Tuesday, June 25, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 3 - Akhir)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 3 - Akhir)




“Tidak dapat melihat dengan mata kasar tidak bermakna sesuatu benda itu tidak wujud. Itu sebabnya Allah menyuruh kita melihat dan mengkaji ciptaanNya jika ingin merasai kewujudan dan kekuasaanNya.” perjelas Syaikh Hizmeen. Josephine bungkam. Beliau tidak menjangka fakta-fakta saintifik yang selama ini menjadi dogma pegangan hidupnya digunakan oleh Syaikh Hizmeen untuk menjawab persoalan yang dianggap oleh Josephine mustahil untuk dibuktikan.

“Baiklah sekarang berikan saya tapak tangan kiri cik pula.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine yang belum sempat menghadam hujah-hujah bernas ulama tersebut tergamam. Keangkuhannya tadi kini hilang serta-merta. Perasaan takut mulai menjalar di segenap tubuh beliau.

“Cik okey?” tanya Syaikh Hizmeen. Josephine tersentak. Spontan beliau mengangguk laju. Tangan kirinya segera dihulurkan ke arah tokoh ulama itu pula. Syaikh Hizmeen kali ini mendekatkan wajahnya ke arah telapak tangan Josephine pula. Dengan perlahan beliau meniupnya. Kemudian ulama tersebut kembali duduk tegak.

“Apakah yang saya buat tadi?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Tuan meniup tapak tangan kiri saya.” jawab Josephine.

“Bagaimana cik tahu saya meniup tapak tangan cik tadi? Saya cuma memuncungkan bibir saja. Saya tak membuat apa-apa bunyi seperti meniup.” pertikai Syaikh Hizmeen.

“Saya dapat rasa angin tiupan yang menyentuh tapak tangan saya.” jawab Josephine. Air mukanya tiba-tiba berubah. Beliau menyedari bahawa jawapannya itu kini akan memerangkapnya.

“Cik mengakui bahawa angin wujud sungguhpun tak dapat melihatnya, bukan?” tanya Syaikh Hizmeen. Josephine terdiam. Namun jelas pada raut wajahnya bahawa beliau mengiyakan kata-kata tokoh ulama itu.

“Cik kata cik terasa tiupan angin menyentuh di tapak tangan cik. Di mana angin itu sekarang?” tanya Syaikh Hizmeen pula. Josephine masih berdiam diri. Beliau keberatan untuk menjawab soalan tersebut yang seolah-olah adalah pantulan soalannya sendiri sebelum ini.

“Adakah angin itu masih berada di tangan cik?” tanya Syaikh Hizmeen. Malu untuk terus berdiam diri, Josephine menggelengkan kepala. Kemudian mengangkat kedua-dua bahunya pula tanda tidak tahu.

“Cik tak tahu di mana angin itu sekarang, bukan?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Ya, saya tak tahu.” jawab Josephine dengan perlahan.

“Cik mengakui kewujudan angin itu tetapi tidak tahu di mana ia berada. Maha Suci Allah yang tak mungkin boleh dibandingkan dengan perumpamaan makhluk-makhluknya. Namun untuk memahamkan cik, saya mesti membuat misalan tadi. Allah itu wujud dan berada di tempat yang layak dengan keagunganNya. Angin pun kita tak tahu di mana kedudukannya. Wajarkah kalau kita nak bertanya pula di mana Allah?” tempelak Syaikh Hizmeen dengan lunak sekali. Merah padam muka Josephine. Ternyata beliau benar-benar berasa terpukul dan tewas sama sekali.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” takbir para hadirin yang menyaksikan kebesaran Allah ‘Azzawajalla yang memusnahkan kebathilan di hadapan mata mereka.

“Tentu cik terkilan bagaimana saya berhujah dengan logik yang dipegang oleh cik sendiri bukan? Ini adalah kerana setiap ilmu yang cik pelajari dan ketahui itu adalah milik Allah. Tentu sahaja milik Allah akan menunjukkan kepada kewujudan Allah akhirnya.” hujah Syaikh Hizmeen pula.

“Jangan bertanya dengan akal manusia yang amat cetek ini bagaimana Allah melihat setiap amalan baik dan buruk kesemua manusia setiap masa. Kalau kita berasakan bahawa kita lebih baik dari seekor semut dari semua segi; maka kita pasti insaf bahawa Allah adalah jauh lebih baik dari kesemua makhluk ciptaanNya. Jadi seseorang Muslim tidak boleh mendahulukan atau menganggap ada makhluk yang lebih baik daripada Allah dari segi apapun; lebih-lebih lagi dalam ketaatan dan ibadah.” penutup kata-kata Syaikh Hizmeen disambut dengan laungan takbir yang semakin lantang di dalam masjid. Syaikh Hizmeen tersenyum sambil menggelengkan kepala. Beliau kemudian meminta agar para hadirin mengawal diri dan tidak lagi mengangkat suara di dalam rumah Allah sepertimana yang telah dilarang dalam hadis sahih Rasulullah SAW.


****************************

Dua bulan kemudian...

“Akhirnya perempuan tak guna itu masih setia dengan fahaman atheisnya!” ujar Dato’ Wan dengan nada kesal. Beliau yang juga merupakan pengerusi masjid dalam peristiwa yang berlaku di antara Syaikh Hizmeen dengan Josephine telah datang bertandang ke Yayasan Abderrahman Auf untuk menemui Syaikh Hizmeen. Ulama tersebut tersenyum.

“Penat saja tuan guru berhujah. Memang dia itu si bodoh sombong!” nista Dato’ Wan lagi. Marah benar nampaknya beliau.

“Abi Thalib adalah bapa saudara yang paling Rasulullah SAW sayangi. Beliau melihat kebenaran Islam setiap hari tetapi akhirnya beliau tetap memilih jalan sebagai orang kafir. Allah ingin memperingatkan manusia bahawa hidayah ini adalah urusan Dia. Kita manusia ini sehebat mana pun berdakwah, adalah cuma alat untuk menyampaikan kebenaran dan petunjuk yang lurus. Akhirnya Allah jualah yang membuka hati manusia dan memberi hidayah untuk beriman kepadaNya. Jika tidak manusia kelak akan menganggap bahawa Rasulullah SAW yang memberikan hidayah dan kemudian akan mengangkatnya ke maqam ketuhanan.” perjelas Syaikh Hizmeen.

“Begitu jugalah halnya dengan para ulama. Mereka tetap manusia biasa dan tak akan dapat memberikan hidayah kepada mana-mana manusia dan jin sekalipun. Hanya Allah yang boleh beri. Jadi manusia janganlah taksub dengan ulama kesayangan mereka hingga meletakkan beliau ke tahap yang tidak sepatutnya.” sambung tokoh ulama itu lagi sebelum mempersilakan tetamunya itu untuk menjamah juadah petang yang dihidangkan untuk mereka berdua. Dato’ Wan tersenyum. Perasaan hormat dan sayangnya kepada Syaikh Hizmeen semakin menebal. Beliau berkira-kira untuk membatalkan projek taman temanya di Kuching dan membina pusat pengkajian tafsir al-Quran dan Hadis pula. Hati ikhlasnya berharap agar ramai tokoh seperti Syaikh Hizmeen ini dilahirkan di Malaysia pada suatu masa nanti.


- Tamat -

Saturday, June 22, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 2)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 2)



“Tuan; di manakah Allah yang tuan sembah? Macam mana tuan tahu Allah wujud kalau tuan tak dapat melihatnya? Bolehkah tunjukkan kepada saya bukti Allah itu wujud? Adakah Allah di sini sekarang? Kalau Dia tiada di sini, macam mana Dia tahu dan nak beri pahala kepada orang-orang yang sedang belajar ilmu sekarang? Saya mahukan hujah yang konkrit. Saya tak ingin mendengar falsafah sifat dua puluh kerana saya telah membacanya dan saya jadi semakin keliru kerananya.” Taluan pertanyaan daripada Josephine benar-benar membuatkan kedua kening Syaikh Hizmeen terangkat. Pun begitu, wajahnya tetap tenang bersama senyuman.

“Berambus; betina jahanam!” herdik salah seorang ahli jawatankuasa masjid di situ. Ternyata soalan daripada Josephine yang mengesahkan sifat atheisnya kini sudah terserlah.

“Bersabar, tuan. Jangan biarkan diri tuan dipermainkan oleh syaitan.” tegur Syaikh Hizmeen dengan suara yang agak tegas untuk mengelakkan sebarang provokasi yang mungkin membawa kepada kekerasan fizikal. Ahli jawatankuasa masjid tersebut yang begitu hormatkan tokoh alim itu terpaksa akur lantas memendamkan kemarahannya. Setelah menjangkakan hadirin mahu bertenang dan menahan diri dari perkara-perkara yang mengundang pergaduhan, Syaikh Hizmeen kembali memandang ke arah Josephine.

“Saya akan menjawab soalan-soalan yang cik kemukakan tadi. Tapi bolehkan saya menjawabnya dengan soalaan-soalan pula?” pinta Syaikh Hizmeen.

“Apa cara pun tak kisah; asalkan saya mendapat jawapan yang memuaskan hati saya.” jawab Jospehine. Pun begitu terlakar calitan tanda-tanya pada wajahnya dengan permintaan ulama tersebut.

“Terima kasih. Baiklah! Hulurkan tapak tangan kanan cik kepada saya.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine kelihatan agak ragu-ragu. Namun beliau memberanikan diri juga untuk membuat apa yang dipinta.Tokoh ahlus sunnah wal jamaah tersebut segera mencelup jari telunjuk kanannya di dalam segelas air yang disediakan untuk beliau. Kemudian dengan cermat beliau menitiskan setitik air di jarinya itu ke atas tapak tangan Josephine.

“Apakah yang ada pada tapak tangan cik sekarang?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Air. Setitis air.” jawab Josephine ringkas.

“Itu saja?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Itulah saja. Mana ada yang lain?” jawab Josephine. Nada acuh tidak acuhnya sedikitpun tidak melupuskan wajah tenang ulama tersebut.

“Percaya tak kalau saya katakan bersama setitis air tadi wujudnya  mikrob atau kuman atau zarah seni?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Boleh jadi ada. Lagipun tuan mencelup air minuman tuan dengan jari tanpa dibasuh terlebih dulu. Ya! Besar kemungkinan ada.” jawab Josephine.

“Kalau begitu, tunjukkan saya kewujudan mikrob itu. Di mana dia?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Mana boleh nampak! Ianya terlalu kecil. Kalau pakai mikroskop tu bolehlah!” tingkah Josephine.

“Jadi cik percaya akan kewujudan mikrob yang amat halus sungguhpun tak nampak pada mata cik?” tanya Syaikh Hizmeen lagi. Josephine mengangguk. Namun beliau sebenarnya sudah dapat menangkap maksud pada soalan-soalan ulama tersebut.

“Kita ada mikroskop. Dengan alat itu kita boleh melihat apa yang tak nampak pada mata kasar. Kewujudan mikrob dapat dibuktikan. Tapi kewujudan Tuhan?” tingkah Josephine.

“Seribu lima ratus tahun yang lalu; jika ada manusia yang berkata bahawa wujudnya mikrob sebanyak bintang-bintang di langit di dalam setitis air di tangan cik; adakah sesiapa akan percaya kata-katanya itu?” Josephine agak tergamam dengan soalan Syaikh Hizmeen kali ini. Setelah berdiam diri dengan agak lama beliau akhirnya menggelengkan kepala.

“Seribu lima ratus tahun lalu manusia tak pernah menjangka akan suatu hari nanti dapat melihat jutaan mikro organisma hanya di dalam setitis air. Katakanlah bumi akan terus berputar untuk seribu tahun lagi. Adakah suatu perkara yang mustahil, pada seribu tahun yang akan datang manusia akan menemui hidupan yang jauh lebih halus dari virus?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Tak. Tak mustahil.” jawab Josephine.

“Allah menjanjikan pada masa akan datang untuk memperlihatkan dirinya di mata manusia di syurga. Kalau cik kata tak mustahil seribu tahun akan datang manusia akan dapat melihat hidupan yang pada masa ini tak dapat dilihat dengan mata kasar kita atau mikroskop; maka kenapa pula mustahil pada suatu masa nanti manusia tak akan dapat melihat Allah?” tempelak Syaikh Hizmeen.

“Allah itu wujud. Dia sentiasa melihat dan mendengar setiap perbuatan dan perkataan hanbanya-hambaNya. Tiada yang terlepas dari pandangan dan pendengaranNya. Jangan kita samakan diri Allah itu dengan kita yang lemah ini. Tentulah sifat-sifat Allah yang melihat dan mendengar tidak sama dengan kita. Begitu jugalah dengan kewujudannya.” sambung Syiakh Hizmeen lagi.

“Saya kurang faham dengan kata-kata tuan tadi. Tentang sifat Allah yang tak sama dengan kita.” ujar Josephine.

“Maha Suci Allah untuk dibuatkan perumpamaan dengan hamba-hambaNya. Tetapi biar saya bertanya lagi. Cik bernafas menggunakan apa?” tanya Syaikh Hizmeen.

“Hidung dan mulut.” jawab Josephine.

“Tahukah cik bahawa serangga bernafas menggunakan badannya iaitu bahagian toraks? Ular mendengar dengan tubuhnya melalui getaran dan menghidu bau mangsa dengan lidahnya. Pokok bernafas dengan cara menyerap karbon dioksida dan bukannya oksigen. Di antara kita sesama makhluk Allah pun sudah terdapat perbezaan dalam melihat, mendengar dan bernafas. Apatah lagi Allah yang menciptakan kita.” hujah Syaikh Hizmeen. Hadirin yang hadir berasa amat kagum dengan ketajaman ilmu dan hujah tokoh yang alim tersebut. Begitu jugalah dengan Josephine.

“Tidak dapat melihat dengan mata kasar tidak bermakna sesuatu benda itu tidak wujud. Itu sebabnya Allah menyuruh kita melihat dan mengkaji ciptaanNya jika ingin merasai kewujudan dan kekuasaanNya.” perjelas Syaikh Hizmeen. Josephine bungkam. Beliau tidak menjangka fakta-fakta saintifik yang selama ini menjadi dogma pegangan hidupnya digunakan oleh Syaikh Hizmeen untuk menjawab persoalan yang dianggap oleh Josephine mustahil untuk dibuktikan.

“Baiklah sekarang berikan saya tapak tangan kiri cik pula.” pinta Syaikh Hizmeen. Josephine yang belum sempat menghadam hujah-hujah bernas ulama tersebut tergamam. Keangkuhannya tadi kini hilang serta-merta. Perasaan takut mulai menjalar di segenap tubuh beliau.


Bersambung

Wednesday, June 19, 2013

Cerpen : Orang Yang Ingin Melihat Allah (Part 1)



Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Orang Yang Ingin Melihat Allah


20 tahun akan datang...

Syaikh Hizmeen adalah salah seorang guru pengajian tauhid dan aqidah yang amat terkenal di negara Daulah Maddaniyyah. Selain itu beliau telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan Yayasan Abderrahman ‘Auf  yang baharu sahaja ditubuhkan di Malaysia. Yayasan tersebut agak kurang disenangi oleh beberapa tokoh dari pusat baitul mal di Malaysia kerana dikatakan mengagihkan zakat pendapatan negara Daulah Maddaniyyah kepada rakyat-rakyat Malaysia yang selama ini masih dalam kesempitan sungguhpun menerima bantuan kebajikan.

Setiap bulan Syaikh Hizmeen akan bertandang ke Malaysia untuk mengaudit aktiviti pengagihan bantuan yayasan yang dikendalikan oleh anak-anak buah beliau. Namun di atas sifat kealimannya dalam agama, sering beberapa masjid berebut-rebut mendapatkan khidmatnya untuk menyampaikan kuliah agama dan ceramah. Pada malam ini salah sebuah masjid di Kepong begitu bertuah kerana tokoh agama itu telah menerima pelawaan mereka untuk berkongsi ilmunya bersama jemaah di sana. Setelah berceramah dalam empat puluh minit, Syaikh Hizmeen membuka ruang untuk menjawab persoalan pula.

“Silakan saudara dan saudari untuk bertanyakan soalan. Apa-apa soalan pun tak mengapa. InsyaaAllah saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjawabnya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada yang lembut dan tenang. Ulama yang berusia awal empat puluhan itu sememangnya lembut dalam perkataan dan tingkah-laku serta amat disenangi dan disayangi oleh orang-orang yang mengenali beliau. Jadi tiada siapa yang berasa takut atau malu untuk bertanya hatta soalan yang remeh sekalipun kepadanya.

“Bolehkah saya bertanya?” Tiba-tiba kedengaran suatu suara yang agar lantang pada arah pintu kanan masjid. Syaikh Hizmeen spontan memanggungkan kepala ke arah punca suara tersebut. Seorang wanita yang jelas bukan dari kalangan warganegara Malaysia kelihatan sedang berdiri di jenang pintu masjid tersebut. Beberapa orang lelaki bingkas bangun dan menyerbu ke arah wanita tersebut. Mereka dengan lagak dan suara yang agak kasar cuba mengusirnya.

“Jangan! Jangan begitu! Mengapa kalian berlaku kasar padanya? Tidakkah kita ini diajar untuk berlembut dan berbaik kepada orang yang tidak memusuhi kita?” tegah Syaikh Hizmeen dengan suara yang agak lantang. Kata-katanya itu berjaya menahan tingkah-laku agresif lelaki-lelaki tadi.

“Tuan guru; dia ini namanya Josephine. Sudah beberapa kali dia datang ke sini dan membuat kacau.” ujar salah seorang lelaki tersebut.

“Apa jenis kacau yang dia buat?” tanya Syaikh Hizmeen dengan nada melawak untuk meredakan ketegangan.

“Dia suka tanya soalan yang bukan-bukan pada guru-guru agama yang datang mengajar di sini sampai ada yang tak ingin lagi datang ke masjid kami.” jawab seorang lelaki yang duduk di baris hadapan pula.

“Saya bertanyakan soalan kerana saya tak percayakan pada apa-apa agama sekalipun. Kalau mereka tak boleh menjawab, bukannya salah saya. Kalau mereka menjauhkan diri kerana takutkan saya, bukanlah salah saya juga.” bidas Josephine kembali. Syaikh Hizmeen ketawa mendengarkan kata-kata wanita tersebut.

“Cakap cik itu memang betul. Itu salah merekalah kerana tidak cukup pengetahuan dalam agama.” komennya.

“Jadi bolehkah saya bertanya pada tuan?” tanya Josephine pula.

“Jangan layan dia, tuan guru! Dia ini sengaja cuba nak mengelirukan kita dengan fahaman sesatnya!” saran seorang lagi lelaki lain. Syaikh Hizmeen menggelengkan kepala.

“Jangan kata begitu. Islam adalah agama akal dan hujah. Islam ini dikurniakan oleh Tuhan yang juga menjadikan kita dan seluruh alam ini. Jadi apa yang perlu kita nak bimbangkan?” balas Syaikh Hizmeen dengan tuturan lembut. Beliau mendongak pula ke arah wanita tadi.

“Saudara-saudara semua; janganlah dihalang lagi cik itu. Cik; silalah masuk ke sini dan tanyalah apa yang cik musykilkan di hati. Tapi ilmu saya yang terhad ini hanyalah pemberian daripada Allah. Ustaz-ustaz yang cik telah tanyakan sebelum ini mungkin jauh lebih baik dan berilmu daripada saya.” ujar Syaikh Hizmeen. Tokoh yang sangat alim itu masih tawadduk merendahkan diri sungguhpun keilmuannya adalah amat luar biasa sekali. Josephine segera menggegaskan diri ke arah Syaikh Hizmeen.

“Okey, saya dah bersedia untuk ditanya.” maklum Syaikh Hizmeen dengan nada bergurau. Josephine tidak katawa seperti hadirin yang lain. Malah tidak sedikitpun ulas senyumannya terlakar di bibir. Pun begitu ulama tersohor tersebut masih melembutkan wajahnya dengan senyuman mesra.

“Tuan; di manakah Allah yang tuan sembah? Macam mana tuan tahu Allah wujud kalau tuan tak dapat melihatnya? Bolehkah tunjukkan kepada saya bukti Allah itu wujud? Adakah Allah di sini sekarang? Kalau Dia tiada di sini, macam mana Dia tahu dan nak beri pahala kepada orang-orang yang sedang belajar ilmu sekarang? Saya mahukan hujah yang konkrit. Saya tak ingin mendengar falsafah sifat dua puluh kerana saya telah membacanya dan saya jadi semakin keliru kerananya.” Taluan pertanyaan daripada Josephine benar-benar membuatkan kedua kening Syaikh Hizmeen terangkat. Pun begitu, wajahnya tetap tenang bersama senyuman.


Bersambung

Tuesday, June 11, 2013

Cerita Kemetot - Shalom



Cerita Kemetot
Tajuk : Shalom


100 tahun akan datang...

Rachel dan jurukameranya tiba juga akhirnya ke kota Shalom yang baharu ditubuhkan di Afrika Selatan. Kota tersebut yang kesemua seratus dua puluh tujuh ribu penduduknya berbangsa Yahudi telah ditubuhkan dan diiktiraf oleh Organisasi sendiri dalam usaha untuk melindungi mana-mana bangsa Yahudi yang ditindas oleh pihak Masonik dan Zionis kerana menentang dogma penubuhan Orde Baharu Dunia yang kini telah masuk ke peringkat terakhir. Organisasi telah dikritik hebat oleh beberapa ulama dari negara-negara Islam di bawah jajahannya dan dituduh mempunyai agenda politikal oleh musuh-musuhnya. Namun Maharaja Debu Berlian yang merupakan pemimpin tertinggi Organisasi telahpun memberikan hujah-hujahnya dan tetap meneruskan pembentukan kota Shalom tersebut.

Kini telah masuk tahun ketiga penubuhannya dan semua berita tentang kota tersebut yang singgah ke telinga Rachel kesemuanya adalah negatif belaka. Wartawan yang baharu sahaja memenangi anugerah Etika Kewartawanan Terbaik Antarabangsa itu kini berjaya memijakkan kaki ke kota Shalom setelah membuat permohonan selama hampir tiga bulan untuk memasukinya. Apa yang membuatkan Rachel bersungguhan untuk ke sana ialah kerana pemerintah Kota Shalom sendiri. Beliau ialah Zoe Bukhary atau Emissary Mayhem atau digelarkan juga sebagai Maharaja Naga Petir yang amat terkenal dengan sikap anti Yahudi dan tidak berbelas kasihan apabila menangani musuh-musuhnya yang berbangsa tersebut.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kota Shalom, Rachel terpaku. Kota tersebut dibina dengan senibina yang sederhana tetapi amat menarik dan begitu bersih sekali persekitarannya. Kanak-kanak bermain-main di ruang legar pejalan kaki dengan riang-ria sekali. Masyarakat di situ juga menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa seolah-olah mereka berasa aman dari segala bentuk ancaman. Rachel berasakan bahawa beliau seolah-olah berada pada kurun ke-19 tetapi telah diberikan suntikan elemen yang amat canggih. Sedang beliau dan jurukameranya tercangak-cangak di situ, mereka dihampiri oleh seorang lelaki berbangsa Yahudi dalam lingkungan usia empat puluhan.

“Apa khabar? Selamat datang ke kota Shalom, cik Rachel. Saya ialah Abraham. Saya telah diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk menyambut ketibaan cik dan rakan cik. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat menyambut cik. Tuan Mayhem kini berada di Daulah Maddaniyah untuk urusan umat Islam. Dia menyampaikan salamnya kepada cik.

“Organisasi telah melarang pembentukan ketenteraan terhadap jajahannya. Habis, siapa yang melindungi kalian semua?” tanya jurukamera Rachel yang bernama Mike.

“Sepertimana yang encik nampak, kota Shalom berada di tengah-tengah Afrika Selatan. Afrika kini telahpun menjadi jajahan Organisasi. Saya tak fikir ada pihak yang sanggup merempuh batalion tentera Organisasi di Afrika Selatan semata-mata untuk menyerang kota kami yang kecil dan tak bernilai ini.” maklum Abraham. Mike terdiam. Perasaan malu mulai menjalar di segenap tubuhnya tatkala menyedari akan kebodohan soalan beliau tadi. Rachel pula lebih tertarik dengan sikap penyambut tetamunya yang begitu sopan sekali. Tidak padan benar dengan pandangan stereotaip bahawa Yahudi adalah bangsa yang sombong dan angkuh.

“Saya diberitahu bahawa kota Shalom ini dianggap sebagai sebuah negara kecil yang diperintah oleh seorang diktator.” ujar Rachel untuk mengocak emosi Abraham. Lelaki tersebut ketawa besar.

“Saya diarahkan oleh Tuan Mayhem untuk tidak menjawab sebarang persoalan yang cik kemukakan.” maklum Abraham. Rachel tersenyum sinis.

“Jadi benarlah khabar-khabar angin tersebut?” taakulnya.

“Saya mungkin akan berat sebelah dalam memberikan pandangan saya pada persoalan cik. Jadi Tuan Mayhem memberi kebenaran untuk cik Rachel bertanyakan apa sahaja persoalan kepada mana-mana penduduk di kota Shalom. Pilihlah sama ada yang sedang bertebaran di depan kita atau di dalam bangunan-bangunan kota ini.” maklum Abraham menyambung jawapannya tadi. Tergamam seketika Rachel dibuatnya. Tindakan Emissary Mayhem benar-benar di luar jangkaan. Secara perlahan-lahan beliau mulai menghormati dan menyukai keberanian dan keyakinan Mayhem sebagai pemimpin diktator kota Shalom.

“Baiklah, tuan awak pasti akan menyesal nanti!” ujar Rachel. Abraham ketawa. Tidak sedikitpun terpalit rona kebimbangan pada wajah cerianya itu.


*************************


“Bagaimana cik Rachel; encik Mike? Adakah kalian berdua dapat apa yang kalian mahukan?” Rachel yang sedang duduk termenung di meja sebuah kafe agak tersentak apabila disapa dengan sedemikian rupa. Beliau dan Mike mendongak ke arah si empunya suara yag bertanya tadi. Ternyata orang tersebut adalah Abraham.

“Maksud awak, adakah saya mendapat cerita buruk pihak Organisasi di kota Shalom?” tanya Rachel.

“Bukankah itu yang awak harapkan?” tanya Abraham kembali. Rachel bungkam seketika. Kemudian wanita dalam lingkungan usia tiga puluhan itu tersenyum.

“Sudah tiga hari saya berada di sini. Saya gagal mendapat apa yang saya harapkan. Namun saya telah mendapat apa yang saya tidak sangka-sangka. Dan ianya sungguh istimewa.” jawab Rachel. Selepas menyambut mereka pada tiga hari lepas, Abraham telah memberikan alat GPS kepada Rachel sebagai peta dan panduan; dan kemudian meninggalkan mereka berdua begitu sahaja. Rachel yang masih tidak mempercayai Abraham langsung tidak mengaktifkan alat GPS tersebut; malah meninggalkannya di kaunter pertanyaan di salah sebuah pasar mini. Beliau mengesyaki bahawa suatu alat peranti telah dipasang di dalam alat GPS tersebut untuk mengesan gerak-gerinya.

Namun dalam masa tiga hari itu, tidak seorang pun warga Yahudi yang ditanya oleh Rachel mencemuh pemerintahan Emissary Mayhem. Pada mulanya beliau mengandaikan bahawa mereka semua berasa takut akan tindakan raja mereka sekiranya mereka berani mengkritik beliau. Akan tetapi selepas tiga hari, Rachel dapati bahawa keriangan pada wajah mereka adalah tulen. Penduduk berbangsa Yahudi yang diperintah oleh seorang pemimpin yang membenci Yahudi dapat hidup bahagia dan makmur di kota Shalom.

Rachel turut mendapati bahawa Mayhem juga telah mengambil sikap proaktif dalam memohon peruntukan bagi tujuan pembangunan dan infrastruktur kota Shalom. Malah beliau juga pergi ke negara-negara Islam lain untuk berunding bagi mewujudkan hubungan ekonomi untuk menjana pendapatan kota Shalom. Beliau juga menyokong serta memberi insentif bagi sebarang aktiviti kebudayaan dan keagamaan Yahudi. Malah agamawan Yahudi juga diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk mengajar dan menerapkan nilai-nilai yang tulen dalam kitab Tohrah dan Talmudz mereka. Sungguh-sungguh tindakan Myhem ini tidak berpadanan dengan pendirian anti-semitik beliau.

“Abraham, sungguhpun diarahkan oleh tuan Mayhem agar tidak menjawab soalan saya, namun saya kini mahukan jawapan dari mulut awak sendiri. Bolehkah?” tanya Rachel. Abraham ketawa dan menganggukkan kepala. Beliau kini telah pun duduk bersama-sama Rachel dan Mike.

“Betulkah tuan Mayhem membenci Yahudi; atau ini hanya permainan media massa musuh-musuhnya?” tanya Rachel. Abraham berdiam diri seketika. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Pun begitu kedengaran jelas bunyi hela nafasnya seolah-olah berasa agak sedih dengan soalan tersebut.

“Ya, memang benar tuan Mayhem membenci Yahudi. Ia bukanlah tohmahan media massa.” jawab Abraham akhirnya. Bungkam Rachel mendengarnya.

“Habis mengapa perbuatan berbeza dengan pendirian? Saya tak faham.” tikai Rachel.

“Tuan Mayhem sememangnya membenci Yahudi. Tetapi dia amat menyayangi manusia, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Beliau berkata kita semua adalah hamba Allah dan jika Allah menyayangi kita semua, mengapa pula kita mesti bercanggah dengan sifat Allah dengan memusuhi kaum-kaum tertentu?” perjelas Abraham.

“Saya makin keliru.” omel Rachel. Abraham ketawa besar.

“Pada mulanya saya pun tak faham. Cik Rachel jangan berfikir menggunakan ini.” pinta Abraham seraya menunding ke arah kepalanya.

“Tapi berfikirlah dengan menggunakan ini.” pintanya lagi sambil menepuk-nepuk dada di bahagian jantung.

*************************

Catatan Rachel Finnel dua minggu selepas lawatannya ke kota Shalom :

“Saya kini akhirnya dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Abraham. Emissary Mayhem sememangnya membenci bangsa Yahudi. Namun tidak ada seorang insan pun dapat memilih bangsanya kerana ini adalah ketentuan Tuhan. Perasaan Mayhem untuk membenci atau memusuhi sesuatu kaum atau bangsa itu adalah haknya dan mana mungkin beliau boleh menafikannya. Namun tidak semestinya kebencian dan pemusuhan tersebut perlu atau wajar dizahirkan terhadap orang-orang Yahudi yang tidak bersalah dan yang tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang Yahudi. Di sinilah saya dapat melihat pembentukan akhlak yang terbaik apabila seseorang Muslim itu benar-benar menghayati dan mematuhi ajaran agamanya.

Emissary Mayhem akan terus membenci dan memusuhi Yahudi. Dan tidak syak lagi, beliau akan terus membunuh dan memusnahkan mana-mana sahaja orang Yahudi yang cuba menggugat serta mengancam agama dan umat Islam. Namun di kota Shalom, beliau adalah seorang pemimpin yang menyayangi rakyatnya sungguhpun mereka berbangsa Yahudi. Dan mereka juga begitu menyayangi beliau sungguhpun beliau membenci bangsa Yahudi. Ini adalah suatu perkara yang amat istimewa yang akan tersemat di hati saya selama-lamanya.”


Tamat