Saturday, May 25, 2013

Blackout 505 - Suara Hati Sebenar Majoriti Rakyat Malaysia?

Syukur kepada Allah kerana perhimpunan Blackout 505 berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang buruk. Aku pun ada perhimpunan blackout juga tapi di Sungai Limau, Perak. Bapa saudaraku telah kembali ke rahmatuLlah pada pagi itu.

Melihatkan pada jumlah yang sangat besar pada perhimpunan tersebut, kita tentunya mempunyai impresi bahawa ini adalah suara hati rakyat yang majoritinya tidak redha dengan kerajaan yang berkuasa sekarang. Para penyokong kerajaan pula mungkin berkata tindakan seperti ini adalah kebudak-budakkan dan membuang masa. Aku yang melepak atas pagar ini separuh bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Aku tahu bahawa majoriti (atau semua) yang telah menyertai Balackout 505 semalam berpandangan bahawa kerajaan sekarang akan tetap berkuasa sungguhpun beribu petisyen difailkan di mahkamah untuk mencabar keputusan PRU13 lalu. Jadi mereka mahu menunjukkan tanda tidak redha mereka dari awal-awal lagi. Aku fikir aku memahami perasaan mereka dan dengan itu aku tidak berpendapat bahawa mereka ini membuang masa.

Namun aku juga bersetuju bahawa ianya agak kebudak-budakkan. Kita semua sedar bahawa tidak banyak impak yang boleh diberi oleh Blackout 505 ini. Mungkin kerajaan akan lebih lunak dan 'bersopan' dengan rakyat, namun mereka masih tetap berkuasa. Mungkin tahun depan mereka akan naikkan lagi kadar insurans kenderaan, menguatkuasakan GST serta AES dan paling buruk mungkin menaikkan lagi kadar petrol RON95. Segalanya mungkin. Dan kita rakyat marhaen ini akan terus mengadakan demonstrasi untuk memberitahu perasaan tidak puas hati kita. Tetapi setakat itu sahaja.

Aku fikir sudah tiba masanya rakyat, lebih-lebih lagi bangsa Melayu membuat sesuatu yang lebih proaktif untuk melepaskan diri kita dari terlalu bergantung kepada kerajaan tak kira BN atau PR (mungkin pada penggal akan datang). Aku berpandangan bahawa orang Cina dan rakyat negeri Kelantan sudah lama berbuat demikian dan oleh kerana itu mereka tidak peduli akan ugutan dan gula-gula pembangunan daripada kerajaan. Apa tandanya rakyat tidak lagi bergantung kepada kerajaan? Bilamana kita tidak lagi berbaris untuk mengambil BR1M pada penghujung penggal pemerintahan kerajaan BN nanti. Pada masa itu nanti baharulah kita rakyat marhaen ini mempunyai kuasa rakyat yang sebenar.

Yang comel dan tak comel tentang Gwiyomi

Bahkan anakku Sarah yang baharu berumur 11 bulan juga menyukai Gwiyomi! Tapi mujurlah versi Wawa Zainal dan bukan versi Abon. Haha!

Aku berpandangan bahawa tak usahlah kita beranggapan terlalu negatif tentang budaya Gwiyomi ini. Gangnam Style dulu lagilah teruk! Sangat suggestive dan menjolok mata. Cuma aku berasakan bahawa sebagai seorang muslimah, sebelum kita mempamerkan aksi-aksi comel tersebut untuk tatapan manusia seluruh dunia di youtube, eloklah kita menutup aurat dengan sempurna kerana kalau tak, kita akan mendapat dosa global dengan tak tentu pasal. Ada seorang artis Muslimah yang tak menutup aurat telah ditatap lebih dari 700 ribu kali setakat ini. Bayangkan berapa global dosanya pada masa ini dan akan datang!

Bagi lelaki Muslim pula, ada yang melakukan aksi pelik-pelik semasa ber-gwiyomi seperti memasukkan kaki ke mulut dan memakai ala-ala perempuan bertudung dengan harapan untuk menjadi bahan ketawa orang ramai. Terdapat hadis yang makbul (diterima kerana tarafnya sahih/hasan) yang mana Rasulullah SAW melarang seseorang Muslim itu melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dianggap pelik dan dipandang serong oleh orang lain. Ini adalah demi untuk menjaga maruah agama Islam itu sendiri. Bayangkanlah kalau seorang non-Muslim yang melihat perlakuan kita di youtube dan kemudian mencerca agama kita. Murah benarkah maruah orang Islam semata-mata kerana mahu glamour?

Thursday, May 16, 2013

K-Pop dan Boria

Saya agak hairan melihatkan kegilaan remaja pada lagu-lagu dan artis-artis K-Pop ni. Budaya K-Pop ni mula menarik perhatian saya akibat kegilaan dunia pada Opah Gangnam Style. Saya pun selongkarlah semua lagu-lagu K-Pop yang ada dalam Youtube. Oh, bolehlah tahan juga lagu dia. Kebanyakan mereka tak mempunyai vocal power. Jadi mungkin kerana itu mereka menyanyi beramai-ramai. Teringat pula saya pada kumpulan Boria masa kecil-kecil dulu. 

Kalian tak tahu apa itu boria? Boria berasal dari Penang dan mereka juga mennyanyi dan menari beramai-ramai. Pakaian mereka juga bling-bling habis tetapi tidaklah seksi sampai mata saya cekang menatap skrin komputer. Haha! 

Pada zaman saya remaja dulu, kami gilakan rock dan metal. Saya fikir budaya rock dan metal lebih dahsyat dan teruk dari K-Pop. Pun begitu saya berharap adik-adik peminat K-Pop agar hanya meminati lagu-lagunya sahaja dan taklah hingga melanggar batasan akidah dan kesusilaan kerana mahu meniru mereka.

Opah Gangnam Style!

MetroPolis Ep 3 Bab 17 - Ahli Baharu (bah. akhir)



MetroPolis Episod 3
Bab 17
Ahli Baharu (Bah. Akhir)



Dua hari kemudian. Di California, Amerika Sakit...

Superior Grandmaster Raines tersengih dengan gaya angkuh melihatkan dua orang wakil Organisasi yang datang ke kubu Doomrock dengan sebuah pesawat apung yang kecil. Seorang dari mereka turun dari kenderaan tersebut dan maju ke arah Raines yang bersama dengan anak-anak buahnya. Wajah wakil Organisasi tersebut adalah bersih dan sedap dipandang mata. Manakala rakannya pula yang memakai kerudung seperti seorang ahli sihir, mengekori secara santai dari belakang.

“Salam sejahtera kepada yang mahu menerima petunjuk. Nama saya Amru. Di belakang saya adalah tuan saya.” ucap lelaki berwajah manis tersebut. Raines tidak menjawab. Beliau sebaliknya merenung Amru ke atas ke bawah beberapa kali. Nyatalah beliau berniat mahu memperkecilkan lelaki muslim tersebut.

“Adakah kamu ini seorang pendekar Emissary?” tanya Raines.

“Oh, tidak. Saya bukan seorang Emissary. Malah saya bukanlah seorang tentera. Saya adalah penterjemah kepada tuan saya. Ha, dia pula sememangnya seorang Emissary.” maklum Amru dengan ramah-tamah. Raines dan konco-konconya ketawa terbahak-bahak.

“Tahukah kamu bahawa aku adalah seorang pendekar berpangkat Superior Grandmaster? Tarafku ini adalah sama atau melebihi kekuatan dan kehebatan seorang pendekar Emissary?” tanya Raines dengan angkuhnya.

“Ya, tuan saya tahu tentang kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Kononnya taraf ini baharu sahaja diwujudkan setelah Maharaja Adaj mencipta mantera Kabbalah yang amat hebat. Kini mungkin Organisasi mampu diancam dengan serius oleh pihak Masonik.” jawab Amru dengan sopan. Sedikitpun beliau tidak beremosi dengan tindak-tanduk Raines tadi.

“Jadi tentunya kamu sedar bahawa kalian berdua tak mungkin akan dapat keluar dari sini hidup-hidup.” ancam Raines. Tiba-tiba tuan Amru yang berpangkat Emissary tersebut bersuara. Amru mengangguk.

“Tuan saya kata beliau ingin melihat sendiri kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Jadi itulah sebab beliau datang ke mari.” maklum Amru. Raines dan konco-konconya sekali lagi ketawa.

“Tuan kamu seorang yang amat bodoh. Di sini sahaja terdapat seramai tiga puluh orang pendekar bertaraf Superior Grandmaster dan enam puluh orang Grandmaster. Malangnya nasibmu mendapat tuan sebodoh ini!” maklum Raines. Amru menterjemahkan kata-kata Raines tadi kepada tuannya. Tuannya itu akhirnya menyelak kerudung beliau. Terserlah wajahnya seorang anak muda dalam lingkungan umur dua puluhan. Wajahnya juga amat bersih, namun sinar matanya bagaikan seekor haiwan pemangsa. Beliau tersenyum gembira. Bibirnya kemudian mengorakkan sesuatu kepada Amru.

“Tuan saya memberitahu tadi bahawa dia sememangnya mengetahui akan jumlah pendekar Superior Grandmaster di kubu Doomrock ini. Itulah sebabnya beliau bertandang ke sini. Beliau mahu menguji kuasa Karamahnya ke tahap maksimum.” terjemah Amru. Terangkat kening kanan Raines.

“Bodoh. Memang bodoh. Baiklah, beritahu nama tuanmu sebelum aku bunuh, Amru. Agar dapat kami memaklumkan kepada dunia akan kebodohan pihak Organisasi.” pinta Raines. Amru tidak menjawab. Sebaliknya beliau melonjak ke belakang. Sungguhpun bukan seorang tentera Organisasi, namun ternyata beliau bukanlah sembarangan orang.

“Oh, kau juga mempunyai kuasa Karamah.” taakul Raines.

“Tuan pendekar, nama tuan saya ialah Muhammad Zikrullah. Beliau amat dikenali dengan nama Maharaja Debu Berlian. Kadang-kala orang memanggilnya dengan gelaran Pendekar Abadi!” maklum Amru dengan nada teruja.

*************************************

Pada masa yang sama di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak...

Para pemberita terus menyerbu ke arah Erika, Monsson dan ratusan ahli kumpulan mereka sebaik sahaja keluar dari bilik mahkamah. Ternyata pembubaran dan penyerahan diri secara beramai-ramai dua kumpulan samseng yang tersohor di Perak ini menjadi perbualan hangat semenjak peperangan triad. Namun sebenarnya tumpuan para pemberita tersebut bukanlah pada geng Terendak Biru dan Neon Melambai. Sebaliknya mereka ingin mendapatkan ulasan serta komen daripada timbalan pemimpin MetroPolis sendiri iaitu Nazrul.

“Tuan Nazrul, benarkah penyerahan serta pembubaran kumpulan Terendak Biru dan Neon Melambai adalah bersyarat?” tanya salah seorang wartawan dalam hingar-bingar soalan yang singgah di telinga Nazrul. Nazrul yang kurang biasa berinteraksi dengan orang ramai mengetuk-ngetuk mikrofon terlebih dahulu.

“Aaa... salam sejahtera. Untuk jawapan encik tadi... Jawapannya ialah ya. Kedua-dua kumpulan ini bersetuju untuk membubarkan serta menyerah diri dengan syarat hukuman ke atas mereka diringankan oleh pihak mahkamah. Saya telah mengemukakan tawaran mereka kepada Peguam Negara dan Peguam Negara telah bersetuju dengan tawaran tersebut oleh kerana jenayah yang mereka lakukan adalah kecil-kecilan. Tiada rekod jenayah berat yang direkodkan oleh pihak kami mahupun syarikat-syarikat polis yang lain setakat hari ini. Sekian, terima kasih.” perjelas Nazrul dengan panjang lebar. Ternyata beliau dapat mengendalikan soalan tersebut dengan baik sekali sungguhpun nampak kekok dan gelabah.

“Apa komen tuan tentang cadangan Peguam Negara dan arahan pihak mahkamah agar kesemua ahli kumpulan Terendak Biru dan Neon Melambai ini diserapkan dalam MetroPolis?” tanya seorang wartawan yang lain.

“Aaa... terima kasih kerana bertanya. Peguam Negara dan pihak kami telahpun berbincang panjang mengenai hal ini dan kami bersetuju untuk arahan tersebut kerana ianya adalah sebahagian daripada hukuman iaitu kerja-kerja komuniti terhadap masyarakat. Peguam Negara berpandangan bahawa MetroPolis adalah syarikat polis terbaik untuk mengawal selia bekas ahli-ahli kumpulan ini atas rekod baik dan cemerlang kami. Sekian, terima kasih.” jawab Nazrul. Temuramah ini disiarkan secara langsung dan terpapar di skrin-skrin teleholo seluruh negara.

Di suatu sudut yang agak suram, seorang lelaki dalam pertengahan umur merintih dan mengerang kesakitan di sofa malasnya. Tubuhnya becak bermandikan peluh. Namun beliau yang juga sedang menonton siaran langsung temuramah wartawan dengan Nazrul tersebut kelihatan tersenyum. Kemudian ketawa.

“MetroPolis bodoh! Nanti kau tahulah nasibmu! Kalian belum sedar bahawa kalian sedang masuk ke dalam perangkap kami. Haha!” komen lelaki tersebut dengan begitu payah dan jerih sekali. Setelah diamat-amati, ternyata beliau adalah Dato’ Seri Khamal yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada masa kini. Namun beliau yang kini jarang menampilkan diri semenjak insiden kunjungan Emissary Mayhem kelihatan amat sakit dan menderita sekali. Tubuhnya kelihatan diselaputi dengan asap nipis. Dahinya pula kini bercacah dengan tatu bercorak bulatan dengan simbol-simbol kuno yang pelik.

“Kuasa... aku dapat merasakan kuasa di segenap tubuhku...” ujar Dato’ Seri Khamal. Beliau bercakap seorang diri di dalam kamarnya yang gelap dan berselerak tersebut.

“Ya... kuasa ini akan menjadi milikmu! Kau akan mempunyai kuasa yang hebat dan luarbiasa. Kau mampu mengalahkan pendekar Emissary selepas ini, Khamal...” ujar Dato’ Seri Khamal pula. Namun suara yang terpacul dari mulutnya adalah amat berbeza lagi menakutkan.

“Aku tak mahukan pendekar Emissary! Aku... aku mahukan Mayhem!” bentaknya pula yang mana kali ini adalah suaranya yang sebenar.

“Ya... kalau itu yang kau mahukan...” ujar Dato’ Seri Khamal pula dengan suara garau tadi. Seolah-olah beliau kini dirasuk oleh sesuatu. Perdana menteri ini kemudiannya ketawa terbahak-bahak. Semakin lama semakin keras dan lantang. Malah terdapat gabungan suara tawanya bersama suara-suara lain yang juga muncul dari mulutnya.

“Hidup Maharaja Adaj! Hidup Maharaja Adaj! Tuhan yang paling berkuasa!” pekik Dato’ Seri Khamal sekuat-kuat hatinya. Keadaan beliau sememangnya mengerikan dan meremangkan bulu roma.

*************************************

Kubu Doomrock, beberapa jam kemudian...

Raines hanya mampu melutut ke tanah. Seluruh tubuhnya menjadi kaku dan mengeras. Baharulah beliau mengetahui mengapa orang menggelarkan lawannya ini Debu Berlian. Baharulah juga Raines menyedari mengapa ada pula menggelarkan lawannya ini sebagai Pendekar Abadi.

“Nampaknya teknik menyebatikan tubuh manusia dengan molekul kristal pasirku masih belum dapat diatasi. Apa gunanya ilmu sehebat langit dan bumi sekalipun kalau kau tak dapat mencegah molekul kristal yang kau tidak nampak?” tempelak Maharaja Debu Berlian. Tubuh pendekar Organisasi tersebut mengalami kecederaan yang amat parah. Namun cepat sahaja ianya beransur pulih dan daging pada tubuhnya yang bercerai-berai beransur-ansur tumbuh daging yang baharu.

“Sudah hampir lima ratus tahun aku melihatkan perkembangan manusia yang seiring dengan perubahan dunia ini. Engkau tentu terfikir bahawa adalah bosan bila hidup selama itu. Namun sebenarnya aku berasa amat seronok dan teruja. Hidup ini sesungguhnya amat bererti sungguhpun aku akan hidup untuk seribu tahun lagi. Contohnya pada hari ini. Hari ini sememangnya hari yang amat menggembirakan hati.” ceceh Debu Berlian. Raines yang dikakukan dengan kuasa Karamah lawannya hanya mampu ternganga tanpa dapat menguit walau seinci sekalipun. Sebelum ini beliau menjerit dengan penuh sengsara apabila berbillion butir-butir molekul kristal pasir masuk ke dalam tubuhnya melalui liang-liang roma dan mula menyebatikan diri dengan tulang, darah serta dagingnya. Kini beliau tidak mampu bersuara kerana peti suaranya sudah mulai mengeras seperti batu. Nyawa beliau ternyata kini dihujung tanduk. Nasib yang sama turut dialami oleh rakan-rakan seperjuangannya yang kini bagaikan patung-patung hiasan taman.

“Bagus juga kau merakamkan pertarungan kita untuk disiarkan ke seluruh dunia. Nanti seluruh dunia akan dapat melihat bagaimana orang-orang yang angkuh sepertimu dan rakan-rakanmu dihapuskan. Pun begitu, ternyata kekuatan pendekar Superior Grandmaster adalah amat menakutkan. Aku akur pada kehebatan dan ancaman kalian.” ujar Debu Berlian lagi. Di hadapan mereka kelihatan kubu Doomrock yang keseluruhannya terapung di udara bersama jutaan kubik padu meter tanah yang menjadi tapak pada kubu tersebut.

“Apa sangatlah kehebatan kubumu ini jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah kepadaku!” sindir Debu Berlian sebelum mengais-ngais jari-jemari kanannya ke udara. Kubu Doomrock tersebut seolah-olah diterbalikkan dengan tangan ghaib dan kemudian terhempas ke bumi bersama ribuan manusia di dalamnya. Bunyi dentuman dan gegaran yang amat menakutkan bergema di segenap ruang sehingga mencapai sejauh lima kilometer radius. Tubuh Raines yang semakin mengeras retak seribu akibat dihentam dengan kuasa gegaran tadi. Nyawanya melayang serta-merta. Beberapa minit kemudian debu-debu yang melitupi Maharaja Debu Berlian dan arwah Raines mula surut.

“Sudah mati.” omel Debu Berlian. Beliau memandang ke arah kamera perakam robotik yang turut rosak akibat gegaran tadi.

“Sayangnya kalian tak dapat melihat Karamahku ini pula.” ujar Debu Berlian seraya menghalakan telapak kanannya ke arah mayat Raines. Sebaik sahaja beliau menggenggam tangan tersebut, suatu sfera lutsinar muncul di sekeliling mayat lawannya.

“Sembilan skala Richter.” ucap Debu Berlian sebelum membuka kembali genggamannya. Serta-merta tubuh Raines meledak bersama-sama tanah di dalam lingkungan sfera tersebut menjadi debu-debu yang halus.

- Bersambung -

Wednesday, May 15, 2013

Selamat Hari Guru 16-05-2013

Guru saya yang pertama ialah ibu saya sendiri iaitu puan Zainab. Sebelum ke tadika pun saya dah pandai ABC. Guru saya yang seterusnya ialah bapa saya. Pengajarannya banyak berhubung kait dengan rotan dan perangai nakal saya.

Guru-guru saya seterusnya ialah di Cator Avenue. Antara yang saya ingati ialah Puan Chan Kon Lan (lawa macam Noor Kumalasari), Puan Sivalinggam (Headache la boys! Headache!) dan Puan Kurumayakuru.

Guru-guru saya di Anderson Ipoh yang saya ingat pula ialah Encik Zamzuri (pak sedaraku), Puan Hasnah, Puan Chong Soo Moi, Ustaz Abu Samah, Puan Rohani, Puan Azizah Sharif, Encik Sakatar Singh, Encik Pretam Singh, Encik Meor (Gabra) dan Kandaya (Ops! Itu gardener Anderson favorite kami!).

Dulu ada seorang sahabat saya menyatakan kalau beliau mahu mendalami agama, beliau mahu berguru dengan guru mursyid. Saya fikir guru mursyid yang terbaik ialah Rasulullah SAW sendiri yang mengajar kita melalui hadis-hadis sahih dan hasan Baginda.

Selamat hari guru wahai guru-guruku yang amat kuhormati dan sanjungi di mana juga kalian berada. Sesungguhnya jasa-jasa kalian amatlah besar sekali hingga saya berasakan tak mungkin dapat membalasnya. Semoga Allah memberikan kerahmatanNya kepada kalian semua di mana sahaja kalian berada.

Monday, May 13, 2013

Neraka Khas Buat Para Pemimpin

Peringatan buat pemimpin

Seorang Tabien yang terkenal bernama Thowus Ibnu Khaisan al-Yamani pernah 'sound' khalifah Bani Umaiyyah yang juga terkenal bernama Sulaiman Ibnu Abdul Malik. Thowus berkata :

"Ada satu neraka yang mana apabila sebongkah batu besar jatuh ke dalamnya, hingga 70 musim pun masih belum sampai ke dasarnya. Kamu tahu untuk siapa neraka itu? Ia untuk manusia yang Allah berkongsi sedikit kuasa dengannya tetapi beliau tidak melakukan keadilan dengan kuasanya itu."

Sulaiman Ibnu Abdul Malik yang memerintah separuh dunia pada ketika itu menangis apabila mendengarkan teguran Thowus. SubhanAllah...

Thursday, May 2, 2013

Hukum Hudud Berkenaan Zina dan Liwat

Antara isu kegemaran ramai dalam PRU13 ini adalah isu seks yang membabitkan perlakuan berzina dan liwat. Mari kita tengok pandangan undang-undang Islam dalam perkara ini. Agak panjang tapi saya fikir ianya suatu ilmu yang baik dan bermanafaat.

Zina adalah salah satu daripada tujuh kesalahan yang boleh dihukum di bawah hukum hudud. Dan kesalahan zina ini istimewanya ia dirangkaikan bersama dengan satu lagi kesalahan dalam hukum hudud iaitu Qazaf Zina (menuduh orang baik melakukan zina).

Hukuman zina bagi lelaki dan perempuan yang belum pernah berkahwin ialah dirotan sebanyak 100 kali. Mungkin pada mata kasar ia nampak zalim, namun hukuman rotan dalam Islam tak sama seperti hukuman sebat di Malaysia. Orang yang dihukum tidak ditanggalkan baju mereka. Mereka juga tidak diikat atau disekat pergerakan. Jadi mereka boleh melarikan diri pada bila-bila masa dan jika mereka lari, mereka dibiarkan begitu sahaja dan tidak ditangkap. Mereka dirotan dalam cuaca yang tidak panas atau sejuk. Rotan juga jenis licin (tidak berduri) dan tidak terlalu tebal atau nipis. Malah terdapat riwayat yang merekodkan penggunaan pelepah kurma, ranting kayu kecil, kain serban dan selipar untuk menggantikan rotan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat radhiAllahu ‘anhum.

Bila merotan, tidak boleh diangkat tangan hingga ternampak bahagian ketiak. Malah tidak boleh merotan dengan niat untuk mencederakan atau menyakitkan si penzina. Hukuman dibuat di khalayak ramai agar membuat si penzina berasa malu untuk melakukan kesalahan itu lagi dan agar orang ramai mendapat peringatan untuk tidak berzina. Setelah hukuman selesai dijalankan, orang ramai dilarang untuk mencerca atau menghina si penzina. Ini adalah kerana dosanya telahpun diampunkan oleh Allah melalui hukuman tadi dan jika Allah telah membersihkannya, apa hak kita untuk mencacinya?

Bagi yang pernah berkahwin, banyak hadis-hadis yang sahih dari riwayat Bukahri dan Muslim yang menyatakan bahawa mereka dihukum rejam dengan batu sehingga mati. Mereka juga tidak diikat atau disekat dan jika mereka mahu lari kerana tidak tahan sakit atau takut mati, maka mereka dibiarkan pergi sama seperti hal di atas. Namun dosa serta taubat mereka yang sempurna dilaksanakan hukuman hudud adalah diampunkan dan insyaaAllah mereka akan mendapat syurga Allah selagi tidak mensyirikkanNya.

Pun begitu, kesemua hukuman hudud ke atas penzina pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA adalah berdasarkan pengakuan ikhlas mereka semata-mata. Ini bermakna tiada siapa yang pernah dituduh berzina melainkan mereka semua mengakuinya. Inilah sebabnya mengapa mereka diberi peluang untuk melarikan diri sebagai isyarat mereka menarik kembali pengakuan mereka. Motif hukuman hudud adalah untuk mencegah (hudud dari perkataan had bermaksud sempadan/sekatan) dan bukannya untuk menghukum.

Jika seseorang ingin mendakwa orang Muslim lain berzina, maka dia wajib memenuhi beberapa syarat yang amat ketat. Paling utama ialah wajib ada empat orang saksi lelaki yang adil yang melihat dengan jelas perbuatan zina tersebut dan dapat mengenalpasti dengan sah orang-orang yang terlibat. Saksi yang adil ialah yang bukan fasiq iaitu tidak cuai dalam solatnya dan tidak pernah menipu. Mereka juga seratus-peratus patuh pada amal makruf dan nahi mungkar seperti yang diperintahkan dalam al-Quran dan hadis. Jika tidak cukup syarat-syarat di atas, maka si penuduh tadi pula yang akan dikenakan hukuman hudud atas kesalahan Qazaf Zina. Beliau akan dirotan dengan prosedur yang sama sebanyak 80 kali dan tidak akan diterima sebagai saksi untuk selama-lamanya.

Tentu ada yang berkata, kalau begitu adalah hampir mustahil untuk mensabitkan seseorang Muslim melalui pertuduhan zina. Ya, Allah dan RasulNya memang berkehendakkan sedemikian. Terdapat banyak peringatan Rasulullah SAW agar seseorang Muslim tidak mencari-cari kesalahan atau tidak menyakiti seorang Muslim lain dengan sengaja dan tanpa hak. Malah pada zaman Umar Ibnu Khattab memerintah, beliau pernah menghukum seorang sahabat RA dengan hukuman Qazaf Zina hanya semata-mata kerana tidak cukup empat orang saksi sungguhpun sahabat tersebut adalah sangat adil dan sangat dipercayai.

Jadi, adakah pembuktian secara video seperti zaman sekarang adalah satu pertuduhan yang memenuhi syarat? Sepakat ulama ahlus sunnah wal jamaah mengatakan bahawa video adalah tidak diterima sebagai pembuktian kerana wujudnya lakuna untuk penyelewengan. Dr. Yusuf al-Qorodhowi telah mengesahkan hal ini dalam fatwanya. Di Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Asri (bekas mufti Perlis) dan Ustaz Fathul Bari (dari Ilmuan Muda UMNO) juga mengeluarkan pendapat yang sama.

Kalau begitu, memang payah benarlah nak melaksanakan hukuman hudud zina walaupun dikuatkuasakan di Malaysia? Jawapannya : Ya, memang benar kerana tujuan hukum hudud adalah untuk mencegah Muslim dari melakukan dosa maksiat kepada Allah dan bukannya untuk mencari Muslim untuk dihukum. Namun hukuman Qazaf Zina pula adalah berbeza. Pembuktiannya sudah cukup jika pihak yang menuduh zina gagal memenuhi syarat-syarat di atas. Islam amat mementingkan persaudaraan seagama dan tidak membenarkan ikatan persaudaraan tersebut musnah dan berpecah-belah. Orang yang menuduh saudaranya sendiri dianggap berpotensi memecah-belahkan ikatan ini. Itu sebabnya beliau dihukum.

Habis itu, akan terlepaslah para penzina di Malaysia kalau begini? Dosa zina adalah dosa maksiat peribadi di antara si pelaku dosa dengan Allah. Jika dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan mengampunkan semua dosa zinanya, maka itu adalah urusan Allah dan kita tak boleh mempertikaikannya. Malah para ulama mujtahid mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat dengan sengaja adalah jauh lebih besar dari dosa berzina.

Bagi kesalahan liwat pula, mengikut pendapat mazhab Imam Syafie ianya sama dengan zina dan termasuk dalam kategori kesalahan hudud. Jadi hukumannya adalah sama dan beban pembuktiannya juga adalah sama. Manakala Imam Abu Hanifah berkhilaf pendapat bahawa ianya tidak sama dengan zina dan bukan di bawah kesalahan hudud tetapi ta’azir. Dalam hal ini saya tak menjumpai penerangan cara pembuktiannya tetapi berpendapat bahawa beban pembuktiannya adalah sama ketat seperti syarat pertuduhan zina.

Wallahu a’lam. Begitulah keadilan sejati dalam hukum hudud yang sering dipermainkan oleh orang-orang yang tidak memahaminya. Rujukan saya adalah dari kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Bulughul Maram dan kuliah-kuliah ilmu. Semoga kita sebagai orang Islam lebih menghargai kehebatan undang-undang Islam dan non-Muslim dapat melihat keindahan dan keadilan undang-undang Islam tersebut.

Mohon fakta saya diperbetulkan jika terdapat kesilapan. Saya ini budak baru belajar; kalau salah tolong tunjukkan. Tq.