“Kan hari bapa dah dekat? Jadi saya nak menyambutnya sebagai tanda penghormatan kepada abah.” balas Nazrul.
“Kenapa? Apa yang dia dah buat kepada kita selama ini?” pertikai Enbi.
“Janganlah begitu, bang ngah. Setidak-tidaknya dia adalah ayah kita. Dia adalah manusia biasa. Tentu tak terlepas dari kesilapan.” ujar Nazrul mempertahankan bapa mereka.
“Ceh! Bagi aku, dia adalah manusia yang bodoh lagi mementingkan diri. Semasa kau demam panas dan hampir mati, di mana dia? Sibuk dengan seminar perniagaan jualan langsungnya. Mujurlah ada ibu bapa Cat. Akuilah Nazrul, dia tak pernah mempedulikan kita. Kita bertiga membesar sendiri tanpa bantuannya. Akhirnya dia ditipu hidup-hidup oleh pakcik-pakcik kita sampai muflis dan mati merana. Padan muka dengannya sebab terlalu mementingkan kerjayanya daripada kita.” balas Enbi dengan panjang lebar.
“Bang ngah pun terlalu mementingkan kerjaya macam abah juga…” balas Nazrul kembali dengan nada tidak berpuas hati. Enbi merenung tajam ke arah adiknya. Namun beliau enggan memanjangkan lagi perbualan yang sia-sia tersebut. Enbi mencapai kunci keretanya dan terus keluar dari kondo.
***********************************
Setelah hampir sepuluh minit memandu tanpa tujuan di sekitar Bandaraya Ipoh, akhirnya Enbi memarkirkan Mercedesnya di kawasan perumahan Silibin. Beliau termenung panjang. Wajahnya cukup sugul. Seketika kemudian perlahan-lahan air matanya mengalir membasahi pipi. Namun Enbi tidak menyeka atau mengesatnya. Beliau membiarkannya begitu sahaja. Tiada siapa yang tahu perasaannya buat masa ini. Dan itulah yang dimahukan oleh Enbi.
No comments:
Post a Comment