhpun tidak kedengaran suara mengeluh atau merengus daripada hakim bahagian munakahat di hadapannya ini.
Yusoff memandang ke arah kedua-dua pembantunya yang juga bertindak sebagai jurubahasa mahkamah munakahat tersebut.
"Ameena, hubungi Sarjan Alimuddeen dan minta dia datang ke mari dengan buku laporan." arah Yusoff. Beliau kemudian memandang ke arah Aqeera.
"Puan akan dibawa ke klinik di mahkamah kami oleh jurubahasa saya, Sakeenah sekejap lagi. Puan akan diperiksa dan dirawat oleh doktor pakar kami di sana. Dalam masa yang sama Sarjan Alimuddeen akan mengambil keterangan puan dan juga saksi-saksi, jika ada. Kedua-dua laporan polis dan perubatan akan diserahkan ke tangan saya pada hari ini juga. Dan oleh kerana suami puan saya kini anggap sedang melarikan diri, petang ini juga saya akan mewartakan waran tangkap untuknya. Sebaik saja dia menjejakkan kaki ke bumi Daulah Maddaniah, polis akan menangkapnya dan beliau akan dibawa ke hadapan saya untuk memberikan tunjuk sebab." maklum Yusoff. Tersentak Aqeera mendengarkan pemberitahuan tersebut.
"Err... err... dia akan ditangkap?" tanya Aqeera. Yusoff mengangguk.
"Di negara kami, al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah pegangan kami. Keadilan adalah teras kami. Kaum wanita kami muliakan dan kami tidak benarkan sebarang bentuk kezaliman dilakukan ke atas mereka. Sungguhpun puan dan suami adalah rakyat Malaysia, namun kalian berdua telah bernikah di sini dan oleh kerana itu kalian adalah tertakluk pada undang-undang kami." perjelas Yusoff.
"Sebenarnya... sebenarnya saya isteri isteri dia... yang kedua." maklum Aqeera.
"Jadi puan berasakan bahawa puan patut dianiaya sebegini rupa sebab puan sebelum ini menganiaya isteri pertama suami puan dengan menjadi isteri keduanya?" tanya Yusoff. Aqeera tunduk. Kemudian beliau mengangguk. Air matanya dengan tidak semena-mena beruraian mengalir.
"Dalam hati kecil puan, apa sebenarnya yang puan mahu?" tanya Yusoff.
"Saya mahukan suami saya yang dulu. Yang sayangkan saya. Yang tak memukul saya. Saya tak mahu berasa sakit lagi. Saya mahu bahagia." jawab Aqeera dalam sendunya. Yusoff senyum.
"Semua wanita mahukan itu, puan. Jadi saya akan cuba membantu puan. Saya tukar arahan saya tadi. Saya dan akan mengeluarkan permohonan ektradisi terhadap suami puan agar beliau ditangkap di Malaysia dan diserahkan kepada pihak kami untuk dibicarakan. Jika terbukti dia memukul puan, maka kami akan memenjarakannya, merampas sebahagian hartanya untuk diserahkan kepada puan sebagai gantirugi dan memberinya kaunseling. Jika dia nampaknya masih tidak insaf dan menyakiti puan, maka kami akan memfasakhkan perkahwinan puan dengan suami puan. Lebih baik begitu. Lagipun di Daulah Maddaniah, ada ramai lelaki yang baik untuk dijadikan suami dan boleh insyaaAllah mereka mampu memenuhi impian puan tadi. Saya pasti di Malaysia juga ramai lagi lelaki yang baik." perjelas Yusoff. Aqeera kini mampu meriakkan senyuman gembiranya yang sebenar.
Daulah Maddaniah : negara Islam yang ditubuhkan oleh sebilangan billionair Islam untuk menghidupkan cara hidup Islam mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Negara kecil ini kini amat dihormati oleh negara-negara Islam lain dan digeruni oleh Zionis dan sekutu-sekutunya.
4 comments:
pendeknya...kasi panjang sikit wpun cerita pendek..hehe...
Tak pe la buat pendek-pendek tapi padat. Hehee...
moga2 akan tertubuh gak la negara yg diimpikan nih.. insyaALLAH amin.. :)
Saya pun berimpian yang sama.
Post a Comment