Cerita Kemetot
Tajuk : Shalom
100
tahun akan datang...
Rachel dan jurukameranya tiba juga akhirnya ke kota
Shalom yang baharu ditubuhkan di Afrika Selatan. Kota tersebut yang kesemua
seratus dua puluh tujuh ribu penduduknya berbangsa Yahudi telah ditubuhkan dan
diiktiraf oleh Organisasi sendiri dalam usaha untuk melindungi mana-mana bangsa
Yahudi yang ditindas oleh pihak Masonik dan Zionis kerana menentang dogma
penubuhan Orde Baharu Dunia yang kini telah masuk ke peringkat terakhir.
Organisasi telah dikritik hebat oleh beberapa ulama dari negara-negara Islam di
bawah jajahannya dan dituduh mempunyai agenda politikal oleh musuh-musuhnya.
Namun Maharaja Debu Berlian yang merupakan pemimpin tertinggi Organisasi
telahpun memberikan hujah-hujahnya dan tetap meneruskan pembentukan kota Shalom
tersebut.
Kini telah masuk tahun ketiga penubuhannya dan semua
berita tentang kota tersebut yang singgah ke telinga Rachel kesemuanya adalah
negatif belaka. Wartawan yang baharu sahaja memenangi anugerah Etika Kewartawanan
Terbaik Antarabangsa itu kini berjaya memijakkan kaki ke kota Shalom setelah
membuat permohonan selama hampir tiga bulan untuk memasukinya. Apa yang
membuatkan Rachel bersungguhan untuk ke sana ialah kerana pemerintah Kota
Shalom sendiri. Beliau ialah Zoe Bukhary atau Emissary Mayhem atau digelarkan
juga sebagai Maharaja Naga Petir yang amat terkenal dengan sikap anti Yahudi
dan tidak berbelas kasihan apabila menangani musuh-musuhnya yang berbangsa
tersebut.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kota Shalom,
Rachel terpaku. Kota tersebut dibina dengan senibina yang sederhana tetapi amat
menarik dan begitu bersih sekali persekitarannya. Kanak-kanak bermain-main di
ruang legar pejalan kaki dengan riang-ria sekali. Masyarakat di situ juga
menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa seolah-olah mereka berasa aman
dari segala bentuk ancaman. Rachel berasakan bahawa beliau seolah-olah berada
pada kurun ke-19 tetapi telah diberikan suntikan elemen yang amat canggih.
Sedang beliau dan jurukameranya tercangak-cangak di situ, mereka dihampiri oleh
seorang lelaki berbangsa Yahudi dalam lingkungan usia empat puluhan.
“Apa khabar? Selamat datang ke kota Shalom, cik
Rachel. Saya ialah Abraham. Saya telah diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk
menyambut ketibaan cik dan rakan cik. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat
menyambut cik. Tuan Mayhem kini berada di Daulah Maddaniyah untuk urusan umat
Islam. Dia menyampaikan salamnya kepada cik.
“Organisasi telah melarang pembentukan ketenteraan
terhadap jajahannya. Habis, siapa yang melindungi kalian semua?” tanya
jurukamera Rachel yang bernama Mike.
“Sepertimana yang encik nampak, kota Shalom berada
di tengah-tengah Afrika Selatan. Afrika kini telahpun menjadi jajahan
Organisasi. Saya tak fikir ada pihak yang sanggup merempuh batalion tentera
Organisasi di Afrika Selatan semata-mata untuk menyerang kota kami yang kecil
dan tak bernilai ini.” maklum Abraham. Mike terdiam. Perasaan malu mulai
menjalar di segenap tubuhnya tatkala menyedari akan kebodohan soalan beliau
tadi. Rachel pula lebih tertarik dengan sikap penyambut tetamunya yang begitu
sopan sekali. Tidak padan benar dengan pandangan stereotaip bahawa Yahudi
adalah bangsa yang sombong dan angkuh.
“Saya diberitahu bahawa kota Shalom ini dianggap sebagai
sebuah negara kecil yang diperintah oleh seorang diktator.” ujar Rachel untuk
mengocak emosi Abraham. Lelaki tersebut ketawa besar.
“Saya diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk tidak
menjawab sebarang persoalan yang cik kemukakan.” maklum Abraham. Rachel
tersenyum sinis.
“Jadi benarlah khabar-khabar angin tersebut?”
taakulnya.
“Saya mungkin akan berat sebelah dalam memberikan
pandangan saya pada persoalan cik. Jadi Tuan Mayhem memberi kebenaran untuk cik
Rachel bertanyakan apa sahaja persoalan kepada mana-mana penduduk di kota Shalom.
Pilihlah sama ada yang sedang bertebaran di depan kita atau di dalam
bangunan-bangunan kota ini.” maklum Abraham menyambung jawapannya tadi.
Tergamam seketika Rachel dibuatnya. Tindakan Emissary Mayhem benar-benar di
luar jangkaan. Secara perlahan-lahan beliau mulai menghormati dan menyukai
keberanian dan keyakinan Mayhem sebagai pemimpin diktator kota Shalom.
“Baiklah, tuan awak pasti akan menyesal nanti!” ujar
Rachel. Abraham ketawa. Tidak sedikitpun terpalit rona kebimbangan pada wajah
cerianya itu.
*************************
“Bagaimana cik Rachel; encik Mike? Adakah kalian
berdua dapat apa yang kalian mahukan?” Rachel yang sedang duduk termenung di
meja sebuah kafe agak tersentak apabila disapa dengan sedemikian rupa. Beliau
dan Mike mendongak ke arah si empunya suara yag bertanya tadi. Ternyata orang
tersebut adalah Abraham.
“Maksud awak, adakah saya mendapat cerita buruk
pihak Organisasi di kota Shalom?” tanya Rachel.
“Bukankah itu yang awak harapkan?” tanya Abraham
kembali. Rachel bungkam seketika. Kemudian wanita dalam lingkungan usia tiga
puluhan itu tersenyum.
“Sudah tiga hari saya berada di sini. Saya gagal
mendapat apa yang saya harapkan. Namun saya telah mendapat apa yang saya tidak
sangka-sangka. Dan ianya sungguh istimewa.” jawab Rachel. Selepas menyambut
mereka pada tiga hari lepas, Abraham telah memberikan alat GPS kepada Rachel
sebagai peta dan panduan; dan kemudian meninggalkan mereka berdua begitu
sahaja. Rachel yang masih tidak mempercayai Abraham langsung tidak mengaktifkan
alat GPS tersebut; malah meninggalkannya di kaunter pertanyaan di salah sebuah
pasar mini. Beliau mengesyaki bahawa suatu alat peranti telah dipasang di dalam
alat GPS tersebut untuk mengesan gerak-gerinya.
Namun dalam masa tiga hari itu, tidak seorang pun warga
Yahudi yang ditanya oleh Rachel mencemuh pemerintahan Emissary Mayhem. Pada
mulanya beliau mengandaikan bahawa mereka semua berasa takut akan tindakan raja
mereka sekiranya mereka berani mengkritik beliau. Akan tetapi selepas tiga
hari, Rachel dapati bahawa keriangan pada wajah mereka adalah tulen. Penduduk
berbangsa Yahudi yang diperintah oleh seorang pemimpin yang membenci Yahudi dapat
hidup bahagia dan makmur di kota Shalom.
Rachel turut mendapati bahawa Mayhem juga telah
mengambil sikap proaktif dalam memohon peruntukan bagi tujuan pembangunan dan
infrastruktur kota Shalom. Malah beliau juga pergi ke negara-negara Islam lain
untuk berunding bagi mewujudkan hubungan ekonomi untuk menjana pendapatan kota
Shalom. Beliau juga menyokong serta memberi insentif bagi sebarang aktiviti
kebudayaan dan keagamaan Yahudi. Malah agamawan Yahudi juga diberikan kebebasan
seluas-luasnya untuk mengajar dan menerapkan nilai-nilai yang tulen dalam kitab
Tohrah dan Talmudz mereka. Sungguh-sungguh tindakan Myhem ini tidak berpadanan
dengan pendirian anti-semitik beliau.
“Abraham, sungguhpun diarahkan oleh tuan Mayhem agar
tidak menjawab soalan saya, namun saya kini mahukan jawapan dari mulut awak
sendiri. Bolehkah?” tanya Rachel. Abraham ketawa dan menganggukkan kepala.
Beliau kini telah pun duduk bersama-sama Rachel dan Mike.
“Betulkah tuan Mayhem membenci Yahudi; atau ini
hanya permainan media massa musuh-musuhnya?” tanya Rachel. Abraham berdiam diri
seketika. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Pun begitu kedengaran
jelas bunyi hela nafasnya seolah-olah berasa agak sedih dengan soalan tersebut.
“Ya, memang benar tuan Mayhem membenci Yahudi. Ia
bukanlah tohmahan media massa.” jawab Abraham akhirnya. Bungkam Rachel
mendengarnya.
“Habis mengapa perbuatan berbeza dengan pendirian?
Saya tak faham.” tikai Rachel.
“Tuan Mayhem sememangnya membenci Yahudi. Tetapi dia
amat menyayangi manusia, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Beliau berkata kita
semua adalah hamba Allah dan jika Allah menyayangi kita semua, mengapa pula kita
mesti bercanggah dengan sifat Allah dengan memusuhi kaum-kaum tertentu?”
perjelas Abraham.
“Saya makin keliru.” omel Rachel. Abraham ketawa
besar.
“Pada mulanya saya pun tak faham. Cik Rachel jangan
berfikir menggunakan ini.” pinta Abraham seraya menunding ke arah kepalanya.
“Tapi berfikirlah dengan menggunakan ini.” pintanya
lagi sambil menepuk-nepuk dada di bahagian jantung.
*************************
Catatan Rachel Finnel dua minggu selepas lawatannya
ke kota Shalom :
“Saya kini akhirnya dapat memahami apa yang cuba
disampaikan oleh Abraham. Emissary Mayhem sememangnya membenci bangsa Yahudi.
Namun tidak ada seorang insan pun dapat memilih bangsanya kerana ini adalah
ketentuan Tuhan. Perasaan Mayhem untuk membenci atau memusuhi sesuatu kaum atau
bangsa itu adalah haknya dan mana mungkin beliau boleh menafikannya. Namun tidak
semestinya kebencian dan pemusuhan tersebut perlu atau wajar dizahirkan terhadap
orang-orang Yahudi yang tidak bersalah dan yang tidak minta untuk dilahirkan
sebagai seorang Yahudi. Di sinilah saya dapat melihat pembentukan akhlak yang
terbaik apabila seseorang Muslim itu benar-benar menghayati dan mematuhi ajaran
agamanya.
Emissary Mayhem akan terus membenci dan memusuhi
Yahudi. Dan tidak syak lagi, beliau akan terus membunuh dan memusnahkan mana-mana
sahaja orang Yahudi yang cuba menggugat serta mengancam agama dan umat Islam.
Namun di kota Shalom, beliau adalah seorang pemimpin yang menyayangi rakyatnya
sungguhpun mereka berbangsa Yahudi. Dan mereka juga begitu menyayangi beliau
sungguhpun beliau membenci bangsa Yahudi. Ini adalah suatu perkara yang amat
istimewa yang akan tersemat di hati saya selama-lamanya.”
Tamat
2 comments:
akhirnya something yg brkaitan metro polis. :)
bila nk smbung part seterusnya metropolis
Alamak! Peminat MetroPolis dah naik angin. Okey! Okey boss!
Post a Comment