Pesanan
Emissary Drakulon
(19-10-12)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah
lagi Maha Pengasih.
Daripada saya, Muhammad ‘Naar’ Saif
atau Emissary Drakulon. Salam sejahtera dan rahmat Allah kepada mereka yang
mahu menerima petunjuk.
Amma ba’du.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan
daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Seseorang Muslim adalah
saudara Muslimnya yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan merendahkannya.
Barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya.
Barangsiapa yang menghilangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah akan
melepaskan kesulitannya kelak pada hari kiamat. Barangsiapa yang menutupi aib
seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya kelak pada hari kiamat.”
Saudara Muslimku yang dikasihi,
Pada masa kini ramai di antara orang
Islam yang melupakan pesanan Rasulullah SAW ini dan tidak lagi menganggap orang
Muslim seperti saudaranya sendiri. Mereka suka mencari-cari kesalahan seseorang
Muslim yang lain, lebih-lebih lagi yang mereka tidak sukai. Sekiranya mereka
ternampak akan kesalahan saudara mereka tersebut, maka mereka canangkan kepada
orang lain agar dapat menjatuh dan mengaibkan saudara mereka itu. Lebih buruk
lagi kadang-kala mereka membuat tohmahan yang tidak benar terhadap saudara
mereka itu semata-mata untuk kepuasan nafsu sendiri. Mereka tidak peduli sama
ada saudara Muslim mereka itu dan ahli keluarganya disakiti dan porak-peranda
kebahagiaannya atau tidak.
Ada pelbagai sebab mengapa terjadinya
perkara keji sebegini. Ada di antara orang Islam ini yang dengki melihatkan
kelebihan yang ada pada saudara Muslim mereka yang lain. Kelebihan ini
termasuklah antaranya kekayaan harta, memegang jawatan yang lebih tinggi dalam
masyarakat, hatta disanjungi oleh orang ramai kerana kebaikannya. Ada juga yang
sanggup berbuat perkara terkutuk tersebut kerana bergaduh dan bermusuh dengan
saudara mereka atas perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.
Namun yang paling buruk sebabnya
ialah kerana fahaman politik yang berbeza. Tidak salah seseorang Muslim itu
menyokong mana-mana parti politik berdasarkan pendirian masing-masing. Akan
tetapi dengan sebab mahu menaikkan imej parti, mereka sanggup berbuat apa
sahaja hatta memusnahkan kedudukan dan maruah saudara mereka adalah suatu
perbuatan yang tidak boleh diterima. Tidak mengapalah sekiranya kita mahu
mengkritik polisi atau pendirian parti lawan kita secara terbuka sama ada
melalui media massa atau internet.
Namun kita adalah dilarang oleh Allah
dan rasulNya sama sekali untuk menghebahkan keburukan peribadi seseorang tokoh
politik itu untuk diketahui oleh orang ramai. Tidak kira sama ada saudara
Muslim kita ini seorang peminum arak, sering berzina, tahi judi dan lain-lain
yang tidak menjejaskan kepentingan umat Islam seluruhnya. Itu adalah dosa
peribadinya dengan Allah. Kalau Allah mahu mengazabnya di akhirat kelak, maka
terazablah dia. Kalau Allah mahu mengampunkan seluruh dosa-dosanya itu,
sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Malah lebih buruk lagi ada di antara
kita yang menyeret ahli keluarga saudara Muslim kita untuk menjatuhkannya.
Dengan begitu bersahaja ada di antara kita yang menghebahkan bahawa isteri si
fulan ini berzina dengan si fulan hingga melahirkan anak luar nikah. Ataupun
menantu si fulan ini adalah penjenayah yang kini diburu oleh pihak berkuasa.
Perkara ini adalah jelas tiada kena-mengena dengan kepentingan umat Islam dan
jangan pula kita membuat alasan bahawa keaiban seperti ini perlu didedahkan
kerana tokoh-tokoh politik seperti ini akan memusnahkan umat Islam. Kita semua
tidak terlepas dari melakukan dosa dan perkara-perkara yang keji. Dengan sifat
Allah yang Ar-Rahman sahaja maka terlindunglah aib kita dari diketahui oleh
orang lain. Jika Allah memperlihatkan keaiban setiap manusia di dunia ini kepada
orang lain, maka kita tak mampu lagi untuk menunjukkan wajah kita kepada orang
ramai. Jadi jika Allah telah menutup keaiban seseorang Muslim itu, mengapa pula
kita sebagai hambaNya yang hina lagi lemah ini mahu membuka keaiban saudara
kita pula?
Ingatlah akan amaran Allah AWJ dalam
Surah An-Nur ayat ke 19 yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang ingin agar
(berita) yang amat keji itu tersiar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka
azab yang pedih di dunia dan di akhirat...”
A’uzubillahi minzaalik. Janganlah
kita membuat perkara-perkara seperti di atas kerana seolah-olah kita meminta
agar Allah mengazab kita di dunia ini dan di akhirat kelak. Wallahu a’lam.
Yang paling keji sekali ialah sikap
seseorang Muslim yang membuat tohmahan palsu ke atas saudara Muslimnya atau
menghina ciptaan dan ketentuan Allah terhadap saudara kita itu. Tohmahan palsu
atau dikenali sebagai fitnah di kalangan masyarakat Melayu adalah suatu dosa
yang amat besar. Namun dalam masyarakat Melayu, ianya menjadi mainan di hujung
lidah atau di hujung jari sahaja (bagi yang menulis) seolah-olah ianya adalah
suatu dosa yang kecil.
Dalam Sahih Bukhari, Anas RA
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya kamu nanti akan
mengerjakan amalan (kebiasaan) yang dalam pandangan kamu lebih kecil dari
butiran gandum, sedangkan kami pada zaman Rasulullah SAW dahulu menganggapnya
termasuk sesuatu yang mencelakakan.” Begitu mudah antara kita yang menuduh
saudara kita berzina sedangkan kita tidak membawakan bukti seperti yang
diwajibkan dalam syarak. Orang-orang sebegini pasti akan menerima azab Allah
yang amat dahsyat sekiranya dosanya itu masih berkekalan hingga di padang
mahsyar kelak. Na’uzubillah.
Ada antara kita yang menghina ciptaan
dan ketentuan Allah kepada saudara kita. Maka keluarlah kata-kata nista
terhadap lawan politik kita seperti hidungnya yang besar bagaikan terowong dan belajar
setakat Darjah 6 sahaja sudah diangkat menjadi pemimpin. Bentuk fizikal
seseorang itu Allah yang ciptakan. Dengan mudah kita mencerca dan memperlekehkan
ciptaan Allah itu. Tidakkah ini dianggap menghina Allah? Tahap akademik
seseorang adalah ketentuan dari Allah AWJ. Namun ilmu itu adalah kurniaan
dariNya. Rasulullah SAW adalah seorang yang ummi dan tidak memperolehi sebarang
ijazah akademik. Adakah kita mahu mempertikaikan dan memperlekehkan Baginda
sebagai seorang Rasul Allah?
Saudara Muslimku yang dikasihi,
Akhir kata berhentilah dari
terus-menerus melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap saudara Muslim kita
hanya kerana fahaman politik yang berbeza. Di alam barzakh kelak, ketika
malaikat Mungkar dan Nakir bertanya kepada kita : “Siapakah saudaramu?”,
bolehkah kita menjawab “saudaraku adalah orang-orang Islam” sedangkan ketika
hidup dunia kita banyak memfitnah, membuka keaiban dan memberi mudarat kepada
saudara Muslim kita? Wallahu a’lam.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment