Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Saturday, June 22, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 2)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 2)



“Tuan; di manakah Allah yang tuan sembah? Macam mana tuan tahu Allah wujud kalau tuan tak dapat melihatnya? Bolehkah tunjukkan kepada saya bukti Allah itu wujud? Adakah Allah di sini sekarang? Kalau Dia tiada di sini, macam mana Dia tahu dan nak beri pahala kepada orang-orang yang sedang belajar ilmu sekarang? Saya mahukan hujah yang konkrit. Saya tak ingin mendengar falsafah sifat dua puluh kerana saya telah membacanya dan saya jadi semakin keliru kerananya.” Taluan pertanyaan daripada Josephine benar-benar membuatkan kedua kening Syaikh Hizmeen terangkat. Pun begitu, wajahnya tetap tenang bersama senyuman.

“Berambus; betina jahanam!” herdik salah seorang ahli jawatankuasa masjid di situ. Ternyata soalan daripada Josephine yang mengesahkan sifat atheisnya kini sudah terserlah.

“Bersabar, tuan. Jangan biarkan diri tuan dipermainkan oleh syaitan.” tegur Syaikh Hizmeen dengan suara yang agak tegas untuk mengelakkan sebarang provokasi yang mungkin membawa kepada kekerasan fizikal. Ahli jawatankuasa masjid tersebut yang begitu hormatkan tokoh alim itu terpaksa akur lantas memendamkan kemarahannya. Setelah menjangkakan hadirin mahu bertenang dan menahan diri dari perkara-perkara yang mengundang pergaduhan, Syaikh Hizmeen kembali memandang ke arah Josephine.

“Saya akan menjawab soalan-soalan yang cik kemukakan tadi. Tapi bolehkan saya menjawabnya dengan soalaan-soalan pula?” pinta Syaikh Hizmeen.

“Apa cara pun tak kisah; asalkan saya mendapat jawapan yang memuaskan hati saya.” jawab Jospehine. Pun begitu terlakar calitan tanda-tanya pada wajahnya dengan permintaan ulama tersebut.

“Terima kasih. Baiklah! Hulurkan tapak tangan kanan cik kepada saya.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine kelihatan agak ragu-ragu. Namun beliau memberanikan diri juga untuk membuat apa yang dipinta.Tokoh ahlus sunnah wal jamaah tersebut segera mencelup jari telunjuk kanannya di dalam segelas air yang disediakan untuk beliau. Kemudian dengan cermat beliau menitiskan setitik air di jarinya itu ke atas tapak tangan Josephine.

“Apakah yang ada pada tapak tangan cik sekarang?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Air. Setitis air.” jawab Josephine ringkas.

“Itu saja?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Itulah saja. Mana ada yang lain?” jawab Josephine. Nada acuh tidak acuhnya sedikitpun tidak melupuskan wajah tenang ulama tersebut.

“Percaya tak kalau saya katakan bersama setitis air tadi wujudnya  mikrob atau kuman atau zarah seni?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Boleh jadi ada. Lagipun tuan mencelup air minuman tuan dengan jari tanpa dibasuh terlebih dulu. Ya! Besar kemungkinan ada.” jawab Josephine.

“Kalau begitu, tunjukkan saya kewujudan mikrob itu. Di mana dia?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Mana boleh nampak! Ianya terlalu kecil. Kalau pakai mikroskop tu bolehlah!” tingkah Josephine.

“Jadi cik percaya akan kewujudan mikrob yang amat halus sungguhpun tak nampak pada mata cik?” tanya Syaikh Hizmeen lagi. Josephine mengangguk. Namun beliau sebenarnya sudah dapat menangkap maksud pada soalan-soalan ulama tersebut.

“Kita ada mikroskop. Dengan alat itu kita boleh melihat apa yang tak nampak pada mata kasar. Kewujudan mikrob dapat dibuktikan. Tapi kewujudan Tuhan?” tingkah Josephine.

“Seribu lima ratus tahun yang lalu; jika ada manusia yang berkata bahawa wujudnya mikrob sebanyak bintang-bintang di langit di dalam setitis air di tangan cik; adakah sesiapa akan percaya kata-katanya itu?” Josephine agak tergamam dengan soalan Syaikh Hizmeen kali ini. Setelah berdiam diri dengan agak lama beliau akhirnya menggelengkan kepala.

“Seribu lima ratus tahun lalu manusia tak pernah menjangka akan suatu hari nanti dapat melihat jutaan mikro organisma hanya di dalam setitis air. Katakanlah bumi akan terus berputar untuk seribu tahun lagi. Adakah suatu perkara yang mustahil, pada seribu tahun yang akan datang manusia akan menemui hidupan yang jauh lebih halus dari virus?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Tak. Tak mustahil.” jawab Josephine.

“Allah menjanjikan pada masa akan datang untuk memperlihatkan dirinya di mata manusia di syurga. Kalau cik kata tak mustahil seribu tahun akan datang manusia akan dapat melihat hidupan yang pada masa ini tak dapat dilihat dengan mata kasar kita atau mikroskop; maka kenapa pula mustahil pada suatu masa nanti manusia tak akan dapat melihat Allah?” tempelak Syaikh Hizmeen.

“Allah itu wujud. Dia sentiasa melihat dan mendengar setiap perbuatan dan perkataan hanbanya-hambaNya. Tiada yang terlepas dari pandangan dan pendengaranNya. Jangan kita samakan diri Allah itu dengan kita yang lemah ini. Tentulah sifat-sifat Allah yang melihat dan mendengar tidak sama dengan kita. Begitu jugalah dengan kewujudannya.” sambung Syiakh Hizmeen lagi.

“Saya kurang faham dengan kata-kata tuan tadi. Tentang sifat Allah yang tak sama dengan kita.” ujar Josephine.

“Maha Suci Allah untuk dibuatkan perumpamaan dengan hamba-hambaNya. Tetapi biar saya bertanya lagi. Cik bernafas menggunakan apa?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Hidung dan mulut.” jawab Josephine.

“Tahukah cik bahawa serangga bernafas menggunakan badannya iaitu bahagian toraks? Ular mendengar dengan tubuhnya melalui getaran dan menghidu bau mangsa dengan lidahnya. Pokok bernafas dengan cara menyerap karbon dioksida dan bukannya oksigen. Di antara kita sesama makhluk Allah pun sudah terdapat perbezaan dalam melihat, mendengar dan bernafas. Apatah lagi Allah yang menciptakan kita.” hujah Syaikh Hizmeen. Hadirin yang hadir berasa amat kagum dengan ketajaman ilmu dan hujah tokoh yang alim tersebut. Begitu jugalah dengan Josephine.

“Tidak dapat melihat dengan mata kasar tidak bermakna sesuatu benda itu tidak wujud. Itu sebabnya Allah menyuruh kita melihat dan mengkaji ciptaanNya jika ingin merasai kewujudan dan kekuasaanNya.” perjelas Syaikh Hizmeen. Josephine bungkam. Beliau tidak menjangka fakta-fakta saintifik yang selama ini menjadi dogma pegangan hidupnya digunakan oleh Syaikh Hizmeen untuk menjawab persoalan yang dianggap oleh Josephine mustahil untuk dibuktikan.

“Baiklah sekarang berikan saya tapak tangan kiri cik pula.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine yang belum sempat menghadam hujah-hujah bernas ulama tersebut tergamam. Keangkuhannya tadi kini hilang serta-merta. Perasaan takut mulai menjalar di segenap tubuh beliau.


Bersambung

Wednesday, June 19, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 1)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah


20 tahun akan datang...

Syaikh Hizmeen adalah salah seorang guru pengajian tauhid dan aqidah yang amat terkenal di negara Daulah Maddaniyyah. Selain itu beliau telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan Yayasan Abderrahman ‘Auf  yang baharu sahaja ditubuhkan di Malaysia. Yayasan tersebut agak kurang disenangi oleh beberapa tokoh dari pusat baitul mal di Malaysia kerana dikatakan mengagihkan zakat pendapatan negara Daulah Maddaniyyah kepada rakyat-rakyat Malaysia yang selama ini masih dalam kesempitan sungguhpun menerima bantuan kebajikan.

Setiap bulan Syaikh Hizmeen akan bertandang ke Malaysia untuk mengaudit aktiviti pengagihan bantuan yayasan yang dikendalikan oleh anak-anak buah beliau. Namun di atas sifat kealimannya dalam agama, sering beberapa masjid berebut-rebut mendapatkan khidmatnya untuk menyampaikan kuliah agama dan ceramah. Pada malam ini salah sebuah masjid di Kepong begitu bertuah kerana tokoh agama itu telah menerima pelawaan mereka untuk berkongsi ilmunya bersama jemaah di sana. Setelah berceramah dalam empat puluh minit, Syaikh Hizmeen membuka ruang untuk menjawab persoalan pula.

“Silakan saudara dan saudari untuk bertanyakan soalan. Apa-apa soalan pun tak mengapa. InsyaaAllah saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjawabnya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada yang lembut dan tenang. Ulama yang berusia awal empat puluhan itu sememangnya lembut dalam perkataan dan tingkah-laku serta amat disenangi dan disayangi oleh orang-orang yang mengenali beliau. Jadi tiada siapa yang berasa takut atau malu untuk bertanya hatta soalan yang remeh sekalipun kepadanya.

“Bolehkah saya bertanya?” Tiba-tiba kedengaran suatu suara yang agar lantang pada arah pintu kanan masjid. Syaikh Hizmeen spontan memanggungkan kepala ke arah punca suara tersebut. Seorang wanita yang jelas bukan dari kalangan warganegara Malaysia kelihatan sedang berdiri di jenang pintu masjid tersebut. Beberapa orang lelaki bingkas bangun dan menyerbu ke arah wanita tersebut. Mereka dengan lagak dan suara yang agak kasar cuba mengusirnya.

“Jangan! Jangan begitu! Mengapa kalian berlaku kasar padanya? Tidakkah kita ini diajar untuk berlembut dan berbaik kepada orang yang tidak memusuhi kita?” tegah Syaikh Hizmeen dengan suara yang agak lantang. Kata-katanya itu berjaya menahan tingkah-laku agresif lelaki-lelaki tadi.

“Tuan guru; dia ini namanya Josephine. Sudah beberapa kali dia datang ke sini dan membuat kacau.” ujar salah seorang lelaki tersebut.

“Apa jenis kacau yang dia buat?” tanya Syaikh Hizmeen dengan nada melawak untuk meredakan ketegangan.

“Dia suka tanya soalan yang bukan-bukan pada guru-guru agama yang datang mengajar di sini sampai ada yang tak ingin lagi datang ke masjid kami.” jawab seorang lelaki yang duduk di baris hadapan pula.

“Saya bertanyakan soalan kerana saya tak percayakan pada apa-apa agama sekalipun. Kalau mereka tak boleh menjawab, bukannya salah saya. Kalau mereka menjauhkan diri kerana takutkan saya, bukanlah salah saya juga.” bidas Josephine kembali. Syaikh Hizmeen ketawa mendengarkan kata-kata wanita tersebut.

“Cakap cik itu memang betul. Itu salah merekalah kerana tidak cukup pengetahuan dalam agama.” komennya.

“Jadi bolehkah saya bertanya pada tuan?” tanya Josephine pula.

“Jangan layan dia, tuan guru! Dia ini sengaja cuba nak mengelirukan kita dengan fahaman sesatnya!” saran seorang lagi lelaki lain. Syaikh Hizmeen menggelengkan kepala.

“Jangan kata begitu. Islam adalah agama akal dan hujah. Islam ini dikurniakan oleh Tuhan yang juga menjadikan kita dan seluruh alam ini. Jadi apa yang perlu kita nak bimbangkan?” balas Syaikh Hizmeen dengan tuturan lembut. Beliau mendongak pula ke arah wanita tadi.

“Saudara-saudara semua; janganlah dihalang lagi cik itu. Cik; silalah masuk ke sini dan tanyalah apa yang cik musykilkan di hati. Tapi ilmu saya yang terhad ini hanyalah pemberian daripada Allah. Ustaz-ustaz yang cik telah tanyakan sebelum ini mungkin jauh lebih baik dan berilmu daripada saya.” ujar Syaikh Hizmeen. Tokoh yang sangat alim itu masih tawadduk merendahkan diri sungguhpun keilmuannya adalah amat luar biasa sekali. Josephine segera menggegaskan diri ke arah Syaikh Hizmeen.

“Okey, saya dah bersedia untuk ditanya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada bergurau. Josephine tidak katawa seperti hadirin yang lain. Malah tidak sedikitpun ulas senyumannya terlakar di bibir. Pun begitu ulama tersohor tersebut masih melembutkan wajahnya dengan senyuman mesra.

“Tuan; di manakah Allah yang tuan sembah? Macam mana tuan tahu Allah wujud kalau tuan tak dapat melihatnya? Bolehkah tunjukkan kepada saya bukti Allah itu wujud? Adakah Allah di sini sekarang? Kalau Dia tiada di sini, macam mana Dia tahu dan nak beri pahala kepada orang-orang yang sedang belajar ilmu sekarang? Saya mahukan hujah yang konkrit. Saya tak ingin mendengar falsafah sifat dua puluh kerana saya telah membacanya dan saya jadi semakin keliru kerananya.” Taluan pertanyaan daripada Josephine benar-benar membuatkan kedua kening Syaikh Hizmeen terangkat. Pun begitu, wajahnya tetap tenang bersama senyuman.


Bersambung