Pazuzu (Syaitan Purba) - Versi Promosi
Bab
1
“Tahniah, Jeri.”
Itulah antara ucapan serta pujian yang singgah di telinga
pemuda yang kini memasuki semester kedua bagi tahun pertama Fakulti Undang-undang, Universiti Darul Ridzuan. Lebih bermakna lagi
kerana IPTA tempat dia belajar itu adalah antara universiti
terbaik di ASEAN.
Mata Jeri tertumpu
ke arah Solehin, rakan sekuliahnya. Dengan senyuman kambing, beliau
menggegaskan diri untuk mendekati pemuda tersebut. Sebaik sahaja terperasankan
kelibat Jeri, Solehin mempamerkan senyuman tawar tanda lupusnya angin baik beliau
tadi.
“Assalamua’laikum, Jeri.”
Jeri tidak
menjawab. Sebaliknya, mengangkat kedua-dua belah
keningnya seolah-olah menyakat rakannya itu. “Berapa CGPA kau?”
Pertanyaan Jeri ternyata mengundang perasaan kurang selesa
Solehin yang tadi sedang berbual-bual dengan beberapa orang rakan.
“Biasa-biasa
saja, Jeri.”
“Berapa? Berapa
yang biasa-biasa tu? Dua poin berapa?” Air muka Solehin berubah.
“Tiga poin tujuh lima.”
“Bagus. Bagus.
Boleh tahan. Tak sia-sia kau bangun setiap malam untuk sembahyang dan berdoa.
Kalau aku buat macam kau, barangkali aku boleh dapat four flat dan
bukannya tiga poin sembilan lapan.”
Kata-kata Jeri berupa sindiran. Buat
seketika, mereka berbalas pandangan tajam.
“Hei, Jeri! Wah,
tiga poin sembilan lapan. Awesome!”
Kempunan Solehin
mahu membalas sindiran Jeri tatkala mereka dihampiri Selena, rakan sekuliah
mereka juga. Selena sempat menembi bahu Jeri beberapa kali.
“Sakitlah, Selena! Tentu kau dapat teruk,” usik Jeri yang kembali mengundang penembi yang berikutnya.
“Aku dapat tiga
poin dua saja.” Selena mencebik. Kemudian, pandangannya terarah pada Solehin pula. “Assalamua’laikum, Solehin. Awak dapat berapa?”
Solehin
terbungkam seketika mendengar pertanyaan lunak itu. Dia menggaru belakang
kepalanya yang tidak gatal. “Err, tiga poin tujuh lima
saja.”
“Wah, hebat betul
awak ni!”
Tersipu-sipu
Solehin dibuatnya.
“Eleh, I’m
better than him.” Ada nada tidak puas hati dalam
suara Jeri.
“Itu bukan jaminan
kejayaan sebenar,” tingkah Selena, seolah-olah
membela Solehin.
“Oi, Selena. Janganlah nak bela dia
sangat. Dia bukan hargai pun. Orang seksi macam
kau ni pada pandangan Solehin dan kawan-kawannya ialah ahli neraka, tau!” bidas
Jeri.
“Betulkah macam
tu, Solehin?” Nada suara Selena separuh curiga, separuh kecewa. Pandangannya terarah tepat kepada rakannya itu untuk mencari kepastian.
“Mana ada! Tak
pernah saya cakap atau anggap macam tu! Demi
Allah!”
“Huh!
Kau memanglah tak cakap. Tapi daripada pandangan
kau tu pun dah cukup untuk kami baca isi hati kau. Kau memang pandang Selena
dengan pandangan jelek, bukan?” Jeri yang enggan
mengalah terus membuat provokasi.
“Mana ada! Saya
hanya pandang Selena dengan pandangan suka. Bukan jelek!”
Baru
Solehin menyedari ketelanjuran kata-katanya. Air mukanya berubah. Pemuda itu segera mengalihkan wajah
ke tempat lain. Selena turut bungkam buat
seketika.
“Saya lega dan
gembira sebab awak pandang saya macam tu, Solehin.”
Wajah Selena merah
padma. Jeri yang baru menyedari perkara tersirat yang sedang berlaku di antara kedua-dua rakan sekuliahnya itu meriakkan air muka terkejut.
“Biar betul!”
Ulasan Jeri mati
di situ kerana lengan kirinya telah pun dipaut
dan digegaskan oleh Selena untuk meninggalkan tempat tersebut.
***
Pandangan
Dr. Nazihah masih tertancap ke arah Solehin yang sedang
tunduk. Tidak pasti sama ada penuntutnya itu berasa teramat kecewa atau malu.
“Mengapa sampai
nak dibubarkan, doktor?”
“Persatuan Tabligh
yang awak tubuhkan dua semester lepas sebenarnya memang baik. Pihak universiti
sebelum ini menyokong penuh sebab kami nampak nilai-nilai positif yang akan
dibawa oleh persatuan sebegini kelak.
“Tapi yang tak
bagusnya ialah ahli-ahli persatuan. Melainkan awak, ahli
yang lain semuanya merosot dengan teruk dalam pencapaian akademik.
Mereka melebihkan urusan persatuan daripada
tujuan sebenar iaitu menimba ilmu dan menjadi penuntut yang cemerlang. Pihak
universiti sebelum ini dah berikan peringatan dan amaran kepada mereka. Tapi
awak pun tahu kesudahannya, bukan?”
Solehin mengangguk
lemah. Hujah-hujah yang dikemukakan oleh ketua bahagian hal-ehwal pelajar
sememangnya tidak dapat disangkal langsung.
“Saya akan
maklumkan kepada semua ahli tentang cadangan pembubaran persatuan kami. Terima
kasih, doktor, sebab jaga air muka persatuan
dengan bagi peluang untuk kami sendiri yang bubarkan persatuan.”
Dr. Nazihah
mengangguk.
“Kalaulah semua
ahli lain cemerlang dalam akademik macam awak, bukan saja nama persatuan jadi
harum tetapi imej agama kita juga menjadi hebat. Tapi sekarang agama Islam yang
jadi busuk kerana kecuaian kalian.”
Bait-bait
hujah Dr. Nazihah bagaikan sembilu yang menusuk ke
hati Solehin. Namun itulah hakikatnya pada situasi sekarang walaupun tersangat
pahit.
***
“Solehin! Solehin!”
“Nak apa?” Solehin bernada tidak mesra sambil memandang Jeri.
“Betul ke
Persatuan Tabligh dah ta-bleh wujud lagi?”
“Kenapa kau benci
sangat dengan Islam, Jeri?” Agak tinggi nada suara
Solehin.
Jeri tidak segera
menjawab. Sebaliknya, dia merenung wajah rakan
sekuliahnya itu lama-lama. Seolah-olah untuk mengecapi nikmat kerana berjaya
membuatkan Solehin marah. Sekonyong-konyong,
Selena muncul.
“Hai, Jeri! Assalamua’laikum,
Solehin.”
Bicara
Selena mati tatkala perasan akan perseteruan yang mula berbahang antara mereka berdua. Dia mengambil keputusan untuk diam
dan hanya terpacak di situ. Moga-moga konfrontasi tersebut segera
berlalu.
“Aku tak bencikan
Islam. Aku bencikan mereka yang menggunakan
agama untuk kepentingan diri. Kecuali kau, kawan-kawan dalam persatuan kau tu, semuanya pemalas dan bodoh. Jadi untuk tutup kelemahan-kelemahan
itu, mereka gunakan agama. Maka orang lain tak berani nak kritik mereka.
Kononnya seolah-olah mengutuk agama sebab mereka buat kerja-kerja untuk Tuhan.”
Solehin bungkam.
“Samalah juga
dengan kebanyakan agamawan sekarang. Mereka gunakan agama untuk jadikan pengikut mereka bodoh dan taksub. Tak fikir
perkara lain seperti mencari ilmu dan kecemerlangan untuk mengatasi penganut
agama lain. Kalian bukannya buat kerja Tuhan. Kalian buat untuk kepentingan
diri. Dasar penunggang agama!”
Selena ke hadapan,
menolak perlahan tubuh Jeri untuk menjarakkannya daripada Solehin. Bimbang
kalau-kalau berlakunya pergaduhan.
“Jeri,
please. Stop it. You’ve crossed the
line, man.” Selena
bertegas sungguhpun nada suaranya masih lembut.
“Sedarlah, Solehin. Agama itu candu. Hanya [LA2] loser
yang nak tutup kelemahan diri perlukan dadah untuk berasa hebat. Itulah agama.”
tempelak Jeri.
“Habis, orang
macam aku kau nak kira macam mana?”
Jeri tergamam.
Solehin adalah seorang yang cemerlang dalam agama, akademik dan akhlak. Pertanyaan itu ternyata menikam nurani Jeri. Kali ini,
dia hanya mampu melakarkan senyuman sebelum
melangkah pergi.
“Phew. That’s a
good one, Solehin. Saya ingatkan
awak betul-betul nak bagi peninju ke muka Jeri tadi.” puji Selena.
Solehin senyum.
Namun, kepahitan jelas tersulam pada senyumannya
itu. “Memang nasib baik. Terima kasih sebab selamatkan keadaan, Selena.”
Kedua-dua
kening Selena terangkat tatkala mendengarkan
bait-bait kata tersebut.
“Oh, jadi awak
memang nak tumbuk dialah, ya?”
Solehin ketawa
kecil. “Memang tadi saya rasa nak buat begitu.”
“Awak boleh kena
gantung satu semester, tau!”
Di Universiti
Darul Ridzuan, sememangnya undang-undangnya adalah
sebegitu tegas demi menjaga keharmonian dan reputasi institusi
berprestij tersebut.
“Itu sebabnya saya
ucapkan terima kasih.”
“Hmm! Terima kasih mana cukup! Bukan
boleh dibuat makan. Awak kena belanja saya makan petang ini. Boleh?” desak
Selena dengan nada usikan. Namun jelas dengan niat yang penuh pengharapan pada
persetujuan.
“Ma ... makan petang?” Solehin
tergagap-gagap.
“Hmm, yalah. Kenapa? Awak takut
orang tengok awak makan dengan perempuan freehair dan seksi macam saya
ke?”
“Eh, taklah! Saya bukan orang macam
itu, Selena.”
“Habis, kenapa
Solehin keberatan?”
“Bukan keberatan.
Saya … saya sebenarnya segan.” Perlahan sahaja jawapan
Solehin.
Selena tersentak.
Kalau difikirkan, pemuda warak ini memang sangat jarang berbual dengan
perempuan walaupun rakan sekuliah.
“Okey, alasan yang
munasabah. Tapi awak kena belanja saya makan petang ini
juga. Saya tak kira!” ujar Selena dengan nada tegas yang dibuat-buat. Senyuman terlakar manis pada
bibir.
“Okey, okey. Saya
belanja. Tapi sekejap lagi nak masuk waktu Asar.
Bagi saya solat di surau sekejap, ya?”
Selena diam
seketika. Kemudian, dia senyum dan mengangguk
sopan. Matanya mengekori sosok Solehin yang
tergocoh-gocoh sedangkan senyuman masih menguntum. Malah semakin
melebar.
No comments:
Post a Comment