MetroPolis
Episod 3
Bab
15
Ahli
Baharu (Bah. 1)
Tal Kushaini
menahan cungapnya. Kecederaan yang dialami olehnya adalah begitu berat sekali.
Ternyata lawan yang dihadapi oleh Tal kali ini adalah setanding dengan gurunya
Ren Fairuz. Sempat pula beliau mengerling di sekitar jangkauan pandangan.
Batalion tentera Organisasi yang berpengkalan di Algeria kini telah dibinasakan
sama sekali dalam masa tidak sampai sehari. Lebih kurang dua ribu orang tentera
terlatih yang rata-ratanya berpangkat Guardian habis kesemuanya dibunuh.
Kebanyakan bangunan di markas Organisasi tersebut telahpun musnah dijilat api.
Pesawat udara dan darat dengan persenjataan yang berat juga telah rosak binasa.
Kesemua perkara ini telah dilakukan oleh seorang individu sahaja. Namun beliau yang
berada di pihak Masonik itu sebenarnya mempunyai kedudukan teratas dalam
hierarki pendekar. Kini lawan yang menggerunkan tersebut tegak berdiri dalam
lingkungan tujuh puluh meter daripada Tal Kushaini.
“Memang aku
bukan tandinganmu, Adaj.” ujar Tal seraya tertawa kecil. Rupa-rupanya lawan
orang kanan Maharaja Pemancung Angin ini adalah Maharaja Adaj yang dianggap
sebagai salah seorang Dajjal yang akan muncul dan melakukan kerosakan di muka
bumi kelak. Maharaja Adaj mempunyai paras rupa yang segak dan lembut. Rambutnya
hitam dan bersinar dengan kepanjangan separas pinggang. Tubuhnya tinggi lampai
dan agak kurus. Kulitnya pula agak pucat dan kering. Pemimpin tertinggi
pertubuhan Masonik tersebut turut ketawa kecil.
“Namun kau
langsung tidak takutkan aku. Malah begitu gembira sekali nampaknya sekarang.
Adakah kerana kau tahu bahawa kau akan mendapat syahid pada hari ini?” tanya
Adaj dengan nada ramah. Tal agak tergamam dengan soalan yang dilontarkan
kepadanya tadi. Namun beliau kembali mengukir riak ceria di bibirnya seketika
kemudian.
“Harap-harapnya
begitulah. Tapi jangan mimpilah aku akan memberikan nyawaku dengan begitu
saja.” balas Tal. Kedua-dua mereka ketawa bagaikan kawan baik yang sedang
bergurau. Namun mereka sedang mempertaruhkan nyawa di medan pertempuran buat
masa ini. Dengan pantas Tal Kushaini menghalakan kedua belah telapak tangannya
ke arah Adaj lalu dibacakannya potongan ayat dari Surah Al-Baqarah pada ayat
yang ke dua ratus enam puluh enam yang membawa maksud “... maka kebun itu ditiup
angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah...”. Dari telapak tangannya
berderu letusan angin yang dengan pantas menuju ke arah Adaj.
“Ktulu!”
teriak Adaj seraya menghalakan tapak tangannya ke arah letusan angin tersebut.
Muncul tiba-tiba seekor jin yang amat besar lagi menakutkan. Tubuhnya seperti
bongkah-bongkah batu gunung dan seolah-olah dipenuhi dengan rekahan di
sana-sini. Dari celahan rekahan tersebut mengalir keluar cecair nanah yang
berasap dan berbau hamis. Letusan serangan angin Tal Kushaini lantas berlaga
dengan jin yang diseru oleh Adaj untuk melindungi dirinya itu. Satu letupan
yang amat kuat terjadi. Jin yang digelar sebagai Ktulu tadi menjerit-jerit
kesakitan. Tubuhnya marak dibakar dengan api yang mendebukan setiap incinya.
“Oh! Kau ini
sangat hebat dan masih mampu mengancam nyawaku, Tal Kushaini. Thor! Muse!”
pekik Adaj seraya menghalakan kedua tapak tangannya di sisi kiri dan kanan
Ktulu. Muncul pula dua ekor jin jantan dan betina. Jin yang jantan lengkap
berperisai dan dipersenjatai dengan sebilah tukul yang sangat besar. Sosok
tubuhnya tegap dan dipenuhi dengan calar-balar parut lama. Wajahnya bengis
persis seekor babi hutan. Manakala si betina pula kurus dan tinggi. Rambutnya
putih mengurai dengan wajah cengkung yang menyeramkan. Kulitnya pucat lesi dan
dipenuhi dengan liang-liang luka besar yang tidak henti mengalirnya darah.
“Teruklah
aku! Dia asyik menyeru keluar jin-jin yang kuat dan hebat!” rungut Tal di dalam
hati. Jin jantan yang digelarkan Thor tersebut meluru ke arah pendekar
berpangkat Eksekutif tersebut dengan kepantasan yang luar biasa. Namun dengan
pantas juga Tal Kushaini melentingkan tubuhnya ke udara dengan bantuan letusan
angin di kedua belah kakinya. Tukul besar milik Thor yang dihentakkan ke ubun
kepala musuhnya gagal menemukan sasaran. Sebaliknya tanah yang dihentak dengan
tukul tadi meledak dan menjadi lekukan yang amat besar. Thor memekik dan
menghayunkan-hayun tukulnya secara membabi buta. Tal mengambil peluang di atas
amarah jin tersebut untuk menyelinap di belakangnya lantas meledakkan angin
puting beliung ke arahnya. Thor yang kini hilang keseimbangan diri melambung
naik dan berputar-putar ke udara dengan pantas.
“Nike!”
pekik Adaj pula. Muncul seekor jin lagi yang mempunyai tubuh hampir lutsinar.
Jin tersebut meluru masuk ke arah angin puting beliung hasil kuasa Karamah Tal
tadi dan berjaya meneutralkannya. Malahan Thor juga berjaya ditahan di udara
agar tidak jatuh terhempas ke bumi.
“Celaka!”
teriak Tal seraya mengaktifkan pedang pemancung angin ciptaan Ren Fairuz dengan
kuasa Karamahnya. Namun sebaik sahaja beliau ingin melibas pedang anginnya itu
ke arah Thor dan Nike, tiba-tiba Tal kejang dan menjerit-jerit kesakitan. Mata
pendekar Eksekutif itu sempat mengerling ke arah Muse yang kini mengumandangkan
lagu yang menyakitkan telinga dan segenap urat sarafnya. Darah keluar memercik
dari setiap liang luka Tal. Beliau benar-benar dalam keadaan derita sekarang.
Maharaja Adaj pula hanya tersenyum kambing memerhatikan keadaan lawannya itu.
“Jaga-jaga
Tal!” teriak Adaj. Namun amaran separuh hatinya itu sudah terlambat. Tubuh Tal
tiba-tiba tertiarap ke bumi. Rupa-rupanya Nike telah menekan tubuhnya dengan
kuasa angin yang tersangat keras. Manakala Thor pula menghentakkan tukulnya ke
belakang Tal dengan sekuat-kuat hati. Bukan itu sahaja, malah tukul milik Thor
tadi mengeluarkan arus elektrik yang amat tinggi. Tal menjerit-jerit kesakitan.
Penderitaan yang dialaminya adalah begitu menyayat hati.
“Cukuplah
Allah sebagai penjaga dan pelindungku!” jerit Tal tiba-tiba. Dengan tidak
semena-mena muncul angin puting beliung besar yang menyedut Thor dan Nike ke
dalamnya. Tal bingkas tegak berdiri. Beliau membacakan potongan surah
al-Baqarah ayat dua ratus enam puluh enam tadi. Angin saiklon tadi kini marak
dijilat api yang besar dan ganas. Jin Nike dan Thor sama-sama menjerit-jerit
kesakitan dibakar di dalam api Karamah tersebut.
“Ktulu!
Mara! Anubis!” seru Maharaja Adaj yang menjelmakan dua lagi ekor jin bersama
Ktulu yang masih lagi bernyawa. Beliau mahu membantu kedua-dua hambanya yang
sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Muse pula semakin lantang mengalunkan lagu
pembinasa sarafnya tadi. Kesakitan dan penderitaan Tal Kushaini kian bertambah.
Namun seruan syahid semakin mengobar-ngobarkan sisa semangatnya yang masih ada.
Mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat ke empat puluh satu dari Surah
Az-Zariyat (angin yang mencerai-beraikan) yang bermaksud “Dan tentang kaum
‘Aad, ketika Kami mengirimkan kepada mereka angin yang membinasakan”.
“Mampuslah
kamu semua!” pekik Tal seraya mendepangkan kedua belah tangannya. Dari pusaran
ganas angin puting beliung tersebut muncul puluhan pedang pemancung angin yang
membelah apa sahaja di laluannya. Jin-jin yang bergelar Ktulu, Mara dan Anubis tidak
sempat tiba untuk mengeroyok tubuh Tal. Kesemua mereka habis dipancung dengan
kuasa Karamah milik Tal yang sempurna dan sangat dahsyat tersebut.
***********************************************
Di Ipoh,
Perak di Malaysia. Beberapa jam sebelum itu...
“Daryll!
Tuan Don ingin berjumpa denganmu!” Daryll yang juga dikenali sebagai Serigala
Angin tiba-tiba menjadi bersemangat dan ceria. Beliau hampir-hampir sahaja mahu
terlelap di dalam biliknya yang sunyi lagi membosankan itu. Daryll bingkas
bangun dan terus sahaja mengekori Duali yang mulai bergerak keluar dari bilik
tersebut.
Selang
seminit kemudian akhirnya mereka berdua tiba di hadapan bilik Donald. Duali
berdehem sebentar lantas mengetuk pintu dengan penuh rasa hormat. Pun begitu
beliau terus sahaja membuka pintu tersebut tanpa menunggu dipelawa. Di hadapan
mereka berdua Donald duduk menunggu dengan senyuman ceria.
“Apa khabar,
tuan Don?” sapa Daryll dengan nada yang agak gusar. Sudah begitu lama beliau
tidak bertemu dan berbicara dengan pemimpinnya itu.
“Aku baik
dan sihat. Terima kasih kerana bertanya.” balas Donald dengan nada agak girang.
Daryll menarik nafas lega. Sangkanya tentu ketuanya itu akan menambahkan
hukuman lagi ke atas beliau kerana begitu berani mencabar Maharaja Pemancung
Angin tidak lama dahulu.
“Daryll, aku
mahu memberikan tugasan yang penting kepadamu. Namun kau duduklah dahulu.” arah
Donald yang masih bernada mesra. Pun begitu hati Daryll berdetak bahawa arahan
yang akan diberikan kepadanya ini pastinya suatu perkara yang kurang
menyenangkan. Beliau sudah masak benar dengan sikap pemimpinnya itu.
***********************************************
Pada masa
yang sama di markas Neon Melambai di Batu Gajah...
“Erika! Aku
si Monsoon kini hadir di hadapanmu atas kepercayaan bahawa kau mempunyai
maklumat yang teramat penting untuk disampaikan!” ujar ketua kumpulan Terendak
Biru tersebut dengan suara yang amat lantang. Bersama beliau adalah empat orang
ahli Terendak Biru yang amat handal. Erika tersenyum kambing bila Monsoon
menyebut perkataan ‘percaya’ sedangkan beliau sendiri diiringi oleh empat orang
terhebatnya.
“Monsoon!
Apa kata kalau kita berdua bubarkan sahaja kumpulan kita dan menyerah diri
kepada MetroPolis?” saran Erika. Terbelalak mata Monsoon mendengarkan kata-kata
tersebut. Beliau menumbuk meja Jepun di hadapannya sekuat-kuat hati lantas
bingkas berdiri. Telunjuk kanannya dihalakan tepat ke muka Erika.
“Bangsat!
Kau mensia-siakan masa emasku hanya untuk menyebut perkataan yang sia-siakah?”
jerkah Monsoon. Beberapa orang ahli terhandal Neon Melambai mula menampilkan
diri. Empat orang pengiring Monsoon juga telah membuka langkah waspada. Namun
dengan cepat Erika menahan anak-anak buahnya daripada bertindak melulu.
“Dengarlah
dulu, Monsoon. Kau adalah seorang yang amat bijak dan mungkin melebihi
kehebatanku. Itulah sebabnya aku membawa tawaran ini kepadamu. Namun kau
dengarlah dulu habis-habisan. Kemudian barulah kau buat keputusan.” Erika
menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk sekutunya itu. Monsoon yang pantang
diampu akhirnya akur dengan permintaan tersebut. Beliau kembali duduk. Erika
segera memberikan sekeping kertas kepada Monsoon.
“Jawatan
kosong sebagai anggota polis di MetroPolis Enterprise?” baca Monsoon dengan
nada kemusykilan. Matanya kemudian tepat memandang ke arah Erika.
“Ya! Aku
fikir inilah jalan terbaik untuk kita bersatu dan membalas dendam secara halal
terhadap ahli kumpulan Don!” ujar Erika dengan nada teruja.
***********************************************
Pada masa
yang sama di Restoran Bubur Nasi Zhang milik Catherine...
David, abang
Catherine yang kini mempunyai masa terluang membelek-belek risalah iklan yang
diberikan oleh adiknya sebelum beliau bertolak menjalani rawatan Peranchis
bersama Enbi. Catherine beriya-iya memujuknya agar menggantikan tempat beliau
di dalam MetroPolis. Walhal David sehingga kini menyalahkan Enbi di atas
kecederaan berat adiknya. Beliau termenung agak lama. David mempelajari
senibela diri selama ini dengan niat untuk menjaga dan mempertahankan
orang-orang yang disyanginya serta membela orang yang ditindas. Tatkala Enbi
menubuhkan MetroPolis, hatinya begitu terpanggil untuk menyertai Enbi. Namun
David begitu bimbang dengan niat sebenar buah hati adiknya itu. Enbi yang
dikenalinya semenjak kecil adalah seorang yang sangat bermasalah dan dipenuhi
dengan perasaan dendam. Tidak mustahil orang sepertinya itu akan menggunakan
MetroPolis sebagai jalan untuk melampiaskan dendam kesumatnya.
Namun
setakat ini ternyata sangkaannya itu salah. Enbi sememangnya berjaya membalas
dendam terhadap orang-orang yang telah menganiayai bapanya. Namun tidak pernah
walau sekali beliau menggunakan MetroPolis untuk mencapai matlamatnya itu. Enbi
dan ahli MetroPolis telah bermati-matian membela orang-orang yang selama ini
tertindas akibat badan kepolisan yang telah dikorporatkan. Mungkin itulah
sebabnya mengapa beliau terus menyampaikan ilmu seni beladirinya kepada Enbi
hingga Enbi menjadi handal dan terkenal. Mungkin David secara tidak langsung
mahu ‘turut bersama’ di dalam perjuangan MetroPolis. Kini Catherine menawarkan
peluang untuk beliau benar-benar bersama dengan MetroPolis. Hati David cukup
gembira. Namun rasa was-wasnya masih ada.
“David!
Pelanggan di meja tigabelas!” jerit si ibu yang langsung mematikan lamunan
David. Beliau bingkas bangun menuju ke arah pelanggannya yang baharu tiba.
Senyuman sentiasa meniti di bibir tatkala melayan mereka ketika mengambil
pesanan. Namun hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa berkecamuk hatinya
sekarang.
-
Bersambung -
1 comment:
lambatnye update penat tggu huhu..
Post a Comment