Friday, March 22, 2013

Adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Di Malaysia, adalah sinonim bahawa yang beragama Islam itu bangsa Melayu. Manakala bangsa-bangsa lain yang menganut agama Islam tidak begitu dihargai seperti bangsa kita.

Kita masih memanggil penganut agama Buddha sebagai 'Cina' sungguhpun bukan sedikit yang menjadi Muslim. Saya pernah mendengar seorang Melayu berkata "Bangsa Cina memang semuanya masuk neraka.".

Kita juga melabelkan bangsa India dengan agama Hindu sedangkan bukan sedikit di kalangan mereka yang beragama Islam. Ramai yang memanggil bangsa India dengan panggilan Hindu tanpa mengetahui agama sebenar mereka. Lebih buruk lagi ada yang memanggil dengan nama 'Hindu Paria'.

Sesungguhnya Islam adalah satu agama yang sangat indah tetapi dihodohkan oleh kejahilan penganutnya.

Jadi, adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Thursday, March 21, 2013

Kisah menjampi dalam Sahih Bukhari.



Dinukilkan dan diolah dari hadis yang sahih dalam kitab Sahih Bukhari :

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra.

Sekumpulan sahabat ra berkunjung ke salah satu desa orang Arab tetapi kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Malah mereka juga tidak diberikan makan dan minum sungguhpun diminta. Kemudiannya pemimpin desa itu disengat serangga berbisa. Pelbagai cara penduduk desa itu cuba demi untuk menyembuhkan pemimpin mereka tetapi gagal. Akhirnya seorang dari penduduk desa tersebut meminta pertolongan para sahabat ra. Salah seorang sahabat yang masih berkecil hati berkata “Tadinya kamu tidak mahu menerima kami sebagai tetamu. Kami tak akan mengubati pemimpin kamu kecuali dengan upah.”

Para penduduk desa dan para sahabat ra kemudiannya berbincang untuk menentukan upah dan setelah mencapai kata sepakat, baharulah salah seorang dari sahabat ra mendekati pemimpin tersebut untuk mengubatinya. Beliau membaca surah al-Fatihah dan kemudian meludah di tempat sengatan tersebut. Dengan izin Allah AWJ, sembuhlah pemimpin tersebut dan beliau boleh bangun seperti sediakala.

Seperti yang dijanjikan, upah berupa beberapa ekor kambing diberikan kepada para sahabat ra. Namun mereka berasa sangsi apakah mereka patut mengambil upah dari penggunaan ayat al-Quran. Mereka tidak terus mengambilnya kerana mahu bertanyakan kepada Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Apabila ditanyakan kepada Rasulullah SAW, baginda bersetuju dan membenarkan perbuatan mereka tersebut. Malah Rasulullah SAW sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa mereka juga perlu membayar upah kambing itu kepadanya (yang saya berhujah kerana Baginda memberikan jawapan tadi) sebelum ketawa.

Beberapa pengajaran boleh kita ambil dari hadis yang sahih ini.

Pertama : Boleh menggunakan jampi atau mentera asalkan ianya tidak mengandungi unsur-unsur mensyirikkan Allah dan bercanggahan dengan al-Quran dan sunnah nabi.

Kedua, surah al-Fatihah adalah surah teragung selain dari ayatul Kursi (kedua-duanya disebut dalam hadis yang sahih) dan boleh digunakan untuk mengubati penyakit dengan izin Allah. Namun kita hendaklah percaya bahawa Allah yang memberikan kesembuhan dan bukannya surah tersebut.

Ketiga, kita mesti menentukan upah/bayaran untuk mengubati pesakit sebelum mengubatinya agar tidak membebankan pesakit itu atau keluarganya.

Keempat, Rasulullah SAW adakalanya suka bergurau dan berjenaka sungguhpun beliau sedang memberikan pengajaran kepada para sahabat ra. Kaedah ini dipanggil hikmah dalam berdakwah dan itu sebabnya mengapa kadang-kala dengan beberapa patah kata sahaja, Rasulullah SAW dapat mengislamkan orang-orang yang masih menyembah berhala.

Kelima, Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan melawak, Baginda tidak sama sekali berdusta. Ini bermakna Baginda mengesahkan bahawa adanya upah atau bayaran bagi nasihat yang diberikan oleh orang-orang berilmu. Jadi janganlah merungut jika fee konsultansi peguam macam kami ni tinggi kerana kami adalah orang yang berilmu dalam bidang perundangan. Haha!

Wallahu a’lam.

(Teks atau matan hadis ini diolah dengan bahasa yang lebih ringkas dan mudah difahami dan diceritakan semula oleh saya. Namun saya percaya bahawa ia tidak lari dari penceritaan yang asal. Moga Allah mengampuni saya sekiranya saya tersilap)

Tuesday, March 19, 2013

Wira-wira di Lahat Datu. Syahid atau syahid dunia?



Adakah wira-wira kita di Lahat Datu mendapat mati syahid atau syahid dunia sahaja?


Dinukilkan dan diolah dari hadis yang sahih dalam kitab Sahih Bukhari :

Seorang sahabat ra telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Jeanazahnya dimandi dan dikafankan. Salah seorang sahabat ra berkata :

“Semoga rahmat Allah tercurah kepadamu, hai Abu Saib (si mati). Aku menjadi saksi bagimu, sesungguhnya Allah telah memuliakanmu.”

Rasulullah SAW yang terdengar kata-kata tersebut lantas bertanya kepada sahabatnya itu :

“Bagaimana engkau tahu bahawa Allah telah memuliakannya?”

Baginda SAW kemudian telah menegurnya dengan berkata, “Dia telah mati. Demi Allah, aku HANYA mengharapkan semoga dia mendapat kebaikan. Demi Allah, biarpun aku seorang Rasul Allah, namun aku (juga) tidak tahu apa yang akan diperbuat (oleh Allah) terhadapku.”

Kepada alim dan ulama sekalian. Saya yang cetek dalam ilmu ini berpendapat bahawa kita HANYA mendoakan sahaja semoga Allah memberikan wira-wira kita yang terkorban di Lahat Datu itu syahid atau mendapat pahala syahid. Janganlah dengan mudah kita meletakkan hukum sama ada Allah memberinya syahid atau tidak. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara tersebut. Ianya bukanlah urusan kita. Dan janganlah kita berbalah kerana perkara yang kecil ini. Bincangkan cara-cara yang lebih berkesan agar anak-anak Melayu tidak terus menjadi murtad dengan sewenang-wenangnya. Itu yang lebih utama. Wallahu a’lam.

(Teks atau matan hadis ini diolah dengan bahasa yang lebih ringkas dan mudah difahami dan diceritakan semula oleh saya. Namun saya percaya bahawa ia tidak lari dari penceritaan yang asal. Moga Allah mengampuni saya sekiranya saya tersilap)

Monday, March 18, 2013

Perihal Ghibah

Hang Nadim yang berjasa menghapuskan ikan-ikan todak yang melanggar Siingapura akhirnya menjadi mangsa fitnah dan dibunuh.

Mahsuri dari Langkawi juga menjadi mangsa fitnah dan dibunuh.

Hang Tuah juga menjadi mangsa fitnah yang kemudiannya dijatuhkan hukuman bunuh oleh Sultan.

Sejarah berkali-kali membuktikan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang cenderung menggunakan fitnah (tohmahan) untuk memusnahkan musuh atau saingannya. Dan saya berasakan amalan fitnah-memfitnah ini sungguhpun dosanya teramat besar, adalah suatu perkara yang dianggap biasa oleh bangsa kita di zaman ini.

Dalam Sahih Bukhari daripada Anas ra berkata (maksudnya) "Sesungguhnya kamu nanti akan mengerjakan amalan yang pada pandangan kamu lebih kecil dari sebutir gandum, sementara kami pada zaman Rasulullah SAW dahulu menganggapnya termasuk dalam sesuatu yang mencelakakan (kamu)"

Dalam Sahih Muslim, Rasulullah SAW melarang 'Ghibah' iaitu apabila seseorang Muslim mengumpat perihal saudaranya berkenaan perkara-perkara yang tidak disukai oleh saudaranya itu sungguhpun umpatan itu adalah benar. Dan jika umpatan itu adalah tidak benar, maka si pengumpat itu adalah seorang pendusta (fasiq).

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah memberikan amaran bahawa orang yang suka mengadu-domba (menyebarkan keburukan saudara seagamanya) tidak akan dapat masuk ke syurga.

Saya berpesan kepada saudara/saudari semua dan diri saya sendiri agar tidak terjebak dalam amalan yang membinasakan kita di akhirat kelak. Na'uzubillahi minzaalik. Sesungguhnya saya berlindung dengan Allah dari perbuatan keji ini.

Saturday, March 16, 2013

Fakta menarik tentang iblis

Iblis tahu Allah itu wujud dan tahu Allah itu Esa (satu-satunya Tuhan). Tapi iblis menjadi kafir kerana bersikap angkuh enggan tunduk dan taat pada perintah Allah. Jadi kita manusia hamba kepada Allah ni kalau setakat akui Allah itu wujud dan Esa tapi enggan tunduk dan taat pada perintah dan larangan Allah, maka ada beza tak antara kita dengan iblis? A'uzubillahi minzaalik.

16 Mac 2013

Hari ini birthday saya. Dah umur 40 dah. Sudilah kiranya sahabat semua berkongsi tazkirah berkenaan umur 40'an ni.

Firman Allah :

“... Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)

Ini ialah doa yang paling cantik dan wajar dibaca bila kita mencecah usia yang dianggap 'bermulanya kehidupan sebenar'.

Kata al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir yang amat terkenal dengan Tafsir Ibnu Kathir :

“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya”

Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat semua agar memanfaatkan 'usia kehidupan sebenar' kita ke arah matlamat sebenar kita iaitu pelaburan di akhirat kelak. Wallahu a'lam.

(sumber dipetik dari penulisan Dr. MAZA)

Tuesday, March 12, 2013

Saja-saja 13-03-13

Dua hari lepas kalau tak silap saya tonton berita di tv tentang sekumpulan warga Selangor buat demonstrasi dan nak saman kerajaan negeri.

Saya tak minat nak bela mana-mana parti tapi nak bercerita tentang hal seorang mak cik yang angkat sepanduk bertulis "PKR Selangor munafik dan penipu" lebih kurang bunyinya.

Allah di dalam al-Quran banyak menyebut tentang golongan musyrikin, munafik dan ahlul kitab. Allah mengkategorikan mereka ini sebagai kafir dan kekal di dalam seksaan api neraka.

Rasulullah SAW diriwayatkan dalam sahih Bukhary dan Muslim memberi amaran bahawa sesiapa yang menuduh seseorang Islam itu kafir tanpa bukti yang sah maka si penuduh itu yang menjadi kafir.

Kasihan mak cik itu. Kita berharap agar di atas kecetekan ilmu agamanya maka Allah akan mengampuninya dan tidak menghukumnya sebagai kafir. Jika tidak, terbatallah iman mak cik itu kerana menuduh orang-orang Islam dalam PKR Selangor sebagai munafik. Amal ibadahnya yang terdahulu akan ditolak oleh Allah dan begitulah juga amal ibadahnya yang kini dan akan datang kecuali jika dia bertaubat nasuha.

Berhati-hatilah saudara/saudari sekalian. Saya berpesan pada diri sendiri dan pada anda semua akan jangan begitu mudah menggunakan perkataan 'munafik' sebagai ganti pada perkataan 'menipu'. Lain maksud serta hukumnya. Kita semua memohon perlindungan dengan Allah dari perkara tersebut. Wallahu a'lam