Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

Saturday, June 12, 2010

Sketch : Mengutip sewa cara Enbi

“Puan Zuraidah, kita sudahpun mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk menuntut bayaran sewa tertunggak dan menghalau si Powell keluar dari kondominium saya. Kenapa dia masih berdegil enggan keluar?” Pertanyaan keras Enbi dibalas dengan gelengan kepala oleh peguam kepercayaannya. Nampaknya Enbi mash tak memahami akan prosedur undang-undang untuk mengeluarkan penyewa yang melanggari perjanjian. Sebelum ini Enbi pernah memintanya agar membuat permohonan di mahkamah untuk memenjarakan encik Powell kerana tidak membayar wang sewaan.

“Sabarlah dulu, Enbi. Mahkamah baru saja memberikan kita dokumen Penghakiman Ingkar yang telah dimeterai oleh cop rasmi pendaftar kanan. Sekarang barulah kita boleh menyampaikan dokumen ini kepadanya.” maklum Zuraidah.

“Kalau dia masih enggan keluar?” Pertanyaan Enbi kali ini membuatkan Zuraidah bungkam seketika.

‘Err… Kita terpaksa pula memfailkan permohonan untuk memaksanya keluar.” maklum Zuraidah dengan agak ragu-ragu. Beliau yang lebih mahir dalam bidang korporat ini tidak begitu biasa dengan prosedur mahkamah.

“Kalau begitu, makin lama lagilah si jahanam itu duduk secara percuma di rumahku?” tanyanya dengan nada geram. Enbi merengus. Zuraidah terdiam. Penghawa dingin di biliknya mewahnya ini tidak lagi mampu membuatkan beliau berasa selesa dengan keadaan yang tegang sekarang.

“Bak sini dokumen perintah itu. Biar saya sendiri yang berikan kepadanya. Nanti saya akan pujuk dia dengan baik untuk keluar dari rumah tersebut dan membayar tunggakan sewanya. Terima kasih sebab menolong saya sampai takat ini. Puan dah lakukan tugas puan dengan baik sekali.” maklum Enbi. Zuraidah dalam keadaan keberatan menghulurkan dokumen penghakiman ingkar tersebut kepada majikannya. Beliau berasa geram kerana tidak dapat menyempurnakan tugasnya dengan baik dan kini ianya terpaksa dikendalikan sendiri oleh Enbi.

********************************

“TOK! TOK! TOK!”

Akhirnya Cullin Powell membuka pintu kondonya setelah berulang kali diketuk dengan keras.Wajah bengis pemuda berbangsa Amerika itu serta-merta menjadi pucat tatkala melihatkan empat orang lelaki yang tegap-tegap belaka serta berpakaian ala samseng. Malah salah seorang daripada mereka membawa sebatang rod panjang yang diperbuat dari karbon yang keras. Tanpa dipelawa, keempat-empat lelaki tersebut terus masuk ke dalam. Cullin Powell terdorong ke belakang dan jatuh terduduk akibat dirempuh oleh salah seorang samseng tersebut.

“A… apa yang kamu semua mahukan?” tanya Powell dengan nada gementar. Mereka semua enggan menjawab soalannya itu. Salah seorang daripada samseng tersebut mencampakkan beberapa keping kertas yang dikokot bersama kepada Powell.

“Ini arahan mahkamah. Kau mesti keluar dari kondo ini sebelum hari Sabtu ini. Tempat ini sudah tak selamat. Manalah tau kalau-kalau ada perompak masuk dan mencederakanmu nanti. Jadi eloklah kau berpindah segera.” maklum si samseng yang mencampakkan dokumen tadi.

“Dan ini pula untuk memastikan kau membayar sewaan yang tertunggak selama enam bulan.” ujar lelaki yang memegang batang rod tadi seraya memukul teleholo (televisyen) milik Powell sehingga berkecai. Mereka berempat ketawa terbahak-bahak sebelum meninggalkan kondo tersebut.

************************************

Tiga hari kemudian…

“Tak sangka encik Powell bersetuju untuk keluar dari kondo tersebut dan menjelaskan kesemua hutang sewa yang tertunggak. Awak ini memang pandai memujuklah, Enbi. Sepatutnya awak menjadi seorang peguam dan bukannya usahawan.” puji Zuraidah disulamkan dengan usikan. Enbi tidak membalas pujian serta usikan tersebut. Sebaliknya beliau hanya tersenyum dengan senyuman yang penuh bermakna.

Thursday, June 10, 2010

MetroPolis 2 - Bab 3



MetroPolis Episod 2
(Bab 3)
Api Marak Disco


Keesokan harinya, di markas milik Disco Inferno ataupun Remy…

“Tuan Disco, kita baru sahaja mendapat arahan daripada Don. Beliau memaklumkan bahawa terdapat beberapa ‘anjing’ daripada kumpulan Tai-Pan telah muncul di Bercham dan cuba memujuk beberapa orang pengusaha rumah pelacuran agar membeloti kita. Tuan Don mahu kita menguruskan konco-konco Tai-Pan tersebut hari ini juga kerana mereka sekali lagi kelihatan berkeliaran di situ. Sebagai balasannya tuan Don tidak akan menghukum tuan Disco atas insiden tiga bulan yang lalu.” Perkhabaran yang dibawa oleh anak buahnya yang bernama Nguyen Thran iu membuatkan Remy termenung panjang. Tiga bulan telahpun berlalu semenjak insiden beliau membunuh puluhan konco-konco Tai-Pan termasuk pegawainya iaitu Penguasa Fong. Perbuatannya itu menyebabkan berlakukan pertempuran demi pertempuran kecil di antara kumpulan Don dan kumpulan Tai-Pan.

Mujurlah Don menangguhkan hukuman ke atas Remy kerana kehebatan yang ditunjukkan olehnya. Ternyata Remy masih dianggap sebagai aset yang berharga dalam kumpulan Don. Namun Remy diarahkan untuk bersembunyi dan berdiam diri buat beberapa ketika. Kini dengan tidak semena-mena beliau diarahkan untuk membuat tugasan remeh dan kecil tersebut. Remy mengeluh kecil. Tentu ada udang di sebalik batu.

“Tuan?’ tanya Nguyen untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Kerahkan kesemua orang kita untuk ke sana. Bawa senjata yang lengkap dan peluru yang cukup untuk pertempuran besar-besaran.” arah Remy. Nguyen membeliakkan mata. Begitu juga dengan anak buahnya yang lain yang berada di situ.

‘Tapi tuan, bilangan anak buah kumpulan Tai-Pan bukanlah ramai. Cuma tiga-empat orang sahaja. Lagipun mungkin mereka hanya membawa senjata ringkas seperti pisau. Paling kuat pun mungkin pistol.” kata-kata anak buahnya yang bernama Dalip jelas mempertikaikan arahan Remy. Namun Remy tidak berkecil hati. Beliau mengalu-alukan pernyataannya dipersoalkan jika boleh membawa mudarat kepada mereka semua.

“Aku mungkin nampak macam paranoid. Tapi aku berasa tidak sedap hati. Perasaanku ini samalah seperti ketika rakan-rakan seperjuangan kita dibunuh dengan cara misteri semasa berurus niaga dengan kumpulan Tai-Pan dulu. Jadi ada baiknya kita menyediakan payung sebelum hujan.” Kata-kata Remy itu disambut dengan anggukan setuju oleh anak-anak buahnya.

*************************************

Keesokan hari :

Terpampang besar di berita hari ini : Peperangan Triad!

Enbi mengerutkan kening tatkala membaca berita tersebut yang disiarkan di skrin kertas elektronik berdiameter 40 inci. Pada zaman Enbi, Malaysia hanya mempunyai lebih kurang 500 batang pokok sahaja yang dikhaskan dalam Taman Botani DiRaja. Kertas yang digunakan pada zaman itu adalah filamen nipis yang dilapisi LCD dan ribuan serat kaca fiber elektronik. Cara melanggan suratkhabar adalah dengan membeli cip magnetik daripada syarikat akhbar. Setiap hari berita-berita terkini dipancarkan melalui frekuensi radio digital seperti telefon bimbit. Para pelanggan akan membayar kepada syarikat akhbar tersebut setiap bulan seperti melanggan siaran televisyen kabel. Hanya individu yang melanggan sahaja boleh mengakses akhbar tersebut dengan memasukkan kata laluan yang betul.

"Peperangan Triad? Hebat betul tajuk berita utama!" Enbi berpaling ke belakang tatkala mendengarkan suara tersebut. Ianya milik Nazrul. Pada hari ini Nazrul ditugaskan untuk memohon permit senjata api di Kementerian Dalam Negeri Cawangan Perak. Enbi bersama Red Wigwam mengambil giliran untuk menjaga balai.

"Bagaimana dengan permohonan kita?" tanya Enbi. Nazrul mengeluh sambil menggelengkan kepala.

"Permohonan kita perlu mendapat rekomen daripada Ketua Polis SPMB (Syarikat Polis Malaysia Berhad) sebelum diluluskan." maklum Nazrul.

"Maknanya jangan haraplah mereka hendak rekomen. Tambahan pula MetroPolis lebih popular daripada SPMB sekarang." telah Enbi.

"Bukan setakat kita sahaja. Setakat ini mana-mana syarikat polis selain dari SPMB semuanya disekat daripada mendapatkan permit senjata api." maklum Nazrul.

"Susahlah kita kalau macam ini. Bagaimana kita hendak mempertahankan diri jika diserang oleh penjenayah yang bersenjata api?" tanya Enbi.

"Syarikat polis yang lain terpaksa membuat tawaran gaji yang lebih tinggi kepada anggota polis SPMB untuk bekerja dengan mereka. Anggota polis SPMB mudah mendapatkan permit senjata api. Lagipun permit tersebut adalah untuk individu. Jadi sungguhpun mereka telah berhenti dari SPMB untuk bekerja di syarikat polis yang lain, mereka masih memiliki permit senjata api." Enbi menganggukkan kepala tanda memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata Nazrul tadi. Mereka juga terpaksa berbuat seperti syarikat-syarikat polis yang lain iaitu ‘mencuri’ anggota polis SPMB untuk berkhidmat pula di bawah MetroPolis. Demi semata-mata untuk mendapatkan permit senjata api.

Masalahnya, MetroPolis adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatannya secara percuma. Dan untuk menggajikan seorang anggota polis SPMB pula, tentu Enbi terpaksa menawarkan enam ke sepuluh ribu Ringgit Malaysia setiap bulan kepada golongan tersebut.

"Hai Enbi! Hai Nazrul!" tegur Catherine. Beliau baru sahaja datang dari restorannya. Semenjak program Rakan MetroPolis ditubuhkan, ramai sukarelawan yang membantu secara percuma untuk membenteras jenayah. Dengan itu Catherine mendapat lebih masa untuk menguruskan restorannya.

"Hai kak Catherine!" balas Nazrul. Enbi seperti biasa tidak mempedulikan sapaan tersebut. Matanya masih tertancap di akhbar.

"Patutlah wartawan memanggilnya Peperangan Triad. Insiden semalam bukan hanya berlaku di Pasir Pinji; malah di seluruh Perak. Hampir semua kumpulan samseng terbabit. Setakat ini hampir 50 orang samseng telah terbunuh. SPMB telah menggembeling tenaga anggotanya secara besar-besaran untuk memerangi mereka semua." maklum Enbi.

"Nampaknya keadaan menjadi semakin berbahaya." komen Catherine. Kedua-dua beradik tadi mengangguk setuju.

*************************************

Bercham, kawasan pekan :

"Jahanam kamu semua, kumpulan Don!!!" Salah seorang anggota kumpulan Tai-Pan yang dikenali sebagai Tenjo memekik seraya melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah lawan. Keadaan di situ bertambah gawat. Hampir 48 orang samseng dari kumpulan Don dan Tai-Pan sedang bertempur dengan menggunakan senjata api sekarang. Peluru plasma terbang bersimpang-siur. Letupan berlaku di sana sini. Kemusnahan yang berlaku adalah begitu teruk sekali. ternyata firasat Remy adalah tepat. Arahan tersebut mungkin adalah suatu perangkap daripada ketuanya atau mungkin juga ianya perangkap yang dipasang oleh Tai-Pan sendiri. Pertarungan mereka terganggu apabila dikunjungi oleh hampir 6 buah helicraft (generasi baru helikopter) milik Syarikat Polis Malaysia Berhad. Serta-merta berbelas anggota polis yang lengkap bersenjata dan memakai kevlar (baju kalis peluru) terjun dari helicraft tersebut. Sungguhpun terjun dari jarak hampir 100 meter, kesemuanya mendarat dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Ini adalah kerana tapak but mereka telah dipasang dengan alat penyerap hentakan berkuasa tinggi.

"Kami adalah polis SPMB! Campakkan senjata kamu semua dan menyerah diri dengan aman sekarang. Jika tidak kami terpaksa menembak kamu," ujar salah seorang anggota SPMB yang berpangkat Inspektor. Beliau menggunakan `waveblaster' iaitu sejenis alat audio yang mampu menggemakan suara ke udara tanpa sebarang bantuan pembesar suara.

"Pergi mampuslah! Ho!" pekik Remy yang ditugaskan mengepalai kumpulan Don untuk menyerang kumpulan Tai-Pan. Beliau terus membidik ke arah kumpulan SPMB dengan senapang automatiknya. Perbuatannya itu disertai oleh anak-anak buahnya.

"Kita bunuh polis dahulu! Serang!" pekik Tenjo yang mengepalai kumpulan Tai-Pan. Nampaknya kedua-dua kumpulan samseng tersebut telah bersatu hati untuk kali ini. Hujanan peluru dan bom bersimpang-siur menuju ke arah anggota SPMB.

"Teruklah kamu polis kali ini. Ho!" pekik Remy dengan gembira. Beliau kali ini menggunakan pelancar roket pula untuk membereskan SPMB. Kawasan pertempuran tersebut kembali bergema dengan letupan-letupan yang dahsyat.

*************************************

Di balai MetroPolis…

"Wah! Teruklah! Berita Supernet (generasi baru internet) melaporkan bahawa terdapat enam pertempuran besar dan tiga belas pertempuran kecil di serata Perak sekarang. Paling dekat adalah di Pekan Razaki, Ipoh!" maklum Nazrul yang sedang melayari supernet menggunakan komputer balai.

"Cat; cepat hubungi sukarelawan yang bertugas berdekatan dengan Pekan Razaki. Arahkan mereka supaya menjauhkan diri dari situ. Pertempuran nampaknya telah menjadi semakin serius. Nyawa anak buah kita mungkin akan terancam." arah Enbi dengan nada cemas. Catherine menganggukkan kepala dan bersegera mendail nombor salah seorang sukrelawan Rakan MetroPolis.

"Jahanam. Jahanam. Jahanam…" Nazrul dan Red Wigwam hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan Enbi yang tidak henti-henti memarahi dirinya. Dalam keadaan yang sebegini gawat, anggota MetroPolis langsung tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Mereka kekurangan segalanya. Kekurangan anggota yang berpengalaman serta kekurangan kekuatan persenjataan. Segalanya adalah serba-serbi kurang.

*************************************

Pusat Komuniti Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah.

"Tuan Don, pertempuran di Bercham kini menjadi semakin hebat kerana SPMB telah masuk campur sekali. Disco Inferno telah menghubungi kita untuk meminta bantuan sokongan." Donald hanya tersenyum mendengarkan makluman yang dibuat oleh orang kanannya, Duali.

"Si pengkhianat itu kini mahukan bantuan aku pula? Lucu betul," komen Donald seraya tertawa kecil. Beliau kemudian berpaling ke arah Daryll yang juga dikenali sebagai Algojo Serigala Angin.

"Bagaimana pendapatmu, Daryll?" tanya Donald. Daryll hanya tersengih.

"Kalau tuan Don menghantar pasukan sokongan, tidak bermaknalah perangkap yang tuan telah sediakan untuk pengkhianat tersebut dan anak-anak buahnya." jawab Daryll. Donald ketawa. Rupa-rupanya ianya memang adalah perangkap Donald untuk menghukum Remy dan menghapuskan beliau dengan konco-konconya sama sekali.

"Janganlah begitu. Setidak-tidaknya aku ini masih ketua mereka. Kalau anak buahku meminta pertolongan, pasti aku akan bantu. Sungguhpun mereka telah mengkhianatiku." balas Donald dengan tenang.

"Duali. Arahkan Algojo Tiga Elemen pergi ke sana. Selesaikan mereka semua termasuk Disco Inferno dan konco-konconya." perintah Donald pula. Duali menganggukkan kepala.

*************************************

Bercham, kawasan pekan. 26 minit kemudian :

"A-Go-Go!!! Mengapa bantuan untuk kita belum tiba lagi?" maki Remy. Keadaan mereka semakin terdesak. Entah mengapa kumpulan Tai-Pan tiba-tiba mengubah fikiran untuk menyerang mereka pula.

“Mungkinkah Don memang telah mengetahui bahawa aku telah mengkhianatinya. Mungkin juga beliau sengaja mengarahkan aku untuk menyerang geng Tai-Pan untuk memerangkapku.” fikir Remy. Antara lokasi markas primer milik kumpulan Don adalah di Taman Anda iaitu cuma kira-kira 3 kilometer dari lokasi pertempuran mereka. Mustahil bantuan tiba begitu lewat sekali.

BOOM!!!

Tujuh orang anak buah Disco Inferno terbunuh serta-merta akibat terkena pelancar roket milik kumpulan Tai-Pan. Mayat mereka bergelimpangan di sana-sini. Remy mengetap gigi. Perasaan amarah menjalar di segenap tubuhnya.

"A-Go-Go! Mampuslah kamu semua!" jerit beliau seraya membidik pelancar roketnya pula ke arah geng Tai-Pan. Sungguhpun senjata miliknya dilukis dengan motif bunga-bungaan atau dikenali sebagai `flower power', ianya bukanlah senjata sembarangan. Pelancar roket milik Disco Inferno adalah satu-satunya senjata yang mempunyai kelompak yang boleh melancarkan 10 tembakan berturutan. Selain itu senjata tersebut boleh diprogramkan untuk menembak 2 jenis peluru, iaitu peledak biasa dan peledak api. Lima letupan berturut-turut tepat mengenai lokasi persembunyian geng Tai-Pan. Jeritan ngeri jelas kedengaran menandakan keberkesanan serangan tersebut. Remy pula mengambil kesempatan untuk bersembunyi buat sementara.

“Biar kamu rasa pula roket peledak api.” ujarnya dalam hati Inferno di dalam hati sambil menukar kelompak yang baru. Beliau kemudian bingkas bangun.

"Go-Johnny-Go! Serang dan bunuh anjing-anjing Tai-Pan terlebih dahulu!" pekik Remy memberikan arahan sambil menembak ke arah beberapa sasaran. Dalam masa yang sama tubuhnya turut dihinggapi beberapa butir peluru. Peluru pada masa itu diperbuat daripada sejenis bio-plasma. Senjata yang memuntahkan peluru logam tidak lagi digunakan kerana harga logam pada zaman tersebut amatlah mahal. Oleh kerana Remy memakai baju kalis peluru, maka beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. Pun begitu, kepalanya yang berambut afro tersebut masih boleh ditembusi oleh peluru bio-plasma tadi.

Seketika kemudian beberapa bola api yang besar meletus dengan begitu marak sekali. Jeritan-jeritan ngeri kedengaran dan seketika kemudian beberapa tubuh yang marak dijilat api berlari keluar dalam keadaan terpontang-panting.

"A-hahahaha-ho!" Hilai tawa pelik Remy disambut dengan sorakan gembira oleh konco-konconya. Tubuh-tubuh yang terbakar tadi akhirnya rebah menyembah bumi, menandakan hayat mereka telahpun berakhir.

"Sekarang aku tunjukkan seni pertarungan bersenjata milikku iaitu `Seni Senjata Api Tarian Disko'. Ho!" jerit Remy seraya melompat keluar. Beliau menekan butang di kepala talipinggangnya. Seketika kemudian lagu `Dancing Queen' nyanyian kumpulan Abba berkumandang di udara menggunakan teknik `waveblaster'.

"Bos akhirnya menunjukkan kekuatan beliau!" pekik salah seorang anak buah Remy dan disambut dengan sorakan konco-konconya yang lain. Remy bertubi-tubi melepaskan tembakan pelancar roketnya sambil menari ala disko. Peluru-peluru yang dibidikkan ke arahnya oleh geng Tai-Pan dan SPMB gagal menemukan sasaran. Sebaliknya mereka pula yang dimandikan dengan bola-bola api yang meletus di sana-sini.

"Jahanam! Beliau masih boleh bergerak dengan amat pantas sungguhpun menggendong pelancar roketnya. Anak buah Don ini memang bukan sembarangan orang." ujar Inspektor Noralee yang mengetuai operasi SPMB kali ini.

"Ngalompak! A-Go-Go!" teriak Remy seraya menukar kelompak senjatanya sambil menari. Sebenarnya tarian tersebut adalah seni bertempur beberapa puluh aliran berbentuk pasif. Remy menggabungkannya ke dalam bentuk tarian. Serangannya pula adalah dari senjata api di tangan. Boleh dikatakan seni bertempur pelik miliknya adalah sempurna dari segi serangan dan pertahanan.

"Go-Johnny-Go!" teriaknya lagi seraya memutarkan badan sambil menarik picu. Beberapa letupan yang berlaku berjaya membunuh berbelas orang anggota SPMB dan Tai-Pan. Ternyata sasaran beliau bukannya semberono. Ianya tepat sungguhpun beliau sedang bergerak dengan pantas.

Lelaki yang pernah ditawarkan untuk menjadi Algojo kumpulan Don ini sememangnya amat handal lagi menakutkan…

-bersambung –