“Sabarlah dulu, Enbi. Mahkamah baru saja memberikan kita dokumen Penghakiman Ingkar yang telah dimeterai oleh cop rasmi pendaftar kanan. Sekarang barulah kita boleh menyampaikan dokumen ini kepadanya.” maklum Zuraidah.
“Kalau dia masih enggan keluar?” Pertanyaan Enbi kali ini membuatkan Zuraidah bungkam seketika.
‘Err… Kita terpaksa pula memfailkan permohonan untuk memaksanya keluar.” maklum Zuraidah dengan agak ragu-ragu. Beliau yang lebih mahir dalam bidang korporat ini tidak begitu biasa dengan prosedur mahkamah.
“Kalau begitu, makin lama lagilah si jahanam itu duduk secara percuma di rumahku?” tanyanya dengan nada geram. Enbi merengus. Zuraidah terdiam. Penghawa dingin di biliknya mewahnya ini tidak lagi mampu membuatkan beliau berasa selesa dengan keadaan yang tegang sekarang.
“Bak sini dokumen perintah itu. Biar saya sendiri yang berikan kepadanya. Nanti saya akan pujuk dia dengan baik untuk keluar dari rumah tersebut dan membayar tunggakan sewanya. Terima kasih sebab menolong saya sampai takat ini. Puan dah lakukan tugas puan dengan baik sekali.” maklum Enbi. Zuraidah dalam keadaan keberatan menghulurkan dokumen penghakiman ingkar tersebut kepada majikannya. Beliau berasa geram kerana tidak dapat menyempurnakan tugasnya dengan baik dan kini ianya terpaksa dikendalikan sendiri oleh Enbi.
********************************
“TOK! TOK! TOK!”
Akhirnya Cullin Powell membuka pintu kondonya setelah berulang kali diketuk dengan keras.Wajah bengis pemuda berbangsa Amerika itu serta-merta menjadi pucat tatkala melihatkan empat orang lelaki yang tegap-tegap belaka serta berpakaian ala samseng. Malah salah seorang daripada mereka membawa sebatang rod panjang yang diperbuat dari karbon yang keras. Tanpa dipelawa, keempat-empat lelaki tersebut terus masuk ke dalam. Cullin Powell terdorong ke belakang dan jatuh terduduk akibat dirempuh oleh salah seorang samseng tersebut.
“A… apa yang kamu semua mahukan?” tanya Powell dengan nada gementar. Mereka semua enggan menjawab soalannya itu. Salah seorang daripada samseng tersebut mencampakkan beberapa keping kertas yang dikokot bersama kepada Powell.
“Ini arahan mahkamah. Kau mesti keluar dari kondo ini sebelum hari Sabtu ini. Tempat ini sudah tak selamat. Manalah tau kalau-kalau ada perompak masuk dan mencederakanmu nanti. Jadi eloklah kau berpindah segera.” maklum si samseng yang mencampakkan dokumen tadi.
“Dan ini pula untuk memastikan kau membayar sewaan yang tertunggak selama enam bulan.” ujar lelaki yang memegang batang rod tadi seraya memukul teleholo (televisyen) milik Powell sehingga berkecai. Mereka berempat ketawa terbahak-bahak sebelum meninggalkan kondo tersebut.
************************************
Tiga hari kemudian…
“Tak sangka encik Powell bersetuju untuk keluar dari kondo tersebut dan menjelaskan kesemua hutang sewa yang tertunggak. Awak ini memang pandai memujuklah, Enbi. Sepatutnya awak menjadi seorang peguam dan bukannya usahawan.” puji Zuraidah disulamkan dengan usikan. Enbi tidak membalas pujian serta usikan tersebut. Sebaliknya beliau hanya tersenyum dengan senyuman yang penuh bermakna.
No comments:
Post a Comment