Wednesday, June 19, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 1)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah


20 tahun akan datang...

Syaikh Hizmeen adalah salah seorang guru pengajian tauhid dan aqidah yang amat terkenal di negara Daulah Maddaniyyah. Selain itu beliau telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan Yayasan Abderrahman ‘Auf  yang baharu sahaja ditubuhkan di Malaysia. Yayasan tersebut agak kurang disenangi oleh beberapa tokoh dari pusat baitul mal di Malaysia kerana dikatakan mengagihkan zakat pendapatan negara Daulah Maddaniyyah kepada rakyat-rakyat Malaysia yang selama ini masih dalam kesempitan sungguhpun menerima bantuan kebajikan.

Setiap bulan Syaikh Hizmeen akan bertandang ke Malaysia untuk mengaudit aktiviti pengagihan bantuan yayasan yang dikendalikan oleh anak-anak buah beliau. Namun di atas sifat kealimannya dalam agama, sering beberapa masjid berebut-rebut mendapatkan khidmatnya untuk menyampaikan kuliah agama dan ceramah. Pada malam ini salah sebuah masjid di Kepong begitu bertuah kerana tokoh agama itu telah menerima pelawaan mereka untuk berkongsi ilmunya bersama jemaah di sana. Setelah berceramah dalam empat puluh minit, Syaikh Hizmeen membuka ruang untuk menjawab persoalan pula.

“Silakan saudara dan saudari untuk bertanyakan soalan. Apa-apa soalan pun tak mengapa. InsyaaAllah saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjawabnya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada yang lembut dan tenang. Ulama yang berusia awal empat puluhan itu sememangnya lembut dalam perkataan dan tingkah-laku serta amat disenangi dan disayangi oleh orang-orang yang mengenali beliau. Jadi tiada siapa yang berasa takut atau malu untuk bertanya hatta soalan yang remeh sekalipun kepadanya.

“Bolehkah saya bertanya?” Tiba-tiba kedengaran suatu suara yang agar lantang pada arah pintu kanan masjid. Syaikh Hizmeen spontan memanggungkan kepala ke arah punca suara tersebut. Seorang wanita yang jelas bukan dari kalangan warganegara Malaysia kelihatan sedang berdiri di jenang pintu masjid tersebut. Beberapa orang lelaki bingkas bangun dan menyerbu ke arah wanita tersebut. Mereka dengan lagak dan suara yang agak kasar cuba mengusirnya.

“Jangan! Jangan begitu! Mengapa kalian berlaku kasar padanya? Tidakkah kita ini diajar untuk berlembut dan berbaik kepada orang yang tidak memusuhi kita?” tegah Syaikh Hizmeen dengan suara yang agak lantang. Kata-katanya itu berjaya menahan tingkah-laku agresif lelaki-lelaki tadi.

“Tuan guru; dia ini namanya Josephine. Sudah beberapa kali dia datang ke sini dan membuat kacau.” ujar salah seorang lelaki tersebut.

“Apa jenis kacau yang dia buat?” tanya Syaikh Hizmeen dengan nada melawak untuk meredakan ketegangan.

“Dia suka tanya soalan yang bukan-bukan pada guru-guru agama yang datang mengajar di sini sampai ada yang tak ingin lagi datang ke masjid kami.” jawab seorang lelaki yang duduk di baris hadapan pula.

“Saya bertanyakan soalan kerana saya tak percayakan pada apa-apa agama sekalipun. Kalau mereka tak boleh menjawab, bukannya salah saya. Kalau mereka menjauhkan diri kerana takutkan saya, bukanlah salah saya juga.” bidas Josephine kembali. Syaikh Hizmeen ketawa mendengarkan kata-kata wanita tersebut.

“Cakap cik itu memang betul. Itu salah merekalah kerana tidak cukup pengetahuan dalam agama.” komennya.

“Jadi bolehkah saya bertanya pada tuan?” tanya Josephine pula.

“Jangan layan dia, tuan guru! Dia ini sengaja cuba nak mengelirukan kita dengan fahaman sesatnya!” saran seorang lagi lelaki lain. Syaikh Hizmeen menggelengkan kepala.

“Jangan kata begitu. Islam adalah agama akal dan hujah. Islam ini dikurniakan oleh Tuhan yang juga menjadikan kita dan seluruh alam ini. Jadi apa yang perlu kita nak bimbangkan?” balas Syaikh Hizmeen dengan tuturan lembut. Beliau mendongak pula ke arah wanita tadi.

“Saudara-saudara semua; janganlah dihalang lagi cik itu. Cik; silalah masuk ke sini dan tanyalah apa yang cik musykilkan di hati. Tapi ilmu saya yang terhad ini hanyalah pemberian daripada Allah. Ustaz-ustaz yang cik telah tanyakan sebelum ini mungkin jauh lebih baik dan berilmu daripada saya.” ujar Syaikh Hizmeen. Tokoh yang sangat alim itu masih tawadduk merendahkan diri sungguhpun keilmuannya adalah amat luar biasa sekali. Josephine segera menggegaskan diri ke arah Syaikh Hizmeen.

“Okey, saya dah bersedia untuk ditanya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada bergurau. Josephine tidak katawa seperti hadirin yang lain. Malah tidak sedikitpun ulas senyumannya terlakar di bibir. Pun begitu ulama tersohor tersebut masih melembutkan wajahnya dengan senyuman mesra.

“Tuan; di manakah Allah yang tuan sembah? Macam mana tuan tahu Allah wujud kalau tuan tak dapat melihatnya? Bolehkah tunjukkan kepada saya bukti Allah itu wujud? Adakah Allah di sini sekarang? Kalau Dia tiada di sini, macam mana Dia tahu dan nak beri pahala kepada orang-orang yang sedang belajar ilmu sekarang? Saya mahukan hujah yang konkrit. Saya tak ingin mendengar falsafah sifat dua puluh kerana saya telah membacanya dan saya jadi semakin keliru kerananya.” Taluan pertanyaan daripada Josephine benar-benar membuatkan kedua kening Syaikh Hizmeen terangkat. Pun begitu, wajahnya tetap tenang bersama senyuman.


Bersambung

2 comments:

Anonymous said...

pendeknya...
dak per..nnt jangan lama2 sangat nk tau jawapannya sama

Si Nami said...

Kalau saya dapat RM1-00 untuk satu pembaca, memang setiap hari akan buat entry. Tapi saya pun ada komitmen juga. Harapnya entry yang pendek tapi lebih kerap ni menyukakan hati awak :)