Tuesday, April 2, 2013

PRU13 - Parlimen akhirnya dibubarkan pada hari ini 03-04-2013

Parlimen dibubarkan pada hari ini. Selamat mengundi semua. Apapun pendirian dan fahaman parti kita, janganlah harapnya terjadi perkara buruk sehingga menumpahkan darah nanti. Tugas umat Islam di Malaysia samalah seperti umat Islam yang lain iaitu meninggikan kalimah Allah di negara kita. Tak berbaloi mati kerana mahu meninggikan kalimah bangsa.

Bagi kita rakyat marhaen ni, ingatlah pesanan Rasulullah SAW bahawa tidak boleh mentaati pemimpin dalam berbuat maksiat kepada Allah (Sahih Muslim Bab Pemerintahan). Dan jangan pula memerangi pemimpin dengan senjata selagimana mereka masih menegakkan solat ditengah-tengah rakyatnya (Sahih Muslim).

Pun begitu, kita bukanlah hanya menyerah diri membiarkan saja pemimpin yang melakukan kezaliman terhadap kita dan orang lain. Rasulullah SAW memberi amanat agar mencegah kemungkaran (sesiapa sahaja pelakunya) dengan tangan (kuasa), dengan lidah (hujah) dan dengan hati (selemah-lemah iman) (Sahih Muslim). Amanat ini juga terpakai untuk pemimpin yang zalim.

Bagi bakal pemimpin, ingatlah amaran keras Rasulullah SAW bahawa pemimpin yang mati dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah akan mengharamkan baginya syurga (Sahih Muslim). Wallahu a'lam.



Saja nak buat kisah misteri :

PRU ke 13.
Parlimen bubar 03-04-2013
Kalau campurkan tarikh tu 0+3+0+4+2+0+1+3 = 13

Huu... seraaam....

(credit to Muhammad Affandi Adnan)

Saturday, March 30, 2013

Pemfitnah juga mendapat azab di dunia



Amaran Allah AWJ buat orang Islam yang suka mengaibkan saudara seagama dengan tohmahan dan umpatan :

Al-Quran surah an-Nur ayat ke 19

“Sesungguhnya  orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka AZAB YANG PEDIH di dunia dan di akhirat. Allah mengetahui tetapi kamu tidak mengetahui.”

Na'uzubillahi minzaalik.

Tuesday, March 26, 2013

Kisah Video Seks Nurul Izzah pula...

Kisah video seks ahli politik keluar lagi... Kenapa bangsa Melayu yang beragama Islam sahaja yang kena tohmahan seks? Apa agaknya pandangan bangsa lain terhadap bangsa Melayu?

Semoga Allah membinasakan manusia yang tidak insaf-insaf untuk mentohmah dan menyebarkan tohmahan zina terhadap saudara seagamanya di dunia ini.

Monday, March 25, 2013

Dr Muhammad Uthman El Muhammady

Innalillahi wainna ilaihiroojiuun.

Dr Muhammad Uthman El Muhammady yang dianggap tokoh pemikir Islam di Malaysia baharu sahaja kembali ke rahmatuLlah. Semoga Allah memberikan rahmat ke atasnya dan mengampuni dosa-dosanya.

Allayarham banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan Islam di Malaysia. Namun beliau juga sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada kritikan. Pun begitu kritikan-kritikan yang singgah ke telinga saya bukanlah terhadap keperibadian Allyarham tetapi lebih pada pandangan-pandangan serta pemahaman beliau. Perkara seperti itu amatlah dialu-alukan dalam dunia Islam demi untuk kemajuan umat.

Saya dan kita semua juga berharap agar pemergian kita dikenang sebagai manusia yang banyak berjasa kepada agama dan masyarakat. Dan kita juga pasti berharap agar tidak dikenang orang ramai sebagai manusia jahat dan banyak melakukan kezaliman terhadap agama dan manusia lain. Na'uzubillahi minzaalik.

Friday, March 22, 2013

Adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Di Malaysia, adalah sinonim bahawa yang beragama Islam itu bangsa Melayu. Manakala bangsa-bangsa lain yang menganut agama Islam tidak begitu dihargai seperti bangsa kita.

Kita masih memanggil penganut agama Buddha sebagai 'Cina' sungguhpun bukan sedikit yang menjadi Muslim. Saya pernah mendengar seorang Melayu berkata "Bangsa Cina memang semuanya masuk neraka.".

Kita juga melabelkan bangsa India dengan agama Hindu sedangkan bukan sedikit di kalangan mereka yang beragama Islam. Ramai yang memanggil bangsa India dengan panggilan Hindu tanpa mengetahui agama sebenar mereka. Lebih buruk lagi ada yang memanggil dengan nama 'Hindu Paria'.

Sesungguhnya Islam adalah satu agama yang sangat indah tetapi dihodohkan oleh kejahilan penganutnya.

Jadi, adakah kita membawa imej agama kita dengan baik?

Thursday, March 21, 2013

Kisah menjampi dalam Sahih Bukhari.



Dinukilkan dan diolah dari hadis yang sahih dalam kitab Sahih Bukhari :

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra.

Sekumpulan sahabat ra berkunjung ke salah satu desa orang Arab tetapi kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Malah mereka juga tidak diberikan makan dan minum sungguhpun diminta. Kemudiannya pemimpin desa itu disengat serangga berbisa. Pelbagai cara penduduk desa itu cuba demi untuk menyembuhkan pemimpin mereka tetapi gagal. Akhirnya seorang dari penduduk desa tersebut meminta pertolongan para sahabat ra. Salah seorang sahabat yang masih berkecil hati berkata “Tadinya kamu tidak mahu menerima kami sebagai tetamu. Kami tak akan mengubati pemimpin kamu kecuali dengan upah.”

Para penduduk desa dan para sahabat ra kemudiannya berbincang untuk menentukan upah dan setelah mencapai kata sepakat, baharulah salah seorang dari sahabat ra mendekati pemimpin tersebut untuk mengubatinya. Beliau membaca surah al-Fatihah dan kemudian meludah di tempat sengatan tersebut. Dengan izin Allah AWJ, sembuhlah pemimpin tersebut dan beliau boleh bangun seperti sediakala.

Seperti yang dijanjikan, upah berupa beberapa ekor kambing diberikan kepada para sahabat ra. Namun mereka berasa sangsi apakah mereka patut mengambil upah dari penggunaan ayat al-Quran. Mereka tidak terus mengambilnya kerana mahu bertanyakan kepada Rasulullah SAW terlebih dahulu.

Apabila ditanyakan kepada Rasulullah SAW, baginda bersetuju dan membenarkan perbuatan mereka tersebut. Malah Rasulullah SAW sempat berseloroh dengan mengatakan bahawa mereka juga perlu membayar upah kambing itu kepadanya (yang saya berhujah kerana Baginda memberikan jawapan tadi) sebelum ketawa.

Beberapa pengajaran boleh kita ambil dari hadis yang sahih ini.

Pertama : Boleh menggunakan jampi atau mentera asalkan ianya tidak mengandungi unsur-unsur mensyirikkan Allah dan bercanggahan dengan al-Quran dan sunnah nabi.

Kedua, surah al-Fatihah adalah surah teragung selain dari ayatul Kursi (kedua-duanya disebut dalam hadis yang sahih) dan boleh digunakan untuk mengubati penyakit dengan izin Allah. Namun kita hendaklah percaya bahawa Allah yang memberikan kesembuhan dan bukannya surah tersebut.

Ketiga, kita mesti menentukan upah/bayaran untuk mengubati pesakit sebelum mengubatinya agar tidak membebankan pesakit itu atau keluarganya.

Keempat, Rasulullah SAW adakalanya suka bergurau dan berjenaka sungguhpun beliau sedang memberikan pengajaran kepada para sahabat ra. Kaedah ini dipanggil hikmah dalam berdakwah dan itu sebabnya mengapa kadang-kala dengan beberapa patah kata sahaja, Rasulullah SAW dapat mengislamkan orang-orang yang masih menyembah berhala.

Kelima, Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan melawak, Baginda tidak sama sekali berdusta. Ini bermakna Baginda mengesahkan bahawa adanya upah atau bayaran bagi nasihat yang diberikan oleh orang-orang berilmu. Jadi janganlah merungut jika fee konsultansi peguam macam kami ni tinggi kerana kami adalah orang yang berilmu dalam bidang perundangan. Haha!

Wallahu a’lam.

(Teks atau matan hadis ini diolah dengan bahasa yang lebih ringkas dan mudah difahami dan diceritakan semula oleh saya. Namun saya percaya bahawa ia tidak lari dari penceritaan yang asal. Moga Allah mengampuni saya sekiranya saya tersilap)

Tuesday, March 19, 2013

Wira-wira di Lahat Datu. Syahid atau syahid dunia?



Adakah wira-wira kita di Lahat Datu mendapat mati syahid atau syahid dunia sahaja?


Dinukilkan dan diolah dari hadis yang sahih dalam kitab Sahih Bukhari :

Seorang sahabat ra telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Jeanazahnya dimandi dan dikafankan. Salah seorang sahabat ra berkata :

“Semoga rahmat Allah tercurah kepadamu, hai Abu Saib (si mati). Aku menjadi saksi bagimu, sesungguhnya Allah telah memuliakanmu.”

Rasulullah SAW yang terdengar kata-kata tersebut lantas bertanya kepada sahabatnya itu :

“Bagaimana engkau tahu bahawa Allah telah memuliakannya?”

Baginda SAW kemudian telah menegurnya dengan berkata, “Dia telah mati. Demi Allah, aku HANYA mengharapkan semoga dia mendapat kebaikan. Demi Allah, biarpun aku seorang Rasul Allah, namun aku (juga) tidak tahu apa yang akan diperbuat (oleh Allah) terhadapku.”

Kepada alim dan ulama sekalian. Saya yang cetek dalam ilmu ini berpendapat bahawa kita HANYA mendoakan sahaja semoga Allah memberikan wira-wira kita yang terkorban di Lahat Datu itu syahid atau mendapat pahala syahid. Janganlah dengan mudah kita meletakkan hukum sama ada Allah memberinya syahid atau tidak. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara tersebut. Ianya bukanlah urusan kita. Dan janganlah kita berbalah kerana perkara yang kecil ini. Bincangkan cara-cara yang lebih berkesan agar anak-anak Melayu tidak terus menjadi murtad dengan sewenang-wenangnya. Itu yang lebih utama. Wallahu a’lam.

(Teks atau matan hadis ini diolah dengan bahasa yang lebih ringkas dan mudah difahami dan diceritakan semula oleh saya. Namun saya percaya bahawa ia tidak lari dari penceritaan yang asal. Moga Allah mengampuni saya sekiranya saya tersilap)