Sunday, October 21, 2012

Pesanan Emissary Drakulon


Pesanan Emissary Drakulon
(19-10-12)


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Daripada saya, Muhammad ‘Naar’ Saif atau Emissary Drakulon. Salam sejahtera dan rahmat Allah kepada mereka yang mahu menerima petunjuk.

Amma ba’du.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Seseorang Muslim adalah saudara Muslimnya yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya. Barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barangsiapa yang menghilangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah akan melepaskan kesulitannya kelak pada hari kiamat. Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya kelak pada hari kiamat.”

Saudara Muslimku yang dikasihi,

Pada masa kini ramai di antara orang Islam yang melupakan pesanan Rasulullah SAW ini dan tidak lagi menganggap orang Muslim seperti saudaranya sendiri. Mereka suka mencari-cari kesalahan seseorang Muslim yang lain, lebih-lebih lagi yang mereka tidak sukai. Sekiranya mereka ternampak akan kesalahan saudara mereka tersebut, maka mereka canangkan kepada orang lain agar dapat menjatuh dan mengaibkan saudara mereka itu. Lebih buruk lagi kadang-kala mereka membuat tohmahan yang tidak benar terhadap saudara mereka itu semata-mata untuk kepuasan nafsu sendiri. Mereka tidak peduli sama ada saudara Muslim mereka itu dan ahli keluarganya disakiti dan porak-peranda kebahagiaannya atau tidak.

Ada pelbagai sebab mengapa terjadinya perkara keji sebegini. Ada di antara orang Islam ini yang dengki melihatkan kelebihan yang ada pada saudara Muslim mereka yang lain. Kelebihan ini termasuklah antaranya kekayaan harta, memegang jawatan yang lebih tinggi dalam masyarakat, hatta disanjungi oleh orang ramai kerana kebaikannya. Ada juga yang sanggup berbuat perkara terkutuk tersebut kerana bergaduh dan bermusuh dengan saudara mereka atas perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

Namun yang paling buruk sebabnya ialah kerana fahaman politik yang berbeza. Tidak salah seseorang Muslim itu menyokong mana-mana parti politik berdasarkan pendirian masing-masing. Akan tetapi dengan sebab mahu menaikkan imej parti, mereka sanggup berbuat apa sahaja hatta memusnahkan kedudukan dan maruah saudara mereka adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima. Tidak mengapalah sekiranya kita mahu mengkritik polisi atau pendirian parti lawan kita secara terbuka sama ada melalui media massa atau internet.

Namun kita adalah dilarang oleh Allah dan rasulNya sama sekali untuk menghebahkan keburukan peribadi seseorang tokoh politik itu untuk diketahui oleh orang ramai. Tidak kira sama ada saudara Muslim kita ini seorang peminum arak, sering berzina, tahi judi dan lain-lain yang tidak menjejaskan kepentingan umat Islam seluruhnya. Itu adalah dosa peribadinya dengan Allah. Kalau Allah mahu mengazabnya di akhirat kelak, maka terazablah dia. Kalau Allah mahu mengampunkan seluruh dosa-dosanya itu, sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Malah lebih buruk lagi ada di antara kita yang menyeret ahli keluarga saudara Muslim kita untuk menjatuhkannya. Dengan begitu bersahaja ada di antara kita yang menghebahkan bahawa isteri si fulan ini berzina dengan si fulan hingga melahirkan anak luar nikah. Ataupun menantu si fulan ini adalah penjenayah yang kini diburu oleh pihak berkuasa. Perkara ini adalah jelas tiada kena-mengena dengan kepentingan umat Islam dan jangan pula kita membuat alasan bahawa keaiban seperti ini perlu didedahkan kerana tokoh-tokoh politik seperti ini akan memusnahkan umat Islam. Kita semua tidak terlepas dari melakukan dosa dan perkara-perkara yang keji. Dengan sifat Allah yang Ar-Rahman sahaja maka terlindunglah aib kita dari diketahui oleh orang lain. Jika Allah memperlihatkan keaiban setiap manusia di dunia ini kepada orang lain, maka kita tak mampu lagi untuk menunjukkan wajah kita kepada orang ramai. Jadi jika Allah telah menutup keaiban seseorang Muslim itu, mengapa pula kita sebagai hambaNya yang hina lagi lemah ini mahu membuka keaiban saudara kita pula?

Ingatlah akan amaran Allah AWJ dalam Surah An-Nur ayat ke 19 yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang ingin agar (berita) yang amat keji itu tersiar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat...”

A’uzubillahi minzaalik. Janganlah kita membuat perkara-perkara seperti di atas kerana seolah-olah kita meminta agar Allah mengazab kita di dunia ini dan di akhirat kelak. Wallahu a’lam.

Yang paling keji sekali ialah sikap seseorang Muslim yang membuat tohmahan palsu ke atas saudara Muslimnya atau menghina ciptaan dan ketentuan Allah terhadap saudara kita itu. Tohmahan palsu atau dikenali sebagai fitnah di kalangan masyarakat Melayu adalah suatu dosa yang amat besar. Namun dalam masyarakat Melayu, ianya menjadi mainan di hujung lidah atau di hujung jari sahaja (bagi yang menulis) seolah-olah ianya adalah suatu dosa yang kecil.

Dalam Sahih Bukhari, Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya kamu nanti akan mengerjakan amalan (kebiasaan) yang dalam pandangan kamu lebih kecil dari butiran gandum, sedangkan kami pada zaman Rasulullah SAW dahulu menganggapnya termasuk sesuatu yang mencelakakan.” Begitu mudah antara kita yang menuduh saudara kita berzina sedangkan kita tidak membawakan bukti seperti yang diwajibkan dalam syarak. Orang-orang sebegini pasti akan menerima azab Allah yang amat dahsyat sekiranya dosanya itu masih berkekalan hingga di padang mahsyar kelak. Na’uzubillah.

Ada antara kita yang menghina ciptaan dan ketentuan Allah kepada saudara kita. Maka keluarlah kata-kata nista terhadap lawan politik kita seperti hidungnya yang besar bagaikan terowong dan belajar setakat Darjah 6 sahaja sudah diangkat menjadi pemimpin. Bentuk fizikal seseorang itu Allah yang ciptakan. Dengan mudah kita mencerca dan memperlekehkan ciptaan Allah itu. Tidakkah ini dianggap menghina Allah? Tahap akademik seseorang adalah ketentuan dari Allah AWJ. Namun ilmu itu adalah kurniaan dariNya. Rasulullah SAW adalah seorang yang ummi dan tidak memperolehi sebarang ijazah akademik. Adakah kita mahu mempertikaikan dan memperlekehkan Baginda sebagai seorang Rasul Allah?

Saudara Muslimku yang dikasihi,

Akhir kata berhentilah dari terus-menerus melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap saudara Muslim kita hanya kerana fahaman politik yang berbeza. Di alam barzakh kelak, ketika malaikat Mungkar dan Nakir bertanya kepada kita : “Siapakah saudaramu?”, bolehkah kita menjawab “saudaraku adalah orang-orang Islam” sedangkan ketika hidup dunia kita banyak memfitnah, membuka keaiban dan memberi mudarat kepada saudara Muslim kita? Wallahu a’lam.

Wassalam.

MetroPolis Episod 3 - Bab 13


MetroPolis Episod 3
Bab 13
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 6)




Beberapa hari kemudian...

Enbi termenung dengan wajah yang amat suram. Perasaan tersebut biasa menghiasi wajahnya ketikamana Catherine koma di hospital untuk beberapa bulan. Emosi tersebut sekali mengiringinya tatkala beliau mendapati bahawa Catherine berada di ambang maut baharu-baharu ini. Kini kesuraman tersebut kembali menghurunginya atas perihal yang dimaklumkan kepadanya semalam. Lamunan Enbi tersentak tatkala bahunya ditepuk dengan lunak.

“Enbi, makanlah sup ayam ni.” pinta Catherine. Enbi kini berada di rumah ibu bapa sahabatnya itu. Sudah dua hari Catherine tidak berkunjung ke balai MatroPolis. Melihatkan sahaja keadaan sahabatnya itu, Enbi sudah dapat menelah akan tahap kesihatannya.

“Makanlah.” pujuk Catherine dengan lembut. Enbi menyambut mangkuk sup di tangan Catherine dengan senyuman yang dipaksa-paksa.

“Mana yang lain?” tanya Enbi sambil memandang sekeliling.

“Mereka semuanya bercuti ke Hong Kong.” maklum Catherine. Enbi mengangguk-angguk.

“Kau sudah dua hari tak datang ke balai.” ujar Enbi pula. Catherine agak tersentak. Namun beliau dengan perlahan mengangguk dan tersenyum.

“Kau sihat, Cat?” tanya Enbi pula.

“Hm. Saya semakin pulih.” jawab Catherine. Jelas nada jawapannya adalah di antara yakin dan tidak.

“Kau kembali memakai tongkat.” komen Enbi. Berubah air muka Catherine mendengarkan kata-kata tersebut. Beliau langsung terdiam. Enbi mengeluh panjang melihatkan reaksi sahabatnya itu.

“Kesihatanmu makin merosot, bukan? Orang yang jahil seperti aku pun tahu.” rungut Enbi. Walhal beliau mahu menyembunyikan perihal maklumat yang diperolehinya di Hospital Ibnu Sinna tempohari.

“Saya okey, Enbi.” pertahan Catherine yang kini duduk di sebelahnya. Enbi tersenyum kelat. Beliau meletakkan mangkuk sup ayam di atas meja. Kemudian diseluk poket seluarnya untuk mengeluarkan sesuatu.

“Dompet. Nak buat apa?” tanya Catherine. Enbi tidak menjawab. Sebaliknya beliau mengeluarkan sekeping not satu ringgit yang telah hanya tinggal separuh.

“Enbi.” ujar Catherine. Nada dan wajahnya berubah dengan rasa gusar.

“Ini ialah tanda perjanjianmu padaku. Lihat, masih ada cop mohor darahmu, Cat. Kau bersumpah untuk lakukan apa saja yang kau mampu jika aku minta.” Enbi terdiam sebentar seraya memandang tepat ke arah Catherine. Ingatan mereka berdua terlontar seketika pada zaman remaja. Ketika melawat Catherine yang agak teruk dibelasah oleh kumpulan samseng yang pada asalnya membelasah Enbi, Catherine telah membuat perjanjian tersebut. Gadis itu cukup arif dengan perangai sahabatnya yang ego untuk meminta bantuan walaupun tidak berkemampuan. Jadi itulah satu-satunya cara untuk membantu Enbi di samping dapat menjaga egonya.

“Sekarang aku menggunakan kuasa akujanjimu dan meminta kau mematuhinya. Adakah kau akan mematuhi apa yang kau telah bersumpah dengan darahmu ini? Ataupun kau hanya bercakap besar dan mengarut sahaja pada ketika itu.” persoal Enbi dengan ungkapan yang memancing perasaan Catherine. Buat seketika wujud perasaan hening di antara mereka berdua.

“Saya tak boleh menerima cinta awak, Enbi.” maklum Catherine yang akhirnya memecahkan kesunyian tersebut.

“Aku tahu. Aku cuma mahu kau turuti permintaanku tanpa bertanya itu dan ini. Boleh?” pinta Enbi. Catherine hanya mendiamkan diri sedangkan matanya tajam merenung ke arah sahabatnya itu. Bukannya dia tidak tahu tentang Enbi yang penuh dengan tipu helah tersebut.

“Percayalah padaku.” pinta Enbi dengan nada hampir merayu. Catherine mengeluh kecil. Kepalanya diangguk-angguk.

“Baiklah. Saya akur dengan akujanji saya. Apa yang Enbi mahu saya buat?” tanya Catherine dengan nada agak gusar. Enbi tersengih.

“Kahwin denganku, Cat!” balas Enbi.

“Enbi...” balas Catherine kembali dengan nada geram. Enbi ketawa terbahak-bahak.

“Aku bergurau sikit pun tak bolehkah? Dulu kau yang selalu merungut tentang sikapku yang serius dan tak mahu bergurau.” ujar Enbi memulang paku buah kerasnya. Catherine tersenyum. Jari-jemarinya pantas mencakup bahu kanan Enbi dan mencubitnya. Namun cubitan tersebut agak lemah bagi seorang pakar seni mempertahankan diri sepertinya.

“Cat, aku tahu bahawa kau dalam keadaan bahaya. Jadi aku telah meminta pertolongan dari seseorang untuk merawatmu.”

“Macam mana Enbi tahu tentang keadaan saya?” pangkas Catherine dengan pertanyaan curiga.

“Kan kau dah bersetuju untuk tidak bertanya itu dan ini?” balas Enbi dengan nada agak geram.

“Sekurang-kurangnya saya berhak untuk tahu kerana ia membabitkan diri saya.” balas Catherine pula. Enbi merengus.

“Kau dah janji, Cat! Kau dah janji!” ujar Enbi dengan nada kesal. Buat seketika mereka terdiam. Tiba-tiba Enbi meletakkan keratan not seringgit tadi di atas riba Catherine. Beliau dengan wajah mencuka terus bangun dan mengorak langkah pergi. Catherine agak tergamam kerana tidak menjangkakan perbuatan sahabatnya itu.

“Enbi! Tunggu Enbi!” seru Catherine dengan nada berteriak. Langkah Enbi mati buat seketika.

“Adakah kau benar-benar inginkan kematian, Cat?” tanya Enbi dalam keadaan masih membelakangi Catherine. Pertanyaan tersebut benar-benar membuatkan gadis tersebut tersentak emosinya. Catherine terdiam buat seketika. Air matanya mulai bergenang dan menitis keluar dari mata. Esakan kecilnya mulai kedengaran.

“Saya tak mahu mati, Enbi. Saya mahu bersama-sama dengan awak selama-lamanya.” maklum Catherine dalam esak tangisnya. Tangisan beliau benar-benar meruntun hati Enbi sehinggakan sahabatnya itu berpaling kembali dan mendapatkan Catherine. Beliau kembali duduk di sebelah gadis kesayangannya itu.

“Saya pun mahu kita hidup bersama selama-lamanya. Saya mahu kita bersama dalam majlis perkahwinan kita yang hebat dan meriah. Saya mahu menarik nafas teruja melihat awak memakai gaun pengantin yang cantik dan mahal.” ujar Enbi yang kini melunakkan kata-kata dan ayat gantinama dirinya.

“Saya juga mahu melihat keadaan awak yang tidur dengan lena dan tenang di sisi saya setiap malam. Atau mungkin juga sebenarnya mahu awak mendengar dengkuran saya yang kuat dan hodoh setiap malam.” ujar Enbi lagi. Catherine kali ini ketawa dengan kata-kata terakhir sahabatnya itu. Kesedihannya tadi kini telah terhapus sama sekali.

“Memang dengkuran Enbi buruk dan lantang.” balas Catherine mengiyakannya.

“Saya mahu kita menjaga anak-anak kita bersama dan melihat mereka membesar di hadapan mata kita. Saya mahu tujuh orang anak.” maklum Enbi.

“Enbi ingat saya ini kucingkah?” pangkas Catherine dengan nada yang agak geram. Enbi ketawa.

“Tiga orang. Saya mahu tiga orang anak. Boleh?” tanya Enbi. Catherine kali ini tertunduk malu.

“Saya mahu anak-anak kita semuanya macam awak, Catherine. Seorang yang cantik, baik dan sangat bertanggungjawab pada keluarganya.” ujar Enbi lagi.

“Dan kebijaksanaan, sikap cekal dan berpendirian teguh macam papa mereka.” sambung Catherine pula. Enbi mengangguk. Bibirnya mengorakkan senyuman.

“Enbi...” seru Catherine perlahan.

“Ya?” balas Enbi.

“Saya suka cara Enbi bercakap tadi. Tak lagi menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’. Bolehkah Enbi berjanji untuk terus bercakap begini selepas ini?” pinta Catherine.

“Boleh! Dengan syarat awak mesti menjadi isteri saya.” balas Enbi. Catherine tersenyum malu lantas mendakap tubuh sahabatnya itu dengan erat.

“Tadi awak kata awak bergurau saja.” sindir Catherine. Mereka berdua sama-sama ketawa.

*****************************************************

Dua hari kemudian. Di kubu Masonik cawangan Carolina Utara.

Yoseph menarik nafas panjang-panjang. Senario di hadapannya ternyata telah berjaya menyentakkan perasaan beliau. Kubu kebal di bawah jagaan Mejar Larry Roosevelt kini telah menjadi seperti dilanda oleh burung Garuda. Setiap inci bangunan-bangunan serta kenderaan-kenderaan perang dipenuhi dengan lubang pelbagai saiz. Begitu juga nasibnya dengan kesemua tentera yang dibunuh. Sungguhpun digabungkan dengan kejuruteraan biogenetik, mereka tetap berjaya ditewaskan dengan begitu mudah sekali. Yoseph yang sebelum ini pernah menyiasat tentang tahap kekuatan Emissary Mayhem di Beijing, China hanya melihat sahaja puluhan tubuh tentera Masonik yang menggeliang-liuk seperti ulat buah. Tanpa kepala, tubuh-tubuh kebal tidak mati ini tak ubah seperti mayat juga. Persoalannya, di manakah kepala-kepala ratusan tentera di kubu ini? Malah Yoseph setakat ini tidak berjaya menemui serpihan-serpihan hasil dari lubang-lubang yang dibuat oleh senjata musuh. Seolah-olah ianya telah lenyap begitu sahaja. Yoseph mengorakkan langkah menuju ke arah balai utama kubu tersebut. Di situlah terbujurnya mayat Mejar Larry bersama belasan orang pengawalnya.

“Berani betul pihak Organisasi memasuki kawasan ini dan mencuba senjata mereka di sini.” Tiba-tiba kedengaran suatu suara di belakang Yoseph. Saintis tersebut segera memalingkan tubuhnya ke arah suara itu. Ia milik Grandmaster Elisabeth, yang kini ditugaskan sebagai pegawal peribadi saintis tersohor tersebut.

“Senjata...” ujar Yoseph dengan perlahan. Namun jelas kedengaran di telinga Elisabeth.

“Apa yang tuan Yoseph musykilkan?” tanya wanita tersebut.

“Senjata apa yang cukup kecil tapi cukup berkuasa untuk dibawa masuk ke dalam tanpa disedari?” soal Yoseph dengan nada curiga.

“Dibawa masuk tanpa disedari?” tanya Elisabeth. Yoseph mengangguk.

“Serangan ini semuanya berlaku dari dalam. Ini bermakna pihak musuh telah menyelinap terlebih dahulu ke dalam sebelum membuat serangan mengejut.” taakul Yoseph dengan tepat sesuai dengan kelayakannya sebagai seorang saintis di bahagian forensik.

“Senjata ini adalah yang sama seperti digunakan di Chile sebelum ini yang telah mengorbankan nyawa Grandmaster Nikolas Rothschild. Cuma bezanya di Chile, pelbagai jenis kerosakan yang dipercayai dilakukan oleh senjata yang berbeza-beza termasuk jenis api yang membunuh Nikolas. Tetapi di sini pula, hanya satu jenis yang digunakan. Malah kerosakannya adalah agak membabi-buta ketika menyerang bangunan dan kenderaan perang. Namun serangan ke atas tentera pula dilakukan dengan tepat dan berkemahiran tinggi seperti di Chile. Seolah-olah si pelakunya menjalankan ujikaji ke atas senjatanya.” taakul Yoseph lagi.

“Senjata apakah yang sebegini hebat? Dan siapakah penyerangnya?” tanya Elisabeth. Yoseph tersenyum.

“Siapakah lagi penyerang dengan senjata yang amat hebat kalau bukan pendekar Emissary?” jawabnya.

“Emissary? Dengan tahap kemusnahan sebegini, ini adalah perbuatan pendekar Emissary berkelas  maharaja. Dalam rekod rahsia kita, tiada pendekar Emissary kelas maharaja yang mempunyai kuasa sebegini.” pertikai Elisabeth.

“Jangan menyempitkan pemikiranmu, Elisa. Ingat tak ketikamana kita membuat pemeriksaan di lokasi pertempuran di antara Emissary Mayhem dan tuanku Adaj?” Elisabeth hanya mampu mengangguk.

“Tidak ada sedikitpun kesan elektrik statik di tempat tersebut.” jawab Elisabeth.

“Hm, benar. Setahu kita, Mayhem adalah pendekar yang menggunakan kuasa elektrik tahap tinggi untuk memusnahkan musuh-musuhnya. Namun aku sekarang tertanya-tanya sama ada beliau mempunyai kuasa Karamah tenaga elektrik... atau mungkin sebenarnya beliau memiliki kuasa Karamah lain yang mampu menjanakan tenaga elektrik statik.” perjelas Yoseph.

“Saya tak faham.” omel Elisabeth.

“Petir adalah sejenis elektrik statik. Petir muncul dari awan. Bagaimana awan yang ringan dan lembut boleh menghasilkan kuasa yang begitu menakutkan?” tanya Yoseph. Kali ini Elisabeth dapat menangkap maksud saintis tersohor tersebut.

“Ini bermakna kuasa petir Mayhem adalah kuasa sampingan yang dihasilkan oleh kuasa Karamah sebenar beliau. Kuasa Karamah Mayhem yang sebenar mampu menghasilkan kuasa-kuasa lain yang lebih menakutkan.” taakul Elisabeth. Yoseph mengangguk.

“Jadi adakah ini adalah hasil dari kuasa Emissary Mayhem?” tanya wanita tersebut. Yoseph mengangkat kedua bahunya tanda tidak pasti.

“Mungkin ini hasil karya Mayhem. Mungkin juga pendekar Emissary bertaraf maharaja yang lain. Mereka tidak digelar sebagai pendekar berkelas maharaja hanya untuk menakutkan kita semata-mata.” jawapan Yoseph membuatkan Elisabeth menelan air liur gementarnya.

- Bersambung -

Thursday, September 20, 2012

MetroPolis 3 - Bab 12


MetroPolis Episod 3
Bab 12
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 5)




Pada masa yang sama di Dubai...

“Apa? Chief kena serangan sakit jantung? Baik. Baiklah! Aku akan berangkat pulang sekarang!” Sebaik sahaja selesai menjawab panggilan telefon daripada Nazrul, Enbi tanpa bertangguh menggesakan diri berkemas dan bersedia untuk kembali pulang  ke Malaysia. Kira-kira dalam setengah jam kemudian, beliau telahpun berada di lapangan terbang tentera milik Organisasi. Dalam perjalanan ke jet peribadi miliknya, Enbi disambut oleh Emissary Blaze yang masih mempamerkan perasaan terkejut beliau.

“Begitu cepat tuan Enbi mahu pulang ke tanahair.” ujarnya dengan nada agak terkilan.

“Minta maaf, tuan Blaze. Salah seorang anak buah saya diserang penyakit jantung dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi. Saya mesti pulang segera. Beritahu kepada tuan Drakulon bahawa saya memohon maaf atas pemergian tergesa-gesa saya.” maklum Enbi.

“Baiklah, tetapi tuan Enbi mesti datang kembali dan menetap dengan lebih lama. Setakat ini saya belum berpeluang lagi untuk membawa tuan berjalan-jalan ke tempat menarik dan minum petang bersama.” pujuk Blaze. Enbi ketawa seraya menganggukkan kepala.

“Itu adalah janji yang saya akan pegang.” balasnya seraya ketawa lagi.

“Oh, ya! Saya ingin meninggalkan pesan kepada tuan Drakulon.” ujar Enbi pula. Emissary Blaze mengangkat kening sebagai isyarat bahawa beliau ingin mengetahui apakah pesanan yang ingin disampaikan oleh Enbi kepada gurunya itu.

“Beritahu tuan Drakulon bahawa saya bersetuju dengan permintaannya. Saya akan memikul tugas tersebut. Saya sanggup menerima tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia.” ujar Enbi.

**********************************************

Lima hari kemudian, di balai MetroPolis...

Keadaan di balai Metropolis agak muram pada hari ini. Masing-masing masih terkesan dengan pemberitahuan yang dibawa oleh Enbi. Namun masing-masing enggan mempertikaikan apa yang diungkapkan oleh ketua mereka sungguhpun ianya berat untuk diterima.

“Aku terpaksa menghentikan perkhidmatan Chief atas sebab-sebab kesihatannya. Menurut kata doktor pakar, Chief tak mungkin mampu bekerja walaupun untuk kerja-kerja pentadbiran. Sebarang tekanan semasa bekerja boleh menyebabkan beliau diserang sakit jantung sekali lagi dan mungkin boleh membawa maut.” ujar Enbi lagi. Nadanya cukup sugul. Ternyata beliau juga berasa amat berat untuk membuat keputusan sedemikian.

“Pun begitu, aku tetap akan membayar pencen Chief dengan kadar gaji penuh. Beliau adalah salah seorang pelopor MetroPolis. Jasanya amat besar dalam menyeragamkan sistem pentadbiran untuk balai MetroPolis di seluruh Malaysia.” ujar Enbi lagi. Beberapa anak buahnya mengangguk tanda bersetuju dengan perkara tersebut. Enbi menghela nafas seketika. Matanya terarah kepada Nicol Hanany pula.

 “Aku juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada kalian semua bahawa ini adalah minggu terakhir Nicol Hanany bersama dengan kita semua. Beliau telahpun menyerahkan notis perletakan jawatannya pada dua minggu lepas. Aku telah menerimanya setelah berbincang dengan panjang lebar pada Isnin lepas.” Makluman Enbi kali ini membuatkan ramai yang terkejut, lebih-lebih lagi Nazrul yang nampaknya tidak mengetahui apa-apa. Keadaan menjadi hingar-bingar seketika.

“Nicol? Kenapa ni? Kenapa nak berhenti tiba-tiba?” tanya Remy. Rata-ratanya mengutarakan persoalan yang lebih kurang sama. Namun Nazrul tidak langsung bersuara. Riak wajahnya masih dihurungi dengan perasaan terkilan dan tidak percaya dengan berita tadi.

“Nicol...” ujar Nazrul dengan perlahan. Ungkapannya itu tenggelam di dalam keadaan hingar-bingar yang masih berlangsung. Pandangan Nazrul tepat mengarah kepada Nicol. Namun gadis itu yang seolah-olah mengetahui akan perbuatan sahabatnya hanya memandang tepat ke hadapan dengan pandangan kosong. Beliau seboleh-bolehnya enggan bertentang mata dengan Nazrul. Sementara itu Catherine juga turut mendiamkan diri dan hanya memandang tepat ke arah telatah Nazrul dan Nicol.

“Saya memang seorang budak manja yang cepat jemu dengan satu-satu perkara. Kini saya nak mengikut jejak langkah macam pak cik Red iaitu merantau ke seluruh negara dengan wang simpanan yang saya ada.” perjelas Nicol dengan nada ceria yang dibuat-buat.

“Nampaknya ahli terkuat kita semakin berkurangan. Cik Catherine belum dapat bertugas lagi. Pak cik Red pula langsung tidak dapat meneruskan khidmatnya lagi. Kini cik Nicol juga mahu meninggalkan kita.” omel Ganshamdass dengan nada murung. Terawez juga turut berwajah murung. Namun murung beliau bukanlah kerana pemergian rakan-rakan seperjuangannya dari MetroPolis.

*************************************************

Beberapa hari kemudian, di balai MetroPolis...

“Ops!” Terkejut Nicol tatkala membuka pintu pantri. Beliau yang mahu keluar dari dapur hampir berlaga dengan Nazrul yang mahu masuk ke dalam. Buat seketika mereka hanya berdiri dan berpandangan antara satu sama lain dalam keadaan yang amat kekok.

“Err.. awak lalu dulu.” ujar Nazrul seraya berundur beberapa tapak ke belakang. Namun tangannya kemas memegang pintu pantri untuk membolehkan gadis jelita tersebut keluar. Nicol hanya menundukkan wajah dan enggan lagi bertentang mata dengan sahabatnya itu. Langkahnya digegaskan untuk menjauhkan diri daripada Nazrul.

“Nicol, tunggu!” seru Nazrul dengan suara yang agak lantang. Langkah Nicol terhenti. Namun beliau tidak menoleh ke belakang.

“Nicol, bolehkah kita berbual sebentar?” pinta Nazrul.

“Tiada apa yang perlu kita perbualkan.” balas Nicol yang masih enggan memalingkan tubuhnya ke belakang.

“Tolonglah Nicol. Kita kan bersahabat baik? Sudah berapa lama kita tidak berbual-bual. Awak asyik mengelakkan diri daripada saya. Mengapa? Mengapa awak buat begini, Nicol?” rayu Nazrul. Hati Nicol bagaikan dihiris-hiris. Hampir sahaja air matanya mengalir keluar. Namun ditahannya dengan sedaya-upaya.

“Saya seorang perempuan yang sangat cantik, kaya dan berpesonaliti. Takkanlah awak begitu bodoh sampai tidak perasan bahawa teman wanita awak berasa terancam dengan saya. Kerana itu kita tak boleh lagi menjadi sahabat baik, Nazrul. Saya tahu kata-kata saya ini akan membuatkan awak marah dan kecewa. Jadi adalah lebih baik saya berdiam diri dan mengelakkan awak. Keputusan untuk menjarakkan diri dengan awak adalah keputusan yang sangat tepat.” balas Nicol dengan panjang lebar. Terkedu Nazrul dibuatnya. Beliau tidak menyangka akan mendengar kata-kata sedemikian daripada mulut sahabatnya.

“Tak sangka awak berpandangan sedemikian rupa terhadap Raihanah. Adakah awak ingat beliau terlalu teruk sehinggakan berprasangka sedemikian?” tanya Nazrul dengan nada pertikaian. Nicol dapat merasakan bahang amarah yang tersulam bersama kata-kata tersebut. Wanita jelita tersebut akhirnya memalingkan tubuh ke belakang. Matanya tepat tertancap ke mata Nazrul.

“Janganlah cuba menipu diri awak sendiri, Nazrul. Awak memang menyedari hakikat sedemikian. Ianya suatu hakikat yang tak dapat dielakkan. Cuma awak sahaja yang belum bersedia untuk menerimanya.” balas Nicol. Nada marah dan kecewa juga turut tersulam pada kata-katanya itu. Manakan tidak; Nazrul tetap mempertahankan teman wanitanya walaupun dalam keadaan sedemikian genting.

“Pandang tepat ke mata saya dan katakan yang awak begitu bodoh sehingga tidak memikirkan perkara itu.” pinta Nicol. Nazrul hanya seketika menatap mata sahabatnya. Setelah itu dijauhkan pandangannya ke arah lain untuk menyembunyikan kebenaran. Pun begitu, Nicol telahpun mengetahui akan pendirian sahabatnya itu. Dengan keluhan yang berat dan penuh kekecewaan, Nicol kembali melangkah meninggalkan Nazrul yang hilang kata tak ketentuan hala itu.

************************************

Pada masa yang sama...

“Saya memang tak berguna. Saya masih belum berani untuk memberitahu Enbi dan kawan-kawan.” maklum Terawez yang kini menundukkan muka ke lantai. Beliau berasa amat malu dan susah hati sekarang. Jari telunjuk kanannya asyik menguis-nguis di permaidani masjid seolah-olah sedang menulis sesuatu. Namun tindak-tanduknya itu hanyalah untuk melegakan hatinya yang sedang runsing.

“Aku pun pengecut juga, Terawez. Kau ditawarkan untuk menyertai Organisasi. Aku pula diberikan peluang kedua dengan tawaran untuk kembali ke Organisasi. Kita juga akan meninggalkan MetroPolis seperti Nicol.” ujar Remy yang juga duduk bersimpuh tidak jauh dari Terawez.

“Enbi tentu akan mengamuk.” taakul Terawez. Remy tergelak. Disusuli pula dengan tawa Terawez yang mengekor kemudian.

“Oh, ya! Ke mana ustaz Ren Fairuz pergi sebenarnya? Saya mahu mendapatkan nasihatnya tentang hal ini. Tapi awak sahaja yang ada.” Terawez mengutarakan kemusykilannya. Remy tersengih.

“Aku pun tak tahu di mana dia sekarang. Tuan Ren cuma bertahu yang dia mahu meluaskan pandangannya.” maklum Remy. Terawez menggeleng-gelangkan kepala.

“Ustaz Ren itu suka benar berteka-teki.” rungutnya.

***************************************

Sementara itu di Carolina Utara, Amerika Sakit...

“Kau ini sungguh berani kerana memakai pakaian orang Muslim di tempat sebegini. Beritahu apa namamu sebelum dibunuh.” ujar Mejar Larry Roosevelt di kerusi malasnya sambil merenung seorang lelaki yang tegak berdiri di hadapannya. Lelaki yang berpakaian gamis itu baharu sahaja ditangkap ketika sedang mundar-mandir di perkarangan kubu milik tentera Masonik. Beliau hanya tersenyum mendengarkan kata-kata ancaman tadi.

“Nama saya ialah Ren Fairuz. Saya sememangnya berniat mahu berjumpa dengan tuan Roosevelt atas suatu hajat.” balasnya dengan sopan. Rupa-rupanya Ren Fairuz kini berada di Amerika Sakit yang baharu sahaja jatuh ke milik pihak Masonik beberapa bulan yang lalu.

“Mahu berjumpa denganku?” tanya Mejar Larry dengan rasa hairan. Ren menganggukkan kepala.

“Kau mempunyai maklumat rahsia tentang Organisasi?” tanya Mejar Larry. Ren menggeleng.

“Habis, apa yang kau mahu?” tanya Mejar Larry dengan nada yang kasar. Ren ketawa kecil.

“Tuan Roosevelt beberapa tahun lalu telah berjaya menguasai dan memanipulasikan jin yang bernama Aynaet. Sungguhpun jin ini kekuatannya agak lemah, namun kuasa pancaran matanya sangat hebat. Kalau digabungkan dengan kuasa yang tinggi tarafnya, seseorang pendekar itu akan menjadi sangat handal kerana mampu membinasakan musuh-musuhnya tanpa menyentuh mereka.” terang Ren Fairuz dengan panjang lebar. Terpegun Mejar Larry mendengarkan kata-kata tersebut.

“Ma... mana kau tahu semuanya ini?” tanya pegawai Masonik itu dengan nada yang agak gementar. Ren Fairuz tidak segera menjawab. Sebalik beliau memetik jari tangan kanannya. dengan tidak semena-mena belasan bahagian tubuh para pendekar Masonik yang mengawalnya berderai dan hilang. Mereka semuanya jatuh menyembah lantai dan terbunuh dengan serta-merta.

“Mereka semuanya telah disentuh oleh tangan saya tadi. Dengan cara itu baharulah saya boleh mengaktifkan kuasa pembinasa saya. Namun dengan Aynaet, saya boleh melakukan semuanya ini dengan hanya memandang ke arah mereka sahaja. Jadi yang saya mahukan ialah kelebihan kuasa Aynaet untuk dijadikan sebagai makanan saya.” maklum Ren Fairuz. Senyumannya terujanya semakin melebar.

- BERSAMBUNG -