Cerita Kemetot (cerpen la tu)
Tajuk : Ibnu Hibban (Part 3)
“Assalamu a’alaikum warahmatullah.” Segera Ibnu
Hibban memandang ke arah si empunya suara yang menegurnya. Beliau adalah
Hasheem Baihaqi yang merupakan Ketua Pengarah di Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi
Mungkar. Ibnu Hibban tersenyum kelat. Tentu akan berlaku pertengkaran kelak,
pada firasatnya. Mana mungkin Hasheem secara kebetulan bertembung dengan Ibnu
Hibban di perkarangan pintu sayap kiri bangunan persekutuan.
“Wa ’alaikum salam warahmatullah.” jawabnya sebagai
menunaikan kehendak syarak. Matanya tepat merenung lelaki berusia awal 50’an
tersebut untuk membaca helah beliau.
“Tuan Qadhi mahu pergi makan tengaharikah?” tanya
Hasheem dengan mesra. Bibirnya mengoral senyuman melihatkan riak kecurigaan
pada wajah anak muda tersebut. Ibnu Hibban mengangguk.
“Marilah makan dengan saya. Kita tak usah bercakap
tentang kerja. Cuma bersembang tentang hal-hal santai sahaja. saya mahu
mengenali Tuan Qadhi dengan lebih dekat. Bagaimana? Harapnya Tuan Qadhi tak
menolak.” pelawa Hasheem. Ibnu Hibban terdiam. Beliau tahu bahawa lelaki tua
ini ingin mencari kelemahan dirinya. Namun ini juga adalah peluang terbaik
untuk beliau mengenali siapakah lawannya ini. Selama ini mereka saling
mengkritik melalui wakil atau media massa. Ibnu Hibban mengeluarkan telefon
selular dari koceknya.
“Assalamu a’laikum, cik Soffeah. Ibnu Hibban sedang
bercakap. Saya mahu pergi makan tengahri bersama Tuan Hasheem Baihaqi dari
Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar. Jadi saya mungkin lewat masuk ke
pejabat. Sila maklumkan kepada staf yang lain. Terima kasih. Ma’assalamah.”
Setelah Ibnu Hibban selesai meninggalkan pesan, beliau menyimpan kembali
telefonnya di dalam kocek. Beliau kemudian memandang ke arah Hasheem Baihaqi
sambil tersenyum dan menganggukkan kepala.
“Sungguh Tuan Qadhi ini sangat berwaspada orangnya! Namun
janganlah tuan bimbang kerana saya ini bukanlah askar Hezbollah yang kejam dan
jahat. Saya cuma seorang ahli sunni yang tua lagi tak berdaya.” sindir Hasheem.
“Makin tua makin berakal panjang, tak begitu kata
pepatah orang-orang lama?” sindir Ibnu Hibban kembali. Hasheem ketawa
terbahak-bahak. Ternyata anak muda di hadapannya ini tidak langsung berasa
tertekan dan gugup seperti kebanyakan orang.
“Memang kehebatan Tuan Qadhi bukanlah hanya
khabar-khabar angin sahaja!” puji Hasheem. Pun begitu beliau menyedari bahawa
pujiannya itu tidak memberikan sedikitpun kesan kepada lelaki yang cinta dan takutkan
Allah tersebut.
“Kita mahu makan di mana?” tanya Ibnu Hibban.
Hasheem senyum.
“Di Kelab Mendonan. Ianya tak jauh dari pejabat
kita. Selepas itu kita boleh bersolat berjemaah di sana.” saran Hasheem.
“Mendonan? Bukankah itu kelab milik seorang warga
dari Malaysia?” tanya Ibnu Hibban. Hasheem mengangguk.
“Malaysia adalah salah satu rakan niaga terbesar
kita. Jadi tak hairanlah ramai rakyatnya yang berminat melabur di sini. Namun
setakat ini kerajaan kita hanya membenarkan syarikat yang dimiliki oleh seratus
peratus milik orang Islam melabur di sini. Rendang ayam di sana sangat sedap!”
perjelas Hasheem yang diakhiri dengan sulaman pujian.
“Baiklah, sekali-sekala bertular selera, apa
salahnya!” ujar Ibnu Hibban sebagai isyarat beliau bersetuju dengan saranan
Hasheem tadi.
“Mari kita pergi dengan kereta saya.” saran Hasheem
pula.
********************************
Beberapa minit kemudian mereka akhirnya tiba di
perkarangan Kelab Mendonan. Ibnu Hibban memerhatikan sahaja Hasheem yang
menunjukkan kad keahliannya kepada pengawal di situ. Ketua Pengarah Jabatan
Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar itu kemudian memandu masuk ke kawasan parkir yang
disediakan khas untuk ahli.
“Tentu mahal untuk menjadi ahli kelab ini.” taakul
Ibnu Hibban.
“Mm? Oh, memang feenya tinggi. Namun mereka
memberikan keahlian kepada saya tanpa sebarang bayaran. Jadi saya ambil
sajalah!” jawab Hasheem seraya ketawa.
“Pada pandangan saya, ianya adalah gula-gula rasuah.”
Kata-kata Ibnu Hibban membuatkan Hasheem tersentak. Namun seketika kemudian lelaki
tua itu ketawa.
“Setakat ini saya belum pernah menggunakan kuasa
saya untuk membuat sesuatu demi kepentingan mereka mahupun pihak lain. Lagipun
ia telah diberikan kepada saya tanpa sebarang syarat. Kelab ini dibuka dengan
cara mengikut undang-undang kita yang ketat termasuk larangan membawa minuman
keras dan makanan yang diharamkan ke sini.” balas Hasheem.
“Saya tak menuduh tuan Hasheem terlibat dalam
rasuah. Saya cuma mengatakan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk menjadi
akrab dengan tuan. Tentu sukar untuk mengambil tindakan pada orang-orang yang akrab
dengan kita, bukan? Jadi tidakkah ia dianggap sebagai gula-gula rasuah?” balas
Ibnu Hibban kembali. Hasheem terdiam. Namun topik perbualan mereka mati tatkala
ternampak begitu banyak kenderaan dari Jabatan Amal Ma’aruf dan Nahi Mungkar
yang diparkir di situ.
“Anak-anak buah tuan Hasheem pun dapat keahlian
percumakah?” tanya Ibnu Hibban.
“Tidak...” jawab Hasheem. Dahinya berkerut. Sebaik
sahaja keretanya diparkir, beliau dan Ibnu Hibban segera turun dan menuju ke
arah kumpulan manusia yang berada di sebuah kafe bernama Kafe Mendonan. Sebaik
sahaja menyedari kehadiran Hasheem, beberapa pegawai yang berada di situ
memberikan tabik hormat mereka.
“Apa yang dah terjadi?” tanya Hasheem.
“Tuan, kami sedang membuat tangkapan terhadap
seorang rakyat Malaysia yang menyeludup masuk arak dan minum di khalayak ramai
secara terbuka.” maklum salah seorang pegawai tadi.
“Hmh! Bagus! Bagus! Lihatlah tuan Qadhi, saya tak
termakan dengan gula-gula rasuah tersebut.” ujar Hasheem dengan riak berpuas
hati.
“Cuma ada satu masalah, tuan.” maklum pegawai itu
pula. Belum sempat beliau meneruskan percakapannya, kedengaran suara maki hamun
seorang lelaki. Beliau diheret oleh dua orang anggota Jabatan Amal Ma’aruf dan
Nahi Mungkar ke arah Hasheem dan Ibnu Hibban.
“Kurang ajar! Kau tahu tak aku ini seorang Timbalan
Menteri! Aku ada imuniti, tahu!” tengkingnya.
“Alamak!” ucap Hasheem. Namun Ibnu Hibban yang
sedang memandang ke arahnya menyedari bahawa ini adalah suatu perangkap yang
disediakan untuknya tatkala melihat senyuman gembira di bibir lelaki tua
tersebut.
- Bersambung -
No comments:
Post a Comment