Wednesday, May 15, 2013

Selamat Hari Guru 16-05-2013

Guru saya yang pertama ialah ibu saya sendiri iaitu puan Zainab. Sebelum ke tadika pun saya dah pandai ABC. Guru saya yang seterusnya ialah bapa saya. Pengajarannya banyak berhubung kait dengan rotan dan perangai nakal saya.

Guru-guru saya seterusnya ialah di Cator Avenue. Antara yang saya ingati ialah Puan Chan Kon Lan (lawa macam Noor Kumalasari), Puan Sivalinggam (Headache la boys! Headache!) dan Puan Kurumayakuru.

Guru-guru saya di Anderson Ipoh yang saya ingat pula ialah Encik Zamzuri (pak sedaraku), Puan Hasnah, Puan Chong Soo Moi, Ustaz Abu Samah, Puan Rohani, Puan Azizah Sharif, Encik Sakatar Singh, Encik Pretam Singh, Encik Meor (Gabra) dan Kandaya (Ops! Itu gardener Anderson favorite kami!).

Dulu ada seorang sahabat saya menyatakan kalau beliau mahu mendalami agama, beliau mahu berguru dengan guru mursyid. Saya fikir guru mursyid yang terbaik ialah Rasulullah SAW sendiri yang mengajar kita melalui hadis-hadis sahih dan hasan Baginda.

Selamat hari guru wahai guru-guruku yang amat kuhormati dan sanjungi di mana juga kalian berada. Sesungguhnya jasa-jasa kalian amatlah besar sekali hingga saya berasakan tak mungkin dapat membalasnya. Semoga Allah memberikan kerahmatanNya kepada kalian semua di mana sahaja kalian berada.

Monday, May 13, 2013

Neraka Khas Buat Para Pemimpin

Peringatan buat pemimpin

Seorang Tabien yang terkenal bernama Thowus Ibnu Khaisan al-Yamani pernah 'sound' khalifah Bani Umaiyyah yang juga terkenal bernama Sulaiman Ibnu Abdul Malik. Thowus berkata :

"Ada satu neraka yang mana apabila sebongkah batu besar jatuh ke dalamnya, hingga 70 musim pun masih belum sampai ke dasarnya. Kamu tahu untuk siapa neraka itu? Ia untuk manusia yang Allah berkongsi sedikit kuasa dengannya tetapi beliau tidak melakukan keadilan dengan kuasanya itu."

Sulaiman Ibnu Abdul Malik yang memerintah separuh dunia pada ketika itu menangis apabila mendengarkan teguran Thowus. SubhanAllah...

Thursday, May 2, 2013

Hukum Hudud Berkenaan Zina dan Liwat

Antara isu kegemaran ramai dalam PRU13 ini adalah isu seks yang membabitkan perlakuan berzina dan liwat. Mari kita tengok pandangan undang-undang Islam dalam perkara ini. Agak panjang tapi saya fikir ianya suatu ilmu yang baik dan bermanafaat.

Zina adalah salah satu daripada tujuh kesalahan yang boleh dihukum di bawah hukum hudud. Dan kesalahan zina ini istimewanya ia dirangkaikan bersama dengan satu lagi kesalahan dalam hukum hudud iaitu Qazaf Zina (menuduh orang baik melakukan zina).

Hukuman zina bagi lelaki dan perempuan yang belum pernah berkahwin ialah dirotan sebanyak 100 kali. Mungkin pada mata kasar ia nampak zalim, namun hukuman rotan dalam Islam tak sama seperti hukuman sebat di Malaysia. Orang yang dihukum tidak ditanggalkan baju mereka. Mereka juga tidak diikat atau disekat pergerakan. Jadi mereka boleh melarikan diri pada bila-bila masa dan jika mereka lari, mereka dibiarkan begitu sahaja dan tidak ditangkap. Mereka dirotan dalam cuaca yang tidak panas atau sejuk. Rotan juga jenis licin (tidak berduri) dan tidak terlalu tebal atau nipis. Malah terdapat riwayat yang merekodkan penggunaan pelepah kurma, ranting kayu kecil, kain serban dan selipar untuk menggantikan rotan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat radhiAllahu ‘anhum.

Bila merotan, tidak boleh diangkat tangan hingga ternampak bahagian ketiak. Malah tidak boleh merotan dengan niat untuk mencederakan atau menyakitkan si penzina. Hukuman dibuat di khalayak ramai agar membuat si penzina berasa malu untuk melakukan kesalahan itu lagi dan agar orang ramai mendapat peringatan untuk tidak berzina. Setelah hukuman selesai dijalankan, orang ramai dilarang untuk mencerca atau menghina si penzina. Ini adalah kerana dosanya telahpun diampunkan oleh Allah melalui hukuman tadi dan jika Allah telah membersihkannya, apa hak kita untuk mencacinya?

Bagi yang pernah berkahwin, banyak hadis-hadis yang sahih dari riwayat Bukahri dan Muslim yang menyatakan bahawa mereka dihukum rejam dengan batu sehingga mati. Mereka juga tidak diikat atau disekat dan jika mereka mahu lari kerana tidak tahan sakit atau takut mati, maka mereka dibiarkan pergi sama seperti hal di atas. Namun dosa serta taubat mereka yang sempurna dilaksanakan hukuman hudud adalah diampunkan dan insyaaAllah mereka akan mendapat syurga Allah selagi tidak mensyirikkanNya.

Pun begitu, kesemua hukuman hudud ke atas penzina pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA adalah berdasarkan pengakuan ikhlas mereka semata-mata. Ini bermakna tiada siapa yang pernah dituduh berzina melainkan mereka semua mengakuinya. Inilah sebabnya mengapa mereka diberi peluang untuk melarikan diri sebagai isyarat mereka menarik kembali pengakuan mereka. Motif hukuman hudud adalah untuk mencegah (hudud dari perkataan had bermaksud sempadan/sekatan) dan bukannya untuk menghukum.

Jika seseorang ingin mendakwa orang Muslim lain berzina, maka dia wajib memenuhi beberapa syarat yang amat ketat. Paling utama ialah wajib ada empat orang saksi lelaki yang adil yang melihat dengan jelas perbuatan zina tersebut dan dapat mengenalpasti dengan sah orang-orang yang terlibat. Saksi yang adil ialah yang bukan fasiq iaitu tidak cuai dalam solatnya dan tidak pernah menipu. Mereka juga seratus-peratus patuh pada amal makruf dan nahi mungkar seperti yang diperintahkan dalam al-Quran dan hadis. Jika tidak cukup syarat-syarat di atas, maka si penuduh tadi pula yang akan dikenakan hukuman hudud atas kesalahan Qazaf Zina. Beliau akan dirotan dengan prosedur yang sama sebanyak 80 kali dan tidak akan diterima sebagai saksi untuk selama-lamanya.

Tentu ada yang berkata, kalau begitu adalah hampir mustahil untuk mensabitkan seseorang Muslim melalui pertuduhan zina. Ya, Allah dan RasulNya memang berkehendakkan sedemikian. Terdapat banyak peringatan Rasulullah SAW agar seseorang Muslim tidak mencari-cari kesalahan atau tidak menyakiti seorang Muslim lain dengan sengaja dan tanpa hak. Malah pada zaman Umar Ibnu Khattab memerintah, beliau pernah menghukum seorang sahabat RA dengan hukuman Qazaf Zina hanya semata-mata kerana tidak cukup empat orang saksi sungguhpun sahabat tersebut adalah sangat adil dan sangat dipercayai.

Jadi, adakah pembuktian secara video seperti zaman sekarang adalah satu pertuduhan yang memenuhi syarat? Sepakat ulama ahlus sunnah wal jamaah mengatakan bahawa video adalah tidak diterima sebagai pembuktian kerana wujudnya lakuna untuk penyelewengan. Dr. Yusuf al-Qorodhowi telah mengesahkan hal ini dalam fatwanya. Di Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd Asri (bekas mufti Perlis) dan Ustaz Fathul Bari (dari Ilmuan Muda UMNO) juga mengeluarkan pendapat yang sama.

Kalau begitu, memang payah benarlah nak melaksanakan hukuman hudud zina walaupun dikuatkuasakan di Malaysia? Jawapannya : Ya, memang benar kerana tujuan hukum hudud adalah untuk mencegah Muslim dari melakukan dosa maksiat kepada Allah dan bukannya untuk mencari Muslim untuk dihukum. Namun hukuman Qazaf Zina pula adalah berbeza. Pembuktiannya sudah cukup jika pihak yang menuduh zina gagal memenuhi syarat-syarat di atas. Islam amat mementingkan persaudaraan seagama dan tidak membenarkan ikatan persaudaraan tersebut musnah dan berpecah-belah. Orang yang menuduh saudaranya sendiri dianggap berpotensi memecah-belahkan ikatan ini. Itu sebabnya beliau dihukum.

Habis itu, akan terlepaslah para penzina di Malaysia kalau begini? Dosa zina adalah dosa maksiat peribadi di antara si pelaku dosa dengan Allah. Jika dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan mengampunkan semua dosa zinanya, maka itu adalah urusan Allah dan kita tak boleh mempertikaikannya. Malah para ulama mujtahid mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat dengan sengaja adalah jauh lebih besar dari dosa berzina.

Bagi kesalahan liwat pula, mengikut pendapat mazhab Imam Syafie ianya sama dengan zina dan termasuk dalam kategori kesalahan hudud. Jadi hukumannya adalah sama dan beban pembuktiannya juga adalah sama. Manakala Imam Abu Hanifah berkhilaf pendapat bahawa ianya tidak sama dengan zina dan bukan di bawah kesalahan hudud tetapi ta’azir. Dalam hal ini saya tak menjumpai penerangan cara pembuktiannya tetapi berpendapat bahawa beban pembuktiannya adalah sama ketat seperti syarat pertuduhan zina.

Wallahu a’lam. Begitulah keadilan sejati dalam hukum hudud yang sering dipermainkan oleh orang-orang yang tidak memahaminya. Rujukan saya adalah dari kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Bulughul Maram dan kuliah-kuliah ilmu. Semoga kita sebagai orang Islam lebih menghargai kehebatan undang-undang Islam dan non-Muslim dapat melihat keindahan dan keadilan undang-undang Islam tersebut.

Mohon fakta saya diperbetulkan jika terdapat kesilapan. Saya ini budak baru belajar; kalau salah tolong tunjukkan. Tq.



Wednesday, April 24, 2013

Jangan Derhaka Kepada Ibubapa Kerana Politik


Islam adalah agama yang sangat indah dan sempurna.

Allah memerintahkan kita agar berbuat baik dan menyayangi kedua ibu bapa kita. Malah jika seseorang Muslim itu mempunyai ibubapa yang non-Muslim, dia wajib berbuat baik dan mentaati ibubapanya selagi ia bukan perkara yang ditegah oleh agama. Menderhakai ibubapa sungguhpun mereka itu non-Muslim adalah amat dimurkai oleh Allah dan termasuk dalam dosa besar. Apatah lagi jika ibubapa kita berlainan fahaman parti politik. Janganlah kerana politik, kita sewenang-wenangnya bersikap kasar dan menderhakai mereka. 


Firman Allah dalam al-Quran surah Luqman ayat ke 14, yang bermaksud :

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada ibubapanya. Ibunya mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibubapamu. Kepadaku tempat kembali.


Firman Allah dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat ke 23 hingga 24, yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ (biadap) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah : “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka sebagaimana mereka telah mendidik aku waktu kecil.”


Sabda Rasulullah SAW dalam Sahih Bukhari (no. 6675), yang bermaksud :

“Dosa besar itu adalah syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua ibubapa, membunuh jiwa (tanpa kebenaran) dan sumpah palsu.”


Malangnya ada di antara orang Islam di zaman ini yang menghambakan kedua ibubapanya, memukul mereka, mendera mereka secara fizikal dan mental, menipu harta-benda mereka sehingga mereka menjadi miskin, meninggalkan mereka di tepi jalan dan paling dahsyat membunuh mereka. Kita berdoa agar Allah melindungi kita daripada manusia-manusia keji ini.

Sunday, April 21, 2013

DAP Tidak Jadi Menukar Logonya.

Dalam entry saya sebelum ini, saya menyatakan bahawa apabila DAP terpaksa menggunakan logo PAS dan PKR, mungkin insiden ini akan dapat memusnahkan prasangka non-Muslim terhadap Muslim.

Akan tetapi DAP tak jadi berbuat begitu. Dan mengambil keputusan untuk mengekalkan penggunaan logo mereka. Sahabat saya telah metaakulkan bahawa ini adalah sandiwara DAP sahaja. Dalam segi itu beliau mungkin ternyata benar.

Tetapi yang benar juga ialah kenyataan bahawa non-Muslim telah menzahirkan pandangan tentang penerimaan mereka terhadap keindahan Islam. Jadi pandangan saya tetap tak berubah iaitu untuk kita mesti berusaha menunjukkan keindahan tersebut kepada mereka.

Sama ada mereka mahu memeluk Islam atau tidak, itu adalah urusan Allah untuk memberikan hidayahNya kepada mereka. Tetapi saya tak mahu memalukan Allah dengan memburukkan agamaNya dalam pandangan non-Muslim.

Friday, April 19, 2013

DAP yang menggunakan lambang PAS dan PKR : Suatu Tsunami Yang Memusnahkan Prasangka Terhadap Islam.

Apabila DAP terpaksa menggunakan lambang PAS dan PKR untuk calon-calonnya, tiada siapa pun menyangka bahawa ianya mungkin adalah suatu tsunami yang mampu membinasakan jurang prasangka non-Muslim terhadap Islam. Saya percaya bahawa selepas ini non-Muslim yang masih ragu-ragu dengan konsep kepimpinan secara al-Quran dan Sunnah akan mula membuka minda dan hati mereka untuk melihat keindahan dan keadilan Islam itu sendiri.

Jika benarlah tindakan ROS terhadap DAP ini suatu perancangan bermotifkan politik, maka mereka tentu terpaksa mengakui bahawa perancangan Allah adalah jauh lebih baik dan hebat dalam perkara ini.

Firman Allah dalam Al-Quran Surah Ali-Imraan ayat ke 54 :

“Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), Dan ALLAH adalah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya)”

Wallahu a'lam.

Saturday, April 13, 2013

Zero Hero SE (bab 4) - Setia Ke Hujung Nyawa



Zero Hero SE
Bab 4
Setia Ke Hujung Nyawa


Mataku tertancap kemas ke arah skrin LED berukuran 40 inci di hadapan namun fikiranku entah merewang ke mana. Duduk di sampingku di sofa yang amat empuk ini ialah isteri yang amat kusayangi. Aku mengerling ke arahnya dengan berhati-hati, seolah-olah kami ini baharu sahaja dilamun cinta. Adrina isteriku sungguh jelita di mataku pada ketika ini. Setiap rona pada wajahnya kusentuh dengan belaian pandanganku. Maha Suci Allah yang telah menjadikan isteriku sebaik-baik kejadian dan jodoh untukku.

Isteriku yang begitu asyik menonton cerita Sentiasa Putus Nyawa yang kami muat turun melalui internet langsung tidak menyedari tindak-tandukku itu. Biarkanlah begitu. Aku suka melihat riak emosinya tatkala menonton cerita romantik tersebut. Eh, nanti sekejap. Aku sebut ‘Sentiasa Putus Nyawa’ ke tadi? Apa kejadahnya cerita romantik dengan tajuk yang mengerikan? Sahih aku yang tersilap.

“Manja, apa nama tajuk cerita ni?” Pertanyaanku ini pasti membuatkan Adrina sedikit cemus kerana mengganggu tumpuannya. Beliau memandang ke arahku dengan senyuman.

“Setia Hujung Nyawa. Abang asyik saja terlupa, tau?” jawabnya bersama omelan manja. Aku tersengih.

“Dalam fikiran abang tadi, apa tajuk cerita ini?” Pertanyaan Adrina benar-benar membuatkanku tersentak. Kalau cerita drama Indonesia ni dah tentu ada lagu cemas sekarang. Tak sangka pula dia tahu apa yang bermain di fikiranku tadi.

“Sentiasa Putus Nyawa.” jawabku pendek. Itupun agak mengulum bait-bait kataku. Adrina tiba-tiba sahaja ketawa berdekah-dekah. Aku fikir kalau ada langsuir yang menyorok di belakang langsir kami tadi pun tentu dah terbang lintang-pukang ketakutan sekarang.

“Oi, oi! Gelak macam Jin Usin Mon Toncit!” tegurku. Semakin galak gelak Adrina jadinya.

“Apalah punya brutal tajuk yang abang fikirkan! Lebih kelakar dari tajuk Kesetiaan Pada Negara sebelum ni.” usik isteriku. Aku mencubit lengan kiri Adrina dengan perasaan geram. Beliau kembali ketawa.

“Tajuknya susah sangat! Susunan ayat konsonan kata predikat pun tak betul. Sepatutnya buatlah tajuk Setia Ke Hujung Nyawa.” rungutku membela diri.

“Eleh! Kalaupun itu tajuknya, abang fikir abang boleh ingat ke?” perli Adrina. Aku tidak menjawab. Sebaliknya kali ini aku pula yang mengenakan Jurus Maut Ketam Batu ke atas Adrina. Isteriku ketawa terbahak-bahak dan sempat pula menghentam kepalaku dengan bantal sofa. ‘Sayembara’ kami terhenti seketika tatkala sampai di babak muka Ersalina dilumuri dengan kek oleh suaminya. Kemudian kami kembali ke perlakuan riang-ria laki-bini tadi.

******************************

Keesokan harinya...

Aku masih menggosok-gosok bahu kiriku yang kini berasa sengal. Baharu sahaja aku pergi ke klinik untuk dicucuk imunisasi. Ini adalah salah satu syarat wajib sebelum memulakan perniagaan makanan bermasak. Kursus anjuran Majilis Amanah Rakyat tentang pengurusan perniagaan kecil-kecilan juga telah kuhabiskan. Baharulah aku sedar bahawa begitu banyak sekali peluang yang baik di hadapan mata rakyat Malaysia. Cuma kenalah berusaha sedikit untuk mencapai kejayaan. Aku duduk di bangku taman yang disediakan untuk para pengunjung di klinik tersebut. Mungkin dengan berehat seketika sengal di bahu kiriku tadi akan beransur pulih. Sambil itu bolehlah aku mencuci mata melihat pengunjung-pengunjung wanita atau jururawat-jururawat yang lawa lalu-lalang di hadapanku.

Namun aku tidak berseorangan. Ada seorang pak cik berbangsa Cina sedang duduk di sebelah kananku. Beliau sedang bercakap dalam bahasa ibunda dengan telefon tangan. Kuat benar suaranya. Aku fikir mungkin dia sedang marah. Selepas beberapa ketika akhirnya beliau mengakhiri perbualan. Kulihat sekejap-sekejap beliau menggelengkan kepala. Kalau ada kumpulan zikir ajaran sesat di tempat ini, mau diajaknya pak cik Cina itu masuk ke dalam halaqah mereka.

“Bawak bertenang, uncle. Nanti boleh jatuh sakit kalau marah-marah.” tegurku dengan nada sopan. Pak cik Cina tersebut berpaling ke arahku. Kemudian dia ketawa. Kemudian menggelengkan kepala lagi.

“Uncle memang mau relaks. Mau cool. Tapi ada orang suka buat kacau; itu pasal uncle banyak marah.” ujarnya.

“Ceritalah pada saya apa problem uncle. Kalau saya tak boleh tolong pun, uncle rasa lega sikit.” pujukku. Pak cik Cina tersebut menganggukkan kepala tanda bersetuju denganku.

“Uncle ada buka kedai makan. Uncle ada ambil satu tukang masak. Dia masak banyak syok tapi hati banyak jahat. Dia unggut (ugut) mau berhenti kerja kalau uncle tak kasi dia jadi partner. Mana boleh kasi! Hati banyak jahat! Tapi kalau uncle tak mau setuju, dia mau berhenti ini jam juga. Habislah wa kalau ini macam.” omelnya dengan nada kecewa. Aku yang mendiamkan diri hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak ada tukang masak lain ke?” tanyaku. Pak cik Cina tersebut menggelengkan kepala.

“Uncle punya kedai makan kecik saja. Mana ada duit mau ambil tukang masak banyak-banyak! Gaji tukang masak banyak mahal, you tau ka? Kalau itu cilaka berhenti ini hari, bukan senang mau cari tukang masak baru. Kurang-kurang ah, mau satu dua bulan ini macam baru ada tukang masak baru. Habis, wa punya bisnes apa macam?” maklumnya. Aku ketawa mendengarkan kata-katanya itu. Pak cik Cina itu pun turut ketawa. Nampaknya perasaan tertekan beliau mulai mengendur.

“Senang saja, uncle mau dengar tak saya punya opinion?” tanyaku.

“Okey, okey. You kasi cerita sama uncle.” jawabnya dengan agak bersemangat.

“Uncle bagitau tukang masak itu yang uncle setuju jadikan dia partner. Tapi uncle bagi dua syarat. Syarat pertama, dia mesti bagi surat berhenti kerja kepada uncle. Syarat kedua, uncle akan bagi surat lantik dia jadi partner. Tapi suruh dia pilih sama ada dia bayar separuh dari nilai bisnes uncle dan terus jadi partner ataupun dia jadi partner dalam tempoh percubaan selama tiga bulan. Katakanlah bisnes uncle nilainya satu ratus ribu. Dia kenalah bayar lima puluh ribu. Tapi saya confirm dia mesti tak sanggup mau bayar, kan? Jadi mesti dia setuju untuk jadi partner untuk tempoh percubaan tiga bulan.” perjelasku.

“Habis, kalau sudah tiga bulan nanti apa jadi?” tanya pak cik Cina tersebut. Aku tersenyum.

“Kalau dia sudah setuju macam tadi, dalam masa tiga bulan uncle carilah tukang masak baru. Tentu tak susah, bukan? Bila sudah dapat, uncle buang sajalah saja itu cilaka!” jawabku yang mengajuk cara bercakap pak cik Cina tersebut.

“Tapi kalau dia komplen sama pejabat buruh, apa macam?” tanya pak cik Cina itu pula.

“Kan tadi dia sudah kasi dia punya surat berhenti kerja?” jawabku dengan pertanyaan juga. Mata pak cik Cina tersebut terbelalak. Mungkin dia sudah dapat menangkap strategi licikku.

“Haiya! You banyak semat (pandai) la! Banyak semat la you!” pujinya sambil menepuk-nepuk bahu kananku. Kemudian beliau ketawa terbahak-bahak. Aku mulai terfikir bahawa besar kemungkinan pak cik ini orang yang jahat dan tukang masak tersebut sebenarnya tidak bersalah.

“Mari! Uncle belanja you makan Mak Dono. You order apa saja. Uncle belanja.” pelawanya. Aku menggelangkan kepala. Tiba-tiba sahaja otakku memberikan idea yang tidak patut dipersiakan.

“Di kedai makan uncle ada tak orang jual burger?” tanyaku. Pak cik Cina itu menggelengkan kepala.

“Tada. Tada.” jawabnya.

“Boleh tak saya buka stall burger dan jual burger di kedai makan uncle?” tanyaku yang akhirnya mendedahkan niatku yang sebenar. Pak cik Cina tersebut agak tergamam mendengarkan permintaanku. Namun kemudian dia kembali ketawa terbahak-bahak sambi menepuk-nepuk lagi bahuku.

“You memang banyak semat! Haiyaa... cilaka! Okey! Okey! You boleh jual burger depan kedai makan uncle. Memang ramai customer Cina pun suka makan burger sekarang. Sewa nanti kita bincang, ah? Tapi uncle mau belanja juga you makan Mak Dono. Let’s go. No-no excuse, ah? Come! Come!” ajaknya sambil menarik tangan kananku. Aku bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal akur sahaja akan pelawaannya itu.

******************************

Malam itu seperti biasa selepas makan, aku dan Adrina bersama-sama membersihkan pinggan mangkuk dan mengemaskan dapur. Selepas itu kami duduk berhimpit-himpit di atas sofa sambil menonton cerita Sentiasa Di Hujung Nyawa.

“Tak ada cerita lain ke? Tengok cerita ini lagi...” rungutku.

“Alaa, ada beberapa episod saja lagi. Lepas habis cerita ini nanti kita tengoklah cerita lain, okey?” pujuk isteriku. Aku memuncungkan mulut. Adrina membuat isyarat seolah-olah mencium bibirku itu dari jarak jauh.

“Syukur kepada Allah abang cepat saja dapat tapak berniaga burger.” ujar isteriku tiba-tiba.

“Hm.” balasku mengiyakan kata-katanya tadi. Semasa makan malam tadi telah kuceritakan kesemua peristiwa yang berlaku ke atasku siang tadi. Adrina begitu gembira sekali mendengarnya. Beliau bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran kecil di pejabatnya. Kami berdua pasti mister Marlboro Man akan menceceh lagi.

“Mata abang nanti pandang daging burger saja, tau? Jangan pandang daging peha amoi-amoi di kedai makan tu, tau?” pesan isteriku dengan nada cemburu. Aku ketawa dan tawa Adrina menyusul selepas itu. Seketika kemudian kami masing-masing mendiamkan diri dan menancapkan mata ke arah skrin LED.

“Abang tak fahamlah! Kenapa isteri dia masih nak pada suaminya yang kejam itu? Macam-macam yang dia buat pada isteri dia. Belah sajalah cari lelaki lain!” omelku.

“Dia terlalu cintakan suaminya, bang. Orang perempuan macam itulah. Bila seluruh jiwa raganya diberikan kepada orang yang dia cintai, dia sanggup buat apa saja untuk mempertahankan cintanya itu. Walaupun suaminya berbuat zalim padanya, dia tetap akan bertahan dan setia.” balas Adrina. Aku menjeling ke arah isteriku dengan perasaan kurang berpuas hati. Hujah yang tak masuk dek akal. Orang perempuan sememangnya kadang-kala tak masuk akal perbuatan mereka.

“Bodohnya orang perempuan yang berpendirian macam itu.” komenku.

“Rina berpendirian macam itu. Jadi abang fikir Rina ni bodohkah?” tanya Adrina kembali. Bungkam aku mendengarkan pernyataannya itu.

“Rina sanggup setia pada abang sungguhpun abang buat macam-macam perkara yang teruk pada Rina?” tanyaku dengan nada menduga. Adrina mengangguk.

“Cinta dan hati Rina semuanya dah Rina serahkan pada abang. Rina tak pernah terfikir akan mencintai sesiapapun selain dari abang.” balasnya pula. Aku terpegun. Tak tersangka akan keluar kata-kata tersebut daripada mulut seorang gadis yang digilai oleh hampir semua warga universiti suatu ketika dahulu. Adrina telah memilihku pada asalnya hanya sebagai bahan permainan dengan rakan-rakannya. Namun akhirnya beliau benar-benar telah memilihku sebagai teman hidupnya. Pun begitu sekali-sekala aku masih berasa sangsi dengan cintanya terhadapku. Kini kesangsian tersebut melebur dengan kata-katanya tadi. Aku mengangguk kecil.

“Abang sebelum ini tak pernah menyakiti Rina. Dan abang tak akan menyakiti Rina. Hati Rina yang ada pada abang akan abang jaga baik-baik. Dan abang berdoa kepada Allah agar abang setia pada Rina selama-lamanya di dunia ini hingga ke syurga nanti.” ungkapku. Adrina tersenyum. Merah benar pipinya mendengarkan kata-kataku tadi.

“Nampaknya Rina jauh lebih bertuah daripada Ersalina.” balasnya sebelum memelukku dengan erat.


- Bersambung pulok doooh.... -