Saturday, November 9, 2013

Cerpen - Ibnu Hibban (Part 4)



Cerita Kemetot

Tajuk : Ibnu Hibban
(Part 4)


Lima tahun lalu di pinggir bandar Damsyik, Syria...

“Hibban, maafkan kami. Kami tak bersungguh-sungguh mempertahankan tempat ini.” pinta seorang askar mujahideen dengan linangan air mata. Ibnu Hibban melihat dengan perasaan sayu ratusan mayat yang disusun di dalam gudang. Selepas beberapa hari puak Sunni berjaya menawan daerah tersebut, rejim syiah Alawite telah mengebomnya pula dengan senjata kimia. Ini adalah kali ke lima mereka berbuat demikian. Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB tidak berbuat apa-apa dan nampak hanya bermain-main sahaja tatkala mengecam tindakan-tindakan tersebut. Malangnya beberapa negara Islam turut sama bagaikan anjing yang menyalak bukit. Mengecam tanpa berbuat apa-apa selanjutnya.

“Ini adalah salahku. Aku sepatutnya menjangkakan perbuatan keji mereka seperti ini. Aku sepatutnya mengarahkan agar orang awam yang tak berdaya, kanak-kanak dan bayi dipindah keluar dari tempat ini.” ujar Ibnu Hibban dalam keadaan menahan sebak. Hatinya retak seribu melihatkan wajah puluhan kanak-kanak dan bayi yang terbunuh dalam serangan bom kimia tersebut.

“Jangan salahkan dirimu, Hibban. Kau telahpun menanggung beban yang amat berat selama ini bermula dalam usia lapan belas tahun lagi. Manalah kita nak sangka kerajaan Iran telah meminjamkan belasan buah kenderaan pelancar peluru berpandu jarak jauh kepada rejim?” pujuk seorang askar tua yang mesra dipanggil pak cik Mahmoud.

“Kami percaya serangan keji ini dilakukan oleh Jeneral rejim yang bernama Hussin Dahrar. Kita mesti membuat perancangan untuk memusnahkan pelancar-pelancar peluru berpandu tersebut.” saran Ahmed Thowus yang cacat separuh wajahnya kerana menegakkan kalimah Allah di medan jhad. Ibnu Hibban menggelengkan kepala.

“Kita mesti memasukkan ketakutan dan kehampaan ke dalam hati para pemimpin mereka terlebih dahulu. Dan kita mesti hebahkan kepada dunia supaya mereka juga berasa gentar dengan kita.” balas Ibnu Hibban. Matanya menyala dengan api kemarahan.

******************************

Sekarang, di bilik Ketua Pengarah di Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar...

“Engkau ini sengaja memprovokasi Ibnu Hibban, Hasheem?” tanya Syaukanee dengan nada menyinga.

“Beliau selalu berasakan bahawa Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar tidak seperti yang diharapkan. Jadi aku buktikan bahawa kami benar-benar komited seperti dia juga.” tingkah Hasheem dengan senyuman sinis. Syaukanee menggelengkan kepala.

“Tapi ini telah membabitkan di antara negara kita dengan Malaysia. Hubungan diplomatik yang baik dan erat sekarang pasti akan terjejas! Kau bermain dengan api, Hasheem!” bentak Syaukanee.

“Aku bermain dengan api? Sebenarnya Amirul Mukminin kita yang bermain dengan api dengan melantik dan membiarkan Ibnu Hibban buat gila di sana sini! Malah Amirul Mukminin telah banyak kali menyokongnya. Aku mahu tunjukkan kepada Amirul Mukminin siapa Ibnu Hibban sebenarnya!” bentak Hasheem kembali.

“Kau yang tak kenal siapa Ibnu Hibban yang sebenarnya, Hasheem!” balas Syaukanee.

“Baiklah, kalau begitu kau beritahu aku siapa sebenarnya Ibnu Hibban. Selain dari seorang askar mujahideen di Syria, apa lagi kehebatannya? Entah-entah di Syria, beliau cuma jadi budak suruhanmu di hospital!” tanya Hasheem dengan nada pertikai. Syaukanee menggelengkan kepala.


******************************

Lebih kurang setengah jam kemudian...

“Ib.. Ibnu Hibban buat semua ini?” tanya Hasheem dengan nada tidak percaya. Syaukanee mengangguk.

“Sebagaimana yang kau tahu, aku dahulunya adalah seorang doktor yang bertugas di medan perang Syria. Aku mulai mengenali Ibnu Hibban dari umur 16 tahun lagi. Beliau pada masa itu telahpun menyandang senjata dan memandikan kedua tangannya dengan darah manusia. Pada umur 18 tahun, Ibnu Hibban telahpun dilantik menjadi komander perang batalion ‘Ribut Pasir Merah’. Di bawah kepimpinannya, batalion Ribut Pasir Merah telah berjaya menawan belasan bandar-bandar utama di Syria. Ibnu Hibban sangat cekap dan hebat dalam mengatur strategi peperangan. Beliau dianggap seperti Amru Bin Ash ra atau Khalid al-Walid ra.” cerita Syaukanee.

“Namun apabila PBB tidak menghiraukan beberapa serangan bom kimia rejim syiah Alawite, Ibnu Hibban mulai naik berang. Beliau bertindak menyusun strategi agar orang-orangnya dapat menyusup masuk ke Iran dan menculik beberapa anak lelaki tokoh-tokoh ulama syiah. Antaranya anak lelaki Imam di Iran sendiri.” cerita Syaukanee lagi.

“Aku pernah mendengarnya! Itu adalah perbuatan Ibnu Hibban?” tanya Hasheem. Syaukanee mengangguk.

“Ibnu Hibban memaklumkan perbuatannya itu di dalam media internet. Apabila kerajaan Iran menghantar wakil untuk berunding, Ibnu Hibban telah membunuh kesemua anak-anak tokoh ulama tersebut di hadapan mata wakil tadi. Dia sedikitpun tidak berminat untuk mendengar tawaran kerajaan Iran. Ibnu Hibban cuma mahu wakil tersebut datang dan menyaksikan sendiri majlis pembunuhan beramai-ramai anak-anak ulama syiah tersebut.” cerita Syaukanee lagi.

“Kejamnya! Ini sudah melanggar hukum syarak dan undang-undang antarabangsa!” komen Hasheem. Kini giliran Syaukanee pula tersenyum sinis.

“Itulah sebabnya aku kata tadi bahawa kau tak kenal siapa Ibnu Hibban yang sebenar. Kau tak pernah mengangkat senjata untuk menjaga maruah agama kita dan melindungi keluargamu, Hasheem. Kau tak pernah melihat ahli keluargamu dan orang-orang yang kau sayang mati dalam keadaan yang amat menyedihkan. Kau tak pernah melihat neraka dunia ciptaan manusia. Mana mungkin kau akan bersetuju dengan tindakan Ibnu Hibban?” tempelak Syaukanee. Hasheem terdiam.

“Perbuatan Ibnu Hibban memang tidak wajar. Namun beliau telah berjaya menghentikan serangan bom kimia rejim syiah Alawite yang selama ini telah dibantu Iran. Kata-katanya yang amat terkenal hingga menakutkan kerajaan Iran berbunyi begini : Kami telah berjaya menyusup masuk ke dalam negara kamu dan membawa keluar anak-anak kamu. Kalau kami mampu berbuat begitu, bayangkanlah apa pula yang telah kami bawa masuk ke dalam negara kamu. Kami sebelum ini telah berjaya merampas bom-bom kimia milik rejim Alawite dan kini bom-bom tersebut telahpun berada di dalam negara kamu. Kalau rejim Alawite menggunakan bom kimia sekali lagi di bumi Syria, kami akan letupkan kesemua bom tersebut agar jutaan rakyat Iran dapat berkongsi penderitaan kami.” cerita Syaukanee.

“Ibnu Hibban sengaja bermain psikologi agaknya!” taakul Hasheem. Syaukanee menggelengkan kepala.

“Perisik-perisik Iran setakat ini telah berjaya menjumpai tujuh butir bom kimia yang masih belum diaktifkan. Tentera Ribut Pasir Merah sebelum itu telah berjaya merampas gudang senjata kimia dua tahun sebelum kejadian terakhir serangan bom kimia rejim. Dalam gudang tersebut terdapat puluhan butir bom kimia yang sedia untuk digunakan.” balas Syaukanee.

“Tetapi bukanlah senang nak menyeludup puluhan butir bom kimia ke Iran. Ia memakan masa yang begitu lama! SubhanAllah, adakah ini bermaksud...” Kata-kata Hasheem terhenti di situ. Beliau meriakkan perasaan gerunnya pada wajah tatkala Syaukanee menganggukkan kepala.

“Ya, Hasheem. Ibnu Hibban telahpun menyusun strategi untuk membawa bom-bom kimia tersebut sebelum insiden itu lagi. Begitulah jauhnya pemikiran beliau dalam merancang strategi. Sekarang barulah kau kenal siapa Ibnu Hibban yang sebenarnya.” maklum Syaukanee.

Hasheem Baihaqi menelan air liurnya.


- Bersambung -

No comments: