Tuesday, May 28, 2013

Zero Hero SE (Bab 5) - Ada Apa Dengan Shahiezy Sam?



Zero Hero SE
Bab 5
Ada Apa Dengan Shahiezy Sam?


Beberapa hari kemudian...

“Shahiezy Sam menang anugerah bintang popular. Haii.. memang boleh jadi legend dia ini.” Mulutku terkumat-kamit memberikan komentar sementara kedua tanganku menyelak-nyelak helaian akhbar. Sementelahan Adrina bersama bapanya pergi ke Italy selama seminggu, aku mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung. Aku tiba malam tadi. Kini aku sedang melepak-lepak di dapur bersama ibuku. Aku begitu enak sekali membaca akhbar sedangkan ibuku ke sana-sini sibuk menyediakan sarapan pagi. Sungguhpun nampak tidak patut, namun ibuku yang mementingkan kesempurnaan tidak mahu sesiapa menolongnya.

“Kamu balik seorang macam bergaduh dengan Sirina aje.” omel ibuku. Aku tersenyum. Biasalah orang Perak menggunakan perkataan ‘si’ atau ‘se’ bagi panggilan orang-orang yang rapat dengan mereka.

“Taklah, mak. Kami mana ada gaduh-gaduh? Rina ikut bapaknya ke Italy untuk urusan kerja. Saya buat apa nak ikut? Kot la pergi ke Jeddah ke, bolehlah ikut sekali untuk buat umrah. Ooh... lawanya Fazura. Saya dan Shahiezy hanya kawan biasa sahaja. Betul! Betul! Fazura hak aku.” Aku sempat merapu selepas membalas kata-kata ibuku. Inilah bahananya kalau penumpuan separuh di akhbar dan separuh lagi terhadap ibuku.

“Kamu ni betul ke tak nak kerja elok-elok? Nak pergi berniaga burger pula?” Akhirnya ibuku meluahkan rasa tidak puas hatinya. Semalam bila aku memaklumkan akan niatku untuk berniaga kecil-kecilan, ibuku tergamam. Tak banyak yang beliau komen. Aku pasti semangatnya yang dah terbang semalam kembali masuk ke dalam tubuh pada pagi yang nyaman ini.

“Berniaga burger tu kerja yang eloklah! Rezeki yang halal.” tingkahku.

“Memanglah, mak tau. Tapi dulu kau bergaji dua puluh ribu lebih. Kalau berniaga burger cuma dapat dalam dua ribu saja kot? Nanti apa pula kata Sirina? Gaji dia sepuluh ribu lebih. Jaga-jaga, Rip. Orang perempuan ni kalau kedudukannya lebih tinggi daripada suami, dia akan hilang hormat pada suaminya. Mak kamu ni dah lama hidup di dunia. Mak dah banyak tengok perkara semacam itu.” ujar ibuku memberikan peringatan. Aku terdiam.

“Kalau Adrina ranggi sangat nanti, saya nikah saja dengan perempuan lain.” balasku dengan nada melawak.

“Nikah lain? Hah, elok juga tu! Mak ada ramai anak dara nak disuakan pada kamu. Kamu nak?” pelawa ibuku dengan nada teruja. Aku mengeluh panjang.

“Mak, sudahlah tu. Saya bahagia dengan Rina. Kenapa pula saya nakkan perempuan lain?” tikaiku.

“Yalah, mak tahu kamu memang bahagia. Tapi apa gunanya kalau tak ada anak? Zuriat itu bukan setakat kesinambungan pada keturunan kita, Rip. Ia juga jadi penyeri dalam hidup kamu berdua. Itu sebabnya orang panggil sebagai cahayamata.” Mulalah ibuku mengemukakan hujah-hujahnya. Ibuku ini memang petah dan bernas dalam berkata-kata walaupun selepas MCE beliau terus berhenti sekolah dan menjadi surirumah sepenuh masa hingga sekarang. Aku fikir Professor Dr. Muhaya pun pasti berasa teruja kalau nak berdebat dengan ibuku.

“Boleh ke rumahtangga kami berseri kalau saya meretakkan hati isteri saya?” balasku kembali. Aku berpandangan bahawa memulangkan paku buah keras sebegini memang tidak wajar. Boleh terjerumus ke lembah kederhakaan. Kalau ada Sultan Melaka lagi di zaman ini, mau disuruhnya Hang Tuah pergi membunuhku. Namun aku berasakan bahawa aku perlu mempertahankan juga cinta Adrina terhadapku. Tambah-tambah lagi setelah apa yang kujanjikan kepadanya tempohari. Janji mesti ditepati. Kecuali bab untuk tidak selalu menyepahkan rumah. Aku memang selalu tergoda oleh hasutan syaitan yang direjam. Aku pasrah...

“Emh! Kamu memang pandai bila menjawab. Mak cakap apapun ada sajalah jawapan yang kamu bagi. Lantaklah. Kamu pun dah besar panjang. Belajar lagi tinggi daripada mak. Memanglah hujah kamu lebih baik.” omel ibuku dengan nada rajuknya. Aku tersenyum kelat. Ibuku cukup sensitif semenjak kematian abang sulungku. Jadi seboleh-bolehnya kami adik-beradik cuba mengelakkan untuk berselisih faham dengan beliau. Aku membiarkan ibuku memuncungkan bibirnya buat seketika. Sekejap lagi aku akan cuba mententeramkan perasaannya.

**************************

Dua hari kemudian, aku sudahpun berada di Kuala Lumpur. Setelah mendapatkan permit untuk berniaga, aku mengupah tukang untuk membuat gerai burger yang sesuai untuk kutolak masuk ke dalam kedai makan Pak Cik Tow setelah habis berniaga. Beliaulah yang telah kubantu sewaktu berehat-rehat di luar klinik tempohari. Waktu perniagaanku adalah dari jam enam petang hingga ke sepuluh malam. Pak Cik Tow menutup perniagaannya awal kerana bimbang disamun. Pun begitu, tidak sepertiku, kedai makan beliau mula dibuka seawal jam tujuh pagi lagi. Atas persetujuan kami berdua, aku akan membayar sepuluh peratus dari keuntungan bersihku padanya setiap hari. Pandai orang tua ini berniaga. Mujurlah dia bukan berbangsa Yahudi.

Pak Cik Tow meneriak kepada para pelanggannya dalam bahasa Cina sambil menunding-nunding ke arahku. Aku fikir mungkin beliau sedang mempromosikan perniagaanku kepada mereka. Aku tersenyum sambil melambai-lambai ke arah mereka. Perasaan gemuruhku jangan cakaplah. Mereka yang kebanyakannya warga emas membalas dengan senyuman dan anggukan. Salah seorang daripada mereka berkata-kata dalam bahasa Cina juga. Amboi, bukan main gah lagi tatu di tangannya. Sahih gengster ni.

Alif, satu burger ayam. Itu taiko mau.” Tiba-tiba Pak Cik Tow bersuara. Wah! Cepat sahaja rezeki Allah datang kepadaku. Aku tersenyum dan terus menguruskan pesanan tersebut. Oleh kerana sudah terbiasa memasak, aku tidak begitu berasa kekok. Beberapa minit kemudian, burgerku telah siap. Aku mengarahkan langkah ke arah pelanggan pertamaku dan terus menghulurkan bungkusan burger tadi.

“Dah siap, bang.” maklumku berbasa-basi.

“Saya mau makan sini.” maklum taiko itu pula. Berubah air mukaku. Rasa nak pecah air ketuban. Nampak benar aku ini amatur.

Sorry, sorry bang.” pohonku sebelum tergesa-gesa meninggalkan taiko tersebut. Aku meminta pinggan daripada Pak Cik Tow. Beliau menghulurkannya dengan tawa gelihati. Makin merah padam mukaku. Aku mesti melakukan sesuatu agar dapat menaikkan reputasiku di mata mereka. Setelah mengalihkan burger tadi ke pinggan melamine dengan cermat, aku menggesakan diri kepada taiko tadi.

“Siap! Sorry pasal tadi, bang.” pohonku lagi. Taiko tersebut tersenyum dan menyeluk ke dalam dompetnya. Berkeping-keping not lima puluh di dalam dompet tersebut. Duit upah pukul orang gamaknya.

Berapah?” tanyanya dengan lembut. Mungkin beliau mengetahui perasaan malu dan gementarku sekarang.

Err, tak payah. Hari ini hari opening saya bisnes. Jadi saya belanja. Semua orang yang nak makan burger, order saja. Saya belanja! Tapi seorang satu sahaja.” ujarku yang menguatkan suara di akhir bait-bait kata. Terbeliak mata taiko tersebut. Beliau kemudiannya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Dan seperti kuduga, hampir kesemua pelanggan yang berada di kedai makan tersebut mulai memesan burger daripadaku.

**************************

You gila la Alif. You kasi semua orang burger free.” komen Pak Cik Tow. Aku yang sedang mengemaskan gerai burgerku tersenyum.

“Macam mana burger saya, uncle? Okey tak?” tanyaku. Pak Cik Tow juga turut kujamu dengan burger percuma. Orang tua tersebut mengangguk. Sekoyong-koyongnya seorang pelanggan lelaki berbangsa Cina beliau mendekati kami.

“Ada lagi burger free tak?” tanyanya. Daripada cara beliau berpakaian, aku dapat mengagak bahawa beliau ialah seorang penuntut institusi pengajian tinggi. Aku tersenyum seraya menggelengkan kepala.

Sorry, dah habis. Esok insyaaAllah ada. Tapi bukan free lagi.” jawabku dengan sulaman gurauan. Pemuda tersebut tersenyum kelat dan terus berlalu pergi. Pak Cik Tow menggelengkan kepala.

“Orang Cina muda sekarang tak tau mau hormat sama orang tua lagi.” komennya dengan nada kesal. Aku tersenyum mendengarkan kata-katanya itu. Aku fikir begitu jugalah dengan sesetengah muda-mudi berbangsa Melayu.

“Okey, uncle Tow. Saya hari ini bayar upah dengan burger saja. Saya nak balik sekarang. Terima kasih sebab bagi saya peluang berniaga di sini.” ucapku dengan sopan. Pak Cik Tow ketawa. Mungkin masih berasa gelihati dengan caraku yang sungguh amatur tadi. Belum sempat aku melangkah, tiba-tiba sekelibat tubuh lalu di hadapanku dengan pantas. Hampir sahaja kami berlaga.

“Hah, itulah. Itulah tukang masak cilaka tu.” maklum Pak Cik Tow sambil memuncungkan bibirnya ke arah lelaki yang hampir melanggariku tadi. Lelaki tersebut tergopoh-gapah pergi meninggalkan kedai tanpa meminta izin Pak Cik Tow. Aku cuma memandang beliau dengan gelengan kepala.

“Dia setujukah dengan tawaran uncle?” tanyaku dengan perasaan ingin tahu.

Hm, ya! Dia jadi uncle punya partner untuk tiga bulan. Sikit bulan lagi dia tau la dia punya nasib!” jawab Pak Cik Tow. Aku mengangguk. Sudah jadi rakan kongsi rupa-rupanya. Patutlah ranggi sangat.

**************************

Malam itu aku berhubung dengan Adrina melalui webcam. Isteriku tadi sedang dalam perbincangan dengan para pembekal. Namun sempat juga beliau mencuri masa untuk berbual denganku.

“Sayang nampak cantik sekali.” pujiku. Adrina tersenyum dan ketawa.

“Kalau abang suka, Rina akan selalu pakai macam ini bila di rumah untuk abang saja.” balas Adrina.

“Kalau di rumah, tak payah pakai apa-apa lagilah best!” ujarku berlawak. Isteriku ketawa besar dan kemudian mengacungkan buku limanya ke arahku.

“Macam mana dengan hari pertama berniaga?” tanya Adrina.

“Kelam-kabut dan tunggang-langgang. Tapi nampaknya ramai yang suka dengan masakan abang. Tak ada pun yang terluak dan dibuang.” maklumku.

“Ha! Kan Rina dah kata yang masakan abang sedap?” puji isteriku. Aku senyum dan mengangguk.

“Maaf, ya bang? Rina tak dapat datang ke gerai burger abang pada hari pertama pembukaan.” pohon Adrina.

“Tak mengapa. Bukan ada apa-apa yang hebat pun. Ah, lupa nak beritahu! Sebelum itu abang pergi ke rumah mak di Ipoh.” maklumku. Serta-merta jelas padaku perubahan wajah di muka isteriku.

“Mak tanya perkara yang sama ke?” tanyanya. Aku mengangguk. Adrina juga turut mengangguk dengan senyuman tawar.

“Oh, ya! Ada seperkara lagi. Mak risau sebab kedudukan dan gaji Rina sekarang lebih tinggi daripada abang.” maklumku.

“Kenapa pula?” tanya Adrina dengan nada kehairanan.

“Dia kata nanti Rina akan hilang rasa hormat pada abang.” jawabku. Wajah isteriku berkerut dan kemudian menggeleng-gelengkan kepala.

“Dulu mama pun pernah cakap begitu. Dia risau kalau-kalau bila dah berkahwin nanti, Rina akan menghina abang dengan mengungkit-ungkit tentang status famili Rina dan famili abang. Tapi Rina tak pernah buat begitu. Malah Rina pergi memperdalamkan pengetahuan agama supaya Rina tahu cara yang betul bagaimana nak menghormati dan melayani abang. Walau apapun keadaan atau kedudukan abang sekarang dan akan datang, abang tetap suami Rina dan Rina tetap selama-lamanya di bawah abang.” Perbualan kami terganggu bila terdengar suara bapa mertuaku memanggil Adrina. Mungkin kerana beliau terlalu lama mencuri masa.

Maaf, bang. I’ve got to go. I love you. Always and forever. Muah!” ucapnya. Aku juga membalas dengan ciuman jarak jauh. Seketika kemudian skrin di komputer ribaku menjadi kelam. Namun aku masih termenung di antara perasaan lega dan bimbang. Ternyata kata-kata ibuku masih memberi kesan yang ketara pada jiwaku.


- Bersambung lagiiii.... -

Saturday, May 25, 2013

Daulah Maddaniah - Sebenarnya Saya Isteri Dia... (cerita pendek)

Pada dua puluh tahun akan datang...

Yusoff Tanthowi merenung tidak berkelip ke arah wanita yang berjalan ke arahnya sebaik sahaja kes beliau dipanggil. Noda kehitaman pada bahagian mata kiri wanita tersebut menunjukkan bahawa ianya adalah kesan pecah darah akibat dipukul dengan kuat. Wanita tersebut yang kini duduk di hadapan beliau mengukirkan senyuman semanis mungkin. Namun palit kepahitannya begitu jelas pada mata Qadhi di jabatan Munakahat ini.

"Puan Aqeera, awak dipukul oleh suami awak lagikah?" tanya Yusoff dengan nada mendatar. Beliau seboleh-bolehnya cuba mengawal emosi kemarahan dan cuba bertindak dengan seadil-adilnya. Wanita yang bernama Aqeera tersebut mengangguk kecil. 

"Sudah buat laporan polis?" tanya Yusoff. Aqeera menggeleng.

"Sudah pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan?" tanya Yusoff. Aqeera menggeleng lagi.

"Sikit saja, tuan Qadhi. Tak perlulah saya ke hospital." balas Aqeera untuk menjustifikasikan keputusannya itu sungguhpun tidak kedengaran suara mengeluh atau merengus daripada hakim bahagian munakahat di hadapannya ini.

Yusoff memandang ke arah kedua-dua pembantunya yang juga bertindak sebagai jurubahasa mahkamah munakahat tersebut.

"Ameena, hubungi Sarjan Alimuddeen dan minta dia datang ke mari dengan buku laporan." arah Yusoff. Beliau kemudian memandang ke arah Aqeera.

"Puan akan dibawa ke klinik di mahkamah kami oleh jurubahasa saya, Sakeenah sekejap lagi. Puan akan diperiksa dan dirawat oleh doktor pakar kami di sana. Dalam masa yang sama Sarjan Alimuddeen akan mengambil keterangan puan dan juga saksi-saksi, jika ada. Kedua-dua laporan polis dan perubatan akan diserahkan ke tangan saya pada hari ini juga. Dan oleh kerana suami puan saya kini anggap sedang melarikan diri, petang ini juga saya akan mewartakan waran tangkap untuknya. Sebaik saja dia menjejakkan kaki ke bumi Daulah Maddaniah, polis akan menangkapnya dan beliau akan dibawa ke hadapan saya untuk memberikan tunjuk sebab." maklum Yusoff. Tersentak Aqeera mendengarkan pemberitahuan tersebut.

"Err... err... dia akan ditangkap?" tanya Aqeera. Yusoff mengangguk.

"Di negara kami, al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah pegangan kami. Keadilan adalah teras kami. Kaum wanita kami muliakan dan kami tidak benarkan sebarang bentuk kezaliman dilakukan ke atas mereka. Sungguhpun puan dan suami adalah rakyat Malaysia, namun kalian berdua telah bernikah di sini dan oleh kerana itu kalian adalah tertakluk pada undang-undang kami." perjelas Yusoff.

"Sebenarnya... sebenarnya saya isteri isteri dia... yang kedua." maklum Aqeera.

"Jadi puan berasakan bahawa puan patut dianiaya sebegini rupa sebab puan sebelum ini menganiaya isteri pertama suami puan dengan menjadi isteri keduanya?" tanya Yusoff. Aqeera tunduk. Kemudian beliau mengangguk. Air matanya dengan tidak semena-mena beruraian mengalir.

"Dalam hati kecil puan, apa sebenarnya yang puan mahu?" tanya Yusoff.

"Saya mahukan suami saya yang dulu. Yang sayangkan saya. Yang tak memukul saya. Saya tak mahu berasa sakit lagi. Saya mahu bahagia." jawab Aqeera dalam sendunya. Yusoff senyum.

"Semua wanita mahukan itu, puan. Jadi saya akan cuba membantu puan. Saya tukar arahan saya tadi. Saya dan akan mengeluarkan permohonan ektradisi terhadap suami puan agar beliau ditangkap di Malaysia dan diserahkan kepada pihak kami untuk dibicarakan. Jika terbukti dia memukul puan, maka kami akan memenjarakannya, merampas sebahagian hartanya untuk diserahkan kepada puan sebagai gantirugi dan memberinya kaunseling. Jika dia nampaknya masih tidak insaf dan menyakiti puan, maka kami akan memfasakhkan perkahwinan puan dengan suami puan. Lebih baik begitu. Lagipun di Daulah Maddaniah, ada ramai lelaki yang baik untuk dijadikan suami dan boleh insyaaAllah mereka mampu memenuhi impian puan tadi. Saya pasti di Malaysia juga ramai lagi lelaki yang baik."  perjelas Yusoff. Aqeera kini mampu meriakkan senyuman gembiranya yang sebenar. 

Daulah Maddaniah : negara Islam yang ditubuhkan oleh sebilangan billionair Islam untuk menghidupkan cara hidup Islam mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Negara kecil ini kini amat dihormati oleh negara-negara Islam lain dan digeruni oleh Zionis dan sekutu-sekutunya.


Blackout 505 - Suara Hati Sebenar Majoriti Rakyat Malaysia?

Syukur kepada Allah kerana perhimpunan Blackout 505 berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang buruk. Aku pun ada perhimpunan blackout juga tapi di Sungai Limau, Perak. Bapa saudaraku telah kembali ke rahmatuLlah pada pagi itu.

Melihatkan pada jumlah yang sangat besar pada perhimpunan tersebut, kita tentunya mempunyai impresi bahawa ini adalah suara hati rakyat yang majoritinya tidak redha dengan kerajaan yang berkuasa sekarang. Para penyokong kerajaan pula mungkin berkata tindakan seperti ini adalah kebudak-budakkan dan membuang masa. Aku yang melepak atas pagar ini separuh bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Aku tahu bahawa majoriti (atau semua) yang telah menyertai Balackout 505 semalam berpandangan bahawa kerajaan sekarang akan tetap berkuasa sungguhpun beribu petisyen difailkan di mahkamah untuk mencabar keputusan PRU13 lalu. Jadi mereka mahu menunjukkan tanda tidak redha mereka dari awal-awal lagi. Aku fikir aku memahami perasaan mereka dan dengan itu aku tidak berpendapat bahawa mereka ini membuang masa.

Namun aku juga bersetuju bahawa ianya agak kebudak-budakkan. Kita semua sedar bahawa tidak banyak impak yang boleh diberi oleh Blackout 505 ini. Mungkin kerajaan akan lebih lunak dan 'bersopan' dengan rakyat, namun mereka masih tetap berkuasa. Mungkin tahun depan mereka akan naikkan lagi kadar insurans kenderaan, menguatkuasakan GST serta AES dan paling buruk mungkin menaikkan lagi kadar petrol RON95. Segalanya mungkin. Dan kita rakyat marhaen ini akan terus mengadakan demonstrasi untuk memberitahu perasaan tidak puas hati kita. Tetapi setakat itu sahaja.

Aku fikir sudah tiba masanya rakyat, lebih-lebih lagi bangsa Melayu membuat sesuatu yang lebih proaktif untuk melepaskan diri kita dari terlalu bergantung kepada kerajaan tak kira BN atau PR (mungkin pada penggal akan datang). Aku berpandangan bahawa orang Cina dan rakyat negeri Kelantan sudah lama berbuat demikian dan oleh kerana itu mereka tidak peduli akan ugutan dan gula-gula pembangunan daripada kerajaan. Apa tandanya rakyat tidak lagi bergantung kepada kerajaan? Bilamana kita tidak lagi berbaris untuk mengambil BR1M pada penghujung penggal pemerintahan kerajaan BN nanti. Pada masa itu nanti baharulah kita rakyat marhaen ini mempunyai kuasa rakyat yang sebenar.

Yang comel dan tak comel tentang Gwiyomi

Bahkan anakku Sarah yang baharu berumur 11 bulan juga menyukai Gwiyomi! Tapi mujurlah versi Wawa Zainal dan bukan versi Abon. Haha!

Aku berpandangan bahawa tak usahlah kita beranggapan terlalu negatif tentang budaya Gwiyomi ini. Gangnam Style dulu lagilah teruk! Sangat suggestive dan menjolok mata. Cuma aku berasakan bahawa sebagai seorang muslimah, sebelum kita mempamerkan aksi-aksi comel tersebut untuk tatapan manusia seluruh dunia di youtube, eloklah kita menutup aurat dengan sempurna kerana kalau tak, kita akan mendapat dosa global dengan tak tentu pasal. Ada seorang artis Muslimah yang tak menutup aurat telah ditatap lebih dari 700 ribu kali setakat ini. Bayangkan berapa global dosanya pada masa ini dan akan datang!

Bagi lelaki Muslim pula, ada yang melakukan aksi pelik-pelik semasa ber-gwiyomi seperti memasukkan kaki ke mulut dan memakai ala-ala perempuan bertudung dengan harapan untuk menjadi bahan ketawa orang ramai. Terdapat hadis yang makbul (diterima kerana tarafnya sahih/hasan) yang mana Rasulullah SAW melarang seseorang Muslim itu melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dianggap pelik dan dipandang serong oleh orang lain. Ini adalah demi untuk menjaga maruah agama Islam itu sendiri. Bayangkanlah kalau seorang non-Muslim yang melihat perlakuan kita di youtube dan kemudian mencerca agama kita. Murah benarkah maruah orang Islam semata-mata kerana mahu glamour?

Thursday, May 16, 2013

K-Pop dan Boria

Saya agak hairan melihatkan kegilaan remaja pada lagu-lagu dan artis-artis K-Pop ni. Budaya K-Pop ni mula menarik perhatian saya akibat kegilaan dunia pada Opah Gangnam Style. Saya pun selongkarlah semua lagu-lagu K-Pop yang ada dalam Youtube. Oh, bolehlah tahan juga lagu dia. Kebanyakan mereka tak mempunyai vocal power. Jadi mungkin kerana itu mereka menyanyi beramai-ramai. Teringat pula saya pada kumpulan Boria masa kecil-kecil dulu. 

Kalian tak tahu apa itu boria? Boria berasal dari Penang dan mereka juga mennyanyi dan menari beramai-ramai. Pakaian mereka juga bling-bling habis tetapi tidaklah seksi sampai mata saya cekang menatap skrin komputer. Haha! 

Pada zaman saya remaja dulu, kami gilakan rock dan metal. Saya fikir budaya rock dan metal lebih dahsyat dan teruk dari K-Pop. Pun begitu saya berharap adik-adik peminat K-Pop agar hanya meminati lagu-lagunya sahaja dan taklah hingga melanggar batasan akidah dan kesusilaan kerana mahu meniru mereka.

Opah Gangnam Style!

MetroPolis Ep 3 Bab 17 - Ahli Baharu (bah. akhir)



MetroPolis Episod 3
Bab 17
Ahli Baharu (Bah. Akhir)



Dua hari kemudian. Di California, Amerika Sakit...

Superior Grandmaster Raines tersengih dengan gaya angkuh melihatkan dua orang wakil Organisasi yang datang ke kubu Doomrock dengan sebuah pesawat apung yang kecil. Seorang dari mereka turun dari kenderaan tersebut dan maju ke arah Raines yang bersama dengan anak-anak buahnya. Wajah wakil Organisasi tersebut adalah bersih dan sedap dipandang mata. Manakala rakannya pula yang memakai kerudung seperti seorang ahli sihir, mengekori secara santai dari belakang.

“Salam sejahtera kepada yang mahu menerima petunjuk. Nama saya Amru. Di belakang saya adalah tuan saya.” ucap lelaki berwajah manis tersebut. Raines tidak menjawab. Beliau sebaliknya merenung Amru ke atas ke bawah beberapa kali. Nyatalah beliau berniat mahu memperkecilkan lelaki muslim tersebut.

“Adakah kamu ini seorang pendekar Emissary?” tanya Raines.

“Oh, tidak. Saya bukan seorang Emissary. Malah saya bukanlah seorang tentera. Saya adalah penterjemah kepada tuan saya. Ha, dia pula sememangnya seorang Emissary.” maklum Amru dengan ramah-tamah. Raines dan konco-konconya ketawa terbahak-bahak.

“Tahukah kamu bahawa aku adalah seorang pendekar berpangkat Superior Grandmaster? Tarafku ini adalah sama atau melebihi kekuatan dan kehebatan seorang pendekar Emissary?” tanya Raines dengan angkuhnya.

“Ya, tuan saya tahu tentang kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Kononnya taraf ini baharu sahaja diwujudkan setelah Maharaja Adaj mencipta mantera Kabbalah yang amat hebat. Kini mungkin Organisasi mampu diancam dengan serius oleh pihak Masonik.” jawab Amru dengan sopan. Sedikitpun beliau tidak beremosi dengan tindak-tanduk Raines tadi.

“Jadi tentunya kamu sedar bahawa kalian berdua tak mungkin akan dapat keluar dari sini hidup-hidup.” ancam Raines. Tiba-tiba tuan Amru yang berpangkat Emissary tersebut bersuara. Amru mengangguk.

“Tuan saya kata beliau ingin melihat sendiri kehebatan pendekar Superior Grandmaster. Jadi itulah sebab beliau datang ke mari.” maklum Amru. Raines dan konco-konconya sekali lagi ketawa.

“Tuan kamu seorang yang amat bodoh. Di sini sahaja terdapat seramai tiga puluh orang pendekar bertaraf Superior Grandmaster dan enam puluh orang Grandmaster. Malangnya nasibmu mendapat tuan sebodoh ini!” maklum Raines. Amru menterjemahkan kata-kata Raines tadi kepada tuannya. Tuannya itu akhirnya menyelak kerudung beliau. Terserlah wajahnya seorang anak muda dalam lingkungan umur dua puluhan. Wajahnya juga amat bersih, namun sinar matanya bagaikan seekor haiwan pemangsa. Beliau tersenyum gembira. Bibirnya kemudian mengorakkan sesuatu kepada Amru.

“Tuan saya memberitahu tadi bahawa dia sememangnya mengetahui akan jumlah pendekar Superior Grandmaster di kubu Doomrock ini. Itulah sebabnya beliau bertandang ke sini. Beliau mahu menguji kuasa Karamahnya ke tahap maksimum.” terjemah Amru. Terangkat kening kanan Raines.

“Bodoh. Memang bodoh. Baiklah, beritahu nama tuanmu sebelum aku bunuh, Amru. Agar dapat kami memaklumkan kepada dunia akan kebodohan pihak Organisasi.” pinta Raines. Amru tidak menjawab. Sebaliknya beliau melonjak ke belakang. Sungguhpun bukan seorang tentera Organisasi, namun ternyata beliau bukanlah sembarangan orang.

“Oh, kau juga mempunyai kuasa Karamah.” taakul Raines.

“Tuan pendekar, nama tuan saya ialah Muhammad Zikrullah. Beliau amat dikenali dengan nama Maharaja Debu Berlian. Kadang-kala orang memanggilnya dengan gelaran Pendekar Abadi!” maklum Amru dengan nada teruja.

*************************************

Pada masa yang sama di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak...

Para pemberita terus menyerbu ke arah Erika, Monsson dan ratusan ahli kumpulan mereka sebaik sahaja keluar dari bilik mahkamah. Ternyata pembubaran dan penyerahan diri secara beramai-ramai dua kumpulan samseng yang tersohor di Perak ini menjadi perbualan hangat semenjak peperangan triad. Namun sebenarnya tumpuan para pemberita tersebut bukanlah pada geng Terendak Biru dan Neon Melambai. Sebaliknya mereka ingin mendapatkan ulasan serta komen daripada timbalan pemimpin MetroPolis sendiri iaitu Nazrul.

“Tuan Nazrul, benarkah penyerahan serta pembubaran kumpulan Terendak Biru dan Neon Melambai adalah bersyarat?” tanya salah seorang wartawan dalam hingar-bingar soalan yang singgah di telinga Nazrul. Nazrul yang kurang biasa berinteraksi dengan orang ramai mengetuk-ngetuk mikrofon terlebih dahulu.

“Aaa... salam sejahtera. Untuk jawapan encik tadi... Jawapannya ialah ya. Kedua-dua kumpulan ini bersetuju untuk membubarkan serta menyerah diri dengan syarat hukuman ke atas mereka diringankan oleh pihak mahkamah. Saya telah mengemukakan tawaran mereka kepada Peguam Negara dan Peguam Negara telah bersetuju dengan tawaran tersebut oleh kerana jenayah yang mereka lakukan adalah kecil-kecilan. Tiada rekod jenayah berat yang direkodkan oleh pihak kami mahupun syarikat-syarikat polis yang lain setakat hari ini. Sekian, terima kasih.” perjelas Nazrul dengan panjang lebar. Ternyata beliau dapat mengendalikan soalan tersebut dengan baik sekali sungguhpun nampak kekok dan gelabah.

“Apa komen tuan tentang cadangan Peguam Negara dan arahan pihak mahkamah agar kesemua ahli kumpulan Terendak Biru dan Neon Melambai ini diserapkan dalam MetroPolis?” tanya seorang wartawan yang lain.

“Aaa... terima kasih kerana bertanya. Peguam Negara dan pihak kami telahpun berbincang panjang mengenai hal ini dan kami bersetuju untuk arahan tersebut kerana ianya adalah sebahagian daripada hukuman iaitu kerja-kerja komuniti terhadap masyarakat. Peguam Negara berpandangan bahawa MetroPolis adalah syarikat polis terbaik untuk mengawal selia bekas ahli-ahli kumpulan ini atas rekod baik dan cemerlang kami. Sekian, terima kasih.” jawab Nazrul. Temuramah ini disiarkan secara langsung dan terpapar di skrin-skrin teleholo seluruh negara.

Di suatu sudut yang agak suram, seorang lelaki dalam pertengahan umur merintih dan mengerang kesakitan di sofa malasnya. Tubuhnya becak bermandikan peluh. Namun beliau yang juga sedang menonton siaran langsung temuramah wartawan dengan Nazrul tersebut kelihatan tersenyum. Kemudian ketawa.

“MetroPolis bodoh! Nanti kau tahulah nasibmu! Kalian belum sedar bahawa kalian sedang masuk ke dalam perangkap kami. Haha!” komen lelaki tersebut dengan begitu payah dan jerih sekali. Setelah diamat-amati, ternyata beliau adalah Dato’ Seri Khamal yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada masa kini. Namun beliau yang kini jarang menampilkan diri semenjak insiden kunjungan Emissary Mayhem kelihatan amat sakit dan menderita sekali. Tubuhnya kelihatan diselaputi dengan asap nipis. Dahinya pula kini bercacah dengan tatu bercorak bulatan dengan simbol-simbol kuno yang pelik.

“Kuasa... aku dapat merasakan kuasa di segenap tubuhku...” ujar Dato’ Seri Khamal. Beliau bercakap seorang diri di dalam kamarnya yang gelap dan berselerak tersebut.

“Ya... kuasa ini akan menjadi milikmu! Kau akan mempunyai kuasa yang hebat dan luarbiasa. Kau mampu mengalahkan pendekar Emissary selepas ini, Khamal...” ujar Dato’ Seri Khamal pula. Namun suara yang terpacul dari mulutnya adalah amat berbeza lagi menakutkan.

“Aku tak mahukan pendekar Emissary! Aku... aku mahukan Mayhem!” bentaknya pula yang mana kali ini adalah suaranya yang sebenar.

“Ya... kalau itu yang kau mahukan...” ujar Dato’ Seri Khamal pula dengan suara garau tadi. Seolah-olah beliau kini dirasuk oleh sesuatu. Perdana menteri ini kemudiannya ketawa terbahak-bahak. Semakin lama semakin keras dan lantang. Malah terdapat gabungan suara tawanya bersama suara-suara lain yang juga muncul dari mulutnya.

“Hidup Maharaja Adaj! Hidup Maharaja Adaj! Tuhan yang paling berkuasa!” pekik Dato’ Seri Khamal sekuat-kuat hatinya. Keadaan beliau sememangnya mengerikan dan meremangkan bulu roma.

*************************************

Kubu Doomrock, beberapa jam kemudian...

Raines hanya mampu melutut ke tanah. Seluruh tubuhnya menjadi kaku dan mengeras. Baharulah beliau mengetahui mengapa orang menggelarkan lawannya ini Debu Berlian. Baharulah juga Raines menyedari mengapa ada pula menggelarkan lawannya ini sebagai Pendekar Abadi.

“Nampaknya teknik menyebatikan tubuh manusia dengan molekul kristal pasirku masih belum dapat diatasi. Apa gunanya ilmu sehebat langit dan bumi sekalipun kalau kau tak dapat mencegah molekul kristal yang kau tidak nampak?” tempelak Maharaja Debu Berlian. Tubuh pendekar Organisasi tersebut mengalami kecederaan yang amat parah. Namun cepat sahaja ianya beransur pulih dan daging pada tubuhnya yang bercerai-berai beransur-ansur tumbuh daging yang baharu.

“Sudah hampir lima ratus tahun aku melihatkan perkembangan manusia yang seiring dengan perubahan dunia ini. Engkau tentu terfikir bahawa adalah bosan bila hidup selama itu. Namun sebenarnya aku berasa amat seronok dan teruja. Hidup ini sesungguhnya amat bererti sungguhpun aku akan hidup untuk seribu tahun lagi. Contohnya pada hari ini. Hari ini sememangnya hari yang amat menggembirakan hati.” ceceh Debu Berlian. Raines yang dikakukan dengan kuasa Karamah lawannya hanya mampu ternganga tanpa dapat menguit walau seinci sekalipun. Sebelum ini beliau menjerit dengan penuh sengsara apabila berbillion butir-butir molekul kristal pasir masuk ke dalam tubuhnya melalui liang-liang roma dan mula menyebatikan diri dengan tulang, darah serta dagingnya. Kini beliau tidak mampu bersuara kerana peti suaranya sudah mulai mengeras seperti batu. Nyawa beliau ternyata kini dihujung tanduk. Nasib yang sama turut dialami oleh rakan-rakan seperjuangannya yang kini bagaikan patung-patung hiasan taman.

“Bagus juga kau merakamkan pertarungan kita untuk disiarkan ke seluruh dunia. Nanti seluruh dunia akan dapat melihat bagaimana orang-orang yang angkuh sepertimu dan rakan-rakanmu dihapuskan. Pun begitu, ternyata kekuatan pendekar Superior Grandmaster adalah amat menakutkan. Aku akur pada kehebatan dan ancaman kalian.” ujar Debu Berlian lagi. Di hadapan mereka kelihatan kubu Doomrock yang keseluruhannya terapung di udara bersama jutaan kubik padu meter tanah yang menjadi tapak pada kubu tersebut.

“Apa sangatlah kehebatan kubumu ini jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah kepadaku!” sindir Debu Berlian sebelum mengais-ngais jari-jemari kanannya ke udara. Kubu Doomrock tersebut seolah-olah diterbalikkan dengan tangan ghaib dan kemudian terhempas ke bumi bersama ribuan manusia di dalamnya. Bunyi dentuman dan gegaran yang amat menakutkan bergema di segenap ruang sehingga mencapai sejauh lima kilometer radius. Tubuh Raines yang semakin mengeras retak seribu akibat dihentam dengan kuasa gegaran tadi. Nyawanya melayang serta-merta. Beberapa minit kemudian debu-debu yang melitupi Maharaja Debu Berlian dan arwah Raines mula surut.

“Sudah mati.” omel Debu Berlian. Beliau memandang ke arah kamera perakam robotik yang turut rosak akibat gegaran tadi.

“Sayangnya kalian tak dapat melihat Karamahku ini pula.” ujar Debu Berlian seraya menghalakan telapak kanannya ke arah mayat Raines. Sebaik sahaja beliau menggenggam tangan tersebut, suatu sfera lutsinar muncul di sekeliling mayat lawannya.

“Sembilan skala Richter.” ucap Debu Berlian sebelum membuka kembali genggamannya. Serta-merta tubuh Raines meledak bersama-sama tanah di dalam lingkungan sfera tersebut menjadi debu-debu yang halus.

- Bersambung -