Monday, January 7, 2013

Zero Hero SE - Bab 2



Zero Hero SE
Bab 2
Selamat Tahun Baharu



Pada lebih kurang jam 9.00 malam akhirnya Adrina muncul di jenang pintu. Senyuman pahalanya untukku diikhlaskan sehabis mungkin walaupun jelas calit kelesuan terpapar pada wajah beliau. Aku yang masih memegang pintu yang kubuka tadi membalas senyumannya dan memerhatikan tidak-tanduknya yang membuka sepatu dengan cermat dan menyimpannya di dalam kabinet. Bukanlah ada apa-apa yang artistik sangat dengan perbuatan isteriku itu tetapi aku menunggu agenda yang seterusnya. Seperti yang kujangkakan, Adrina kemudian memelukku dengan erat. Kalaupun dia terlupa atau tergesa-gesa, aku pula yang akan menarik tangannya dan merangkulnya. Oh, romantiknya kami laki bini!

... Oh, tak malunya kami laki bini!

“Hi baby.” ucapnya dengan lunak. Aku hanya tersenyum dan menepuk-nepuk belakang isteriku dengan lembut. Sayugia diingatkan bahawa apa yang kami buat ini adalah sah dan mendapat pahala yang besar. Anda dilarang meniru aksi ini sekiranya belum berkahwin. Berdosa besau, bak kata orang Melaka. Adrina kemudian duduk di sofa lantas menarik kaki kanannya ke muka.

“Apahal pulak tu?” tegurku dengan nada kurang senang.

“Takut kaki berbau. Nanti spoil pulak mood romantik kita.” jawab Adrina dengan hujah yang bagiku agak konkrit namun mempunyai agenda yang tersembunyi. Ish, inilah bahananya banyak sangat membaca suratkhabar arus perdana!

“Uii... wanginya! Masak apa tu?” tegur Adrina kemudiannya. Aku tersenyum bangga bercampur teruja. Semenjak meletakkan jawatan sebagai perunding korporat tiga bulan lalu, aku mulai berkecimpung dalam bidang masak-memasak. Tidak tersangka pula aku mempunyai bakat terpendam dalam bidang masakan. Namun tidaklah pula aku ‘mukabuku’ juadah-juadahku untuk ditatapi oleh orang lain. Hairan sungguh melihat kawan-kawanku yang menangkap gambar makanan dan dimuatkan ke dalam facebook. Lebih menghairankan bila mereka menulis pula “jemput makan” di bawah gambar tersebut. Tahu tak bahawa itu adalah kezaliman terhadapku yang suka makanan dan aku akan tuntut di hadapan mahkamah Allah ‘Azzawajalla kelak. Haha! Tau takut!

“Saya masak burger hari ini. Tapi yang special punya, tau? Burger bakar.” maklumku dengan rasa teruja. Sebenarnya aku masih tak berpuas hati dengan burger untut... burger unta yang kumakan tengahari tadi. Jadi nafsu mendesak agar aku membuat sendiri burger yang lazat mengikut firasatku. Firasat kaum Mayan tak diambil kira dalam hal ini.

“Tentu best! Tapi bagi Rina mandi dulu, okey?” pinta isteriku. Mandi? Alamak! Kalau Adrina mandi, alamat besok sebelum subuh baharulah kami makan.

“Tak usahlah mandi dulu. Saya dah lapar ni. Lepas makan baru mandi, ya?” pujukku. Perutku sudah berapa kali mengumandangkan Keroncong Untuk Ana ni.

“Tapi Medical Journal kata tak baik lepas makan kita mandi, tu?” protes Adrina.

“Lantaklah agro journal ke, astro channel ke... kita makanlah dulu, ya? Nanti kita mandi sama-sama, nak?” Kali ini aku mengumpan dengan khidmat seksual pula. Tapi khidmatku ini halalan toyyiban, tau? Adrina tersenyum lantas mencubit lenganku.

“Okey. Nanti Rina dan abang mandi sama-sama, tau?” ujarnya akur pada sarananku. Sekali lagi ungkapan ‘abang’ daripada Adrina mengocakkan hatiku.

“Saya suka Rina panggil saya abang.” maklumku.

“Kalau begitu abang janganlah lagi gunakan perkataan ‘saya’, okey?” omel isteriku pula. Betul juga! Aku masih menggunakan perkataan ‘saya’ lagi.

‘Okey... okey... setiap kali sa.. abang gunakan perkataan ‘saya,’ abang akan beri sepuluh sen kepada Rina.” ujarku. Adrina tertawa.

“Kedekut macam Haji Bakhil.” kutuknya.

“Okeylah tu untuk penganggur macam abang ni. Lagipun sepuluh sen tu kalau dikumpul, kalau dah banyak boleh beli rumah batu, tau?” balasku mengajuk  gaya percakapan Haji Bakhil dalam filem P. Ramlee bertajuk Labu dan Labi. Adrina ketawa besar. Aku hanya tersenyum. Pahit juga rasanya bila mengakui diriku sebagai penganggur.

***************************************

Kami kini berada di atas bumbung rumah. Lupa untukku memaklumkan bahawa tarikh pada malam ini adalah 31 Disember dan beberapa minit lagi seluruh rakyat di Malaysia akan menyambut tahun baharu. Mungkin ada yang menyambutnya di tapak konsert dan di kelab-kelab hiburan. Mungkin ada juga yang menyambutnya dengan pengisian jiwa dan rohani iaitu mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta. Aku dan Adrina pula menyambut tahun baharu kali ini di atas bumbung rumah kami.

“Burger bakar yang abang buat memang ‘A’ la. Ini bukan mengampu. Ini betul-betul.” puji isteriku sebelum menggigit burger buat kesekian kalinya. Hairan sungguh dengan Adrina ini. Kuat makan tetapi tubuhnya elok sahaja langsing. Padan patutlah beliau dicemburui oleh wanita-wanita lain dari dahulu hingga kini.

“Ini bukan cobaan?” tanyaku dengan gaya melawak ala filem P. Ramlee bertajuk Pendekar Bujang Lapok.

“Ini bukan cobaan... Ini butul-butul!” balas Adrina yang turut mengajuk dengan lawak yang sama. Kami berdua ketawa. Buat seketika kemudiannya kami berdiam diri sejenak. Aku menghirup air tin bergas perasa rut bir dan kembali meletakkan di atas genting bumbung di sisiku.

“Abang patut buka gerai burger bakar. Rina pasti orang ramai akan suka. Gerai burger abang pasti dapat sambutan.” saran Adrina secara tiba-tiba. Tergamam aku dibuatnya. Aku merenung ke dalam mata isteriku untuk melihat niatnya yang sebenar. Sama ada beliau bergurau atau benar-benar maksudkannya dengan bait-bait kata itu tadi.

“Rina serius, tau? Abang memang pandai memasak. Abang nampaknya memang berminat memasak. Apakata abang jadikan hobi abang ni perkara yang menguntungkan? Bila abang dah dapat kerja nanti, abang boleh berhenti bila-bila masa. Abang boleh mengelakkan wang simpanan abang menjadi semakin susut.” Kata-kata Adrina membuatkanku terdiam. 

“Rina kecilkan hati abang ke? Rina minta maaf.” ucap Adrina pula sementelah dilihatnya aku membisu seribu bahasa. Kepalanya dilentokkan ke bahu kananku. Ewah! Kalah Ella ni!

“Tak. Bukan. Sa.. abang tak marah pun. Cuma abang tak sangka Rina akan membuat cadangan macam itu.” balasku.

“Apa maksud abang cakap begitu?’ tanya Adrina tiba-tiba. Alamak! Macam aku dah tersilap langkah dalam memilih patah perkataan. Macam manalah SPM dulu dapat A dalam Bahasa Melayu!

“Abang ingat Rina akan berasa malu kalau abang berniaga burger, ya?” taakul isteriku. Ish, bila pula biniku berguru dengan Nostradamus? Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Diam tu memang betullah tu. Geramnya!” ujar Adrina dengan nada menderam. Dia kembali mencubit lenganku sekuat-kuat hati.

“Oi, ketam! Sakitlah!” omelku sambil menahan kesakitan.

“Padan muka! Jahat! Tak percayakan Rina!” omel Adrina pula.

“Bukan begitu, manja. Abang takut.” ujarku mempertahankan diri.

“Abang takut apa?” tanyanya dengan nada masih tidak berpuas hati. Aku agak itulah sebabnya ramai lelaki lebih suka mendiamkan diri atau lari keluar membeli air kelapa bila isteri mereka memulakan mukaddimah pertanyaan. Memang soalan-soalan standard Karpal Karam Walia Singh punya. Jenuhlah aku nak menjawabnya!

“Abang takut abang dah menghampakan Rina dan akan terus menghampakan Rina nanti.” jawabku. Aku fikir itulah jawapan terbaik untuk mengelakkan Jurus Maut Ketam Adrina. Lelaki sekali-sekala perlu menunjukkan emosi ‘rapuh’ kepada kaum hawa. Adrina memaut lenganku dan menyandarkan kepalanya sekali lagi ke bahuku.

“Abang tak hampakan Rina. Abang dah banyak berkorban untuk Rina. Sayangnya pengorbanan abang untuk Rina tak berbaloi. Rina yang menghampakan abang. Maafkan Rina.” ujar isteriku dengan nada sayu. Alamak! Aku memang dari dahulu lagi tak tahu cara menenangkan orang yang sedang bersedih. Menyesal rasanya sebab culas menonton rancangan Dr. Fadilah Kamsah.

“Kalau Rina rasa abang boleh berniaga bisnes burger, abang akan cuba dengan bisnes burger. Dulupun abang pernah menjual pisang goreng lepas waktu bersekolah. Dah lama tak asah skill ni. Adakah Arif Akmal akan berjaya dalam cabaran ini? Kita saksikan aksi-aksinya di episod akan datang setiap hari Sabtu di Saluran Najis Anda!” pujukku dengan nada bergurau. Teruk sungguh caraku memujuk. Orang di Indah Water pun tak berselera nak membuat lawak sedemikian rupa. Namun tanpa disangka, Adrina ketawa. Beliau merangkulku dengan lebih erat. Sekoyong-koyongnya langit di hadapan kami meledak dan bergerutup dengan pelbagai cahaya berwarna-warni. Nampaknya tanpa kami sedari, jam telahpun menunjukkan pukul dua belas.

“Cantiknya...” puji Adrina. Aku turut menganggukkan kepala sambil mataku terpaku ke arah letusan-letusan bunga api yang masih bergerutupan. Tiba-tiba aku berasa bahu kananku dicuit. Aku menoleh. Adrina sedang memandangku dengan senyuman manis.

“Happy new year, abang. Terima kasih kerana banyak berkorban untuk Rina dan menerima Rina seadanya. Abang adalah suami yang sangat baik. I love you...” ucap Adrina. Matanya kelihatan jelas bekaca-kaca. Aku tanpa bertangguh terus menarik tubuh isteriku dan mendakapnya dengan erat.

“I love you too, sayang. Setiap masa dan selama-lamanya.” bisikku ke telinga Adrina.



- Bersambung -

Friday, December 21, 2012

Zero Hero SE - Bab 1



Zero Hero SE (Special Edition)
Bab 1
Seperti Burger Dalam Tong Sampah



Ahh... begitu nyaman sekali pagi ini. Aku menghirup udara segar sedalam-dalamnya. Mmm... bau segar macam bau durianlah. Oh! Aku makan crepe durian semalam dan terlupa gosok gigi. Patutlah. Suasana pagi yang dilitupi oleh kabus dingin dihiasi pula dengan kicauan burung yang amat menghiburkan. Begitu gembira sekali burung-burung...

“Woi! Burung celaka! Kau berak atas kereta akulah!” Begitulah akhirnya keceriaan pagiku dirosakkan oleh burung-burung pipit celaka tersebut. Ustaz kata Rasulullah melarang kita mencaci makhluk lain. Baiklah. Aku cuma akan menembak mereka dengan senapang angin nanti.

“Hei! Pagi-pagi belum gosok gigi dah mencarut.” Satu suara menegurku dari belakang. Aku segera berpaling dengan senyuman. Di hadapanku tegak berdiri Adrina. Senyuman manis terhias indah di bibir mungilnya. Bak delima merekah. Aku bukannya suka makan buah delima pun. Tapi bibir delima Adrina membuatkanku dalam dilema dan mahu menjamahnya segera.

“Eee... Tak gosok gigi ada air liur basiii...” protesnya sambil menyeka daguku agar tidak dapat bibir kami bertemu. Aku segera menarik mukaku dengan cebik merajuk.

“Dulu sebelum kahwin asyik nak cium bibir saya walaupun lepas makan petai. Sekarang barulah tahu nak geli pulak!” omelku dengan nada geram. Adrina ketawa kecil. Beliau bergegas ke arahku lantas memautkan kedua belah tangannya ke belakang leherku. Tubuhnya dieratkan ke tubuhku. Manakala kepalanya melentok ke dadaku.

“You know I love you always and forever, right?” pujuknya. Hatiku kembali menjadi ceria dan teruja. Sesungguhnya Allah memberikan frekuensi suara kepadanya yang selalu mencairkan hatiku. Setakat ini dah tiga puluh ribu berbalas kosong dah. Datuk Lee Chong Wei pun hanya mampu angkat reket ke udara.

“Habis tu berkorbanlah sikit demi untuk menggembirakan bibir saya.” pujukku pula. Adrina langsung ketawa. Beliau memukul-mukul manja dadaku.

“Tak mau! Tak mau! Tak gosok gigi! Bau doloyan! Busyuuuk!” protesnya dalam tawa. Aku turut ketawa. Sebenarnya aku pun tak tergamak pun nak mencium Adrina yang sudah siap melawakan diri untuk ke tempat kerja.

“Mengapa tak pakai parfum?” tanyaku dengan nada kehairanan. Biasanya semerbak bau wangian Adrina walau dalam jarak enam relung sepuluh rantai dua pol sekalipun.

Sejak bila pulak aku jadi juruukur tanah ni?

“Semalam kan ada cerita Kurma Kurma di televisyen? Ustazah tu kata haram hukumnya si isteri yang memakai wangian untuk dihidu oleh lelaki lain selain suaminya.” perjelas Adrina. Kurma Kurma? Cerita apa pulak tu?

“Alhamdulillah! Semakin banyak hidayah yang Allah bagi pada Rina. Tapi tudung bila nak pakai?” tanyaku dengan nada mengusik. Adrina mencebik pula lantas mencubit lenganku.

“Oh, ya! Hari ini apa program Arif?” tanyanya tiba-tiba. Dumbfounded aku seketika. Tak terfikir pula nak buat apa pada hari ini. Tadi rasanya macam nak memanfaatkan senapang anginku. Tapi untuk apa, ya?

“Tak tahu. Mungkin pergi beratur ambil BR1M kot?” jawabku dengan acuh tidak acuh. Adrina menggelengkan kepala tanda kurang senang dengan sikapku tersebut.

“Ayah kan dah tawarkan jawatan pada Arif? Kenapa tak mahu terima?” leternya dengan lembut. Segera wajah bapa mertuaku yang macho ala-ala Marlboro Man terpampang di cepu ingatan.

“Tak mahulah. Dia tawarkan jawatan yang terlampau tinggi. Saya tak layak.” hujahku.

“Arif kenalah confident dengan diri sendiri.” pujuk Adrina.

“Rina, saya cukup kenal dengan kemampuan saya. Sebab itulah saya menolak.” hujahku lagi.

“Tapi dah tiga bulan Arif tak bekerja. Arif tak risau ke?” tanya isteriku dalam nada bimbang. Aku menggeleng.

“Apa nak risau? Duit VSS ada banyak lagi. Ratus-ratus ribu lagi, tau?” balasku dengan gaya pura-pura angkuh. Adrina mencebik. Tangan kanannya pantas menepuk punggungku tanda geram. Aku ketawa berdekah-dekah.

**************************************

Sudah hampir tiga jam Adrina berada di pejabat. Aku pula melengong tak tahu buat apa. Nak menonton televisyen pun dah tak gamak. Rancangan memasak berbahasa Cina yang kutonton semalam akhirnya menyedarkanku bahawa aku terlampau banyak membuang masa di hadapan monitor LED tersebut. Setelah berfikir sejenak akhirnya aku membuat keputusan untuk keluar merayau-rayau. Belum sempat aku bangkit meninggalkan sofa, telefon selularku yang berada di atas meja kopi berbunyi. Aku segera mencapainya dan melihat skrin. Adrina rupa-rupanya.

“Hai manja.” ucapku dengan agak tidak bermaya.

“Hai sayang! Dah lunch?” tanya isteriku.

“Belum.” jawabku ringkas.

“Biar Rina order pizza untuk Arif. Nak?” tanyanya. Aku menggeleng. Eh! Dia manalah nampak!

“Tak apalah. Saya nak keluar dah ni. Bolehlah cari makan sekali.” tolakku dengan sopan.

“Keluar seorang ke?” tanya Adrina sekoyong-koyongnya. Oro? Cemburulah pulak!

“Tak. Ada kawan perempuan temankan. Apa ke nama dia.. Wawa? Wawa Zainal?” jawabku dengan nada mengusik.

“Yalah tu!” ujar Adrina dengan nada geram.

“Dah tentulah saya seorang saja. Wadi dah kena posting di Sarawak. Nizam semenjak kahwin dengan Shaleen entah lesap kemana!” rungutku. Bercakap tentang Aswadi, aku pernah berpesan agar dia hantar kek lapis Sarawak secara pos bulan lepas. Namun dia cuma hantar ikan Terubuk masin saja. Punyalah kedekut Haji Bakhil. Bila dia balik ke Semenanjung aku akan lepuk dia dengan Terubuk masin tersebut. Awas kau, Wadi!

“Hey...” seru Adrina dengan lembut.

“Hm. Apa?” tanyaku pula.

“La tahzan.” ucapnya yang bermaksud ‘jangan bersedih’. Aku terdiam sebentar.

“I love you, baby.” Akhirnya kuungkapkan kata-kata tersebut sebagai tanda terima kasihku atas kata-kata perangsangnya tadi.

“I love you too, abang.” balasnya. Oro? ABANG? Buat julung-julung kalinya Adrina memanggilku ‘abang’. Kata-kata tersebut benar-benar meresap ke dalam jiwa dan sanubari sehingga naik meremang bulu romaku. Serta-merta kegelisahanku lenyap entah kemana. Beginilah gamaknya perasaan Ultraman tatkala mengalahkan raksasa Baltan yang jahat.

*************************************

Telah hampir dua jam aku merayau-rayau di kotaraya tanpa sebarang halatuju yang tertentu. Aku sempat singgah membeli sebiji burger untuk mengalas perut yang berbunyi dari tadi. Kononnya burger yang kubeli ini burger unta. Tak rasa macam daging unta pun. Entah kaki pesakit untut mana yang mereka cincang untuk buat burger gamaknya. Burger tersebut yang hanya kugigit dua kali itu akhirnya selamat dikebumikan di dalam tong sampah yang berdekatan. Aku bangkit dan mengibas-ngibas bahagian punggungku. Nampak gayanya kena jualah aku bertandang ke kedai pak cik Kolonel Sanders untuk memuaskan nafsu perutku ini.

“Dik! Dik! Boleh tolong tak dik?” Dalam beberapa langkah sahaja aku berjalan, sekoyong-koyongnya seorang lelaki dalam lingkungan usia empat puluhan menegurku dengan penuh pengharapan.

Mengapa pulak tiba-tiba aku teringatkan Tanjung Pengharapan di Afrika?

“Boleh tak tolong abang buka meja dan kerusi ni? Nanti abang belanja makan sebagai upah.” ujar lelaki tersebut dengan tawaran yang aku kira amat menarik buat kala ini. Aku merenung dengan teliti keadaan gerai makan miliknya. Oh ya, lupa pula aku nak beritahu bahawa lelaki tersebut adalah pemilik sebuah gerai makan nasi Padang.

“Abang terlambat hari ni. Pekerja abang pulak hilang entah ke mana. Tolonglah. Boleh, ya dik?” pintanya dengan nada separa rayuan. Aku bukannya suka makan nasi Padang. Lagipun keadaan gerainya yang agak kotor semakin membantutkan seleraku. Entah dijamunya aku makan tikus Padang pulak nanti. Manalah tahu!

“Sepuluh ringgit. Tak mahu makan.” Aku memberikan tawaran balasku pula. Terkedu seketika abang gerai tersebut. Kemudian beliau tersenyum.

“Lima ringgit, boleh?” tawarnya pula.

“Nasi padang dengan lauk biasa-biasa dan teh-o ais pun dalam tujuh ringgit. Takkan nak bagi lima saja, kot? Itu tawaran Vasco da Gamma tu!” pertikaiku. Aku peduli sama ada abang tersebut memahami ayat terakhirku. Yang penting aku nampak pandai bila mengungkapkan kata-kata tersebut. Yalah, macam pak-pak menteri bila menggunakan perkataan ‘retorik’ itulah.

“Okeylah! Okeylah! Sepuluh! Sepuluh!” Akhirnya lelaki tersebut beralah. Mungkin kerana beliau perlu menjenguk ke dapurnya sebelum semua lauk-pauknya mengepulkan asap hitam. Aku tanpa bertangguh terus mengerahkan kudratku untuk membuka dan menyusun meja serta kerusi. Setelah sempurna dan memuaskan hati pekerjaanku itu, lelaki tersebut terus menghulurkan upah seperti yang dijanjikan. Tatkala aku membuka dompet untuk memasukkan not sepuluh tersebut, baharulah beliau terperasankan berkeping-keping not seratus di dalamnya.

“Woih! Banyaknya duit kau! Aku ingat mamat daif tadi!” perlinya. Nada tidak berpuas hatinya jelas terpapar. Aku hanya tersenyum.

“Abang yang menawarkan upah kepada saya. Manalah boleh saya nak menolak rezeki.” balasku seraya tertawa. Abang gerai nasi Padang turut ketawa. Namun biasalah ketawa ala-ala Yahudi kalah perang.

Aku ternampak seorang yang kurang siuman sedang makan burger di tepi tong sampah. Aku pasti itu adalah burger daging kaki pesakit untut tadi. Aku tiba-tiba berasa sedih. Sedih dengan keadaanku yang sebegini rupa. Dahulunya aku adalah seorang yang sangat berjaya dalam kerjaya. Kini aku seolah-olah hampir hilang segala-galanya.

Pun begitu aku masih berselera untuk makan nasi ayam di KFC!



- Bersambung -

Monday, December 17, 2012

MetroPolis Episod 3 - Bab 15



MetroPolis Episod 3
Bab 15
Ahli Baharu (Bah. 1)



Tal Kushaini menahan cungapnya. Kecederaan yang dialami olehnya adalah begitu berat sekali. Ternyata lawan yang dihadapi oleh Tal kali ini adalah setanding dengan gurunya Ren Fairuz. Sempat pula beliau mengerling di sekitar jangkauan pandangan. Batalion tentera Organisasi yang berpengkalan di Algeria kini telah dibinasakan sama sekali dalam masa tidak sampai sehari. Lebih kurang dua ribu orang tentera terlatih yang rata-ratanya berpangkat Guardian habis kesemuanya dibunuh. Kebanyakan bangunan di markas Organisasi tersebut telahpun musnah dijilat api. Pesawat udara dan darat dengan persenjataan yang berat juga telah rosak binasa. Kesemua perkara ini telah dilakukan oleh seorang individu sahaja. Namun beliau yang berada di pihak Masonik itu sebenarnya mempunyai kedudukan teratas dalam hierarki pendekar. Kini lawan yang menggerunkan tersebut tegak berdiri dalam lingkungan tujuh puluh meter daripada Tal Kushaini.

“Memang aku bukan tandinganmu, Adaj.” ujar Tal seraya tertawa kecil. Rupa-rupanya lawan orang kanan Maharaja Pemancung Angin ini adalah Maharaja Adaj yang dianggap sebagai salah seorang Dajjal yang akan muncul dan melakukan kerosakan di muka bumi kelak. Maharaja Adaj mempunyai paras rupa yang segak dan lembut. Rambutnya hitam dan bersinar dengan kepanjangan separas pinggang. Tubuhnya tinggi lampai dan agak kurus. Kulitnya pula agak pucat dan kering. Pemimpin tertinggi pertubuhan Masonik tersebut turut ketawa kecil.

“Namun kau langsung tidak takutkan aku. Malah begitu gembira sekali nampaknya sekarang. Adakah kerana kau tahu bahawa kau akan mendapat syahid pada hari ini?” tanya Adaj dengan nada ramah. Tal agak tergamam dengan soalan yang dilontarkan kepadanya tadi. Namun beliau kembali mengukir riak ceria di bibirnya seketika kemudian.

“Harap-harapnya begitulah. Tapi jangan mimpilah aku akan memberikan nyawaku dengan begitu saja.” balas Tal. Kedua-dua mereka ketawa bagaikan kawan baik yang sedang bergurau. Namun mereka sedang mempertaruhkan nyawa di medan pertempuran buat masa ini. Dengan pantas Tal Kushaini menghalakan kedua belah telapak tangannya ke arah Adaj lalu dibacakannya potongan ayat dari Surah Al-Baqarah pada ayat yang ke dua ratus enam puluh enam yang membawa maksud “... maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah...”. Dari telapak tangannya berderu letusan angin yang dengan pantas menuju ke arah Adaj.

“Ktulu!” teriak Adaj seraya menghalakan tapak tangannya ke arah letusan angin tersebut. Muncul tiba-tiba seekor jin yang amat besar lagi menakutkan. Tubuhnya seperti bongkah-bongkah batu gunung dan seolah-olah dipenuhi dengan rekahan di sana-sini. Dari celahan rekahan tersebut mengalir keluar cecair nanah yang berasap dan berbau hamis. Letusan serangan angin Tal Kushaini lantas berlaga dengan jin yang diseru oleh Adaj untuk melindungi dirinya itu. Satu letupan yang amat kuat terjadi. Jin yang digelar sebagai Ktulu tadi menjerit-jerit kesakitan. Tubuhnya marak dibakar dengan api yang mendebukan setiap incinya.

“Oh! Kau ini sangat hebat dan masih mampu mengancam nyawaku, Tal Kushaini. Thor! Muse!” pekik Adaj seraya menghalakan kedua tapak tangannya di sisi kiri dan kanan Ktulu. Muncul pula dua ekor jin jantan dan betina. Jin yang jantan lengkap berperisai dan dipersenjatai dengan sebilah tukul yang sangat besar. Sosok tubuhnya tegap dan dipenuhi dengan calar-balar parut lama. Wajahnya bengis persis seekor babi hutan. Manakala si betina pula kurus dan tinggi. Rambutnya putih mengurai dengan wajah cengkung yang menyeramkan. Kulitnya pucat lesi dan dipenuhi dengan liang-liang luka besar yang tidak henti mengalirnya darah.

“Teruklah aku! Dia asyik menyeru keluar jin-jin yang kuat dan hebat!” rungut Tal di dalam hati. Jin jantan yang digelarkan Thor tersebut meluru ke arah pendekar berpangkat Eksekutif tersebut dengan kepantasan yang luar biasa. Namun dengan pantas juga Tal Kushaini melentingkan tubuhnya ke udara dengan bantuan letusan angin di kedua belah kakinya. Tukul besar milik Thor yang dihentakkan ke ubun kepala musuhnya gagal menemukan sasaran. Sebaliknya tanah yang dihentak dengan tukul tadi meledak dan menjadi lekukan yang amat besar. Thor memekik dan menghayunkan-hayun tukulnya secara membabi buta. Tal mengambil peluang di atas amarah jin tersebut untuk menyelinap di belakangnya lantas meledakkan angin puting beliung ke arahnya. Thor yang kini hilang keseimbangan diri melambung naik dan berputar-putar ke udara dengan pantas.

“Nike!” pekik Adaj pula. Muncul seekor jin lagi yang mempunyai tubuh hampir lutsinar. Jin tersebut meluru masuk ke arah angin puting beliung hasil kuasa Karamah Tal tadi dan berjaya meneutralkannya. Malahan Thor juga berjaya ditahan di udara agar tidak jatuh terhempas ke bumi.

“Celaka!” teriak Tal seraya mengaktifkan pedang pemancung angin ciptaan Ren Fairuz dengan kuasa Karamahnya. Namun sebaik sahaja beliau ingin melibas pedang anginnya itu ke arah Thor dan Nike, tiba-tiba Tal kejang dan menjerit-jerit kesakitan. Mata pendekar Eksekutif itu sempat mengerling ke arah Muse yang kini mengumandangkan lagu yang menyakitkan telinga dan segenap urat sarafnya. Darah keluar memercik dari setiap liang luka Tal. Beliau benar-benar dalam keadaan derita sekarang. Maharaja Adaj pula hanya tersenyum kambing memerhatikan keadaan lawannya itu.

“Jaga-jaga Tal!” teriak Adaj. Namun amaran separuh hatinya itu sudah terlambat. Tubuh Tal tiba-tiba tertiarap ke bumi. Rupa-rupanya Nike telah menekan tubuhnya dengan kuasa angin yang tersangat keras. Manakala Thor pula menghentakkan tukulnya ke belakang Tal dengan sekuat-kuat hati. Bukan itu sahaja, malah tukul milik Thor tadi mengeluarkan arus elektrik yang amat tinggi. Tal menjerit-jerit kesakitan. Penderitaan yang dialaminya adalah begitu menyayat hati.

“Cukuplah Allah sebagai penjaga dan pelindungku!” jerit Tal tiba-tiba. Dengan tidak semena-mena muncul angin puting beliung besar yang menyedut Thor dan Nike ke dalamnya. Tal bingkas tegak berdiri. Beliau membacakan potongan surah al-Baqarah ayat dua ratus enam puluh enam tadi. Angin saiklon tadi kini marak dijilat api yang besar dan ganas. Jin Nike dan Thor sama-sama menjerit-jerit kesakitan dibakar di dalam api Karamah tersebut.

“Ktulu! Mara! Anubis!” seru Maharaja Adaj yang menjelmakan dua lagi ekor jin bersama Ktulu yang masih lagi bernyawa. Beliau mahu membantu kedua-dua hambanya yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Muse pula semakin lantang mengalunkan lagu pembinasa sarafnya tadi. Kesakitan dan penderitaan Tal Kushaini kian bertambah. Namun seruan syahid semakin mengobar-ngobarkan sisa semangatnya yang masih ada. Mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat ke empat puluh satu dari Surah Az-Zariyat (angin yang mencerai-beraikan) yang bermaksud “Dan tentang kaum ‘Aad, ketika Kami mengirimkan kepada mereka angin yang membinasakan”.

“Mampuslah kamu semua!” pekik Tal seraya mendepangkan kedua belah tangannya. Dari pusaran ganas angin puting beliung tersebut muncul puluhan pedang pemancung angin yang membelah apa sahaja di laluannya. Jin-jin yang bergelar Ktulu, Mara dan Anubis tidak sempat tiba untuk mengeroyok tubuh Tal. Kesemua mereka habis dipancung dengan kuasa Karamah milik Tal yang sempurna dan sangat dahsyat tersebut.

***********************************************

Di Ipoh, Perak di Malaysia. Beberapa jam sebelum itu...

“Daryll! Tuan Don ingin berjumpa denganmu!” Daryll yang juga dikenali sebagai Serigala Angin tiba-tiba menjadi bersemangat dan ceria. Beliau hampir-hampir sahaja mahu terlelap di dalam biliknya yang sunyi lagi membosankan itu. Daryll bingkas bangun dan terus sahaja mengekori Duali yang mulai bergerak keluar dari bilik tersebut.

Selang seminit kemudian akhirnya mereka berdua tiba di hadapan bilik Donald. Duali berdehem sebentar lantas mengetuk pintu dengan penuh rasa hormat. Pun begitu beliau terus sahaja membuka pintu tersebut tanpa menunggu dipelawa. Di hadapan mereka berdua Donald duduk menunggu dengan senyuman ceria.

“Apa khabar, tuan Don?” sapa Daryll dengan nada yang agak gusar. Sudah begitu lama beliau tidak bertemu dan berbicara dengan pemimpinnya itu.

“Aku baik dan sihat. Terima kasih kerana bertanya.” balas Donald dengan nada agak girang. Daryll menarik nafas lega. Sangkanya tentu ketuanya itu akan menambahkan hukuman lagi ke atas beliau kerana begitu berani mencabar Maharaja Pemancung Angin tidak lama dahulu.

“Daryll, aku mahu memberikan tugasan yang penting kepadamu. Namun kau duduklah dahulu.” arah Donald yang masih bernada mesra. Pun begitu hati Daryll berdetak bahawa arahan yang akan diberikan kepadanya ini pastinya suatu perkara yang kurang menyenangkan. Beliau sudah masak benar dengan sikap pemimpinnya itu.

***********************************************

Pada masa yang sama di markas Neon Melambai di Batu Gajah...

“Erika! Aku si Monsoon kini hadir di hadapanmu atas kepercayaan bahawa kau mempunyai maklumat yang teramat penting untuk disampaikan!” ujar ketua kumpulan Terendak Biru tersebut dengan suara yang amat lantang. Bersama beliau adalah empat orang ahli Terendak Biru yang amat handal. Erika tersenyum kambing bila Monsoon menyebut perkataan ‘percaya’ sedangkan beliau sendiri diiringi oleh empat orang terhebatnya.

“Monsoon! Apa kata kalau kita berdua bubarkan sahaja kumpulan kita dan menyerah diri kepada MetroPolis?” saran Erika. Terbelalak mata Monsoon mendengarkan kata-kata tersebut. Beliau menumbuk meja Jepun di hadapannya sekuat-kuat hati lantas bingkas berdiri. Telunjuk kanannya dihalakan tepat ke muka Erika.

“Bangsat! Kau mensia-siakan masa emasku hanya untuk menyebut perkataan yang sia-siakah?” jerkah Monsoon. Beberapa orang ahli terhandal Neon Melambai mula menampilkan diri. Empat orang pengiring Monsoon juga telah membuka langkah waspada. Namun dengan cepat Erika menahan anak-anak buahnya daripada bertindak melulu.

“Dengarlah dulu, Monsoon. Kau adalah seorang yang amat bijak dan mungkin melebihi kehebatanku. Itulah sebabnya aku membawa tawaran ini kepadamu. Namun kau dengarlah dulu habis-habisan. Kemudian barulah kau buat keputusan.” Erika menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk sekutunya itu. Monsoon yang pantang diampu akhirnya akur dengan permintaan tersebut. Beliau kembali duduk. Erika segera memberikan sekeping kertas kepada Monsoon.

“Jawatan kosong sebagai anggota polis di MetroPolis Enterprise?” baca Monsoon dengan nada kemusykilan. Matanya kemudian tepat memandang ke arah Erika.

“Ya! Aku fikir inilah jalan terbaik untuk kita bersatu dan membalas dendam secara halal terhadap ahli kumpulan Don!” ujar Erika dengan nada teruja.

***********************************************

Pada masa yang sama di Restoran Bubur Nasi Zhang milik Catherine...

David, abang Catherine yang kini mempunyai masa terluang membelek-belek risalah iklan yang diberikan oleh adiknya sebelum beliau bertolak menjalani rawatan Peranchis bersama Enbi. Catherine beriya-iya memujuknya agar menggantikan tempat beliau di dalam MetroPolis. Walhal David sehingga kini menyalahkan Enbi di atas kecederaan berat adiknya. Beliau termenung agak lama. David mempelajari senibela diri selama ini dengan niat untuk menjaga dan mempertahankan orang-orang yang disyanginya serta membela orang yang ditindas. Tatkala Enbi menubuhkan MetroPolis, hatinya begitu terpanggil untuk menyertai Enbi. Namun David begitu bimbang dengan niat sebenar buah hati adiknya itu. Enbi yang dikenalinya semenjak kecil adalah seorang yang sangat bermasalah dan dipenuhi dengan perasaan dendam. Tidak mustahil orang sepertinya itu akan menggunakan MetroPolis sebagai jalan untuk melampiaskan dendam kesumatnya.

Namun setakat ini ternyata sangkaannya itu salah. Enbi sememangnya berjaya membalas dendam terhadap orang-orang yang telah menganiayai bapanya. Namun tidak pernah walau sekali beliau menggunakan MetroPolis untuk mencapai matlamatnya itu. Enbi dan ahli MetroPolis telah bermati-matian membela orang-orang yang selama ini tertindas akibat badan kepolisan yang telah dikorporatkan. Mungkin itulah sebabnya mengapa beliau terus menyampaikan ilmu seni beladirinya kepada Enbi hingga Enbi menjadi handal dan terkenal. Mungkin David secara tidak langsung mahu ‘turut bersama’ di dalam perjuangan MetroPolis. Kini Catherine menawarkan peluang untuk beliau benar-benar bersama dengan MetroPolis. Hati David cukup gembira. Namun rasa was-wasnya masih ada.

“David! Pelanggan di meja tigabelas!” jerit si ibu yang langsung mematikan lamunan David. Beliau bingkas bangun menuju ke arah pelanggannya yang baharu tiba. Senyuman sentiasa meniti di bibir tatkala melayan mereka ketika mengambil pesanan. Namun hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa berkecamuk hatinya sekarang.


- Bersambung -