Thursday, June 24, 2010

MetroPolis 2 - Bab 4

MetroPolis Episod 2
(Bab 4)
Disko vs Al-Go-Go-Jo!


Dubai, pada hari yang sama…

“Selamat datang ke Dubai, tuan. Minta maaf kerana bertanya tetapi adakah tuan berniat untuk menginap di sini ataupun sebagai transit ke destinasi lain?” Pertanyaan manis si gadis di kaunter pemeriksaan passport di lapangan terbang antarabangsa Dubai membuatkan lelaki yang ditanya olehnya tersenyum nakal.

“Hmm.. Hmm.. Apa yang menarik di Dubai bye-bye? Ramai tak gadis-gadis manis di sini?” tanya lelaki tersebut. Gadis tersebut tersenyum. Namun wujud riak gementar pada wajahnya.

“Sebenarnya tiada apa-apa yang menarik buat masa ini. Namun telah lapan bulan syarikat Enbi Development Sendirian Berhad dari Malaysia berada di sini bagi kerja-kerja pembinaan dan pemuliharaan di negara kami. Dubai pasti akan menjadi pusat perlancongan yang terkenal kembali bila dipulihkan sepenuhnya.” maklum gadis tersebut dengan jujur.

“Malaysia? Hmm… kawan saya tinggal di Malaysia. Eh, bukan! Saya bencikan dia. Tapi dia tetap kawan saya. Tapi dialah yang menyimpan barang kesayangan saya sekarang. Jahanam punya orang-orang tua di induk. Tapi sudah lama saya tak ke Malaysia. Mungkin saya patut melawat kawan saya itu bila ada masa terluang nanti. Eh. bukan! Musuh! Oh, ya. Ada tak seseorang meninggalkan pesanan kepada pegawai awak untuk saya?” tanya lelaki tersebut. Beliau nampaknya seperti tidak betul sahaja.

“Boleh saya tahu nama tuan?” tanya gadis tersbut.

“Nama saya Zoei Bukhory. Saya ini tinggi betul, kan? Selalu sahaja terhantuk pada alang pintu.” jawab lelaki tersebut. Gadis kaunter tersebut segera menekan papan kekunci komputer canggihnya. Bibirnya mengorak senyuman menahan tawa melihatkan kelakuan lelaki tersebut.

“Ada. Encik Na’ar Saif meninggalkan pesanan untuk tuan. Beliau memberikan kami ini.” maklum gadis tersebut seraya mengunjukkan sebuah alat yang tidak ubah seperti telefon tangan saiznya. Zoei Bukhory mengerutkan kening.

“Saya ingatkan dia mahu menghantar anak buahnya sahaja. Tak sangka dia sendiri yang datang ke mari. Rupa-rupanya kau datang nak mencabar aku lagi, ya Na’ar? Seronoknya kalau dapat berlawan. Haha!” ujar Zoei Bukhory seraya tertawa terbahak-bahak sehingga menarik perhatian ramai. Gadis tersebut pula merah padan pipinya menahan malu.

“Apakah benda itu, tuan?” tanya gadis tersebut untuk menghentikan tawa Zoei. Taktiknya itu menjadi.

“Oh, ini alat untuk mengesan kedudukan encik Na’ar.” maklum Zoei.

“Payung tuan itu amat cantik logonya.” komen gadis itu pula. Zoei melihat pada payung yang dipegangnya. Payung berwarna hitam yang tidak berikat tersebut telah mendedahkan logo lukisan grafik naga berwarna perak. Logo rasmi salah seorang pendekar Emissary berpangkat maharaja.

“Oh! Payung ini adalah pemberian encik Na’ar kepada saya. Dia kata ke mana saya pergi pun hari pasti akan hujan dan mengalami ribut petir. Saya tak sukakan hujan. Nanti boleh mendapat demam.” maklum Zoei. Gadis tersebut tertawa manja kerana sangkanya Zoei sedang bergurau lagi. Di luar lapangan tebang Dubai langit mulai kelihatan mendung.

*************************************************


Lima minit telahpun berlalu. Lagu Dancing Queen yang tadi berkumandang di udara telahpun tamat.

“Celaka! Kenapa budak disko tu belum tumbang lagi?”

Cercaan Tenjo ada nasnya. Gaya Remy; sungguhpun amat menjelikkan, adalah sangat hebat. Ramai anak buahnya telah terkorban. Begitu juga di pihak Syarikat Polis Malaysia Berhad (SPMB). Baju kevlar yang membaluti tubuh mereka gagal mengekang kuasa pemusnah pelancar roket mini ciptaan Remy.

“Ahaha-ho! Nampaknya kamu semua ini hanya sampah saja bagiku!” ejek Remy yang kini sedang berlindung di sebalik deretan tong sampah besar. Penghinaan beliau dibalas dengan hujanan peluru-peluru plasma. Pertempuran tiga penjuru kembali menjadi rancak dan hebat.

“Haha! Ucaplah selamat tinggal kepada dunia yang fana ini!” Tiba-tiba suatu suara mencelah di sebalik hingar-bingar pertempuran tersebut.

Dua puluh saat telah berlalu. Pertempuran masih lagi rancak berlangsung. Nampaknya kata-kata tersebut langsung tidak diendahkan.

“Yob, nampaknya mereka langsung tak sedar akan kemunculan kita!” Rupa-rupanya Algojo Tiga Elemen telahpun muncul di atas salah sebuah bumbung bangunan kedai.

“Jahanam! Berani sungguh kamu semua tak mengendahkan kewujudan kami. Kami Algojo Tiga Elemen adalah yang paling hebat- ADUH!!!” Belum sempat ketua Algojo Tiga Elemen tersebut menghabiskan kata-katanya beliau telah jatuh terlentang.

“Alamak! Yob terkena tembak! Yob! Kau tak apa-apakah?”

“Aku okey. Mujurlah aku memakai helmet pelindung. Sialan! Sudahlah mereka tak mengendahkan kita, berani pula mereka menembak kita.”

“Sebenarnya Yob saja yang terkena tembakan ta-“

“Diamlah! Bodoh!”

“Maaf Yob…”

****************************************

Pada masa yang sama…

“Bagus! Senjataku dah kembali sejuk. Bolehlah aku menyerang sekarang.” ujar Remy dalam hatinya lantas mula keluar daripada tempat persembunyian. Beliau terus menyerbu ke arah tempat perlindungan SPMB. Konco-konco beliau pula melindunginya dengan membedil ke arah tempat perlindungan geng Buaya Buas dan SPMB secara serentak.

“Jahanam! Bagaimana dia boleh bergerak dengan begitu laju?” ujar Inspektor Noralee di dalam hati.

“Semua orang tembak ke arah orang aneh tu!” jerit Inspektor Noralee memberikan arahan. Memang penampilan Remy atau Disco Inferno amat aneh. Fesyennya ala tahun 1970an. Perutnya gendut. Sepatunya bertumit tinggi mewah dengan taburan labuci dan kristal hancur seperti jumpsuitnya. juga. Rambutnya disikat belah tengah menutupi telinga serta melepasi bahu. Kaca mata hitamnya persis citarasa Nazrul. Peluru plasma begitu lebat menghujani Remy, namun hanya sedikit yang menghinggapi tubuhnya. Itupun tidak membawa sebarang kesan kerana jumpsuit hodoh tersebut adalah kalis peluru plasma. Apa yang mengkagumkan adalah kepantasan dan kelincahan Remy bergerak melangkaui batas kemampuan manusia biasa sungguhpun berperut gendut. Beliau melompat tinggi dan hinggap di atas sebuah kotak kaca fiber yang menjadi tempat persembunyian SPMB tersebut. Pelancar roket mininya dihalakan ke arah kumpulan polis tersebut yang kini sedang tergamam.

"A-go-go to hell!" ujar Remy seraya menarik picu senjatanya.

FTHOOOMMM!!!

Kalau tidak kerana jumpsuit istimewa dan kelincahannya, pasti Remy akan nahas di dalam letusan bebola api raksasa yang muncul entah dari mana. Malangnya Inspektor Noralee dan anak-anak buahnya pula telah dibakar hidup-hidup. Jerit-pekik yang mengerikan dan memilukan jelas kedengaran di dalam gumpalan api raksasa yang masih marak. Remy pula masih terduduk di atas jalan tar, kira-kira 5 meter dari situ. Beliau masih tergamam. Begitu juga dengan konco-konconya dan kumpulan Tai-Pan. Dari nyalaan api tadi muncul sesusuk tubuh di hadapannya. Beliau adalah Bara; salah seorang Algojo Tiga Elemen.

“Apa khabar, Disco Inferno? Nampaknya pertempuran ini semakin hebat dan panas.” ujar Bara sambil tersenyum sinis. Dari ekspresi air mukanya, Remy telah dapat mengagak apakah yang bakal berlaku nanti.

“KAMU SEMUA LARI DARI SINI!!!” jerit Remy seraya bingkas bangun. Beliau memberikan amaran kepada anak buahnya. Namun semuanya sudah terlambat. Anggota Algojo Tiga Elemen yang bergelar Gema telahpun berada di kalangan kumpulan Remy. Manakala yang bergelar Kilat telahpun muncul di hadapan gkumpulan Tai-Pan.


"Neraka Decibel." ujar Gema lantas menghalakan kedua tapak tangannya ke arah kumpulan Remy. Serta-merta bunyi letupan yang amat lantang meledak dari kedua-dua tapak tangan tersebut. Gelombang bunyi hebat tersebut telah merebahkan kesemua anak buah Remy. Mereka bagaikan dihentam oleh ombak halimunan yang besar.

"Arrrghhh!!!" jeritan-jeritan sedemikian rupa keluar dari mulut anak-anak buah Remy yang menggelepar di atas tanah. Darah meleleh keluar dari lohong telinga mereka. Nyatalah letupan bunyi tadi telah memecahkan gegendang telinga mereka.

Sementara itu Kilat pula dihujani oleh peluru-peluru plasma milik senjata kumpulan Tai-Pan. Namun pakaian khas yang membaluti tubuhnya dengan mudah menyerap tenaga-tenaga pemusnah plasma tersebut bagaikan sebuah Lubang Hitam.

"Bodoh!" Itulah yang diucapkan oleh Kilat sebelum melepaskan tenaga elektrik dari kedua-dua tapak tangannya. Rangkaian arus elektrik yang bagaikan jala itu membakar tubuh anggota kumpulan Tai-Pan sehingga ke tulang sum-sum dengan kuasa 100,000 volt. Kesemua mereka menggelupur kesakitan. Tidak lama kemudian bau daging bakar mula dapat dihidu. Ianya memang sangat menakutkan.

"Kau pandang ke mana?" pekik Bara sebelum menghamburkan letusan api ke arah Remy. Namun Remy dengan tangkas melompat tinggi untuk mengelakkan serangan maut tersebut.

“Mustahil!” ujar Bara di dalam hati tatkala melihatkan pergerakan tangkas Remy. Pasti ada suatu muslihat di sebaliknya. Namun beliau tiada masa untuk memikirkannya lagi kerana muncung pelancar roket mini lawannya telahpun dihalakan ke arah beliau.

"Hiah!" pekik Remy seraya menarik picu. Serta-merta kawasan di hadapan beliau meletup dan berkecai.

********************************************

Di balai MetroPolis…

"Enbi, kawan-kawan kita kini terperangkap dalam pertempuran sengit di Pekan Razaki. Mereka minta agar kita jangan pergi ke sana." maklum Catherine. Air muka Enbi berubah. Keselamatan anggota sukarelawan di bawahnya benar-benar terancam sekarang. Namun beliau tidak mampu berbuat apa-apa.

"ENBI! TUNDUK!" Dengan tidak semena-mena ibu pejabat MetroPolis dihujani oleh peluru plasma. Enbi yang kini terlentang di atas lantai mengangkat kepalanya dan memandang sekeliling. Nazrul telahpun ditindih oleh Red Wigwam di atas lantai. Tidak tersangka olehnya Red Wigwam mempunyai tindakan refleks yang begitu tangkas. Malah berjaya menyelamatkan Nazrul yang masih terpinga-pinga. Enbi mengarahkan pandangan ke arah penyelamatnya pula : Catherine.

"Awak tak apa-apa, Enbi?" tanya Catherine. Enbi tidak menjawab. Beliau berasa kekok kerana Catherine masih menindih tubuhnya. Tubuh sahabatnya itu memang berat. Namun entah mengapa beliau tidak langsung terperasankan hal tersebut.

"Enbi! Awak okey?" tanya Catherine lagi dengan nada cemas. Kali ini wajah sahabatnya itu cuma hampir dua inci sahaja daripada Enbi. Seolah-olah bibir mereka akan bertemu. Mata Enbi tidak berkedip memandang Catherine. Air muka kerisauan gadis manis tersebut hilang serta-merta. Beliau baru terperasankan ekspresi wajah Enbi.

"Awak ni…" rungut Catherine seraya menekup muka Enbi dengan tapak tangan kirinya. Gadis manis itu bergerak perlahan-lahan menjauhkan diri daripada Enbi. Pipinya merah menahan malu. Bibir mungilnya pula mengorak senyuman simpul.

"Hoi MetroPolis! Kami dari geng Zion Bros! Kamu ditakdirkan mati di tangan kami hari ini! Hahaha!" pekik salah seorang penyerang balai MetroPolis tadi. Ianya adalah suara seorang lelaki. Hujanan plasma juga turut terhenti buat seketika. Namun Enbi, Nazrul, Catherine dan Red Wigwam masih berlindung di sebalik meja kaunter pertanyaan.

"Kami juga tahu bahawa kamu semua adalah sekumpulan yang lemah dan tidak mempunyai senjata api. Malangnya nasib kamu! Kami semua ada seorang satu!" ujar lelaki itu lagi. Kemudian terdengar sorakan dan hilai-tawa daripada rakan-rakannya.

"Ayuh kalian semua! Mari kita serbu ke dalam! Jangan takut. Mereka tak mampu melawan kita. Kita- ARRGHH!!!" belum sempat lelaki tadi menghabiskan kata-katanya, dahi beliau telahpun dihunjami oleh sebilah kapak. Tubuhnya terus tumbang menyembah bumi. Rupa-rupanya Red Wigwam bingkas bangun dan terus melemparkan kapaknya tepat ke sasaran.

"Ketua kamu bodoh betul. Oleh kerana ketua kamu tidak henti-henti bercakap, aku dapat mengagak kedudukannya berdasarkan suaranya. Sekarang kamu fikir kami lemah lagikah?" tanya Red Wigwam dengan nada sinis. Konco-konco arwah lelaki tersebut tergamam. Begitu mudah sekali ketua mereka dibunuh oleh seorang lelaki tua. Red Wigwam menghunuskan kapak kedua yang tersisip di pinggangnya.

"BERLINDUNG!!!" jerit salah seorang daripada geng Zion Bros. Mereka semua bertempiaran mencari perlindungan. Nyatalah semuanya sudah panik dan menjadi tidak keruan apabila pemimpin mereka terbunuh. Red Wigwam juga mengambil kesempatan ini untuk kembali berlindung.

"Apa dah terjadi, Chief?" tanya Enbi.

"Saya sudah membunuh ketua mereka. Mereka sudah panik dan keliru. Sekarang mereka sedang bersembunyi." perjelas Red Wigwam.

"Habis tu mengapa kau pun menyorok juga?" tanya Enbi. Tiba-tiba peluru-peluru plasma kembali menghujani balai MetroPolis.

"Itulah sebabnya. Bila mereka kembali fokus, mereka pasti akan menyerang kita. Tuan Enbi, saya memerlukan pertolongan tuan. Mari kita ke dapur." Red Wigwam mula merangkak ke arah pintu yang akan membawa mereka ke bahagian belakang balai. Enbi mengekori daripada belakang.

**********************************************

Bercham. Kawasan pekan.

"Kau ingat mudah ke untuk membunuhku?" tempelak Bara. Serangan maut Remy tadi telah berjaya dielakkan olehnya. Remy memandang ke arah konco-konconya. Nampaknya mereka tiada harapan untuk menyelamatkan diri lagi. Tiba-tiba beliau berasa sesuatu menyerbunya dari belakang. Dengan secepat kilat Remy melonjak ke belakang. Serangan bebola api Bara sekali lagi gagal menemukan sasarannya.

"Berhenti melompat-lompat macam monyet. Lawanlah betul-betul macam anak jantan!" cabar Bara seraya menyerbu ke arah Remy. Lawannya itu segera menghalakan muncung pelancar roketnya ke arah Bara. Dengan secepat kilat Bara menangkap laras senjata tersebut dan menjulangnya ke atas. Peluru roket menyembur ke langit, menandakan sasarannya telah menemui kegagalan. Telapak kanan Bara telahpun berada di rusuk kanan Remy.

"Tak semudah itu, bodoh!" cerca Bara. Tapak tangan kanannya mulai bercahaya untuk melepaskan serangan maut ke atas lawannya. Namun dengan secepat kilat Remy melepaskan pelancar roketnya dan melonjak ke belakang sambil menerjah kepala Bara dengan tapak kaki kanannya. Tubuh Bara berhumban ke belakang. Tapak tangannya tadi sempat meledakkan bebola api berwarna kebiruan. Namun serangan maut tersebut terkena salah satu bangunan rumah kedai berhampiran. Bangunan tersebut meletup dan terbakar dengan begitu marak sekali.

"Ahohoho! Tak semudah itu, bodoh!" cerca Remy pula. Nampaknya si pengkhianat kumpulan Don ini bukanlah calang-calang samseng. Beliau mampu bersaing dengan Algojo, jaguh handalan kelas elit di dalam kumpulan Don.


- bersambung -

2 comments:

Anonymous said...

zoei bukhary tu mayhem n merangkap abang enbi ka?

Si Nami said...

Jawapannya tak. Zoei Bukhary berasal dari Russia dan familinya adalah penyumbang terbesar pertubuhan Masonik. Enbi orang Malaysia.