Thursday, September 20, 2012

MetroPolis 3 - Bab 12


MetroPolis Episod 3
Bab 12
Bibit-bibit Perpecahan (Bah. 5)




Pada masa yang sama di Dubai...

“Apa? Chief kena serangan sakit jantung? Baik. Baiklah! Aku akan berangkat pulang sekarang!” Sebaik sahaja selesai menjawab panggilan telefon daripada Nazrul, Enbi tanpa bertangguh menggesakan diri berkemas dan bersedia untuk kembali pulang  ke Malaysia. Kira-kira dalam setengah jam kemudian, beliau telahpun berada di lapangan terbang tentera milik Organisasi. Dalam perjalanan ke jet peribadi miliknya, Enbi disambut oleh Emissary Blaze yang masih mempamerkan perasaan terkejut beliau.

“Begitu cepat tuan Enbi mahu pulang ke tanahair.” ujarnya dengan nada agak terkilan.

“Minta maaf, tuan Blaze. Salah seorang anak buah saya diserang penyakit jantung dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi. Saya mesti pulang segera. Beritahu kepada tuan Drakulon bahawa saya memohon maaf atas pemergian tergesa-gesa saya.” maklum Enbi.

“Baiklah, tetapi tuan Enbi mesti datang kembali dan menetap dengan lebih lama. Setakat ini saya belum berpeluang lagi untuk membawa tuan berjalan-jalan ke tempat menarik dan minum petang bersama.” pujuk Blaze. Enbi ketawa seraya menganggukkan kepala.

“Itu adalah janji yang saya akan pegang.” balasnya seraya ketawa lagi.

“Oh, ya! Saya ingin meninggalkan pesan kepada tuan Drakulon.” ujar Enbi pula. Emissary Blaze mengangkat kening sebagai isyarat bahawa beliau ingin mengetahui apakah pesanan yang ingin disampaikan oleh Enbi kepada gurunya itu.

“Beritahu tuan Drakulon bahawa saya bersetuju dengan permintaannya. Saya akan memikul tugas tersebut. Saya sanggup menerima tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia.” ujar Enbi.

**********************************************

Lima hari kemudian, di balai MetroPolis...

Keadaan di balai Metropolis agak muram pada hari ini. Masing-masing masih terkesan dengan pemberitahuan yang dibawa oleh Enbi. Namun masing-masing enggan mempertikaikan apa yang diungkapkan oleh ketua mereka sungguhpun ianya berat untuk diterima.

“Aku terpaksa menghentikan perkhidmatan Chief atas sebab-sebab kesihatannya. Menurut kata doktor pakar, Chief tak mungkin mampu bekerja walaupun untuk kerja-kerja pentadbiran. Sebarang tekanan semasa bekerja boleh menyebabkan beliau diserang sakit jantung sekali lagi dan mungkin boleh membawa maut.” ujar Enbi lagi. Nadanya cukup sugul. Ternyata beliau juga berasa amat berat untuk membuat keputusan sedemikian.

“Pun begitu, aku tetap akan membayar pencen Chief dengan kadar gaji penuh. Beliau adalah salah seorang pelopor MetroPolis. Jasanya amat besar dalam menyeragamkan sistem pentadbiran untuk balai MetroPolis di seluruh Malaysia.” ujar Enbi lagi. Beberapa anak buahnya mengangguk tanda bersetuju dengan perkara tersebut. Enbi menghela nafas seketika. Matanya terarah kepada Nicol Hanany pula.

 “Aku juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada kalian semua bahawa ini adalah minggu terakhir Nicol Hanany bersama dengan kita semua. Beliau telahpun menyerahkan notis perletakan jawatannya pada dua minggu lepas. Aku telah menerimanya setelah berbincang dengan panjang lebar pada Isnin lepas.” Makluman Enbi kali ini membuatkan ramai yang terkejut, lebih-lebih lagi Nazrul yang nampaknya tidak mengetahui apa-apa. Keadaan menjadi hingar-bingar seketika.

“Nicol? Kenapa ni? Kenapa nak berhenti tiba-tiba?” tanya Remy. Rata-ratanya mengutarakan persoalan yang lebih kurang sama. Namun Nazrul tidak langsung bersuara. Riak wajahnya masih dihurungi dengan perasaan terkilan dan tidak percaya dengan berita tadi.

“Nicol...” ujar Nazrul dengan perlahan. Ungkapannya itu tenggelam di dalam keadaan hingar-bingar yang masih berlangsung. Pandangan Nazrul tepat mengarah kepada Nicol. Namun gadis itu yang seolah-olah mengetahui akan perbuatan sahabatnya hanya memandang tepat ke hadapan dengan pandangan kosong. Beliau seboleh-bolehnya enggan bertentang mata dengan Nazrul. Sementara itu Catherine juga turut mendiamkan diri dan hanya memandang tepat ke arah telatah Nazrul dan Nicol.

“Saya memang seorang budak manja yang cepat jemu dengan satu-satu perkara. Kini saya nak mengikut jejak langkah macam pak cik Red iaitu merantau ke seluruh negara dengan wang simpanan yang saya ada.” perjelas Nicol dengan nada ceria yang dibuat-buat.

“Nampaknya ahli terkuat kita semakin berkurangan. Cik Catherine belum dapat bertugas lagi. Pak cik Red pula langsung tidak dapat meneruskan khidmatnya lagi. Kini cik Nicol juga mahu meninggalkan kita.” omel Ganshamdass dengan nada murung. Terawez juga turut berwajah murung. Namun murung beliau bukanlah kerana pemergian rakan-rakan seperjuangannya dari MetroPolis.

*************************************************

Beberapa hari kemudian, di balai MetroPolis...

“Ops!” Terkejut Nicol tatkala membuka pintu pantri. Beliau yang mahu keluar dari dapur hampir berlaga dengan Nazrul yang mahu masuk ke dalam. Buat seketika mereka hanya berdiri dan berpandangan antara satu sama lain dalam keadaan yang amat kekok.

“Err.. awak lalu dulu.” ujar Nazrul seraya berundur beberapa tapak ke belakang. Namun tangannya kemas memegang pintu pantri untuk membolehkan gadis jelita tersebut keluar. Nicol hanya menundukkan wajah dan enggan lagi bertentang mata dengan sahabatnya itu. Langkahnya digegaskan untuk menjauhkan diri daripada Nazrul.

“Nicol, tunggu!” seru Nazrul dengan suara yang agak lantang. Langkah Nicol terhenti. Namun beliau tidak menoleh ke belakang.

“Nicol, bolehkah kita berbual sebentar?” pinta Nazrul.

“Tiada apa yang perlu kita perbualkan.” balas Nicol yang masih enggan memalingkan tubuhnya ke belakang.

“Tolonglah Nicol. Kita kan bersahabat baik? Sudah berapa lama kita tidak berbual-bual. Awak asyik mengelakkan diri daripada saya. Mengapa? Mengapa awak buat begini, Nicol?” rayu Nazrul. Hati Nicol bagaikan dihiris-hiris. Hampir sahaja air matanya mengalir keluar. Namun ditahannya dengan sedaya-upaya.

“Saya seorang perempuan yang sangat cantik, kaya dan berpesonaliti. Takkanlah awak begitu bodoh sampai tidak perasan bahawa teman wanita awak berasa terancam dengan saya. Kerana itu kita tak boleh lagi menjadi sahabat baik, Nazrul. Saya tahu kata-kata saya ini akan membuatkan awak marah dan kecewa. Jadi adalah lebih baik saya berdiam diri dan mengelakkan awak. Keputusan untuk menjarakkan diri dengan awak adalah keputusan yang sangat tepat.” balas Nicol dengan panjang lebar. Terkedu Nazrul dibuatnya. Beliau tidak menyangka akan mendengar kata-kata sedemikian daripada mulut sahabatnya.

“Tak sangka awak berpandangan sedemikian rupa terhadap Raihanah. Adakah awak ingat beliau terlalu teruk sehinggakan berprasangka sedemikian?” tanya Nazrul dengan nada pertikaian. Nicol dapat merasakan bahang amarah yang tersulam bersama kata-kata tersebut. Wanita jelita tersebut akhirnya memalingkan tubuh ke belakang. Matanya tepat tertancap ke mata Nazrul.

“Janganlah cuba menipu diri awak sendiri, Nazrul. Awak memang menyedari hakikat sedemikian. Ianya suatu hakikat yang tak dapat dielakkan. Cuma awak sahaja yang belum bersedia untuk menerimanya.” balas Nicol. Nada marah dan kecewa juga turut tersulam pada kata-katanya itu. Manakan tidak; Nazrul tetap mempertahankan teman wanitanya walaupun dalam keadaan sedemikian genting.

“Pandang tepat ke mata saya dan katakan yang awak begitu bodoh sehingga tidak memikirkan perkara itu.” pinta Nicol. Nazrul hanya seketika menatap mata sahabatnya. Setelah itu dijauhkan pandangannya ke arah lain untuk menyembunyikan kebenaran. Pun begitu, Nicol telahpun mengetahui akan pendirian sahabatnya itu. Dengan keluhan yang berat dan penuh kekecewaan, Nicol kembali melangkah meninggalkan Nazrul yang hilang kata tak ketentuan hala itu.

************************************

Pada masa yang sama...

“Saya memang tak berguna. Saya masih belum berani untuk memberitahu Enbi dan kawan-kawan.” maklum Terawez yang kini menundukkan muka ke lantai. Beliau berasa amat malu dan susah hati sekarang. Jari telunjuk kanannya asyik menguis-nguis di permaidani masjid seolah-olah sedang menulis sesuatu. Namun tindak-tanduknya itu hanyalah untuk melegakan hatinya yang sedang runsing.

“Aku pun pengecut juga, Terawez. Kau ditawarkan untuk menyertai Organisasi. Aku pula diberikan peluang kedua dengan tawaran untuk kembali ke Organisasi. Kita juga akan meninggalkan MetroPolis seperti Nicol.” ujar Remy yang juga duduk bersimpuh tidak jauh dari Terawez.

“Enbi tentu akan mengamuk.” taakul Terawez. Remy tergelak. Disusuli pula dengan tawa Terawez yang mengekor kemudian.

“Oh, ya! Ke mana ustaz Ren Fairuz pergi sebenarnya? Saya mahu mendapatkan nasihatnya tentang hal ini. Tapi awak sahaja yang ada.” Terawez mengutarakan kemusykilannya. Remy tersengih.

“Aku pun tak tahu di mana dia sekarang. Tuan Ren cuma bertahu yang dia mahu meluaskan pandangannya.” maklum Remy. Terawez menggeleng-gelangkan kepala.

“Ustaz Ren itu suka benar berteka-teki.” rungutnya.

***************************************

Sementara itu di Carolina Utara, Amerika Sakit...

“Kau ini sungguh berani kerana memakai pakaian orang Muslim di tempat sebegini. Beritahu apa namamu sebelum dibunuh.” ujar Mejar Larry Roosevelt di kerusi malasnya sambil merenung seorang lelaki yang tegak berdiri di hadapannya. Lelaki yang berpakaian gamis itu baharu sahaja ditangkap ketika sedang mundar-mandir di perkarangan kubu milik tentera Masonik. Beliau hanya tersenyum mendengarkan kata-kata ancaman tadi.

“Nama saya ialah Ren Fairuz. Saya sememangnya berniat mahu berjumpa dengan tuan Roosevelt atas suatu hajat.” balasnya dengan sopan. Rupa-rupanya Ren Fairuz kini berada di Amerika Sakit yang baharu sahaja jatuh ke milik pihak Masonik beberapa bulan yang lalu.

“Mahu berjumpa denganku?” tanya Mejar Larry dengan rasa hairan. Ren menganggukkan kepala.

“Kau mempunyai maklumat rahsia tentang Organisasi?” tanya Mejar Larry. Ren menggeleng.

“Habis, apa yang kau mahu?” tanya Mejar Larry dengan nada yang kasar. Ren ketawa kecil.

“Tuan Roosevelt beberapa tahun lalu telah berjaya menguasai dan memanipulasikan jin yang bernama Aynaet. Sungguhpun jin ini kekuatannya agak lemah, namun kuasa pancaran matanya sangat hebat. Kalau digabungkan dengan kuasa yang tinggi tarafnya, seseorang pendekar itu akan menjadi sangat handal kerana mampu membinasakan musuh-musuhnya tanpa menyentuh mereka.” terang Ren Fairuz dengan panjang lebar. Terpegun Mejar Larry mendengarkan kata-kata tersebut.

“Ma... mana kau tahu semuanya ini?” tanya pegawai Masonik itu dengan nada yang agak gementar. Ren Fairuz tidak segera menjawab. Sebalik beliau memetik jari tangan kanannya. dengan tidak semena-mena belasan bahagian tubuh para pendekar Masonik yang mengawalnya berderai dan hilang. Mereka semuanya jatuh menyembah lantai dan terbunuh dengan serta-merta.

“Mereka semuanya telah disentuh oleh tangan saya tadi. Dengan cara itu baharulah saya boleh mengaktifkan kuasa pembinasa saya. Namun dengan Aynaet, saya boleh melakukan semuanya ini dengan hanya memandang ke arah mereka sahaja. Jadi yang saya mahukan ialah kelebihan kuasa Aynaet untuk dijadikan sebagai makanan saya.” maklum Ren Fairuz. Senyumannya terujanya semakin melebar.

- BERSAMBUNG -

No comments: