Thursday, June 10, 2010

MetroPolis 2 - Bab 3



MetroPolis Episod 2
(Bab 3)
Api Marak Disco


Keesokan harinya, di markas milik Disco Inferno ataupun Remy…

“Tuan Disco, kita baru sahaja mendapat arahan daripada Don. Beliau memaklumkan bahawa terdapat beberapa ‘anjing’ daripada kumpulan Tai-Pan telah muncul di Bercham dan cuba memujuk beberapa orang pengusaha rumah pelacuran agar membeloti kita. Tuan Don mahu kita menguruskan konco-konco Tai-Pan tersebut hari ini juga kerana mereka sekali lagi kelihatan berkeliaran di situ. Sebagai balasannya tuan Don tidak akan menghukum tuan Disco atas insiden tiga bulan yang lalu.” Perkhabaran yang dibawa oleh anak buahnya yang bernama Nguyen Thran iu membuatkan Remy termenung panjang. Tiga bulan telahpun berlalu semenjak insiden beliau membunuh puluhan konco-konco Tai-Pan termasuk pegawainya iaitu Penguasa Fong. Perbuatannya itu menyebabkan berlakukan pertempuran demi pertempuran kecil di antara kumpulan Don dan kumpulan Tai-Pan.

Mujurlah Don menangguhkan hukuman ke atas Remy kerana kehebatan yang ditunjukkan olehnya. Ternyata Remy masih dianggap sebagai aset yang berharga dalam kumpulan Don. Namun Remy diarahkan untuk bersembunyi dan berdiam diri buat beberapa ketika. Kini dengan tidak semena-mena beliau diarahkan untuk membuat tugasan remeh dan kecil tersebut. Remy mengeluh kecil. Tentu ada udang di sebalik batu.

“Tuan?’ tanya Nguyen untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

“Kerahkan kesemua orang kita untuk ke sana. Bawa senjata yang lengkap dan peluru yang cukup untuk pertempuran besar-besaran.” arah Remy. Nguyen membeliakkan mata. Begitu juga dengan anak buahnya yang lain yang berada di situ.

‘Tapi tuan, bilangan anak buah kumpulan Tai-Pan bukanlah ramai. Cuma tiga-empat orang sahaja. Lagipun mungkin mereka hanya membawa senjata ringkas seperti pisau. Paling kuat pun mungkin pistol.” kata-kata anak buahnya yang bernama Dalip jelas mempertikaikan arahan Remy. Namun Remy tidak berkecil hati. Beliau mengalu-alukan pernyataannya dipersoalkan jika boleh membawa mudarat kepada mereka semua.

“Aku mungkin nampak macam paranoid. Tapi aku berasa tidak sedap hati. Perasaanku ini samalah seperti ketika rakan-rakan seperjuangan kita dibunuh dengan cara misteri semasa berurus niaga dengan kumpulan Tai-Pan dulu. Jadi ada baiknya kita menyediakan payung sebelum hujan.” Kata-kata Remy itu disambut dengan anggukan setuju oleh anak-anak buahnya.

*************************************

Keesokan hari :

Terpampang besar di berita hari ini : Peperangan Triad!

Enbi mengerutkan kening tatkala membaca berita tersebut yang disiarkan di skrin kertas elektronik berdiameter 40 inci. Pada zaman Enbi, Malaysia hanya mempunyai lebih kurang 500 batang pokok sahaja yang dikhaskan dalam Taman Botani DiRaja. Kertas yang digunakan pada zaman itu adalah filamen nipis yang dilapisi LCD dan ribuan serat kaca fiber elektronik. Cara melanggan suratkhabar adalah dengan membeli cip magnetik daripada syarikat akhbar. Setiap hari berita-berita terkini dipancarkan melalui frekuensi radio digital seperti telefon bimbit. Para pelanggan akan membayar kepada syarikat akhbar tersebut setiap bulan seperti melanggan siaran televisyen kabel. Hanya individu yang melanggan sahaja boleh mengakses akhbar tersebut dengan memasukkan kata laluan yang betul.

"Peperangan Triad? Hebat betul tajuk berita utama!" Enbi berpaling ke belakang tatkala mendengarkan suara tersebut. Ianya milik Nazrul. Pada hari ini Nazrul ditugaskan untuk memohon permit senjata api di Kementerian Dalam Negeri Cawangan Perak. Enbi bersama Red Wigwam mengambil giliran untuk menjaga balai.

"Bagaimana dengan permohonan kita?" tanya Enbi. Nazrul mengeluh sambil menggelengkan kepala.

"Permohonan kita perlu mendapat rekomen daripada Ketua Polis SPMB (Syarikat Polis Malaysia Berhad) sebelum diluluskan." maklum Nazrul.

"Maknanya jangan haraplah mereka hendak rekomen. Tambahan pula MetroPolis lebih popular daripada SPMB sekarang." telah Enbi.

"Bukan setakat kita sahaja. Setakat ini mana-mana syarikat polis selain dari SPMB semuanya disekat daripada mendapatkan permit senjata api." maklum Nazrul.

"Susahlah kita kalau macam ini. Bagaimana kita hendak mempertahankan diri jika diserang oleh penjenayah yang bersenjata api?" tanya Enbi.

"Syarikat polis yang lain terpaksa membuat tawaran gaji yang lebih tinggi kepada anggota polis SPMB untuk bekerja dengan mereka. Anggota polis SPMB mudah mendapatkan permit senjata api. Lagipun permit tersebut adalah untuk individu. Jadi sungguhpun mereka telah berhenti dari SPMB untuk bekerja di syarikat polis yang lain, mereka masih memiliki permit senjata api." Enbi menganggukkan kepala tanda memahami maksud tersirat di sebalik kata-kata Nazrul tadi. Mereka juga terpaksa berbuat seperti syarikat-syarikat polis yang lain iaitu ‘mencuri’ anggota polis SPMB untuk berkhidmat pula di bawah MetroPolis. Demi semata-mata untuk mendapatkan permit senjata api.

Masalahnya, MetroPolis adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatannya secara percuma. Dan untuk menggajikan seorang anggota polis SPMB pula, tentu Enbi terpaksa menawarkan enam ke sepuluh ribu Ringgit Malaysia setiap bulan kepada golongan tersebut.

"Hai Enbi! Hai Nazrul!" tegur Catherine. Beliau baru sahaja datang dari restorannya. Semenjak program Rakan MetroPolis ditubuhkan, ramai sukarelawan yang membantu secara percuma untuk membenteras jenayah. Dengan itu Catherine mendapat lebih masa untuk menguruskan restorannya.

"Hai kak Catherine!" balas Nazrul. Enbi seperti biasa tidak mempedulikan sapaan tersebut. Matanya masih tertancap di akhbar.

"Patutlah wartawan memanggilnya Peperangan Triad. Insiden semalam bukan hanya berlaku di Pasir Pinji; malah di seluruh Perak. Hampir semua kumpulan samseng terbabit. Setakat ini hampir 50 orang samseng telah terbunuh. SPMB telah menggembeling tenaga anggotanya secara besar-besaran untuk memerangi mereka semua." maklum Enbi.

"Nampaknya keadaan menjadi semakin berbahaya." komen Catherine. Kedua-dua beradik tadi mengangguk setuju.

*************************************

Bercham, kawasan pekan :

"Jahanam kamu semua, kumpulan Don!!!" Salah seorang anggota kumpulan Tai-Pan yang dikenali sebagai Tenjo memekik seraya melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah lawan. Keadaan di situ bertambah gawat. Hampir 48 orang samseng dari kumpulan Don dan Tai-Pan sedang bertempur dengan menggunakan senjata api sekarang. Peluru plasma terbang bersimpang-siur. Letupan berlaku di sana sini. Kemusnahan yang berlaku adalah begitu teruk sekali. ternyata firasat Remy adalah tepat. Arahan tersebut mungkin adalah suatu perangkap daripada ketuanya atau mungkin juga ianya perangkap yang dipasang oleh Tai-Pan sendiri. Pertarungan mereka terganggu apabila dikunjungi oleh hampir 6 buah helicraft (generasi baru helikopter) milik Syarikat Polis Malaysia Berhad. Serta-merta berbelas anggota polis yang lengkap bersenjata dan memakai kevlar (baju kalis peluru) terjun dari helicraft tersebut. Sungguhpun terjun dari jarak hampir 100 meter, kesemuanya mendarat dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Ini adalah kerana tapak but mereka telah dipasang dengan alat penyerap hentakan berkuasa tinggi.

"Kami adalah polis SPMB! Campakkan senjata kamu semua dan menyerah diri dengan aman sekarang. Jika tidak kami terpaksa menembak kamu," ujar salah seorang anggota SPMB yang berpangkat Inspektor. Beliau menggunakan `waveblaster' iaitu sejenis alat audio yang mampu menggemakan suara ke udara tanpa sebarang bantuan pembesar suara.

"Pergi mampuslah! Ho!" pekik Remy yang ditugaskan mengepalai kumpulan Don untuk menyerang kumpulan Tai-Pan. Beliau terus membidik ke arah kumpulan SPMB dengan senapang automatiknya. Perbuatannya itu disertai oleh anak-anak buahnya.

"Kita bunuh polis dahulu! Serang!" pekik Tenjo yang mengepalai kumpulan Tai-Pan. Nampaknya kedua-dua kumpulan samseng tersebut telah bersatu hati untuk kali ini. Hujanan peluru dan bom bersimpang-siur menuju ke arah anggota SPMB.

"Teruklah kamu polis kali ini. Ho!" pekik Remy dengan gembira. Beliau kali ini menggunakan pelancar roket pula untuk membereskan SPMB. Kawasan pertempuran tersebut kembali bergema dengan letupan-letupan yang dahsyat.

*************************************

Di balai MetroPolis…

"Wah! Teruklah! Berita Supernet (generasi baru internet) melaporkan bahawa terdapat enam pertempuran besar dan tiga belas pertempuran kecil di serata Perak sekarang. Paling dekat adalah di Pekan Razaki, Ipoh!" maklum Nazrul yang sedang melayari supernet menggunakan komputer balai.

"Cat; cepat hubungi sukarelawan yang bertugas berdekatan dengan Pekan Razaki. Arahkan mereka supaya menjauhkan diri dari situ. Pertempuran nampaknya telah menjadi semakin serius. Nyawa anak buah kita mungkin akan terancam." arah Enbi dengan nada cemas. Catherine menganggukkan kepala dan bersegera mendail nombor salah seorang sukrelawan Rakan MetroPolis.

"Jahanam. Jahanam. Jahanam…" Nazrul dan Red Wigwam hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan Enbi yang tidak henti-henti memarahi dirinya. Dalam keadaan yang sebegini gawat, anggota MetroPolis langsung tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Mereka kekurangan segalanya. Kekurangan anggota yang berpengalaman serta kekurangan kekuatan persenjataan. Segalanya adalah serba-serbi kurang.

*************************************

Pusat Komuniti Masyarakat : Jabatan Remaja Bermasalah.

"Tuan Don, pertempuran di Bercham kini menjadi semakin hebat kerana SPMB telah masuk campur sekali. Disco Inferno telah menghubungi kita untuk meminta bantuan sokongan." Donald hanya tersenyum mendengarkan makluman yang dibuat oleh orang kanannya, Duali.

"Si pengkhianat itu kini mahukan bantuan aku pula? Lucu betul," komen Donald seraya tertawa kecil. Beliau kemudian berpaling ke arah Daryll yang juga dikenali sebagai Algojo Serigala Angin.

"Bagaimana pendapatmu, Daryll?" tanya Donald. Daryll hanya tersengih.

"Kalau tuan Don menghantar pasukan sokongan, tidak bermaknalah perangkap yang tuan telah sediakan untuk pengkhianat tersebut dan anak-anak buahnya." jawab Daryll. Donald ketawa. Rupa-rupanya ianya memang adalah perangkap Donald untuk menghukum Remy dan menghapuskan beliau dengan konco-konconya sama sekali.

"Janganlah begitu. Setidak-tidaknya aku ini masih ketua mereka. Kalau anak buahku meminta pertolongan, pasti aku akan bantu. Sungguhpun mereka telah mengkhianatiku." balas Donald dengan tenang.

"Duali. Arahkan Algojo Tiga Elemen pergi ke sana. Selesaikan mereka semua termasuk Disco Inferno dan konco-konconya." perintah Donald pula. Duali menganggukkan kepala.

*************************************

Bercham, kawasan pekan. 26 minit kemudian :

"A-Go-Go!!! Mengapa bantuan untuk kita belum tiba lagi?" maki Remy. Keadaan mereka semakin terdesak. Entah mengapa kumpulan Tai-Pan tiba-tiba mengubah fikiran untuk menyerang mereka pula.

“Mungkinkah Don memang telah mengetahui bahawa aku telah mengkhianatinya. Mungkin juga beliau sengaja mengarahkan aku untuk menyerang geng Tai-Pan untuk memerangkapku.” fikir Remy. Antara lokasi markas primer milik kumpulan Don adalah di Taman Anda iaitu cuma kira-kira 3 kilometer dari lokasi pertempuran mereka. Mustahil bantuan tiba begitu lewat sekali.

BOOM!!!

Tujuh orang anak buah Disco Inferno terbunuh serta-merta akibat terkena pelancar roket milik kumpulan Tai-Pan. Mayat mereka bergelimpangan di sana-sini. Remy mengetap gigi. Perasaan amarah menjalar di segenap tubuhnya.

"A-Go-Go! Mampuslah kamu semua!" jerit beliau seraya membidik pelancar roketnya pula ke arah geng Tai-Pan. Sungguhpun senjata miliknya dilukis dengan motif bunga-bungaan atau dikenali sebagai `flower power', ianya bukanlah senjata sembarangan. Pelancar roket milik Disco Inferno adalah satu-satunya senjata yang mempunyai kelompak yang boleh melancarkan 10 tembakan berturutan. Selain itu senjata tersebut boleh diprogramkan untuk menembak 2 jenis peluru, iaitu peledak biasa dan peledak api. Lima letupan berturut-turut tepat mengenai lokasi persembunyian geng Tai-Pan. Jeritan ngeri jelas kedengaran menandakan keberkesanan serangan tersebut. Remy pula mengambil kesempatan untuk bersembunyi buat sementara.

“Biar kamu rasa pula roket peledak api.” ujarnya dalam hati Inferno di dalam hati sambil menukar kelompak yang baru. Beliau kemudian bingkas bangun.

"Go-Johnny-Go! Serang dan bunuh anjing-anjing Tai-Pan terlebih dahulu!" pekik Remy memberikan arahan sambil menembak ke arah beberapa sasaran. Dalam masa yang sama tubuhnya turut dihinggapi beberapa butir peluru. Peluru pada masa itu diperbuat daripada sejenis bio-plasma. Senjata yang memuntahkan peluru logam tidak lagi digunakan kerana harga logam pada zaman tersebut amatlah mahal. Oleh kerana Remy memakai baju kalis peluru, maka beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. Pun begitu, kepalanya yang berambut afro tersebut masih boleh ditembusi oleh peluru bio-plasma tadi.

Seketika kemudian beberapa bola api yang besar meletus dengan begitu marak sekali. Jeritan-jeritan ngeri kedengaran dan seketika kemudian beberapa tubuh yang marak dijilat api berlari keluar dalam keadaan terpontang-panting.

"A-hahahaha-ho!" Hilai tawa pelik Remy disambut dengan sorakan gembira oleh konco-konconya. Tubuh-tubuh yang terbakar tadi akhirnya rebah menyembah bumi, menandakan hayat mereka telahpun berakhir.

"Sekarang aku tunjukkan seni pertarungan bersenjata milikku iaitu `Seni Senjata Api Tarian Disko'. Ho!" jerit Remy seraya melompat keluar. Beliau menekan butang di kepala talipinggangnya. Seketika kemudian lagu `Dancing Queen' nyanyian kumpulan Abba berkumandang di udara menggunakan teknik `waveblaster'.

"Bos akhirnya menunjukkan kekuatan beliau!" pekik salah seorang anak buah Remy dan disambut dengan sorakan konco-konconya yang lain. Remy bertubi-tubi melepaskan tembakan pelancar roketnya sambil menari ala disko. Peluru-peluru yang dibidikkan ke arahnya oleh geng Tai-Pan dan SPMB gagal menemukan sasaran. Sebaliknya mereka pula yang dimandikan dengan bola-bola api yang meletus di sana-sini.

"Jahanam! Beliau masih boleh bergerak dengan amat pantas sungguhpun menggendong pelancar roketnya. Anak buah Don ini memang bukan sembarangan orang." ujar Inspektor Noralee yang mengetuai operasi SPMB kali ini.

"Ngalompak! A-Go-Go!" teriak Remy seraya menukar kelompak senjatanya sambil menari. Sebenarnya tarian tersebut adalah seni bertempur beberapa puluh aliran berbentuk pasif. Remy menggabungkannya ke dalam bentuk tarian. Serangannya pula adalah dari senjata api di tangan. Boleh dikatakan seni bertempur pelik miliknya adalah sempurna dari segi serangan dan pertahanan.

"Go-Johnny-Go!" teriaknya lagi seraya memutarkan badan sambil menarik picu. Beberapa letupan yang berlaku berjaya membunuh berbelas orang anggota SPMB dan Tai-Pan. Ternyata sasaran beliau bukannya semberono. Ianya tepat sungguhpun beliau sedang bergerak dengan pantas.

Lelaki yang pernah ditawarkan untuk menjadi Algojo kumpulan Don ini sememangnya amat handal lagi menakutkan…

-bersambung –


Tuesday, June 8, 2010

Notakaki : Algojo Kumpulan Don

"Selain dari ahli-ahli yang berkebolehan, Donald atau Don juga mempunyai pasukan pembunuh elit yang dikenali sebagai Algojo Berempat. Tugas-tugas algojo ini antaranya adalah untuk melindungi kepentingan kumpulan Don dengan cara menghapuskan musuh dan para pesaingnya serta menghukum mana-mana ahli kumpulan Don yang melakukan kesalahan besar. Biasanya hukuman tersebut adalah hukuman mati.

Algojo Berempat adalah amat hebat dan handal serta mempunyai keupayaan seperti 50 orang tentera terlatih. Antara algojo yang pernah diketengahkan dalam cerita ini adalah Algojo Serigala Angin, Algojo Tiga Elemen yang sebenarnya merupakan 3 individu dalam 1 dan seorang lagi algojo misteri yang mampu memanipulasikan perlatan elektronik menjadi senjata yang berbahaya. Algojo yang keempat pula masih belum diketengahkan dalam cerita MetroPolis setakat ini.

Remy atau Disco Inferno pernah ditawarkan untuk menjadi seorang algojo kumpulan Don. Namun beliau telah menolaknya atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Penglibatan watak Remy dalam episod kedua ini serta permusuhannya dengan algojo kumpulan Don akan pasti semakin menyemarakkan lagi kisah MetroPolis."

Tuesday, June 1, 2010

Notakaki : Anti-Zionis / Anti-Israel


Artikel ini diambil dalam blog KULS (Khas Untuk Lelaki Sahaja) saya :

Zionis Laknatullah ini dah memang melampau…

Tapi aku berasakan bahawa adalah sia-sia sahaja kita menghantar memorandum bantahan pada kerajaan jahanam tu. Seratus peratus aku berani kerat rambut gofren aku bahawa diorang tak akan baca dan terus buang ke dalam dustbin Yitzhak Rabin. Begitu juga buat demo serta protes di jalanan. Sia-sia. Kecualilah kalau buat kat Tebing Barat Semenanjung Gaza tu. Tapi siapalah nak serahkan nyawa, ya tak?

Bagaimana pula dengan memboikot barangan Israel? Adalah sikit aje kesannya. Lepas tu kita melantak kembali di Mac Donald’s dan menggunakan kembali semua produk-produk Israel. Tindakan kita kepada rejim Zionis ni serupalah macam anjing menyalak bukit. Apa kata kita buat pengecaman terhadap Zionis ni secara berterusan? Berikut adalah cadangan-cadangan aku untuk korang :

1) Bagi setiap syarikat swasta, pada letterhead korang cetak juga lambang bendera zionis yang dipangkah dengan slogan “Kami anti-Zionis”. Atau kalau korang berani lagi, tulislah “Musnahkan Kerajaan Israel Laknatullah”. Dan setiap kali korang nak cetak letterhead baru, cetak juga slogan anti-Israel tersebut. Barulah kita nampak serius untuk mengecam dan mengutuk mereka.

2) Di setiap rumah, rentangkan bendera kerajaan Zionis yang dipangkah dengan slogan di bawahnya tertulis “Kami Anti-Israel”. Atau buat ‘bunting’ yang setiap kali dah lusuh, korang buat yang baru. Alah, kalau ‘bunting’ kenduri kahwin korang tak kemut nak keluarkan belanja, apa salahnya untuk tujuan murni ini, kan?

3) Pelukis-pelukis juga patut melukis gambar-gambar bersifat anti-Israel seperti gambar rakyat Palestein memijak askar Israel dan cetak sebagai poster. Jualkan poster tersebut. Jadi di setiap rumah atau pejabat akan ada poster-poster yang sebegini untuk menyebarkan fahaman benci Zionis kita.

4) Mana-mana pembuat baju T yang kreatif juga cetaklah gambar-gambar atau logo-logo pada baju T yang bersifat anti-Zionis dan anti-Israel. Pastikan juga kita membeli baju-baju T ini dan kerap memakainya untuk menunjukkan kebencian kita terhadap Israel.

5) Bagi pemilik syarikat-syarikat swasta, korang bolehlah menempah lencana atau ‘button’ yang bersifat anti-Israel serta wajibkan staf-staf korang memakainya pada waktu kerja.

Kalau korang ada idea-idea lain, aku harap korang dapat sumbangkan idea tersebut untuk dikongsi bersama. Kita wajib membenci Zionis. Dan mereka ini adalah musuh kita yang amat nyata.

Stay KULS.



“KULS adalah anti-Israel”

Monday, May 31, 2010

Notakaki : Suraya

“Suraya adalah watak klise wanita cantik yang sukakan glamour. Beliau adalah seorang model sambilan yang kini berkepit dengan pelakon lelaki yang kurang ternama bernama Sabri. Suraya menyukai lelaki yang glamour dan berharta. Dalam ceritaku, Suraya pernah rapat dengan Nazrul yang menggilainya. Namun setelah mengetahui bahawa Nazrul bukanlah pemilik syarikat Enbi Sdn. Bhd., Suraya terus menjauhkan dirinya dan meninggalkan Nazrul.

Aku ingin meneruskan watak Suraya ini dan membuatnya rapat dengan Enbi pula. Al-maklumlah Enbi adalah multi-millionair dan terkenal pula. Jadi wujud suatu konflik yang meretakkan hubungan persaudaraan di antara Enbi dan Nazrul. Namun aku berasakan bahawa Enbi dan Nazrul tidaklah sebodoh itu. Lagipun aku ingin menumpukan karektor-karektor dalam MetroPolis Enterprise itu sendiri dan watak klise seperti Suraya adalah membuang masa sahaja.”

Sunday, May 30, 2010

Notakaki : Red Wigwam


“Red Wigwam adalah anak jati dari Negara Amerika Syarikat. Pada zaman Enbi, negara tersebut dipanggil sebagai Amerika Sakit kerana telah dimusnahkan sepenuhnya oleh pendekar Emissary. Red Wigwam adalah seorang bekas pemimpin kaum Sioux yang berkelana di serata dunia untuk melihat dunia luar sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau dari masa ke semasa bekerja di tempat-tempat yang disinggahi untuk mengumpulkan dana yang cukup bagi membolehkannya mencapai matlamat tersebut. Sungguhpun sudah lanjut usia, Red Wigwam amat cekap dalam pengurusan pejabat dan pandai menggunakan teknologi yang terkini di dalam MetroPolis.

Aku ingin menggambarkan watak Red Wigwam sebagai seorang yang sangat berguna sungguhpun sudah tua. Ini adalah demi untuk mengingatkan diriku dan kalian semua bahawa orang-orang tua bukanlah golongan yang obsolete dan tidak berguna lagi. Kita semua terhutang budi kepada mereka kerana mereka telah berusaha keras untuk menyediakan masa depan untuk kita. Jadi golongan warga tua ini tidak patut dibuang ke rumah-rumah orang tua atau lebih teruk lagi, di kaki lima.”

Thursday, May 27, 2010

Notakaki : Donald a.k.a. Don

“Donald atau tuan ‘Don’ adalah watak yang sangat istimewa. Beliau bukanlah suatu watak ketua penjahat yang klise seperti dalam kebanyakan filem-filem di Hong Kong, Hollywood dan Bollywood. Donald adalah seorang yang tenang, bijak dan sangat disenangi dengan kemurahan hati serta sikap merendah dirinya. Tiada kejahatan yang terpancar pada personalitinya di dalam cerita ini sungguhpun beliau adalah pemimpin suatu kumpulan mafia yang amat digeruni. Aku sememangnya mahukan wataknya sebegini. Beliau adalah seorang penjahat yang mempunyai sikap yang baik manakala Ebi pula adalah seorang hero yang mempunyai ‘kegelapan’ di dalam hatinya. Mungkin kerana itulah Donald memandang tinggi kepada Enbi dan mungkin bertindak membunuh orang bawahannya bernama Rico demi untuk melindungi Enbi.

Donald menyedari bahawa Enbi akan mengancam kedudukannya pada suatu hati nanti. Namun beliau masih enggan mengambil apa-apa tindakan terhadap Enbi. Apakah Donald akhirnya menemui seorang pesaing yang setaraf dengannya dan pada masa yang sama seorang yang layak untuk menjadi sahabatnya? Kita lihat sahaja nanti.”

Tuesday, May 25, 2010

Notakaki : Ren Fairuz

“Ren Fairuz adalah bagaikan comic-relief di dalam cerita MetroPolis ini. Namun rupa-rupanya beliau adalah seorang imam muda yang diselubungi dengan misteri dan bukanlah individu yang sembarangan. Malah dalam satu bab di episod pertama, Ren Fairuz secara berkias memberitahu bahawa kumpulan MetroPolis ini telah berjaya menarik perhatiannya. Nampak gayanya penglibatan serta kemunculan Ren Fairuz yang kerap di dalam kumpulan MetroPolis adalah semata-mata untuk memerhatikan tindak-tanduk Enbi dan anak-anak buahnya. Sekaligus menunjukkan bahawa beliau mempunyai agenda tertentu terhadap MetroPolis yang pastinya enggan dikongsi dengan sesiapa.

Nama Ren Fairuz ini adalah diambil daripada nama seorang ustaz muda yang juga meupakan sahabatku bernama Ustaz Fairoz. Beliau adalah seorang yang sangat rajin dan sentiasa nampak ceria sungguhpun dalam keadaan susah hati. Beliau pernah menjadi imam di masjid Pasir Putih, Ipoh sungguhpun kampung halamannya terletak di Kampung Manjoi, Ipoh. Suatu hari, atas sebab kedengkian segelintir individu, Ustaz Fairoz serta-merta meletakkan jawatannya sebagai imam di masjid Kampung Pasir Putih dan terus menghilangkan diri selepas itu. Aku masih mencari-cari akan tempat tinggalnya terkini dan berharap agar dapat bertemu dengan sahabatku itu suatu hari nanti.”