Zero Hero SE
Bab 2
Selamat Tahun Baharu
Pada lebih kurang jam 9.00 malam akhirnya Adrina
muncul di jenang pintu. Senyuman pahalanya untukku diikhlaskan sehabis mungkin
walaupun jelas calit kelesuan terpapar pada wajah beliau. Aku yang masih
memegang pintu yang kubuka tadi membalas senyumannya dan memerhatikan
tidak-tanduknya yang membuka sepatu dengan cermat dan menyimpannya di dalam
kabinet. Bukanlah ada apa-apa yang artistik sangat dengan perbuatan isteriku
itu tetapi aku menunggu agenda yang seterusnya. Seperti yang kujangkakan,
Adrina kemudian memelukku dengan erat. Kalaupun dia terlupa atau tergesa-gesa,
aku pula yang akan menarik tangannya dan merangkulnya. Oh, romantiknya kami
laki bini!
... Oh, tak malunya kami laki bini!
“Hi baby.” ucapnya dengan lunak. Aku hanya
tersenyum dan menepuk-nepuk belakang isteriku dengan lembut. Sayugia diingatkan
bahawa apa yang kami buat ini adalah sah dan mendapat pahala yang besar. Anda
dilarang meniru aksi ini sekiranya belum berkahwin. Berdosa besau, bak kata orang
Melaka. Adrina kemudian duduk di sofa lantas menarik kaki kanannya ke muka.
“Apahal pulak tu?” tegurku dengan nada kurang
senang.
“Takut kaki berbau. Nanti spoil pulak mood
romantik kita.” jawab Adrina dengan hujah yang bagiku agak konkrit namun mempunyai
agenda yang tersembunyi. Ish, inilah bahananya banyak sangat membaca
suratkhabar arus perdana!
“Uii... wanginya! Masak apa tu?” tegur Adrina
kemudiannya. Aku tersenyum bangga bercampur teruja. Semenjak meletakkan jawatan
sebagai perunding korporat tiga bulan lalu, aku mulai berkecimpung dalam bidang
masak-memasak. Tidak tersangka pula aku mempunyai bakat terpendam dalam bidang
masakan. Namun tidaklah pula aku ‘mukabuku’ juadah-juadahku untuk ditatapi oleh
orang lain. Hairan sungguh melihat kawan-kawanku yang menangkap gambar makanan
dan dimuatkan ke dalam facebook. Lebih menghairankan bila mereka menulis pula
“jemput makan” di bawah gambar tersebut. Tahu tak bahawa itu adalah kezaliman
terhadapku yang suka makanan dan aku akan tuntut di hadapan mahkamah Allah
‘Azzawajalla kelak. Haha! Tau takut!
“Saya masak burger hari ini. Tapi yang special
punya, tau? Burger bakar.” maklumku dengan rasa teruja. Sebenarnya aku masih
tak berpuas hati dengan burger untut... burger unta yang kumakan tengahari
tadi. Jadi nafsu mendesak agar aku membuat sendiri burger yang lazat mengikut
firasatku. Firasat kaum Mayan tak diambil kira dalam hal ini.
“Tentu best! Tapi bagi Rina mandi dulu,
okey?” pinta isteriku. Mandi? Alamak! Kalau Adrina mandi, alamat besok sebelum
subuh baharulah kami makan.
“Tak usahlah mandi dulu. Saya dah lapar ni. Lepas
makan baru mandi, ya?” pujukku. Perutku sudah berapa kali mengumandangkan
Keroncong Untuk Ana ni.
“Tapi Medical Journal kata tak baik lepas
makan kita mandi, tu?” protes Adrina.
“Lantaklah agro journal ke, astro channel
ke... kita makanlah dulu, ya? Nanti kita mandi sama-sama, nak?” Kali ini aku
mengumpan dengan khidmat seksual pula. Tapi khidmatku ini halalan toyyiban,
tau? Adrina tersenyum lantas mencubit lenganku.
“Okey. Nanti Rina dan abang mandi sama-sama, tau?”
ujarnya akur pada sarananku. Sekali lagi ungkapan ‘abang’ daripada Adrina
mengocakkan hatiku.
“Saya suka Rina panggil saya abang.” maklumku.
“Kalau begitu abang janganlah lagi gunakan perkataan
‘saya’, okey?” omel isteriku pula. Betul juga! Aku masih menggunakan perkataan
‘saya’ lagi.
‘Okey... okey... setiap kali sa.. abang gunakan
perkataan ‘saya,’ abang akan beri sepuluh sen kepada Rina.” ujarku. Adrina
tertawa.
“Kedekut macam Haji Bakhil.” kutuknya.
“Okeylah tu untuk penganggur macam abang ni. Lagipun
sepuluh sen tu kalau dikumpul, kalau dah banyak boleh beli rumah batu, tau?”
balasku mengajuk gaya percakapan Haji
Bakhil dalam filem P. Ramlee bertajuk Labu dan Labi. Adrina ketawa besar. Aku
hanya tersenyum. Pahit juga rasanya bila mengakui diriku sebagai penganggur.
***************************************
Kami kini berada di atas bumbung rumah. Lupa untukku
memaklumkan bahawa tarikh pada malam ini adalah 31 Disember dan beberapa minit
lagi seluruh rakyat di Malaysia akan menyambut tahun baharu. Mungkin ada yang
menyambutnya di tapak konsert dan di kelab-kelab hiburan. Mungkin ada juga yang
menyambutnya dengan pengisian jiwa dan rohani iaitu mendekatkan diri kepada
Yang Maha Pencipta. Aku dan Adrina pula menyambut tahun baharu kali ini di atas
bumbung rumah kami.
“Burger bakar yang abang buat memang ‘A’ la. Ini
bukan mengampu. Ini betul-betul.” puji isteriku sebelum menggigit burger buat
kesekian kalinya. Hairan sungguh dengan Adrina ini. Kuat makan tetapi tubuhnya
elok sahaja langsing. Padan patutlah beliau dicemburui oleh wanita-wanita lain
dari dahulu hingga kini.
“Ini bukan cobaan?” tanyaku dengan gaya
melawak ala filem P. Ramlee bertajuk Pendekar Bujang Lapok.
“Ini bukan cobaan... Ini butul-butul!”
balas Adrina yang turut mengajuk dengan lawak yang sama. Kami berdua ketawa.
Buat seketika kemudiannya kami berdiam diri sejenak. Aku menghirup air tin
bergas perasa rut bir dan kembali meletakkan di atas genting bumbung di sisiku.
“Abang patut buka gerai burger bakar. Rina pasti
orang ramai akan suka. Gerai burger abang pasti dapat sambutan.” saran Adrina
secara tiba-tiba. Tergamam aku dibuatnya. Aku merenung ke dalam mata isteriku
untuk melihat niatnya yang sebenar. Sama ada beliau bergurau atau benar-benar
maksudkannya dengan bait-bait kata itu tadi.
“Rina serius, tau? Abang memang pandai memasak. Abang
nampaknya memang berminat memasak. Apakata abang jadikan hobi abang ni perkara
yang menguntungkan? Bila abang dah dapat kerja nanti, abang boleh berhenti bila-bila
masa. Abang boleh mengelakkan wang simpanan abang menjadi semakin susut.”
Kata-kata Adrina membuatkanku terdiam.
“Rina kecilkan hati abang ke? Rina minta maaf.” ucap
Adrina pula sementelah dilihatnya aku membisu seribu bahasa. Kepalanya dilentokkan
ke bahu kananku. Ewah! Kalah Ella ni!
“Tak. Bukan. Sa.. abang tak marah pun. Cuma abang
tak sangka Rina akan membuat cadangan macam itu.” balasku.
“Apa maksud abang cakap begitu?’ tanya Adrina
tiba-tiba. Alamak! Macam aku dah tersilap langkah dalam memilih patah
perkataan. Macam manalah SPM dulu dapat A dalam Bahasa Melayu!
“Abang ingat Rina akan berasa malu kalau abang
berniaga burger, ya?” taakul isteriku. Ish, bila pula biniku berguru
dengan Nostradamus? Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri.
“Diam tu memang betullah tu. Geramnya!” ujar Adrina
dengan nada menderam. Dia kembali mencubit lenganku sekuat-kuat hati.
“Oi, ketam! Sakitlah!” omelku sambil menahan
kesakitan.
“Padan muka! Jahat! Tak percayakan Rina!” omel
Adrina pula.
“Bukan begitu, manja. Abang takut.” ujarku
mempertahankan diri.
“Abang takut apa?” tanyanya dengan nada masih tidak
berpuas hati. Aku agak itulah sebabnya ramai lelaki lebih suka mendiamkan diri
atau lari keluar membeli air kelapa bila isteri mereka memulakan mukaddimah
pertanyaan. Memang soalan-soalan standard Karpal Karam Walia Singh
punya. Jenuhlah aku nak menjawabnya!
“Abang takut abang dah menghampakan Rina dan akan terus
menghampakan Rina nanti.” jawabku. Aku fikir itulah jawapan terbaik untuk
mengelakkan Jurus Maut Ketam Adrina. Lelaki sekali-sekala perlu menunjukkan
emosi ‘rapuh’ kepada kaum hawa. Adrina memaut lenganku dan menyandarkan
kepalanya sekali lagi ke bahuku.
“Abang tak hampakan Rina. Abang dah banyak berkorban
untuk Rina. Sayangnya pengorbanan abang untuk Rina tak berbaloi. Rina yang
menghampakan abang. Maafkan Rina.” ujar isteriku dengan nada sayu. Alamak! Aku
memang dari dahulu lagi tak tahu cara menenangkan orang yang sedang bersedih.
Menyesal rasanya sebab culas menonton rancangan Dr. Fadilah Kamsah.
“Kalau Rina rasa abang boleh berniaga bisnes burger,
abang akan cuba dengan bisnes burger. Dulupun abang pernah menjual pisang
goreng lepas waktu bersekolah. Dah lama tak asah skill ni. Adakah Arif
Akmal akan berjaya dalam cabaran ini? Kita saksikan aksi-aksinya di episod akan
datang setiap hari Sabtu di Saluran Najis Anda!” pujukku dengan nada bergurau.
Teruk sungguh caraku memujuk. Orang di Indah Water pun tak berselera nak
membuat lawak sedemikian rupa. Namun tanpa disangka, Adrina ketawa. Beliau
merangkulku dengan lebih erat. Sekoyong-koyongnya langit di hadapan kami
meledak dan bergerutup dengan pelbagai cahaya berwarna-warni. Nampaknya tanpa
kami sedari, jam telahpun menunjukkan pukul dua belas.
“Cantiknya...” puji Adrina. Aku turut menganggukkan
kepala sambil mataku terpaku ke arah letusan-letusan bunga api yang masih bergerutupan.
Tiba-tiba aku berasa bahu kananku dicuit. Aku menoleh. Adrina sedang
memandangku dengan senyuman manis.
“Happy new year, abang. Terima kasih kerana
banyak berkorban untuk Rina dan menerima Rina seadanya. Abang adalah suami yang
sangat baik. I love you...” ucap Adrina. Matanya kelihatan jelas
bekaca-kaca. Aku tanpa bertangguh terus menarik tubuh isteriku dan mendakapnya dengan
erat.
“I love you too, sayang. Setiap masa dan
selama-lamanya.” bisikku ke telinga Adrina.
- Bersambung -
2 comments:
Heyyy ~ sepanjang tiga hari ni aku buang masa depan komputer dok baca cerita Zero Hero , Emo Hero & Zero Hero SE ni !tak guna betuiii ! Heee ~
Anywayy BRO you are the best story teller =D
Memang aku nak hangpa buang masa pun! Padan muka! Nyiaahahaha!
Post a Comment