Thursday, March 21, 2013

Kisah menjampi dalam Sahih Bukhari.



Dinukilkan dan diolah dari hadis yang sahih dalam kitab Sahih Bukhari :

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra.

Sekumpulan sahabat ra berkunjung ke salah satu desa orang Arab tetapi kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Malah mereka juga tidak diberikan makan dan minum sungguhpun diminta. Kemudiannya pemimpin desa itu disengat serangga berbisa. Pelbagai cara penduduk desa itu cuba demi untuk menyembuhkan pemimpin mereka tetapi gagal. Akhirnya seorang dari penduduk desa tersebut meminta pertolongan para sahabat ra. Salah seorang sahabat yang masih berkecil hati berkata “Tadinya kamu tidak mahu menerima kami sebagai tetamu. Kami tak akan mengubati pemimpin kamu kecuali dengan upah.”

Para penduduk desa dan para sahabat ra kemudiannya berbincang untuk menentukan upah dan setelah mencapai kata sepakat, baharulah salah seorang dari sahabat ra mendekati pemimpin tersebut untuk mengubatinya. Beliau membaca surah al-Fatihah dan kemudian meludah di tempat sengatan tersebut. Dengan izin Allah AWJ, sembuhlah pemimpin tersebut dan beliau boleh bangun seperti sediakala.

Seperti yang dijanjikan, upah berupa beberapa ekor kambing diberikan kepada para sahabat ra. Namun mereka berasa sangsi apakah mereka patut mengambil upah dari penggunaan ayat al-Quran. Mereka tidak terus mengambilnya kerana mahu bertanyakan kepada Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Apabila ditanyakan kepada Rasulullah SAW, baginda bersetuju dan membenarkan perbuatan mereka tersebut. Malah Rasulullah SAW sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa mereka juga perlu membayar upah kambing itu kepadanya (yang saya berhujah kerana Baginda memberikan jawapan tadi) sebelum ketawa.

Beberapa pengajaran boleh kita ambil dari hadis yang sahih ini.

Pertama : Boleh menggunakan jampi atau mentera asalkan ianya tidak mengandungi unsur-unsur mensyirikkan Allah dan bercanggahan dengan al-Quran dan sunnah nabi.

Kedua, surah al-Fatihah adalah surah teragung selain dari ayatul Kursi (kedua-duanya disebut dalam hadis yang sahih) dan boleh digunakan untuk mengubati penyakit dengan izin Allah. Namun kita hendaklah percaya bahawa Allah yang memberikan kesembuhan dan bukannya surah tersebut.

Ketiga, kita mesti menentukan upah/bayaran untuk mengubati pesakit sebelum mengubatinya agar tidak membebankan pesakit itu atau keluarganya.

Keempat, Rasulullah SAW adakalanya suka bergurau dan berjenaka sungguhpun beliau sedang memberikan pengajaran kepada para sahabat ra. Kaedah ini dipanggil hikmah dalam berdakwah dan itu sebabnya mengapa kadang-kala dengan beberapa patah kata sahaja, Rasulullah SAW dapat mengislamkan orang-orang yang masih menyembah berhala.

Kelima, Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan melawak, Baginda tidak sama sekali berdusta. Ini bermakna Baginda mengesahkan bahawa adanya upah atau bayaran bagi nasihat yang diberikan oleh orang-orang berilmu. Jadi janganlah merungut jika fee konsultansi peguam macam kami ni tinggi kerana kami adalah orang yang berilmu dalam bidang perundangan. Haha!

Wallahu a’lam.

(Teks atau matan hadis ini diolah dengan bahasa yang lebih ringkas dan mudah difahami dan diceritakan semula oleh saya. Namun saya percaya bahawa ia tidak lari dari penceritaan yang asal. Moga Allah mengampuni saya sekiranya saya tersilap)

No comments: