Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah
(Part 3 - Akhir)
“Tidak dapat melihat dengan mata kasar tidak
bermakna sesuatu benda itu tidak wujud. Itu sebabnya Allah menyuruh kita
melihat dan mengkaji ciptaanNya jika ingin merasai kewujudan dan kekuasaanNya.”
perjelas Syaikh Hizmeen. Josephine bungkam. Beliau tidak menjangka fakta-fakta
saintifik yang selama ini menjadi dogma pegangan hidupnya digunakan oleh Syaikh
Hizmeen untuk menjawab persoalan yang dianggap oleh Josephine mustahil untuk
dibuktikan.
“Baiklah sekarang berikan saya tapak tangan kiri cik
pula.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine yang belum sempat menghadam hujah-hujah
bernas ulama tersebut tergamam. Keangkuhannya tadi kini hilang serta-merta.
Perasaan takut mulai menjalar di segenap tubuh beliau.
“Cik okey?” tanya Syaikh Hizmeen. Josephine
tersentak. Spontan beliau mengangguk laju. Tangan kirinya segera dihulurkan ke
arah tokoh ulama itu pula. Syaikh Hizmeen kali ini mendekatkan wajahnya ke arah
telapak tangan Josephine pula. Dengan perlahan beliau meniupnya. Kemudian ulama
tersebut kembali duduk tegak.
“Apakah yang saya buat tadi?” tanya Syaikh Hizmeen.
“Tuan meniup tapak tangan kiri saya.” jawab
Josephine.
“Bagaimana cik tahu saya meniup tapak tangan cik
tadi? Saya cuma memuncungkan bibir saja. Saya tak membuat apa-apa bunyi seperti
meniup.” pertikai Syaikh Hizmeen.
“Saya dapat rasa angin tiupan yang menyentuh tapak
tangan saya.” jawab Josephine. Air mukanya tiba-tiba berubah. Beliau menyedari
bahawa jawapannya itu kini akan memerangkapnya.
“Cik mengakui bahawa angin wujud sungguhpun tak
dapat melihatnya, bukan?” tanya Syaikh Hizmeen. Josephine terdiam. Namun jelas
pada raut wajahnya bahawa beliau mengiyakan kata-kata tokoh ulama itu.
“Cik kata cik terasa tiupan angin menyentuh di tapak
tangan cik. Di mana angin itu sekarang?” tanya Syaikh Hizmeen pula. Josephine
masih berdiam diri. Beliau keberatan untuk menjawab soalan tersebut yang
seolah-olah adalah pantulan soalannya sendiri sebelum ini.
“Adakah angin itu masih berada di tangan cik?” tanya
Syaikh Hizmeen. Malu untuk terus berdiam diri, Josephine menggelengkan kepala.
Kemudian mengangkat kedua-dua bahunya pula tanda tidak tahu.
“Cik tak tahu di mana angin itu sekarang, bukan?”
tanya Syaikh Hizmeen.
“Ya, saya tak tahu.” jawab Josephine dengan
perlahan.
“Cik mengakui kewujudan angin itu tetapi tidak tahu
di mana ia berada. Maha Suci Allah yang tak mungkin boleh dibandingkan dengan
perumpamaan makhluk-makhluknya. Namun untuk memahamkan cik, saya mesti membuat
misalan tadi. Allah itu wujud dan berada di tempat yang layak dengan
keagunganNya. Angin pun kita tak tahu di mana kedudukannya. Wajarkah kalau kita
nak bertanya pula di mana Allah?” tempelak Syaikh Hizmeen dengan lunak sekali.
Merah padam muka Josephine. Ternyata beliau benar-benar berasa terpukul dan
tewas sama sekali.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” takbir para hadirin
yang menyaksikan kebesaran Allah ‘Azzawajalla yang memusnahkan kebathilan di
hadapan mata mereka.
“Tentu cik terkilan bagaimana saya berhujah dengan
logik yang dipegang oleh cik sendiri bukan? Ini adalah kerana setiap ilmu yang
cik pelajari dan ketahui itu adalah milik Allah. Tentu sahaja milik Allah akan
menunjukkan kepada kewujudan Allah akhirnya.” hujah Syaikh Hizmeen pula.
“Jangan bertanya dengan akal manusia yang amat cetek
ini bagaimana Allah melihat setiap amalan baik dan buruk kesemua manusia setiap
masa. Kalau kita berasakan bahawa kita lebih baik dari seekor semut dari semua
segi; maka kita pasti insaf bahawa Allah adalah jauh lebih baik dari kesemua
makhluk ciptaanNya. Jadi seseorang Muslim tidak boleh mendahulukan atau
menganggap ada makhluk yang lebih baik daripada Allah dari segi apapun;
lebih-lebih lagi dalam ketaatan dan ibadah.” penutup kata-kata Syaikh Hizmeen
disambut dengan laungan takbir yang semakin lantang di dalam masjid. Syaikh
Hizmeen tersenyum sambil menggelengkan kepala. Beliau kemudian meminta agar
para hadirin mengawal diri dan tidak lagi mengangkat suara di dalam rumah Allah
sepertimana yang telah dilarang dalam hadis sahih Rasulullah SAW.
****************************
Dua bulan kemudian...
“Akhirnya perempuan tak guna itu masih setia dengan
fahaman atheisnya!” ujar Dato’ Wan dengan nada kesal. Beliau yang juga
merupakan pengerusi masjid dalam peristiwa yang berlaku di antara Syaikh
Hizmeen dengan Josephine telah datang bertandang ke Yayasan Abderrahman Auf
untuk menemui Syaikh Hizmeen. Ulama tersebut tersenyum.
“Penat saja tuan guru berhujah. Memang dia itu si
bodoh sombong!” nista Dato’ Wan lagi. Marah benar nampaknya beliau.
“Abi Thalib adalah bapa saudara yang paling
Rasulullah SAW sayangi. Beliau melihat kebenaran Islam setiap hari tetapi
akhirnya beliau tetap memilih jalan sebagai orang kafir. Allah ingin
memperingatkan manusia bahawa hidayah ini adalah urusan Dia. Kita manusia ini
sehebat mana pun berdakwah, adalah cuma alat untuk menyampaikan kebenaran dan
petunjuk yang lurus. Akhirnya Allah jualah yang membuka hati manusia dan
memberi hidayah untuk beriman kepadaNya. Jika tidak manusia kelak akan menganggap
bahawa Rasulullah SAW yang memberikan hidayah dan kemudian akan mengangkatnya
ke maqam ketuhanan.” perjelas Syaikh Hizmeen.
“Begitu jugalah halnya dengan para ulama. Mereka
tetap manusia biasa dan tak akan dapat memberikan hidayah kepada mana-mana manusia
dan jin sekalipun. Hanya Allah yang boleh beri. Jadi manusia janganlah taksub
dengan ulama kesayangan mereka hingga meletakkan beliau ke tahap yang tidak
sepatutnya.” sambung tokoh ulama itu lagi sebelum mempersilakan tetamunya itu
untuk menjamah juadah petang yang dihidangkan untuk mereka berdua. Dato’ Wan
tersenyum. Perasaan hormat dan sayangnya kepada Syaikh Hizmeen semakin menebal.
Beliau berkira-kira untuk membatalkan projek taman temanya di Kuching dan
membina pusat pengkajian tafsir al-Quran dan Hadis pula. Hati ikhlasnya
berharap agar ramai tokoh seperti Syaikh Hizmeen ini dilahirkan di Malaysia
pada suatu masa nanti.
- Tamat -
No comments:
Post a Comment