Tuesday, June 11, 2013

Cerita Kemetot - Shalom



Cerita Kemetot
Tajuk : Shalom


100 tahun akan datang...

Rachel dan jurukameranya tiba juga akhirnya ke kota Shalom yang baharu ditubuhkan di Afrika Selatan. Kota tersebut yang kesemua seratus dua puluh tujuh ribu penduduknya berbangsa Yahudi telah ditubuhkan dan diiktiraf oleh Organisasi sendiri dalam usaha untuk melindungi mana-mana bangsa Yahudi yang ditindas oleh pihak Masonik dan Zionis kerana menentang dogma penubuhan Orde Baharu Dunia yang kini telah masuk ke peringkat terakhir. Organisasi telah dikritik hebat oleh beberapa ulama dari negara-negara Islam di bawah jajahannya dan dituduh mempunyai agenda politikal oleh musuh-musuhnya. Namun Maharaja Debu Berlian yang merupakan pemimpin tertinggi Organisasi telahpun memberikan hujah-hujahnya dan tetap meneruskan pembentukan kota Shalom tersebut.

Kini telah masuk tahun ketiga penubuhannya dan semua berita tentang kota tersebut yang singgah ke telinga Rachel kesemuanya adalah negatif belaka. Wartawan yang baharu sahaja memenangi anugerah Etika Kewartawanan Terbaik Antarabangsa itu kini berjaya memijakkan kaki ke kota Shalom setelah membuat permohonan selama hampir tiga bulan untuk memasukinya. Apa yang membuatkan Rachel bersungguhan untuk ke sana ialah kerana pemerintah Kota Shalom sendiri. Beliau ialah Zoe Bukhary atau Emissary Mayhem atau digelarkan juga sebagai Maharaja Naga Petir yang amat terkenal dengan sikap anti Yahudi dan tidak berbelas kasihan apabila menangani musuh-musuhnya yang berbangsa tersebut.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kota Shalom, Rachel terpaku. Kota tersebut dibina dengan senibina yang sederhana tetapi amat menarik dan begitu bersih sekali persekitarannya. Kanak-kanak bermain-main di ruang legar pejalan kaki dengan riang-ria sekali. Masyarakat di situ juga menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa seolah-olah mereka berasa aman dari segala bentuk ancaman. Rachel berasakan bahawa beliau seolah-olah berada pada kurun ke-19 tetapi telah diberikan suntikan elemen yang amat canggih. Sedang beliau dan jurukameranya tercangak-cangak di situ, mereka dihampiri oleh seorang lelaki berbangsa Yahudi dalam lingkungan usia empat puluhan.

“Apa khabar? Selamat datang ke kota Shalom, cik Rachel. Saya ialah Abraham. Saya telah diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk menyambut ketibaan cik dan rakan cik. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat menyambut cik. Tuan Mayhem kini berada di Daulah Maddaniyah untuk urusan umat Islam. Dia menyampaikan salamnya kepada cik.

“Organisasi telah melarang pembentukan ketenteraan terhadap jajahannya. Habis, siapa yang melindungi kalian semua?” tanya jurukamera Rachel yang bernama Mike.

“Sepertimana yang encik nampak, kota Shalom berada di tengah-tengah Afrika Selatan. Afrika kini telahpun menjadi jajahan Organisasi. Saya tak fikir ada pihak yang sanggup merempuh batalion tentera Organisasi di Afrika Selatan semata-mata untuk menyerang kota kami yang kecil dan tak bernilai ini.” maklum Abraham. Mike terdiam. Perasaan malu mulai menjalar di segenap tubuhnya tatkala menyedari akan kebodohan soalan beliau tadi. Rachel pula lebih tertarik dengan sikap penyambut tetamunya yang begitu sopan sekali. Tidak padan benar dengan pandangan stereotaip bahawa Yahudi adalah bangsa yang sombong dan angkuh.

“Saya diberitahu bahawa kota Shalom ini dianggap sebagai sebuah negara kecil yang diperintah oleh seorang diktator.” ujar Rachel untuk mengocak emosi Abraham. Lelaki tersebut ketawa besar.

“Saya diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk tidak menjawab sebarang persoalan yang cik kemukakan.” maklum Abraham. Rachel tersenyum sinis.

“Jadi benarlah khabar-khabar angin tersebut?” taakulnya.

“Saya mungkin akan berat sebelah dalam memberikan pandangan saya pada persoalan cik. Jadi Tuan Mayhem memberi kebenaran untuk cik Rachel bertanyakan apa sahaja persoalan kepada mana-mana penduduk di kota Shalom. Pilihlah sama ada yang sedang bertebaran di depan kita atau di dalam bangunan-bangunan kota ini.” maklum Abraham menyambung jawapannya tadi. Tergamam seketika Rachel dibuatnya. Tindakan Emissary Mayhem benar-benar di luar jangkaan. Secara perlahan-lahan beliau mulai menghormati dan menyukai keberanian dan keyakinan Mayhem sebagai pemimpin diktator kota Shalom.

“Baiklah, tuan awak pasti akan menyesal nanti!” ujar Rachel. Abraham ketawa. Tidak sedikitpun terpalit rona kebimbangan pada wajah cerianya itu.


*************************


“Bagaimana cik Rachel; encik Mike? Adakah kalian berdua dapat apa yang kalian mahukan?” Rachel yang sedang duduk termenung di meja sebuah kafe agak tersentak apabila disapa dengan sedemikian rupa. Beliau dan Mike mendongak ke arah si empunya suara yag bertanya tadi. Ternyata orang tersebut adalah Abraham.

“Maksud awak, adakah saya mendapat cerita buruk pihak Organisasi di kota Shalom?” tanya Rachel.

“Bukankah itu yang awak harapkan?” tanya Abraham kembali. Rachel bungkam seketika. Kemudian wanita dalam lingkungan usia tiga puluhan itu tersenyum.

“Sudah tiga hari saya berada di sini. Saya gagal mendapat apa yang saya harapkan. Namun saya telah mendapat apa yang saya tidak sangka-sangka. Dan ianya sungguh istimewa.” jawab Rachel. Selepas menyambut mereka pada tiga hari lepas, Abraham telah memberikan alat GPS kepada Rachel sebagai peta dan panduan; dan kemudian meninggalkan mereka berdua begitu sahaja. Rachel yang masih tidak mempercayai Abraham langsung tidak mengaktifkan alat GPS tersebut; malah meninggalkannya di kaunter pertanyaan di salah sebuah pasar mini. Beliau mengesyaki bahawa suatu alat peranti telah dipasang di dalam alat GPS tersebut untuk mengesan gerak-gerinya.

Namun dalam masa tiga hari itu, tidak seorang pun warga Yahudi yang ditanya oleh Rachel mencemuh pemerintahan Emissary Mayhem. Pada mulanya beliau mengandaikan bahawa mereka semua berasa takut akan tindakan raja mereka sekiranya mereka berani mengkritik beliau. Akan tetapi selepas tiga hari, Rachel dapati bahawa keriangan pada wajah mereka adalah tulen. Penduduk berbangsa Yahudi yang diperintah oleh seorang pemimpin yang membenci Yahudi dapat hidup bahagia dan makmur di kota Shalom.

Rachel turut mendapati bahawa Mayhem juga telah mengambil sikap proaktif dalam memohon peruntukan bagi tujuan pembangunan dan infrastruktur kota Shalom. Malah beliau juga pergi ke negara-negara Islam lain untuk berunding bagi mewujudkan hubungan ekonomi untuk menjana pendapatan kota Shalom. Beliau juga menyokong serta memberi insentif bagi sebarang aktiviti kebudayaan dan keagamaan Yahudi. Malah agamawan Yahudi juga diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk mengajar dan menerapkan nilai-nilai yang tulen dalam kitab Tohrah dan Talmudz mereka. Sungguh-sungguh tindakan Myhem ini tidak berpadanan dengan pendirian anti-semitik beliau.

“Abraham, sungguhpun diarahkan oleh tuan Mayhem agar tidak menjawab soalan saya, namun saya kini mahukan jawapan dari mulut awak sendiri. Bolehkah?” tanya Rachel. Abraham ketawa dan menganggukkan kepala. Beliau kini telah pun duduk bersama-sama Rachel dan Mike.

“Betulkah tuan Mayhem membenci Yahudi; atau ini hanya permainan media massa musuh-musuhnya?” tanya Rachel. Abraham berdiam diri seketika. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Pun begitu kedengaran jelas bunyi hela nafasnya seolah-olah berasa agak sedih dengan soalan tersebut.

“Ya, memang benar tuan Mayhem membenci Yahudi. Ia bukanlah tohmahan media massa.” jawab Abraham akhirnya. Bungkam Rachel mendengarnya.

“Habis mengapa perbuatan berbeza dengan pendirian? Saya tak faham.” tikai Rachel.

“Tuan Mayhem sememangnya membenci Yahudi. Tetapi dia amat menyayangi manusia, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Beliau berkata kita semua adalah hamba Allah dan jika Allah menyayangi kita semua, mengapa pula kita mesti bercanggah dengan sifat Allah dengan memusuhi kaum-kaum tertentu?” perjelas Abraham.

“Saya makin keliru.” omel Rachel. Abraham ketawa besar.

“Pada mulanya saya pun tak faham. Cik Rachel jangan berfikir menggunakan ini.” pinta Abraham seraya menunding ke arah kepalanya.

“Tapi berfikirlah dengan menggunakan ini.” pintanya lagi sambil menepuk-nepuk dada di bahagian jantung.

*************************

Catatan Rachel Finnel dua minggu selepas lawatannya ke kota Shalom :

“Saya kini akhirnya dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Abraham. Emissary Mayhem sememangnya membenci bangsa Yahudi. Namun tidak ada seorang insan pun dapat memilih bangsanya kerana ini adalah ketentuan Tuhan. Perasaan Mayhem untuk membenci atau memusuhi sesuatu kaum atau bangsa itu adalah haknya dan mana mungkin beliau boleh menafikannya. Namun tidak semestinya kebencian dan pemusuhan tersebut perlu atau wajar dizahirkan terhadap orang-orang Yahudi yang tidak bersalah dan yang tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang Yahudi. Di sinilah saya dapat melihat pembentukan akhlak yang terbaik apabila seseorang Muslim itu benar-benar menghayati dan mematuhi ajaran agamanya.

Emissary Mayhem akan terus membenci dan memusuhi Yahudi. Dan tidak syak lagi, beliau akan terus membunuh dan memusnahkan mana-mana sahaja orang Yahudi yang cuba menggugat serta mengancam agama dan umat Islam. Namun di kota Shalom, beliau adalah seorang pemimpin yang menyayangi rakyatnya sungguhpun mereka berbangsa Yahudi. Dan mereka juga begitu menyayangi beliau sungguhpun beliau membenci bangsa Yahudi. Ini adalah suatu perkara yang amat istimewa yang akan tersemat di hati saya selama-lamanya.”


Tamat

2 comments:

Anonymous said...

akhirnya something yg brkaitan metro polis. :)

bila nk smbung part seterusnya metropolis

Si Nami said...

Alamak! Peminat MetroPolis dah naik angin. Okey! Okey boss!