Enbi bersiul-siul riang sambil menjijit jus amra kesukaan Catherine. Destinasinya tak lain tak bukan di taman rekreasi padang polo di mana Catherine sedang melatih seni tai-chinya. Tatkala tiba di sana, kelibat Catherine sudahpun kelihatan. Gadis ayu tersebut sedang begitu ralik berlatih hinggakan tidak menyedari akan kehadiran Enbi. Enbi terpaku. Gerakan Catherine begitu lembut dan beralun-alun dengan lancar sekali seolah-olah sedang menari hinggakan membuatkan Enbi berasa terpesona.
Tiba-tiba seekor burung kelicap terbang melintasi Catherine. Namun pergerakan burung kecil tersebut tersekat kerana aura qigong Catherine yang dijanakan oleh gerakan kedua tangannya seolah-olah membentuk suatu penghadang halimunan. Dalam keaadaan yang masih mengepak-ngepak, burung kelicap itu terpaksa terbang mengikut alunan aura qigong Catherine. Namun seolah-olah ia terbang dalam suatu pusaran di sekeliling gadis manis tersebut sahaja.
“Wah! Hebatnya kau, Cat!” Teriakan Enbi menyebabkan tumpuan Catherine terlupus dan burung kelicap tersebut akhirnya berjaya melepaskan dirinya.
“Awak kacau sayalah, Enbi!” tegurnya dengan nada geram. Namun senyuman manis yang terlakar di bibir mungil Catherine menunjukkan beliau sebenarnya sangat gembira kerana Enbi datang untuk bertemu dengannya.
“Ilmu tai-chi kau sangat hebatlah, Cat! Patutlah si Riko kalah teruk hari tu. Tentu kau buat macam ini atau macam ini…” Sambil berkata-kata Enbi menghayun-hayunkan kedua tangannya seolah-olah mengajuk gaya Catherine tadi. Catherine cuba berteriak untuk menghalang, namun semuanya sudah terlambat. Bungkusan air jus amra yang dipegang oleh Enbi melayang ke udara dan akhirnya terhempas ke tanah. Bungkusan tersebut pecah Air jus amra tadi perlahan-lahan meresap ke tanah.
“Alamak! Maafkan aku, Cat!” pohon Enbi dengan nada kesal. Pasti kepalanya akan dipalu oleh Catherine. Sahabat baiknya itu kalau sudah naik angin memang akan menjadi ganas. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Catherine ketawa terbahak-bahak sehingga keluar air matanya. Enbi yang agak khuatir tadi juga akhirnya turut ketawa.
“Sudahlah tu, Enbi. Terima kasih sebab membelikan saya minuman walaupun saya tak dapat minum.” ujar Catherine seraya tertawa sekali lagi. Enbi menghentakkan kaki kanannya dan berpura-pura geram dengan sindiran sahabatnya itu. Akhirnya latihan tai-chi Catherine digantikan dengan aktiviti kejar-mengejar antaranya dengan Enbi pula.
No comments:
Post a Comment