MetroPolis
Episod 3
Bab
13
Bibit-bibit
Perpecahan (Bah. 6)
Beberapa hari kemudian...
Enbi termenung dengan wajah yang amat
suram. Perasaan tersebut biasa menghiasi wajahnya ketikamana Catherine koma di
hospital untuk beberapa bulan. Emosi tersebut sekali mengiringinya tatkala
beliau mendapati bahawa Catherine berada di ambang maut baharu-baharu ini. Kini
kesuraman tersebut kembali menghurunginya atas perihal yang dimaklumkan
kepadanya semalam. Lamunan Enbi tersentak tatkala bahunya ditepuk dengan lunak.
“Enbi, makanlah sup ayam ni.” pinta
Catherine. Enbi kini berada di rumah ibu bapa sahabatnya itu. Sudah dua hari
Catherine tidak berkunjung ke balai MatroPolis. Melihatkan sahaja keadaan
sahabatnya itu, Enbi sudah dapat menelah akan tahap kesihatannya.
“Makanlah.” pujuk Catherine dengan
lembut. Enbi menyambut mangkuk sup di tangan Catherine dengan senyuman yang
dipaksa-paksa.
“Mana yang lain?” tanya Enbi sambil
memandang sekeliling.
“Mereka semuanya bercuti ke Hong
Kong.” maklum Catherine. Enbi mengangguk-angguk.
“Kau sudah dua hari tak datang ke
balai.” ujar Enbi pula. Catherine agak tersentak. Namun beliau dengan perlahan
mengangguk dan tersenyum.
“Kau sihat, Cat?” tanya Enbi pula.
“Hm. Saya semakin pulih.” jawab
Catherine. Jelas nada jawapannya adalah di antara yakin dan tidak.
“Kau kembali memakai tongkat.” komen
Enbi. Berubah air muka Catherine mendengarkan kata-kata tersebut. Beliau
langsung terdiam. Enbi mengeluh panjang melihatkan reaksi sahabatnya itu.
“Kesihatanmu makin merosot, bukan? Orang
yang jahil seperti aku pun tahu.” rungut Enbi. Walhal beliau mahu
menyembunyikan perihal maklumat yang diperolehinya di Hospital Ibnu Sinna
tempohari.
“Saya okey, Enbi.” pertahan Catherine
yang kini duduk di sebelahnya. Enbi tersenyum kelat. Beliau meletakkan mangkuk
sup ayam di atas meja. Kemudian diseluk poket seluarnya untuk mengeluarkan
sesuatu.
“Dompet. Nak buat apa?” tanya
Catherine. Enbi tidak menjawab. Sebaliknya beliau mengeluarkan sekeping not
satu ringgit yang telah hanya tinggal separuh.
“Enbi.” ujar Catherine. Nada dan
wajahnya berubah dengan rasa gusar.
“Ini ialah tanda perjanjianmu padaku.
Lihat, masih ada cop mohor darahmu, Cat. Kau bersumpah untuk lakukan apa saja
yang kau mampu jika aku minta.” Enbi terdiam sebentar seraya memandang tepat ke
arah Catherine. Ingatan mereka berdua terlontar seketika pada zaman remaja.
Ketika melawat Catherine yang agak teruk dibelasah oleh kumpulan samseng yang
pada asalnya membelasah Enbi, Catherine telah membuat perjanjian tersebut.
Gadis itu cukup arif dengan perangai sahabatnya yang ego untuk meminta bantuan
walaupun tidak berkemampuan. Jadi itulah satu-satunya cara untuk membantu Enbi
di samping dapat menjaga egonya.
“Sekarang aku menggunakan kuasa
akujanjimu dan meminta kau mematuhinya. Adakah kau akan mematuhi apa yang kau
telah bersumpah dengan darahmu ini? Ataupun kau hanya bercakap besar dan
mengarut sahaja pada ketika itu.” persoal Enbi dengan ungkapan yang memancing
perasaan Catherine. Buat seketika wujud perasaan hening di antara mereka berdua.
“Saya tak boleh menerima cinta awak,
Enbi.” maklum Catherine yang akhirnya memecahkan kesunyian tersebut.
“Aku tahu. Aku cuma mahu kau turuti
permintaanku tanpa bertanya itu dan ini. Boleh?” pinta Enbi. Catherine hanya
mendiamkan diri sedangkan matanya tajam merenung ke arah sahabatnya itu.
Bukannya dia tidak tahu tentang Enbi yang penuh dengan tipu helah tersebut.
“Percayalah padaku.” pinta Enbi
dengan nada hampir merayu. Catherine mengeluh kecil. Kepalanya diangguk-angguk.
“Baiklah. Saya akur dengan akujanji
saya. Apa yang Enbi mahu saya buat?” tanya Catherine dengan nada agak gusar.
Enbi tersengih.
“Kahwin denganku, Cat!” balas Enbi.
“Enbi...” balas Catherine kembali
dengan nada geram. Enbi ketawa terbahak-bahak.
“Aku bergurau sikit pun tak bolehkah?
Dulu kau yang selalu merungut tentang sikapku yang serius dan tak mahu
bergurau.” ujar Enbi memulang paku buah kerasnya. Catherine tersenyum.
Jari-jemarinya pantas mencakup bahu kanan Enbi dan mencubitnya. Namun cubitan
tersebut agak lemah bagi seorang pakar seni mempertahankan diri sepertinya.
“Cat, aku tahu bahawa kau dalam
keadaan bahaya. Jadi aku telah meminta pertolongan dari seseorang untuk
merawatmu.”
“Macam mana Enbi tahu tentang keadaan
saya?” pangkas Catherine dengan pertanyaan curiga.
“Kan kau dah bersetuju untuk tidak
bertanya itu dan ini?” balas Enbi dengan nada agak geram.
“Sekurang-kurangnya saya berhak untuk
tahu kerana ia membabitkan diri saya.” balas Catherine pula. Enbi merengus.
“Kau dah janji, Cat! Kau dah janji!”
ujar Enbi dengan nada kesal. Buat seketika mereka terdiam. Tiba-tiba Enbi
meletakkan keratan not seringgit tadi di atas riba Catherine. Beliau dengan
wajah mencuka terus bangun dan mengorak langkah pergi. Catherine agak tergamam
kerana tidak menjangkakan perbuatan sahabatnya itu.
“Enbi! Tunggu Enbi!” seru Catherine
dengan nada berteriak. Langkah Enbi mati buat seketika.
“Adakah kau benar-benar inginkan
kematian, Cat?” tanya Enbi dalam keadaan masih membelakangi Catherine.
Pertanyaan tersebut benar-benar membuatkan gadis tersebut tersentak emosinya.
Catherine terdiam buat seketika. Air matanya mulai bergenang dan menitis keluar
dari mata. Esakan kecilnya mulai kedengaran.
“Saya tak mahu mati, Enbi. Saya mahu
bersama-sama dengan awak selama-lamanya.” maklum Catherine dalam esak
tangisnya. Tangisan beliau benar-benar meruntun hati Enbi sehinggakan
sahabatnya itu berpaling kembali dan mendapatkan Catherine. Beliau kembali
duduk di sebelah gadis kesayangannya itu.
“Saya pun mahu kita hidup bersama
selama-lamanya. Saya mahu kita bersama dalam majlis perkahwinan kita yang hebat
dan meriah. Saya mahu menarik nafas teruja melihat awak memakai gaun pengantin
yang cantik dan mahal.” ujar Enbi yang kini melunakkan kata-kata dan ayat
gantinama dirinya.
“Saya juga mahu melihat keadaan awak
yang tidur dengan lena dan tenang di sisi saya setiap malam. Atau mungkin juga
sebenarnya mahu awak mendengar dengkuran saya yang kuat dan hodoh setiap
malam.” ujar Enbi lagi. Catherine kali ini ketawa dengan kata-kata terakhir
sahabatnya itu. Kesedihannya tadi kini telah terhapus sama sekali.
“Memang dengkuran Enbi buruk dan
lantang.” balas Catherine mengiyakannya.
“Saya mahu kita menjaga anak-anak
kita bersama dan melihat mereka membesar di hadapan mata kita. Saya mahu tujuh
orang anak.” maklum Enbi.
“Enbi ingat saya ini kucingkah?”
pangkas Catherine dengan nada yang agak geram. Enbi ketawa.
“Tiga orang. Saya mahu tiga orang
anak. Boleh?” tanya Enbi. Catherine kali ini tertunduk malu.
“Saya mahu anak-anak kita semuanya
macam awak, Catherine. Seorang yang cantik, baik dan sangat bertanggungjawab
pada keluarganya.” ujar Enbi lagi.
“Dan kebijaksanaan, sikap cekal dan
berpendirian teguh macam papa mereka.” sambung Catherine pula. Enbi mengangguk.
Bibirnya mengorakkan senyuman.
“Enbi...” seru Catherine perlahan.
“Ya?” balas Enbi.
“Saya suka cara Enbi bercakap tadi.
Tak lagi menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’. Bolehkah Enbi berjanji untuk terus
bercakap begini selepas ini?” pinta Catherine.
“Boleh! Dengan syarat awak mesti
menjadi isteri saya.” balas Enbi. Catherine tersenyum malu lantas mendakap
tubuh sahabatnya itu dengan erat.
“Tadi awak kata awak bergurau saja.”
sindir Catherine. Mereka berdua sama-sama ketawa.
*****************************************************
Dua hari kemudian. Di kubu Masonik
cawangan Carolina Utara.
Yoseph menarik nafas panjang-panjang.
Senario di hadapannya ternyata telah berjaya menyentakkan perasaan beliau. Kubu
kebal di bawah jagaan Mejar Larry Roosevelt kini telah menjadi seperti dilanda
oleh burung Garuda. Setiap inci bangunan-bangunan serta kenderaan-kenderaan
perang dipenuhi dengan lubang pelbagai saiz. Begitu juga nasibnya dengan
kesemua tentera yang dibunuh. Sungguhpun digabungkan dengan kejuruteraan
biogenetik, mereka tetap berjaya ditewaskan dengan begitu mudah sekali. Yoseph
yang sebelum ini pernah menyiasat tentang tahap kekuatan Emissary Mayhem di
Beijing, China hanya melihat sahaja puluhan tubuh tentera Masonik yang menggeliang-liuk
seperti ulat buah. Tanpa kepala, tubuh-tubuh kebal tidak mati ini tak ubah
seperti mayat juga. Persoalannya, di manakah kepala-kepala ratusan tentera di
kubu ini? Malah Yoseph setakat ini tidak berjaya menemui serpihan-serpihan
hasil dari lubang-lubang yang dibuat oleh senjata musuh. Seolah-olah ianya
telah lenyap begitu sahaja. Yoseph mengorakkan langkah menuju ke arah balai
utama kubu tersebut. Di situlah terbujurnya mayat Mejar Larry bersama belasan
orang pengawalnya.
“Berani betul pihak Organisasi
memasuki kawasan ini dan mencuba senjata mereka di sini.” Tiba-tiba kedengaran
suatu suara di belakang Yoseph. Saintis tersebut segera memalingkan tubuhnya ke
arah suara itu. Ia milik Grandmaster Elisabeth, yang kini ditugaskan sebagai
pegawal peribadi saintis tersohor tersebut.
“Senjata...” ujar Yoseph dengan
perlahan. Namun jelas kedengaran di telinga Elisabeth.
“Apa yang tuan Yoseph musykilkan?”
tanya wanita tersebut.
“Senjata apa yang cukup kecil tapi
cukup berkuasa untuk dibawa masuk ke dalam tanpa disedari?” soal Yoseph dengan
nada curiga.
“Dibawa masuk tanpa disedari?” tanya
Elisabeth. Yoseph mengangguk.
“Serangan ini semuanya berlaku dari
dalam. Ini bermakna pihak musuh telah menyelinap terlebih dahulu ke dalam
sebelum membuat serangan mengejut.” taakul Yoseph dengan tepat sesuai dengan
kelayakannya sebagai seorang saintis di bahagian forensik.
“Senjata ini adalah yang sama seperti
digunakan di Chile sebelum ini yang telah mengorbankan nyawa Grandmaster
Nikolas Rothschild. Cuma bezanya di Chile, pelbagai jenis kerosakan yang
dipercayai dilakukan oleh senjata yang berbeza-beza termasuk jenis api yang
membunuh Nikolas. Tetapi di sini pula, hanya satu jenis yang digunakan. Malah
kerosakannya adalah agak membabi-buta ketika menyerang bangunan dan kenderaan
perang. Namun serangan ke atas tentera pula dilakukan dengan tepat dan
berkemahiran tinggi seperti di Chile. Seolah-olah si pelakunya menjalankan
ujikaji ke atas senjatanya.” taakul Yoseph lagi.
“Senjata apakah yang sebegini hebat?
Dan siapakah penyerangnya?” tanya Elisabeth. Yoseph tersenyum.
“Siapakah lagi penyerang dengan
senjata yang amat hebat kalau bukan pendekar Emissary?” jawabnya.
“Emissary? Dengan tahap kemusnahan
sebegini, ini adalah perbuatan pendekar Emissary berkelas maharaja. Dalam rekod rahsia kita, tiada
pendekar Emissary kelas maharaja yang mempunyai kuasa sebegini.” pertikai
Elisabeth.
“Jangan menyempitkan pemikiranmu,
Elisa. Ingat tak ketikamana kita membuat pemeriksaan di lokasi pertempuran di
antara Emissary Mayhem dan tuanku Adaj?” Elisabeth hanya mampu mengangguk.
“Tidak ada sedikitpun kesan elektrik
statik di tempat tersebut.” jawab Elisabeth.
“Hm, benar. Setahu kita, Mayhem
adalah pendekar yang menggunakan kuasa elektrik tahap tinggi untuk memusnahkan
musuh-musuhnya. Namun aku sekarang tertanya-tanya sama ada beliau mempunyai
kuasa Karamah tenaga elektrik... atau mungkin sebenarnya beliau memiliki kuasa
Karamah lain yang mampu menjanakan tenaga elektrik statik.” perjelas Yoseph.
“Saya tak faham.” omel Elisabeth.
“Petir adalah sejenis elektrik
statik. Petir muncul dari awan. Bagaimana awan yang ringan dan lembut boleh
menghasilkan kuasa yang begitu menakutkan?” tanya Yoseph. Kali ini Elisabeth
dapat menangkap maksud saintis tersohor tersebut.
“Ini bermakna kuasa petir Mayhem
adalah kuasa sampingan yang dihasilkan oleh kuasa Karamah sebenar beliau. Kuasa
Karamah Mayhem yang sebenar mampu menghasilkan kuasa-kuasa lain yang lebih
menakutkan.” taakul Elisabeth. Yoseph mengangguk.
“Jadi adakah ini adalah hasil dari
kuasa Emissary Mayhem?” tanya wanita tersebut. Yoseph mengangkat kedua bahunya
tanda tidak pasti.
“Mungkin ini hasil karya Mayhem.
Mungkin juga pendekar Emissary bertaraf maharaja yang lain. Mereka tidak digelar
sebagai pendekar berkelas maharaja hanya untuk menakutkan kita semata-mata.”
jawapan Yoseph membuatkan Elisabeth menelan air liur gementarnya.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment